• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    December 2011
    S M T W T F S
    « Nov   Jan »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    25262728293031

Teruja

Salam Ukhuwah…

Tinggal beberapa hari saja lagi anak-anak kita akan kembali kealam persekolahan. Bagi keluarga saya, keterujaan tentunya kepada si kembar dan adindanya yang akan melangkah ke sekolah baru.

Khamis lalu merupakan hari pendaftaran sekolah bagi si kembar saya. Saya terlewat 15 minit dari masa taklimat yang dijadualkan bermula 9.30 pagi – alasannya; saya tercari-cari parking kerana tidak biasa dengan persekitaran sekolah, kerana ini merupakan sekolah ketiga untuk senaraian sekolah anak-anak saya. Oh, nampaknya kami terpaksa keluar lebih awal pada sesi persekolahan akan datang!

Taklimat telah diadakan di kawasan kantin. …mmm…tak ada dewan ke sekolah ni? Kantin pula kelihatan sedikit uzur. …mmm…betul ke saya pilih sekolah anak ni? Macam tu lah saya terfikir-fikir sepanjang mendengar taklimat… Kerana keuzuran kantin tersebut, kawasan di tengah-tengah ruang kantin terpaksa dikosongkan kerana atapnya yang kelihatan menggelembung mahu runtuh ? Tunggu masa sahaja! Kata cikgu pemberi taklimat: “kalau ada bunyi ‘prakkk…’ cepat-cepat kita bangun ya…” boleh gitu? Tetapi masih lagi boleh dipuji kerana persekitarannya masih lagi kelihatan bersih.

Hari ini sekadar mendengar taklimat tentang peraturan sekolah yang telah disampaikan oleh seorang guru, membuat pendaftaran dan membeli buku serta baju sukan. Nampaknya sesi pendaftaran di sekolah ini agak tidak teratur sebagaimana sekolah anak-anak saya yang lain, mengakibatkan masa yang diambil agak meleret. Bukan saya sahaja yang tidak berpuas hati dengan pengurusannya, ibubapa yang lain juga turut komplen sesama sendiri.

Selesai semuanya, saya bawa si kembar ke kelas yang akan mereka duduki bermula 3 Januari 2012 nanti. Mereka kelihatan bersemangat, lebih-lebih lagi apabila berjumpa dengan kawan semasa di tadika tempohari yang juga akan bersekolah di situ.

Doa saya semoga anak-anak ini akan cemerlang sebagai seorang Muslim yang tegar dan sejahteralah di akhirat nanti, insyaAllah!

1.06pm

Keperluan Sekolah

Salam Ukhuwah…

Lebih kurang seminggu lagi sesi persekolahan akan dibuka, baru semalam saya memperuntukkan masa untuk pergi membeli barang-barang keperluan sekolah anak-anak. Tumpuannya adalah untuk si kembar yang akan melangkah kealam persekolahan.

Nasib baiklah mereka hanya ‘menurut perintah’ sahaja, cuma meminta untuk dibelikan beg sekolah Angry Birds! Untuk mereka berdua semuanya berstatus baru, dari baju, seluar, stokin, kasut, beg, kotak pensil, dan alatulis, semuanya ‘dalam plastik’. Untuk si abang dan si kakak, hanya keperluan tertentu saja bertukar wajah, selainnya menggunakan apa yang sediada. Apa yang semestinya, alatulis memanglah baru. Lama punya? Ghaib!

Awalannya saya hanya menguruskan pembelian keperluan pakaian mereka, kasut masih tidak punya saiz yang sesuai, begitu juga dengan beberapa keperluan lain yang tidak mampu memikat hati. Untuk tidak melengahkan masa, saya menghantar mereka ke kelas mewarna. Senggang waktu selama satu jam menunggu, saya pergi mencari-cari beg sekolah Angry Birds yang dipinta. Alhamdulillah, ketemu juga akhirnya.

Lain-lain keperluan juga saya selesaikan segera, kecuali kasut sekolah. Nampaknya saya terpaksa mencari kesempatan lain sekali lagi…

7.23am

Qiamullail

Salam Ukhuwah…

Apa istimewanya program Qiamullail?

Sehingga mampu menarik minat anakanda saya untuk mengikutinya dua hari lepas.

Saya menghantar anakanda ke program tersebut usai solat Zohor, katanya pendaftaran peserta bermula jam dua petang. Dalam kereta saya penuh dengan anak-anak saudara perempuan, seramai lima orang. Manakala kereta kekanda saya, Nik Abdul Rahim penuh diisi dengan anak-anak saudara lelaki, sejumlah enam orang. Kami menuju ke Tadika Mawaddah, Pasir Puteh, tempat berlangsung program Qiamullail pada malam tersebut yang melibatkan peserta berusia 9 – 15 tahun.

Tadika yang merupakan unit rumah banglo setingkat agak sesuai dengan program ini. Nampaknya mereka mengasingkan kediaman peserta lelaki dan perempuan, beguslah! Kedatangan kami dialukan oleh seorang ustazah, dan kelihatan beberapa orang peserta lain telah tiba seawal waktu. Manakan tidak, kami telah terlewat setengah jam! Nasib baik program belum bermula, anak-anak yang lain kelihatan santai-santai sahaja.

Pagi semalam saya telah pergi menjemput anakanda dan sepupu-sepupunya dari program tersebut. Katanya penat, tidak cukup tidur, lalu terlentok dalam kereta sepanjang perjalanan.

Kalau ikutkan jadual program, tidur malam pada jam 11.30 malam dan bangun jam 4.30 pagi. Antara slot program adalah tayangan video islamik pada malam harinya dan melaksanakan solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, solat sunat tasbih, solat hajat, dan penutupnya dengan solat sunat witir pada hening dinihari.

Apabila anakanda kelihatan sedikit bertenaga, dia dengan senang hatinya bercerita tentang keseronokan program tersebut. Alhamdulillah! Saya menarik nafas lega.

Sebenarnya program sebegini mampu membina semangat anak-anak kecil dalam memahami erti kehidupan sebagai seorang Muslim. Selain dari kita sebagai ibubapa mendidik anak-anak tentang perkara asas dalam kehidupan, jangan dilupai tuntutan sampingan mendekatkan jiwa anak-anak kepada Penciptanya. Jika kita mampu menyediakan anak-anak yang cemerlang dalam akademiknya, jangan dipinggirkan ilmu ukhrawi untuk membina benteng yang kukuh dalam kehidupan jangka panjang mereka.

Seimbang

Usia kanak-kanak bukan sekadar tempoh untuk bermain-main dan bersukaria. Disamping kita memberi peluang untuk mereka berseronok, didikan agama juga harus diseimbangkan. Jangan biarkan minda anak-anak kosong dengan ilmu agama, kelak kita juga yang rugi apabila suatu masa nanti mereka akan hanyut dengan arus dunia yang penuh pencemaran.

Saya harap, saya dan sahabat semua tidak begitu. Kita bersama tanamkan azam untuk mendidik anak-anak sedari kecil dengan ilmu agama semampu yang boleh, agar mereka membesar sebagai seorang yang matang fikirannya untuk berfikir baik buruk sesuatu perkara.

Itu perihal anak-anak. Bagaimana pula dengan kita sendiri? Saya renung kepada diri sendiri, berapa banyak kesempatan yang telah saya sediakan untuk qiamullail…seimbangkah dengan capaian usia saya? Seimbangkah dengan capaian nikmat yang telah Allah kurniakan kepada saya selama ini?

Jadi bukan sekadar kita mahu mendidik anak-anak dengan baik, tetapi diri sendiri juga harus terdidik sepanjang waktu. Jangan hanya mahukan yang terbaik buat anak-anak, tetapi  kita yang sepatutnya menjadi idola kepada mereka buat selama-lamanya. InsyaAllah!

Kita perlu sedar bahawa setiap detik yang berlalu dalam kehidupan adalah kerana ketentuan daripada Allah s.w.t.. Baik buruk sesuatu perkara yang berlaku keatas kita tentunya tidak lari daripada pergantungan kepada Allah s.w.t.. Maka, sediakanlah kesempatan atas keterbatasan waktu seharian kita untuk sama-sama qiam kepadaNya. InsyaAllah dengan qiamullail kita sudah menyediakan satu slot untuk berbicara’ dengan Allah s.w.t..

Tentunya jika kita berbicara kepada yang sudi mendengar, secara langsung jiwa akan menjadi tenang. Jiwa yang tenang akan memudahkan urusan seharian. Itulah kehebatan qiamullail. Namun, harus diingatkan bahawa qiamullail sahaja tidak akan membantu apa-apa sekiranya kita sendiri tidak mahu berubah. Kerana Allah hanya akan membantu apabila melihat hamba-hambaNya benar-benar berkehendakkan kepada sesuatu dengan usahanya yang bersungguh-sungguh.

5.50pm

11.11.11 @ 11

Salam Ukhuwah…

Tarikh yang sudah melewati sebulan lebih, tetapi saya masih lagi mahu bercerita tentangnya…tentu ada istimewanyakan?

Sebenarnya ia adalah tarikh istimewa kepada anakanda sulong saya, menyambut usianya yang ke 11 tahun pada 11.11.11 tempohari.

Namun pada tarikh istimewanya itu, saya dan suami sedang berada jauh daripada anak-anak. Saya menghubunginya, mengucapkan ‘selamat menyambut hari lahir’ dan menghantar sejambak doa, semoga dirinya sentiasa dilimpahi dengan nikmat kehidupan dari segala yang halal dan diberkati, dilindungi perjalanan masa hadapannya dari segala yang mampu merosakkan jiwanya, dijadikan dirinya sebagai teladan yang baik kepada sesiapa jua yang memandangnya, dan dirahmati usianya sehingga ke syurga. Amin, ya Rab!

Sebelum tarikh istimewanya itu juga, saya telah membeli beberapa jenis manisan arab, coklat dan biskut sebagai hadiah kepada anakanda daripada ayahbonda yang berada di kejauhan. Saya poskannya melalui servis **** **** dengan janji manisnya ia akan selamat tiba dalam tempoh 10 – 14 hari. Berbungalah harapan saya bahawa ia akan tiba pada lebih kurang tarikh istimewa tersebut. Semoga dapatlah hadiah tersebut menghilangkan rindu anak-anak kepada kami berdua.

Tapi tahukah sahabat sekalian…? bahawa kotak hadiah tersebut hanya sampai selepas tiga minggu saya kembali ke tanah air! Itupun tersesat-sesat sehingga sampai ke rumah ayahbonda saya…mmm…agak-agak kalian, bagaimanakah perasaan saya? Sadis!

Kata seorang sahabat, Allah mahu menguji kesabaran saya selepas kembali dari Tanah Suci. Kata saya, Alhamdulillah, jika itulah ujiannya, itulah sebaik-baik ujian untuk saya yang tipis kesabarannya. Saya sujud syukur selepas menerima kotak itu. Terima kasih ya Allah diatas segala kurniaanMu!

9.08pm

Raikan anak-anak

Salam Ukhuwah…

Oktober dan November 2011 antara bulan-bulan yang agak sibuk buat saya pada tahun ini. Selain menyiapkan diri untuk berangkat ke Tanah Suci tempohari, inilah waktunya juga untuk menghadiri pelbagai aktiviti tahunan anak-anak, terutamanya yang bersekolah tadika.

Pada Oktober lepas, berlangsungnya Majlis Konsert Tahunan Tadika Smart Reader bertempat di dewan Hotel Riverview, Kota Bharu. Itu majlis untuk anakanda perempuan kedua saya, manakala bagi abangnya, si kembar pula, majlisnya telah berlangsung pada November lalu di dewan Hotel Renaissance, Kota Bharu.

Seperti biasa, majlis sebegini diadakan untuk meraikan anak-anak tadika sepanjang setahun seisi persekolahan. Alhamdulillah, saya sekeluarga turut meluangkan masa menghadiri kedua-dua majlis tersebut.

Kedua-dua majlis ini sungguh bermakna kepada setiap ibubapa yang hadir, apabila dimeriahkan dengan persembahan anak masing-masing. Ianya juga menjadi satu kenangan indah kepada anak-anak saya kelak terhadap guru-guru dan kawan-kawan mereka, bilamana telah menamatkan seisi persekolahan di sini. InsyaAllah si kembar saya akan melangkah ke darjah 1 pada tahun hadapan, manakala si adik berpindah ke tadika Cina.

Doa seorang ibu buat anak-anak…Semoga kita semua terus menuju redha Allah s.w.t. dan tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang dirahmati selalu hingga ke akhir hayat, insyaAllah…!

4.53pm

Hingga ke Akhir Hayat…

Salam Ukhuwah…

November 2011 mungkin memberi sejarah tersendiri kepada keluarga besar kami, apabila generasi kedua mula melangsungkan perkahwinan buat pertama kalinya. Anak saudara saya mula mendapat pasangan hidup, merupakan cucu sulong ayahbonda yang diakad nikahkan sendiri oleh datuknya.

Dukacitanya buat saya, majlis ini berlangsung ketika berada di Tanah Suci tempohari. Tentunya seronok jika saya dapat menyertai majlis sulong bagi generasi kedua keluarga kami. Tetapi tidak mengapalah, semuanya sudah selamat disatukan dan saya mengirimkan doa dari jauh semoga ikatan ini berkekalan hingga keakhir hayat, insyaAllah.

Sukacitanya pula apabila saya telah menyertai rombongan keluarga besar kami ke majlis ‘hantar menantu’ di Melaka. Kami yang berada di Kelantan terlebih dahulu berkumpul di rumah kekanda di Kuala Lumpur (KL), bersatu sebagai satu rombongan lebih kurang seramai 40 orang.

Kami mula bertolak dari KL ke Melaka pada jam 9.30 pagi. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan kami telah sampai tepat pada waktu yang telah dijanjikan. Kami telah disambut dengan penuh kemesraan dan tentunya majlis berlangsung dengan meriah sekali dengan kehadiran ramai jemputan.

Lebih kurang jam 2.30 petang kami mula mengundur diri. Seperti biasa saya dan keluarga tidak terus pulang, tetapi menuju ke Bandar Melaka terlebih dahulu untuk menyambung percutian keluarga sempena cuti sekolah kali ini. Setelah lama meninggalkan anak-anak tempohari elok benar saya mengambil peluang ini untuk bersama mereka – seperti biasa saya hanya membawa dua orang anak sahaja. Kami bermalam di sana untuk lebih menikmati percutian kali ini.

5.58pm

Haji Diusia Muda

Salam Ukhuwah…

Ibadah Haji merupakan pelengkap kepada kesempurnaan Rukun Islam, apabila empat rukun yang lain sebaiknya telah dilaksanakan dengan seikhlasnya.

Setiap Muslim perlu bercita-cita untuk mengerjakan ibadah Haji, dan perlulah ada kesungguhan dalam mencapai impian tersebut. Sebaiknya kita tanamkan dalam fikiran bahawa ibadah Haji ini bukan hanya untuk mereka yang telah berusia, tetapi untuk kita semua yang masih muda dan bertenaga.

Fahamkan bahawa ibadah Haji ini memerlukan stamina fizikal yang utuh memandangkan sebahagian besar ibadahnya seperti tawaf, saie dan melontar sangat menggunakan kekuatan tubuh badan yang sihat. Dengan menggunakan tenaga muda, insyaAllah ibadah yang dilaksanakan akan lebih sempurna dan memberi impak yang lebih maksima.

Lebih-lebih lagi apabila ibadah Haji yang dilaksanakan pada usia muda sebenarnya mampu menjadi benteng yang kukuh kepada kita dalam mengharungi kehidupan seterusnya. Ia mampu memberi kesan dan wawasan yang lebih baik dalam kita memahami makna pengabdian diri seorang hamba kepada Penciptanya.

Jangan tunggu sehingga umur pencen untuk mengerjakan ibadah Haji, kerana bolehlah dikatakan ianya sudah hampir terlewat. Tanamkan niat seikhlas mungkin untuk mengerjakan ibadah Haji pada usia muda, disamping kita sentiasa berusaha untuk menyediakan segala ‘keperluan’ kearah itu.

Kita cari ilmu mengenainya bermula dari sekarang, mudah-mudahan ia mampu menjadi obor penyubur semangat untuk kita terus berjuang dalam menyahut seru ke Tanah Suci. Dalam tempoh menunggu ini kita pertingkatkan ilmu Haji, mudah-mudahan kita akan lebih bersedia untuk melaksanakan ibadah yang terbaik, seterusnya merangkul Haji Mabrur, insyaAllah!

Setiap usaha yang kita lakukan untuk menuju ke Tanah Suci insyaAllah akan dinilai tinggi oleh Allah s.w.t.. Dalam pada kita berusaha kearah itu, jangan lupa perbaiki amalan-amalan yang lain terutamanya tepati waktu solat, lakukan pelbagai solat sunat, perbanyakkan zikir, berdoa secara berterusan, mengamalkan puasa sunat, berakhlak baik pada setiap masa, menjaga ukhuwah dalam bermasyarakat, sentiasa bersedekah, dan banyak lagi kebaikan lain yang boleh kita amalkan.

Amalan-amalan sampingan ini mampu menarik pertolongan daripada Allah s.w.t. kepada hambaNya yang sentiasa bergantung harap kepadaNya.

Pengorbanan

Selain itu, ibadah Haji juga menuntut setiap Muslim untuk melakukan pengorbanan yang tinggi dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, apabila bolehlah dikatakan pelbagai kepentingan dalam kehidupan semasa terpaksa kita ketepikan buat sementara waktu. Pengorbanan ini melibatkan ketabahan fizikal dan mental. Namun kesediaan untuk berkorban inilah yang akan menjadi kayu pengukur kepada sejauh mana rasa kecintaan kita kepada Allah s.w.t..

Semakin berat pengorbanan yang terpaksa kita lalukan dalam menggapai Haji Mabrur, maka semakin tinggilah nilai ketaatan kita kepada perintahNya.

Mungkin seringkali kita meletakkan faktor kewangan mengatasi faktor-faktor yang lain untuk menjayakan keinginan memijakkan kaki ke Tanah Suci. Ada benarnya juga apabila kita memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 untuk cita-cita suci ini. Jadi, bermulalah dari awalan untuk menabung. Lakukan tabungan dari sumber yang halal dan diberkati Allah s.w.t..

Menabung pula perlu kepada keinginan, semangat, kesabaran dan disiplin yang tinggi. Ya, kerana kita perlu menahan banyak godaan nafsu dalam tempoh berjimat-cermat. Kita terpaksa memujuk nafsu yang sentiasa lemah untuk istiqamah dalam menabung, sekurang-kurangnya membuat potongan 1% sahaja daripada pendapatan pada setiap bulan selama mana impian untuk menunaikan ibadat Haji belum tercapai.

Bayangkan jika kita bergaji RM3,000 sebulan, hanya RM30 sahaja yang dipotong untuk simpanan ibadat Haji. Sangat kecil bukan?…jika nilai ini dibandingkan dengan potongan-potongan tuntutan yang lain. Sebaiknya juga kita membuat potongan tambahan sebanyak 5% bagi tabungan tersebut pada setiap kali kita mendapat rezeki runtuh seperti dari hasilan elaun, bonus, duit raya, pendapatan sampingan dan sebagainya.

InsyaAllah jika kita komited dengan tabungan ini tanpa ‘mengganggunya’, melainkan sudah terdesak – mungkin sehingga 10 tahun mahupun lebih – Allah akan memudahkan segalanya dikemudian nanti. Jadikan tabungan yang semakin hari semakin membukit ini, sebagai satu bentuk motivasi dalam mencari kekuatan diri menuju panggilan menjadi Tetamu Allah pada bila-bila masa sahaja. Kepuasan akan lebih dirasai sekiranya kita pergi ke Tanah Suci dengan hasil titik peluh sendiri.

Tabungan awalan ini juga secara tidak langsung akan membantu meringankan beban kita untuk menuju ke Tanah Suci, apabila seringkalinya kos yang terpaksa ditanggung oleh setiap jemaah Haji seringkalinya akan bertambah dari tahun ke tahun.

Menabung

Menabung sebenarnya perlu bermula dari awalan lagi, amat baik jika dimulakan seawal kelahiran bayi. Jika kita sudah mempunyai anak, bantulah mereka untuk menabung seawal usia. Bayangkan jika kita hanya menabung RM10 sebulan usai kelahiran setiap anak, ditambah pula dengan rezeki mereka dari sumber kewangan lain seperti ‘duit raya’ dan sebagainya, insyaAllah pada usia 12 tahun nanti mereka telah mampu untuk mendaftar Haji di Tabung Haji.

