• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    December 2011
    S M T W T F S
    « Nov   Jan »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    25262728293031

Haji Diusia Muda

Salam Ukhuwah…

Ibadah Haji merupakan pelengkap kepada kesempurnaan Rukun Islam, apabila empat rukun yang lain sebaiknya telah dilaksanakan dengan seikhlasnya.

Setiap Muslim perlu bercita-cita untuk mengerjakan ibadah Haji, dan perlulah ada kesungguhan dalam mencapai impian tersebut. Sebaiknya kita tanamkan dalam fikiran bahawa ibadah Haji ini bukan hanya untuk mereka yang telah berusia, tetapi untuk kita semua yang masih muda dan bertenaga.

Fahamkan bahawa ibadah Haji ini memerlukan stamina fizikal yang utuh memandangkan sebahagian besar ibadahnya seperti tawaf, saie dan melontar sangat menggunakan kekuatan tubuh badan yang sihat. Dengan menggunakan tenaga muda, insyaAllah ibadah yang dilaksanakan akan lebih sempurna dan memberi impak yang lebih maksima.

Lebih-lebih lagi apabila ibadah Haji yang dilaksanakan pada usia muda sebenarnya mampu menjadi benteng yang kukuh kepada kita dalam mengharungi kehidupan seterusnya. Ia mampu memberi kesan dan wawasan yang lebih baik dalam kita memahami makna pengabdian diri seorang hamba kepada Penciptanya.

Jangan tunggu sehingga umur pencen untuk mengerjakan ibadah Haji, kerana bolehlah dikatakan ianya sudah hampir terlewat. Tanamkan niat seikhlas mungkin untuk mengerjakan ibadah Haji pada usia muda, disamping kita sentiasa berusaha untuk menyediakan segala ‘keperluan’ kearah itu.

Kita cari ilmu mengenainya bermula dari sekarang, mudah-mudahan ia mampu menjadi obor penyubur semangat untuk kita terus berjuang dalam menyahut seru ke Tanah Suci. Dalam tempoh menunggu ini kita pertingkatkan ilmu Haji, mudah-mudahan kita akan lebih bersedia untuk melaksanakan ibadah yang terbaik, seterusnya merangkul Haji Mabrur, insyaAllah!

Setiap usaha yang kita lakukan untuk menuju ke Tanah Suci insyaAllah akan dinilai tinggi oleh Allah s.w.t.. Dalam pada kita berusaha kearah itu, jangan lupa perbaiki amalan-amalan yang lain terutamanya tepati waktu solat, lakukan pelbagai solat sunat, perbanyakkan zikir, berdoa secara berterusan, mengamalkan puasa sunat, berakhlak baik pada setiap masa, menjaga ukhuwah dalam bermasyarakat, sentiasa bersedekah, dan banyak lagi kebaikan lain yang boleh kita amalkan.

Amalan-amalan sampingan ini mampu menarik pertolongan daripada Allah s.w.t. kepada hambaNya yang sentiasa bergantung harap kepadaNya.

Pengorbanan

Selain itu, ibadah Haji juga menuntut setiap Muslim untuk melakukan pengorbanan yang tinggi dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, apabila bolehlah dikatakan pelbagai kepentingan dalam kehidupan semasa terpaksa kita ketepikan buat sementara waktu. Pengorbanan ini melibatkan ketabahan fizikal dan mental. Namun kesediaan untuk berkorban inilah yang akan menjadi kayu pengukur kepada sejauh mana rasa kecintaan kita kepada Allah s.w.t..

Semakin berat pengorbanan yang terpaksa kita lalukan dalam menggapai Haji Mabrur, maka semakin tinggilah nilai ketaatan kita kepada perintahNya.

Mungkin seringkali kita meletakkan faktor kewangan mengatasi faktor-faktor yang lain untuk menjayakan keinginan memijakkan kaki ke Tanah Suci. Ada benarnya juga apabila kita memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 untuk cita-cita suci ini. Jadi, bermulalah dari awalan untuk menabung. Lakukan tabungan dari sumber yang halal dan diberkati Allah s.w.t..

Menabung pula perlu kepada keinginan, semangat, kesabaran dan disiplin yang tinggi. Ya, kerana kita perlu menahan banyak godaan nafsu dalam tempoh berjimat-cermat. Kita terpaksa memujuk nafsu yang sentiasa lemah untuk istiqamah dalam menabung, sekurang-kurangnya membuat potongan 1% sahaja daripada pendapatan pada setiap bulan selama mana impian untuk menunaikan ibadat Haji belum tercapai.

Bayangkan jika kita bergaji RM3,000 sebulan, hanya RM30 sahaja yang dipotong untuk simpanan ibadat Haji. Sangat kecil bukan?…jika nilai ini dibandingkan dengan potongan-potongan tuntutan yang lain. Sebaiknya juga kita membuat potongan tambahan sebanyak 5% bagi tabungan tersebut pada setiap kali kita mendapat rezeki runtuh seperti dari hasilan elaun, bonus, duit raya, pendapatan sampingan dan sebagainya.

InsyaAllah jika kita komited dengan tabungan ini tanpa ‘mengganggunya’, melainkan sudah terdesak – mungkin sehingga 10 tahun mahupun lebih – Allah akan memudahkan segalanya dikemudian nanti. Jadikan tabungan yang semakin hari semakin membukit ini, sebagai satu bentuk motivasi dalam mencari kekuatan diri menuju panggilan menjadi Tetamu Allah pada bila-bila masa sahaja. Kepuasan akan lebih dirasai sekiranya kita pergi ke Tanah Suci dengan hasil titik peluh sendiri.

Tabungan awalan ini juga secara tidak langsung akan membantu meringankan beban kita untuk menuju ke Tanah Suci, apabila seringkalinya kos yang terpaksa ditanggung oleh setiap jemaah Haji seringkalinya akan bertambah dari tahun ke tahun.

Menabung

Menabung sebenarnya perlu bermula dari awalan lagi, amat baik jika dimulakan seawal kelahiran bayi. Jika kita sudah mempunyai anak, bantulah mereka untuk menabung seawal usia. Bayangkan jika kita hanya menabung RM10 sebulan usai kelahiran setiap anak, ditambah pula dengan rezeki mereka dari sumber kewangan lain seperti ‘duit raya’ dan sebagainya, insyaAllah pada usia 12 tahun nanti mereka telah mampu untuk mendaftar Haji di Tabung Haji.

Kala ini tabungan bolehlah ditambah lagi, mungkin menjadi RM20 sebulan disamping sumber kewangan lain, sehinggalah mereka telah mempunyai pendapatan sendiri. Tentunya tabungan ini akan ditambah dari semasa ke semasa oleh empunya diri pula.

Anak-anak yang dibantu untuk menabung akan lebih menghormati duit tabungan mereka, disamping ibubapa secara jelas memberitahu kenapa tabungan perlu dibuat pada setiap masa. Apabila mereka sudah mempunyai pendapatan sendiri, maka mudahlah untuk mencukupkan jumlah perbelanjaan bagi mengerjakan ibadah Haji. InsyaAllah setiap ibubapa perlu membuat perancangan awal untuk membantu anak-anak mengerjakan ibadah Haji sebelum umur mereka mencapai 40 tahun.

Tabiat menabung ini juga bukan sekadar kerana mahu mengerjakan ibadah Haji, tetapi dalam masa yang sama turut mendidik kita untuk belajar menguruskan kewangan secara lebih berhemah. Ia membantu kita untuk belajar berjimat-cermat, secara tidak langsung menjauhkan diri dari sifat boros.

Jangan Bertangguh

Apabila segala-galanya bagaikan sudah sempurna disediakan terutamanya dari sudut kewangan dan ilmu, maka jangan pula bertangguh-tangguh untuk mengerjakan ibadah Haji. Jangan pula kita merasa ragu-ragu apabila sudah sampai serunya. Jika sudah terbuka peluang, jangan sesekali melepaskannnya. Rebutlah peluang keemasan ini, lupakan segala tuntutan dunia yang tiada pengakhirannya. Bukakan pintu hati seluasnya untuk menyahut seruan panggilan daripada Allah s.w.t. yang telah memilih kita sebagai tetamunya yang dirahmati.

Umumnya jemaah Haji dari Malaysia terdiri daripada warga yang sudahpun berusia lanjut, mungkin juga kerana kefahaman untuk berawalan ke Tanah Suci belum lagi memikat orang muda kita. Biasanya ibadah Haji diprioritikan selepas tempoh bersara, juga kepada warga emas yang telah tiada komitmen penting dalam kehidupan semasa. Apabila keadaan ini berlaku, sebenarnya banyak masalah yang akan timbul ketika kita menjalani ritual Haji.

Masalah utama tentunya melibatkan tahap kesihatan jemaah Haji yang telah berusia lanjut. Mungkin ada ritual Haji yang hanya akan diwakilkan kepada orang lain, terutamanya ketika ibadat Melontar. Perkara sebegini sememangnya dibolehkan, tetapi kepuasan melaksanakannya sendiri jauh lebih terkesan.

Akhirnya, kepada sahabat yang belum berkesempatan menunaikan ibadat Haji, berdoalah sentiasa agar diberi kemampuan secukupnya pada usia muda untuk diseru menjadi Tetamu Allah. Keinginan yang bersungguh-sungguh insyaAllah akan dikabulkan Allah s.w.t., doakan juga buat ibubapa kita yang belum lagi berkesempatan ke Tanah Suci agar dipermudahkan segala urusannya.

Kepada sahabat yang belum mendaftar di Tabung Haji, carilah kesempatan untuk pergi mendaftar dalam masa terdekat ini sebagai satu tanda kesungguhan kita dalam menyahut seruanNya. Jika sudah mendaftar, carilah peluang untuk mengawalkan lagi pemergiannya. Jangan tunggu sehingga tiba giliran kita yang sebenarnya, tetapi berusahalah dengan apa cara sekalipun untuk pergi ke Tanah Suci dalam tempoh masa terdekat.

Jangan sesekali kita lalai dalam menyediakan kemampuan untuk menunaikan ibadat Haji,  kerana ia adalah tuntutan Ilahi. Merancanglah yang terbaik pada usia yang terbaik, insyaAllah ada keajaibannya.

11.50pm

One Response

  1. Tentunya dengan keterbukaan kita pada teman, barangkali akan membuat perjalanan haji sebagai perjalanan ibadah dan juga berbulan madu ke Arabia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: