• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    September 2011
    S M T W T F S
    « Aug   Oct »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    252627282930  

Bibik

Salam Ukhuwah…

Saya sedang mengalami situasi yang sungguh ‘menyesakkan’ – penangan bibik balik kampung!

Inilah ujian kekalutan yang sedang saya lalui semenjak pertengahan Ramadhan tempohari, sememangnya sungguh mengganggu kehidupan seharian. Langsung menjenguk blog sendiri pun tiada berkesempatan, apatah lagi mahu bersantai-santai di ‘rumah’ sahabat-sahabat yang lain.

Melewati hari-hari kehilangan bibik terasa kurang menyeronokkan. Ramadhan yang baru saja berlalu bagaikan tidak sesempurna yang diimpikan.

Biasanya berawalan bibik bangun untuk menyediakan sahur untuk kami sekeluarga, dan dilain-lain waktu sepanjang Ramadhan, dia akan memahami bahawa ada waktunya saya mahu bersendirian tanpa gangguan anak-anak untuk menumpukan diri kepada ‘kelebihan Ramadhan.’

Namun, kali ini al-Quran pun tidak mampu dikhatamkan walaupun sudah hampir ke penghujungnya. Solat terawikh juga tidak mampu berjamaah penuh di masjid kerana si kecil yang sentiasa membuat onar kehilangan ‘dayangnya’. Pasrah!

Datangnya Ramadhan juga turut memberi rezeki sampingan kepada saya apabila membantu kekanda membuat jualan biskut raya, inipun dengan bantuan bibik juga dalam menyusun atur tempahan sahabat-sahabat terdekat. Tetapi kali ini terpaksa membuatnya sendirian, terasa sedikit kalut kerana terpaksa meriba si kecil sambil membilang dan menyusun bekas-bekas tempahan.

Akhirnya Ramadhan berlalu jua….

Tiada bibik di hari raya, sehinggalah ke hari ini.

Pulang

Selama dua tahun empat bulan tinggal bersama saya, akhirnya bibik memohon untuk pulang melawat ibunya yang sudahpun tua di kampung halaman. Dia meminta izin daripada saya untuk pulang ke kampung sebelum tibanya Ramadhan – walaupun pulangnya lewat dua minggu dari perancangan asal – dengan harapan dapat mengerjakan ibadah puasa bersama-sama ahli keluarga nun di sana, dan akan kembali ke rumah saya sehabis Syawal.

Dua bulan yang sebenarnya sekejap cuma tetapi kelihatannya terlalu panjang untuk saya. Itupun kalau bibik saya menunaikan janjinya, kalau dia mungkir macamana ya? Saya doakan mudah-mudahan dia menepati janji.

Lalu saya izinkan dengan harapan dia dapat mengubat rindu kepada kaum keluarganya nun jauh di Indonesia. Saya fikir masih mampu mengurus rumahtangga seperti biasa sebagaimana sebelum ini tanpa bantuan daripada bibik. Semuanya dapat saya uruskan sendiri – dari hal mengurus rumah, suami dan anak-anak.

Namun, selepas bertahun sebahagian besar urusan rumahtangga diuruskan oleh bibik, semuanya bagaikan serba tidak kena apabila saya mula mengambil alih tugasan tersebut. Walaupun turut diberi bantuan tenaga sedikit sebanyak oleh encik suami dan anak-anak, nampaknya dari menjaga halaman rumah sehinggalah ke dalam rumah, segala-galanya bagaikan tidak sempurna untuk dibereskan dalam tempoh sehari yang berlalu.

Hari-hari awalan ketiadaan bibik mampu membuatkan saya agak ‘kesunyian’ tetapi ‘meruntun perasaan’ kerana banyaknya kerja yang sedang menunggu. Nampaknya istilah surirumah sungguh menjadi!

Ia tidak menjadi mudah sebagaimana yang telah dirancang. Rumah menjadi sedikit tidak terurus, penyediaan makan minum sedikit terjejas, saya juga mengalami gangguan pada tahap kesihatan – semuanya gara-gara serahan tugasan bibik keatas tulang empat kerat saya.

Cabarannya sungguh terlaksana apabila saya hampir demam selepas tiga hari menjadi ‘bibik’. Apa kes? Nampak sangat tulang-temulang saya ini sudah terlalu lama berehat sakan. Ditambah pula dengan ibadah puasa ketika itu, saya mudah sangat menjadi longlai diawalan waktu lagi.  Nampaknya saya benar-benar tidak bersedia untuk berterusan menjadi bibik pada ketika ini. Untuk kesekian kalinya, barulah saya terasa suatu bebanan kehilangan seorang bibik yang cekap.

Dedikasi

Sungguh kali ini saya mendapat seorang bibik yang penuh dedikasi kepada kerjayanya, tidak sebagaimana dua orang bibik sebelumnya. Akhirnya Allah s.w.t. memberikan saya peluang untuk mendapat seorang bibik yang tulus dalam khidmatnya. Bibik yang ketiga ini merupakan seorang yang sangat rajin walaupun sudah lanjut usianya.

Untuk kali ketiga memiliki bibik dari Indonesia, barulah saya merasa menjadi seorang majikan yang bertuah – mendapat seorang wanita separuh umur yang datangnya ke Malaysia memang sebenar-benar untuk mencari rezeki yang halal, jua berakhlak baik, Alhamdulillah!

Sungguh saya terasa kehilangan seorang pengurus rumahtangga yang cekap, tidak perlu diajar itu ini, tidak perlu disuruh itu ini, sentiasa menurut perintah, mampu menenangkan jiwa walaupun saya lama berpergian dengan meninggalkan semua anak-anak bersamanya. Anak-anak juga senang dengan perwatakannya, bak seorang nenek kepada mereka.

Saya juga selesa dengannya, kerana dia bagaikan seorang ‘ibu’ yang banyak menolong untuk lebih memahami erti sebuah kehidupan dengan pelbagai pengalamannya yang jauh lebih bererti. Saya sememangnya suka ‘berkawan’ dengan ‘orang tua’. Keserasian ini mungkin kerana dia sudah banyak pengalaman menjadi bibik kepada beberapa majikan yang lain sebelum ini.

Jadual

Untuk hari-hari seterusnya saya memerlukan jadual hidup baru. Saya tidak mahu kesibukan dan kepenatan menguruskan rumahtangga menjejaskan perhubungan saya dengan Maha Pencipta, suami dan anak-anak atas alasan letih.

Sehingga ke hari ini, nampaknya saya sudah mula faham rutin harian. Tetapi tidak sesempurna ketika mana mempunyai bibik. Pesan saya kepada encik suami, jangan banyak komplen! Kalau mahukan kesempurnaan, jom kita buat sama-sama…

Alhamdulillah, encik suami juga turut membantu walaupun kalau boleh nak mintak tolong banyak lagi. Saya juga sebagaimana isteri-isteri yang lain sangat seronok apabila suami isteri bersama-sama dalam menguruskan rumahtangga. Kerja-kerja rumah yang menimbun pun mudah saja dibereskan bilamana suami ringan tulang membantu urusan isteri.

Nasib baiklah anak-anak semuanya bersemangat untuk menjadi ‘bibik’. Terasa sedikit bebanan dapat diagihkan mengikut kesesuaian umur masing-masing. Mereka pun sebenarnya kelihatan bersimpati kepada saya apabila semua urusan rumah terpaksa dibuat sendiri. Selama ni tengok mak diaorang macam relax je ya…!

Keletihan tetap terasa, tetapi terasa ringan beban apabila anak-anak ringan tulang untuk membantu dan encik suami tidak komplen terhadap mana-mana kekurangan diri.

Ujian

Walaupun sedikit kepenatan, saya anggap ianya satu ujian yang mampu mendekatkan diri kepada Allah. Dari lubuk hati masih ada syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi, kerana tika inilah saya berpeluang mendidik anak-anak berdikari, dan sentiasa mendoakan semoga urusan seharian sentiasa dipermudahkan.

Sekadar sedikit menyeksakan apabila saya mahu keluar ke mana-mana, terpaksa membawa si kecil yang banyak ragamnya. Kalau dulu tinggal je dengan bibik, mudahlah urusan saya di luar sana. Sekarang boleh jumpa saya mendukung si kecil yang sudah pun berumur dua tahun setengah, tetapi tidak mahu berjalan! Inilah keburukan ada bibik! Diaorang senang la mendukung dengan kain dukungan tu kan. Saya manalah reti… + tak nak belajar…!

Alhamdulillah, saya terus mampu menguruskan rumahtangga seadanya.

Walau bagaimanapun, saya tetap memanggil pembantu harian untuk membantu saya mengurus rumah mana yang patut – tiga kali seminggu, tiga jam setiap kali datang. Mudah-mudahan bantuannya itu dapat membantu meringankan beban saya dalam menguruskan sebuah rumahtangga kearah yang lebih baik.