Kala ini tabungan bolehlah ditambah lagi, mungkin menjadi RM20 sebulan disamping sumber kewangan lain, sehinggalah mereka telah mempunyai pendapatan sendiri. Tentunya tabungan ini akan ditambah dari semasa ke semasa oleh empunya diri pula.

Anak-anak yang dibantu untuk menabung akan lebih menghormati duit tabungan mereka, disamping ibubapa secara jelas memberitahu kenapa tabungan perlu dibuat pada setiap masa. Apabila mereka sudah mempunyai pendapatan sendiri, maka mudahlah untuk mencukupkan jumlah perbelanjaan bagi mengerjakan ibadah Haji. InsyaAllah setiap ibubapa perlu membuat perancangan awal untuk membantu anak-anak mengerjakan ibadah Haji sebelum umur mereka mencapai 40 tahun.

Tabiat menabung ini juga bukan sekadar kerana mahu mengerjakan ibadah Haji, tetapi dalam masa yang sama turut mendidik kita untuk belajar menguruskan kewangan secara lebih berhemah. Ia membantu kita untuk belajar berjimat-cermat, secara tidak langsung menjauhkan diri dari sifat boros.

Jangan Bertangguh

Apabila segala-galanya bagaikan sudah sempurna disediakan terutamanya dari sudut kewangan dan ilmu, maka jangan pula bertangguh-tangguh untuk mengerjakan ibadah Haji. Jangan pula kita merasa ragu-ragu apabila sudah sampai serunya. Jika sudah terbuka peluang, jangan sesekali melepaskannnya. Rebutlah peluang keemasan ini, lupakan segala tuntutan dunia yang tiada pengakhirannya. Bukakan pintu hati seluasnya untuk menyahut seruan panggilan daripada Allah s.w.t. yang telah memilih kita sebagai tetamunya yang dirahmati.

Umumnya jemaah Haji dari Malaysia terdiri daripada warga yang sudahpun berusia lanjut, mungkin juga kerana kefahaman untuk berawalan ke Tanah Suci belum lagi memikat orang muda kita. Biasanya ibadah Haji diprioritikan selepas tempoh bersara, juga kepada warga emas yang telah tiada komitmen penting dalam kehidupan semasa. Apabila keadaan ini berlaku, sebenarnya banyak masalah yang akan timbul ketika kita menjalani ritual Haji.

Masalah utama tentunya melibatkan tahap kesihatan jemaah Haji yang telah berusia lanjut. Mungkin ada ritual Haji yang hanya akan diwakilkan kepada orang lain, terutamanya ketika ibadat Melontar. Perkara sebegini sememangnya dibolehkan, tetapi kepuasan melaksanakannya sendiri jauh lebih terkesan.

Akhirnya, kepada sahabat yang belum berkesempatan menunaikan ibadat Haji, berdoalah sentiasa agar diberi kemampuan secukupnya pada usia muda untuk diseru menjadi Tetamu Allah. Keinginan yang bersungguh-sungguh insyaAllah akan dikabulkan Allah s.w.t., doakan juga buat ibubapa kita yang belum lagi berkesempatan ke Tanah Suci agar dipermudahkan segala urusannya.

Kepada sahabat yang belum mendaftar di Tabung Haji, carilah kesempatan untuk pergi mendaftar dalam masa terdekat ini sebagai satu tanda kesungguhan kita dalam menyahut seruanNya. Jika sudah mendaftar, carilah peluang untuk mengawalkan lagi pemergiannya. Jangan tunggu sehingga tiba giliran kita yang sebenarnya, tetapi berusahalah dengan apa cara sekalipun untuk pergi ke Tanah Suci dalam tempoh masa terdekat.

Jangan sesekali kita lalai dalam menyediakan kemampuan untuk menunaikan ibadat Haji,  kerana ia adalah tuntutan Ilahi. Merancanglah yang terbaik pada usia yang terbaik, insyaAllah ada keajaibannya.

11.50pm