Saya sentiasa mendoakan semoga diri ini mampu menjadi seorang surirumah yang terbaik, dengan harapan berbaloilah saya membuat keputusan untuk berhenti kerja hampir tiga tahun yang lalu. Menjadi insan yang lebih bernilai kewujudannya, menjadi isteri terbaik buat suami, menjadi ibu yang penyayang buat anak-anak, menjadi anak yang taat kepada ibubapa, dan insyaAllah menjadi ahli masyarakat yang mampu memberi teladan yang baik kepada pandangan umum.

Syukur

Rasa syukur bertambah-tambah apabila anakanda kedua saya membawa pulang Buku Laporan Kemajuan dengan catatan nombor 1. Ini yang pertama kali buat dirinya dan juga pertama kali buat saya selama mana menghantar anak-anak ke sekolah. Hilang rasa penat mengurus rumahtangga dan keletihan mengajar anak-anak belajar, lebih-lebih lagi diminggu peperiksaan. Kelihatannya sungguh berbaloi.

Namun, si kakak gagal mengekalkan prestasi. Sentiasa turun naik peratus keputusannya. Nampaknya saya yang kena berusaha lebih untuk menguruskan ‘usahanya’ yang kembang kempis. Ada masa lebih kurang dua minggu lagi untuk dia menduduki peperiksaan seterusnya. Mudah-mudahan sempatlah saya membantunya membuat latihan tubi.

Dalam menguruskan pendidikan anak-anak, saya sentiasa berusaha merajinkan diri membantu mereka untuk lebih memahami apa yang dipelajari di sekolah sekadar kemampuan. Lebih-lebih lagi untuk subjek Matematik, boleh dikatakan anak-anak cemerlang markahnya kerana subjek inilah yang paling saya minat sejak dulu-dulu lagi. Apabila minat kepada sesuatu, insyaAllah kita mampu memudahkannya.

Subjek yang paling tenat pula adalah Bahasa Inggeris (BI) (kakak) dan Bahasa Cina (BC) (adik). Kalau BI boleh juga saya bagi tunjuk ajar, tapi kalau BC? Saya bagi motivasi saja untuk dia belajar bersungguh-sungguh. Saya tahu bukannya mudah untuk dia menguasai BC dalam masa dua tahun ini, lebih-lebih lagi sekolah tersebut turut ‘dikuasai’ oleh pelajar-pelajar Melayu yang agak ramai. Dalam kelas sahaja terpaksa dan dipaksa berbahasa cina, keluar saja kelas terus sahaja kkecek klate…terus lupa daratan.

Akhirnya, walaupun agak terlewat tetap jua saya mahu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin, kepada semua sahabat yang sentiasa meluangkan masa menjenguk ke ‘rumah terbuka’ saya ini. Moga-moga silaturrahim ini akan berpanjangan hingga ke hujung usia, insyaAllah!

7.25am

2 Responses

  1. Salam Ukhuwwah Nik Amalina.
    Alhamdulillah dalam usia puan yang masih muda, dah ada 6 orang zuriat…
    Memey bila takde bibik/ pembantu rumah terasa sgt penatnya. Kak Nik ada 4 orang anak yang sulong 18 tahun dan yang bongsu nak masuk 10 tahun tapi sebab mungkin dah terbiasa ada bibik semenjak kecil bila bibk cuti terasa sgt penat dan letihnya…
    Kak Nik dalam tempoh 20 tahun kahwin dah ada 11 orang pembantu rumah…
    mcm-mcm ragam ada yang jujur dan amanah ada yang tak jujur dan mencuri brg2 berharga…
    Memey akak rasa kalau x de bibik mcm patah kedua-dua belah tangan tambah2 akak kerja dan selalu balik rumah dah hampir maghrib…
    So akak boleh understand mcm mana Nik Amalina rasa…
    Semoga bibik Nik Amalina akan cepat kembali…ke m’sia.
    Wassalam.

    • Saya mula mendapatkan khidmat bibik selepas melahirkan si kembar. Selepas itu mula la kami membilang bibik – semua ada, Malaysia, Thailand dan Indonesia. Termasuk yang sekarang ini, koleksinya seramai enam orang.
      Sebenarnya bukan juga mudah apabila kita memiliki bibikkan? Adakalanya boleh jadi menambahkan kekusutan, sakit kepala, menyirap darah…macam-macamlah. Tapi kalau dah biasa ada, time tak de tu kalut la sket…kan…?

      Tapi sekarang ‘bahagia’ kembali, bibik dah balik rumah…🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: