• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2012
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

NIK

Salam Ukhuwah…

Nama saya, Nik Amalina. Ayahanda saya, Nik Abdul Aziz. Datuk saya, Raja Mohamad @ Nik Mat. Datuk kepada ayah saya, Raja Banjar. Seterusnya Raja Mamat bin Raja Mohamad bin Raja Kecik. Ada lagi…tapi cukuplah saya tulis sehingga tujuh keturunan.

Bonda saya, Tuan Sabariah. Datuk saya, Tuan Ishak. Datuk kepada bonda saya, Raja Awang. Seterusnya Raja Senik bin Raja Mamat. Setakat ini sahaja yang saya tahu.

Berdasarkan susur galur keturunan tersebut, ayahanda dan bonda saya sememangnya berketurunan raja. Maka yang demikian, saya dan adik-beradik seramai sepuluh orang meneruskan penamaan keturunan dengan menggunakan gelaran sebelah ayahanda, Nik.

Sehinggalah tiba giliran saya mendirikan rumahtangga, jodoh saya tidak berketurunan raja. Tetapi kerana sayangkan gelaran Nik, maka saya namakan anak-anak saya dengan meletakkan gelaran Nik di hadapan nama mereka, dengan persetujuan suami, juga tiada masalah semasa pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimana jika saya ditakdirkan mengandung lagi selepas ini? Jenuhlah saya nampaknya mahu menerangkan kepada anakanda seterusnya yang tidak lagi ber‘Nik’ di pangkal namanya. Inilah arahan terbaru JPN, yang telah tidak membenarkan penamaan anak-anak dengan gelaran ‘Nik’ jika berkahwin dengan suami yang bukan berketurunan raja.

Jika ikutkan salasilah keturunan raja-raja, anak-anak saya tidak lagi berdarah raja kerana ayah mereka tidak berdarah raja.

Sehinggalah pada saatnya nanti, jika anak-anak saya bertemu jodoh dengan lelaki yang berdarah raja, maka cucu-cucu saya kembali berdarah raja. Tetapi jika sebaliknya, keturunan raja milik keluarga saya akan terhapus.

Apakah saya kisah tentang penamaan keturunan ini?

Kisah juga, tetapi tidaklah keterlaluan melebih-lebihkannya. Sekadar ingin turut serta dalam menjaga susur galur keturunan, sekurang-kurangnya saya tahu dari mana saya berasal, siapa nenek moyang saya, bagaimana keturunan saya terdidik, dan banyak lagilah untuk saya warisi pula kepada anak cucu cicit saya selepas ini. Semoga mereka pula akan terusan menjaga nama baik keluarga besar kami, insyaAllah.

Sama Rata

Namun, tentunya jauh sekali untuk saya mendabik dada dengan gelaran tersebut. Mana-mana penamaan keturunan pun bukanlah bermaksud seseorang itu lebih baik berbanding si penama yang tidak bergelar.

Disisi Allah s.w.t. langsung tidak dikira siapa kita, tidak dinilai dari harta kekayaan yang bertimbun, malah apa jua darjat yang disandang di dunia ini, semuanya dilihat sama rata daripada pandanganNya. Tidak ada keistimewaan kepada mana-mana hambaNya, melainkan  ukuran dinilai pada tahap keimanan dan ketaqwaan setiap daripada kita. Bekalan amal ibadat inilah yang perlu kita semua titik beratkan, baikpulih ia setiap waktu semoga ia menjadi pendinding diri dari azab neraka jahanam.

Walau bagaimanapun, menjaga keturunan itu adalah perlu kerana ia suatu bentuk kemuliaan yang diberikan kepada nasab setiap manusia. Kerana itulah Islam menganjurkan sebuah perkawinan, menghalalkan perhubungan yang haram antara lelaki dengan perempuan. Tentunya ia mencegah manusia daripada melakukan penzinaan, yang hanya akan merosakkan keturunan manusia.

Perkahwinan akan melahirkan zuriat yang bernasab, seterusnya mewujudkan susur galur sebuah keturunan yang akhirnya akan membentuk sebuah masyarakat yang sempurna.

Apapun nasab keturunan kita, yang penting kita sentiasa berusaha untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Bahagia di dunia, sejahtera di akhirat, insyaAllah!

7.16pm

Advertisements

Murtad

Salam Ukhuwah…

Saya telah menerima satu persoalan daripada seorang pengunjung di sini berkaitan isu murtad. Paling meluluhkan hati apabila ahli keluarganya yang terdekat telah murtad apabila berkahwin dengan non-muslim.

Walaubagaimanapun, sebagai menghormati permintaannya untuk tidak menyiarkan ceritanya di sini, saya sekadar ingin menulis tentang isu murtad yang kelihatannya telah menghantui masyarakat kita hari ini.

 

Murtad – satu perkataan yang boleh digambarkan sebagai satu ‘jenayah paling kejam’ telah dilakukan oleh seseorang yang bergelar Muslim – bukan sekadar kejam buat dirinya sahaja, tetapi telah meluluhkan hati-hati Muslim yang lain, jua menodai kesucian martabat Islam yang agung.

Tidak kira di mana saja seseorang Muslim itu berada, murtad merupakan salah laku yang paling zalim terhadap diri pelakunya sendiri. Tiada tempatnya disisi Allah s.w.t., melainkan neraka jahanam sahaja yang sudi menerimanya untuk menambahkan lagi kejahanamannya sepuas-puasnya.

Jenayah murtad yang membawa kekufuran kepada seseorang Muslim, boleh sahaja berlaku kerana iktikad di dalam hati, pengucapan dan juga amalan yang dilakukannya. Jenayah ini jelas termaktub bahawa tiada keampunannya disisi Allah s.w.t., melainkan si pelakunya itu bertaubat nasuha.

Islam sangat bertegas didalam perihal murtad ini, sehingga Muslim yang murtad boleh mengakibatkan mereka ditegah daripada menggunakan hartanya sendiri (melainkan keperluan mendesak), tidak boleh mewarisi sebarang harta pusaka dan terputus ikatan perkahwinannya.

Samada kita ambil peduli mahupun tidak, kita telah diberi maklum bahawa lewat waktu kebelakangan ini negara kita sering saja diberitakan dengan pelbagai kes murtad. Betapa kebenarannya adalah, gejala murtad makin menular di dalam negara kita, Malaysia. Ia merupakan ancaman baru kepada Muslim di negara ini, terutamanya kepada golongan remaja yang kelihatan mudah benar terpengaruh dengan apa jua keseronokan yang ditaja oleh pihak-pihak yang sebenarnya mahu mengikiskan syiar Islam di bumi Malaysia ini.

Media massa turut melaporkan bahawa satu kajian yang telah dilaksanakan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Ummat (Himpun) menyatakan bahawa ramai remaja kita telah murtad hasil perkenalan di laman sosial Facebook. Sungguh mudah!

Lihatlah, betapa gejala ini makin meruncing!

Siapa yang sebenarnya bersalah?

Rapuhnya Iman

Umumnya, pernyataan-pernyataan sebegini telah menggambarkan keadaan sebenar betapa rapuhnya iman masyarakat Muslim pada hari ini. Kelihatan Islam begitu mudah diperkotak-katikkan, secara langsung memberi imej yang tercalar kepada masyarakat Muslim di negara ini.

Antara faktor utama gejala murtad ini makin berleluasa adalah kerana kelemahan institusi kekeluargaan itu sendiri. Kita dapat lihat secara jelas bahawa masyarakat Islam di negara ini makin ramai meminggirkan agama dalam kehidupan harian mereka. Kita boleh rujuk kepada keluarga kita sendiri, lihat juga kepada masyarakat di kejiranan setempat, ambil kira sekali penonjolan secara terbuka corak kehidupan selebriti, dan tidak lupa juga kepada para pemimpin utama negara.

Jika personaliti ikutan seperti para pemimpin utama, artis mahupun selebriti, mempamerkan gaya hidup yang tersasar jauh dari landasan Islam, tentunya perlakuan ini boleh membawa pengaruh yang besar kepada ahli masyarakat. Secara tidak langsung semakin besarlah kerosakan yang akan dialami oleh masyarakat di luar sana, kerana mereka sudah seronok dan merasakan bahawa perlakuan sebegitu boleh dianggap betul dan benar belaka.

Tebaran majalah yang berkonsepkan hiburan, secara terusan mengagungkan kehebatan budaya barat juga merupakan pengaruh besar kepada minda anak-anak kita hari ini. Seolah-olah tiada sebarang tapisan kepada majalah-majalah ini, yang bebas mempromosi dan mengeksploitasi sepenuhnya minda anak-anak kita untuk terusan hidup dalam dunia khayalan. Sudah tentunya ia dirancang rapi dan tersusun halus untuk merosakkan minda, seterusnya memesong akidah anak-anak ini kepada keperluan hidup beragama.

Budaya berhibur ini bukan hanya mengundang gejala sosial yang makin parah, tetapi akidah Muslim sudah melayang-layang entah ke mana. Seolah-olah masyarakat Muslim di negara kita ini mula berkembang biak dengan memilih jalan hidup yang jauh terpesong dari landasan Islam. Bukan secara tersembunyi lagi tetapi semakin berani menonjolkan kefahaman kebebasan yang mereka anuti, seolah-olah apa yang mereka lakukan langsung tidak menggugat kesucian Islam.

Mereka galak membawa budaya barat ke dalam kehidupan mereka, tetapi masih akui tentang kesucian Islam. Sangat meluat! Lebih menyedihkan apabila setiap aktiviti maksiat yang dijalankan mendapat sokongan terbuka oleh para pimpinan atasan negara ini.

Masyarakat yang terbina dari jiwa-jiwa yang rapuh imannya hanya akan mengundang bahaya kepada setiap ahlinya. Kerapuhan persaudaraan berteraskan agama boleh mengundang pelbagai gejala buruk keatas setiap individu. Antaranya, fenomena melihat anak-anak melayu kita yang berusia seawal belasan tahun, telah mula bekerja sebagai GRO untuk menampung perbelanjaan, terutamanya bagi memiliki barangan mewah seperti gajet terkini, pakaian berjenama dan bersukaria. Bukan menjadi pemandangan pelik lagi anak-anak ini dikepit warga asing di bandar-bandar besar.

Jelas bukan? Mereka telah menolak mentah-mentah kehidupan sebagai seorang Muslim, sebagaimana ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran. Kita sendiri merasa ragu apa sebenarnya identiti yang jelas kepada ummat Islam hari ini? Faktor kejahilan inilah yang memudahkan lagi mereka terjebak dengan gejala murtad.

Kita sebagai masyarakat Muslim yang mendominasi rakyat negara ini, sangat benar mahu melihat gejala sebegini ditangani, malah dihapuskan, dengan tindakan-tindakan yang sewajarnya oleh pihak-pihak yang berkuasa.

Generasi Baru

Nipisnya kefahaman tentang Islam menyebabkan anak-anak muda kita hari ini terutamanya, makin tidak faham apa sebenarnya ajaran mulia yang dibawa oleh agamanya sendiri. Mereka seolah-olah bingung tentang agama bilamana terlalu berleluasa dan beraninya pihak-pihak tertentu memanipulasi minda generasi baru hari ini.

Minda yang telah dijajah ini menjadikan mereka makin jahil tentang hukum hakam Islam. Mereka sendiri tidak faham tentang kesucian agama yang mereka anuti, malah tidak merasa sebarang kepentingan kepada agama yang mereka anuti selama ini. Mereka tidak kenal Allah, tiada kasih sayang untukNya, malah mungkin tidak pernah ‘berurusan’ pun dengan Allah selama mana mereka hidup selama ini.

Ini bukan cerita rekaan, tetapi kajian telah dilakukan ke atas para pelajar menengah tentang sejauh mana pengetahuan mereka berkaitan agama, jawapannya amat menyedihkan sekali. Berapa ramai sebenarnya anak-anak kita yang telahpun akil baligh menunaikan solat Subuh pada setiap hari? Jawapannya mungkin 1/10, malah mungkin lebih sedikit dari itu.

Tiada amalan mahupun praktikal yang ditonjolkan oleh ibubapa mungkin antara penyebab kenapa generasi hari ini makin jauh dari landasan hidup beragama. Jati diri mereka makin hilang ditolak arus deras kehidupan penuh bermaksiat hari ini.

Oleh yang demikian, bagi memastikan anak-anak kita tidak mudah terpesong langkah hidupnya, maka sebagai ibubapa seharusnya mendahulukan didikan yang berteraskan agama kepada anak-anak ini. Mantapkan pengetahuan mereka mengenai kewajipan beriman kepada Allah s.w.t., mudah-mudahan mereka akan sentiasa cintakan Islam sebagai agama hingga ke penghujung nyawa, insyaAllah.

Redha Allah

Tidakkah kita mencari redha Allah dalam kehidupan ini? Mudah-mudahan kita sentiasa hidup dengan berpaksikan landasan agama.

Kita semua haruslah bersatu hati dalam mempertahankan aqidah sesama Muslim. Tunjukkan contoh teladan yang terbaik, mudah-mudahan ia akan menjadi ikutan kepada semua yang memandang, terutamanya buat anak-anak yang menjadi pengikut utama kita dalam mereka memulakan kehidupan bermasyarakat di luar sana.

Setiap Muslim harus merasa bangga dengan Islam, kerana sama sekali kita tidak akan pernah mundur. Al-Quran itu diturunkan untuk kesesuaian semua zaman, yang penting kita mempelajari dan mengamalkan segala apa yang terkandung di dalamnya. Mudah-mudahan kita sentiasa dihidayahkan Allah s.w.t. sepanjang kehidupan ini.

Islam itu indah dan mengasyikkan sekiranya difahami keseluruhannya oleh setiap Muslim. Setiap amalan baik kita di muka bumi ini bukan sekadar ikut-ikutan, tetapi ia dipandang Allah s.w.t. untuk diberi balasan baik, insyaAllah syurgalah tempatnya.

6.55pm

Best ke kahwin?

Jom santai…

Salam Ukhuwah…

Selalu juga kita dengar ada orang tanya kepada pengantin baru, “best ke kahwin?”

“Bukannya best sangat pun…”

Ada juga pengantin yang jawab macam ni…kenapa ya?

Kata mereka, bila dah kahwin ni hidup macam dah tak boleh control sendiri lagi…ada banyak peraturan baru yang nak kena ikut, hatta masuk bilik air pun kena ikut giliran! Kan kalau tinggal kat rumah bujang sorang-sorang macam dulu, suka hati la nak masuk ‘bilik rehat’ tu time mana pun. Pulak tu nak berangan lebih sikit kat dalam tu pun ok apa… Tapi sekarang ni kalau terlebih berangan sikit ada pulak yang bunyi, “Yang, cepat sikit boleh tak…?” Nasib baik ada ‘sayang’ lagi tu…bolehlah melangkah keluar dengan penuh senyuman. Dalam hati…?!

Itu satu bab, lain-lain bab pun semuanya nak kena bertolak-ansur. Nak kena jaga hati pasanganlah, tak boleh marah-marahlah…, karang ada yang merajuk kita jugak yang susah-susah nak kena pujuk. Tak ke menyusahkan tu…?

Masuk perihal makan minum pula, menu dah mula bertukar. Kalau dapat pasangan yang jenis jaga makan, bermakna kita tak boleh makan sebarangan. Katanya, “kita makan bukan sekadar nak kenyang, tapi kita makan untuk sihat tubuh badan” Jadi, tak bolehlah asyik nak ikut nafsu makan saja. Bukan langsung tak boleh makan apa yang kita suka, tapi kena ada masa tertentu dan ketikanya sahaja. Makan pun ada disiplin?

Bukan setakat menu makan saja yang berubah, tempat makan pun ada undang-undang! Kena makan kat ruang makan, jangan sesekali nak buat sepah kat depan tv! Kesiankan kalau kita ni jenis hantu tv. Si dia benarkan aja makan depan tv tu, tapi syaratnya: kemas sendiri! Buat apa kahwin kalau kena buat kerja sendirikan? Kata suami isteri nak kena tolong-menolong! Boleh?

Itu kalau makan kat rumah, kalau makan kat luar pun banyak syarat. Tak nak makanlah kat kedai tu… kotorlah, orang ramai sangatlah, makanan tak sedaplah…macam-macam alasan si dia bagi. Kan senang kalau bujang. Rasa nak makan je, singgah je mana-mana kedai. Janji ada duit, insyaAllah kenyang la perut ni.

Akaun pun asyik kurang je sekarang ni. Mana tak kurangnya kalau dah hidup berdua, dulu maggie satu bungkus je, sekarang dah jadi dua bungkus. Lepas kahwin pun makan maggie? Ni la makanan ruji kami diakhir bulan…pengantin barulah katakan…tak nyempat nak kaya lagi.

Kalau bab pakai-memakai pula, si dia ni berkira sikit. Bukan berkira pasal jenama, tapi kena kemas! Bukan setakat baju beriron, tapi pastikan satu line saja ‘tulangnya’. Dari bujang bermoto ‘asal pakai baju’, sekarang ni dah pusing 360 darjah! Kawan-kawan tengok pun hairan, siap perli-perli lagi yang kita ni dah kena control habis-habisan. Ada aku kesah? Diaorang sebenarnya dengki la tu…

Kalau dapat pasangan yang lebih baik daripada diri sendiri, tentunya soal agama sangat la dititik beratkan. Dah tentu-tentunya waktu solat pun sangatlah terjaga. Usahkan nak ponteng, solat lambat-lambat sikit pun dah nak kena tegur lagi. Susahnya nak berubah!

Takkanlah kahwin ni langsung tak de yang best…?

Ok, begini jawabnya…

Samada kita berkahwin dengan pilihan sendiri mahupun diatur oleh orang tua, sebenarnya perkahwinan itu merupakan satu sesi ta’aruf yang panjang antara dua individu yang berlainan latar belakang. Kalau sebelum kahwin kita sudah mengenali si dia terlebih dahulu, itu hanyalah 20% dari sisi hidupnya yang kita kenali. Apatah lagi jika kita merupakan pengantin yang ‘menurut perintah’, tentunya tidak sampai 5% kita bermaklumat mengenai si dia.

Tapi percayalah, bila dah lama-lama kahwin, baru kita perasan yang hidup ni dah ada la disiplin sikit-sikit. Baru kita mampu cakap, “nasib baik kahwin…”. Tapi bukan sekadar kahwin saja, yang lebih penting kita kahwin dengan pasangan yang ada iman. InsyaAllah segalanya akan menjadi bertambah baik.

Jasa si dia yang dok ‘control’ menjadikan hidup kita ni makin lebih bermakna jadinya. Solat terjaga, Quran selalu dibaca, kalau berpuasa pun ada sahurnya. Tak ke makin bagus tu? Nak dibandingkan dulu-dulu, tentunya dah jauh kita berubah. Alhamdulillah!

Sejak awalan kahwin dulu si dia dah bagitau, kerja rumah sama-sama buat ok! Sama-sama keluar cari rezeki untuk keluarga, maka balik rumah kena la sama-sama menjaga keharmonian rumahtangga. Suka tak suka terpaksa rela la buat. Tapi best juga buat kerja rumah sama-sama ni, boleh mengeratkan kasih sayang. Tak percaya? Try la buat. Si dia basuh baju, kita basuh kereta. Si dia gosok baju, kita lap kasut. Si dia lipat kain baju, kita tolong kemas surat khabar yang bersepah tu. Tak ke mudah tu? Buat kerja sama-sama, rehat pun sama-sama. Berbaloi!

Pulak tu sentiasa ada si dia yang menemani disisi. Rasa tenang saja hati ni. Nak pergi ke mana-mana pun dah ada teman, tak payah fikir-fikir lagi nak ajak sapa. Ke mana-mana pun berdua. Tak kesahlah apa orang lain nak komen, janji tiap-tiap hari dia la yang nak kita pandang, tak jemu ok. Halal!

Sakit demam sikit-sikit pun boleh sembuh dengan adanya belaian daripada si dia. Rasa macam tak apalah kalau demam banyak hari pun, masa ni la kalau nak dapat layanan lebih. Macam raja! Kalau tak kahwin mana ada orang nak belai-belai ni kan…mak tengok pun buat dekkk je.

Lagi satu, si dia bukan kaki shopping yang tak hengat dunia. Selalu beringat perihal kewangan, bukan kedekut tetapi berjimat-cermat. Bukan asyik nakkan barangan berjenama saja, yang sedang-sedang pun ok. Si dia memang seorang yang tak berkira, tak cerewet, janji ianya satu keperluan dan berkualiti, maka kami pun beli. Nasib baik lagi! Katanya, susah senang kita tanggung bersama. Alhamdulillah!

Si dia juga seorang yang selamba, jauh sekali nak cemburu tak tentu pasal. Dia tak kesah pun kalau puji orang lain, siap dia pula yang menambah-nambah pujian tu. Tapi kita je yang rasa hangin semacam kalau dia dok cerita orang tu baiklah, itulah, inilah. Tak cukup lagi ke baiknya kita ni…? Sebenarnya, tahu sangat dia nak balas dendam la tu…berseni la sangat…

Kesimpulannya, aku bersyukur sangat-sangat kepada Allah s.w.t. yang telah menjodohkan aku dengannya.

Best ke kahwin?”

Fikirlah sendiri!

12.11pm

Amalina

Salam Ukhuwah…

Saya tumpang publisiti meluas seminggu yang lalu tentang nama yang satu ini…

Nama yang turut menjemput saya untuk cuba menulis artikel tentang sebuah nama. Satu nama yang mungkin menjadi carian terbanyak  – barangkali – kepada Encik Google seminggu yang lalu, sehingga ia tempias kepada hit blog saya berkali ganda. Gandaannya amat besar sekali!

Nampaknya saya turut menjadi ‘mangsa’, tetapi mangsa yang mendapat kebaikan barangkali. Inilah hebatnya penangan pada sebuah nama…mungkin jawapan kepada persoalan, ‘apa ada pada nama’?

Apabila keadaan sebegini berlaku, terlintas di fikiran, sebenarnya dalam dunia ni berapa banyak nama yang sama dengan kita?

Pastinya ibubapa yang memberi nama kepada anak-anak mahukan nama-nama yang indah buat anak-anak mereka. Bagi setiap Muslim pula, bukan sekadar indah pada sebutannya, tetapi cantik maksudnya. Mudah-mudahan anak-anak ini akan membesar seiring dengan kehebatan nama yang mereka bawa. InsyaAllah sejuklah hati ibubapa yang membesar dan mendidik setiap anak-anak ini.

Adakalanya ada juga individu yang percaya bahawa nama-nama tertentu boleh membawa tuah kepada mereka. Kebiasaannya kepercayaan ini ‘dianuti’ oleh segelintir artis yang suka benar menukar nama-nama mereka kearah gelaran yang lebih kedengaran glamour – mungkin – tetapi bagi kita yang mendengarnya, malah kadang-kadang sukar untuk menyebutnya – apakah nama-nama ini membawa erti kepada status mereka sebagai seorang Muslim?

Walau apa jua nama yang diberikan, pastinya kita tidak boleh lari daripada menjadi hamba kepada Allah s.w.t..

Adakalanya nama kita tidak membawa erti kepada sesiapapun, tetapi mungkin pada suatu ketikanya nanti ia akan menjadi sebutan ramai kerana pencapaian, mahupun kejatuhan seseorang. Jika ia menjadi sebutan kerana pencapaian yang hebat, Alhamdulillah! Namun, buruknya nama kita apabila ia hanya menjadi bahan cemuhan kerana kelalaian sendiri.

Syariat Allah

Jangan keterlaluan mendabik dada andai nama kita sedang disanjung-sanjung, apatah lagi sehingga lupa kepada syariat Allah s.w.t.. Tetapi ambillah peluang tersebut untuk melebar luaskan lagi pengaruh kebaikan kepada masyarakat sekeliling, pedulikan juga kepada sensitivi sebagai seorang Muslim.

Tindakan-tindakan yang keterlaluan dan kelihatan melampaui batas sebagai seorang Muslim, sebenarnya seolah-olah kita sedang memperkecilkan kehebatan Allah s.w.t.. Usah diberi pelbagai alasan yang kelihatannya baik semata-mata untuk menutup kelemahan diri, tetapi sebenarnya sungguh mengaibkan. Jangan dikata boleh kepada perkara yang tidak boleh, jangan dikata halal kepada perkara yang haram.

Datangkan simpati kepada diri sendiri apabila kita mula terpesong arah dari jalan kebenaran, yakni jalan Islam. Usah terbang dengan keseronokan dunia yang tiada sempadannya, tapi fikirkan dimana kesudahannya kita di akhirat kelak.

Jika kita masih diusia muda, inilah masanya yang terbaik untuk memburu keredhaan Allah s.w.t. sehingga ke penghujungnya. Jika kita sedang meniti usia senja, pergunakanlah sebaiknya hayat yang berbaki untuk mencari keampunan Ilahi diatas segala kedhaifan  sebagai hambaNya selama ini.

Jangan tunggu sehingga tersungkur barulah mahu rukuk sujud kepadaNya, itupun dikira bernasib baik kerana masih ada ruang waktu untuk bertaubat. Cuba bayangkan pula bagaimana jika kita mati dalam kemaksiatan? Bukan orang lain yang rugi, tetapi diri sendiri yang akan menanggung beban azab Allah s.w.t. di akhirat kelak.

Apa yang pasti, siapapun nama kita bukanlah satu isu besar jika tahu membawa diri. Pentingnya kita tahu peranan sebenar sebagai hamba Allah s.w.t. untuk sentiasa taat kepada setiap perintahNya.

Bersama kita berusaha untuk sentiasa memperbaiki diri, ini semua adalah untuk bekalan akhirat yang kekal abadi. Setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan ini jadikan ia sebagai suatu ibadat yang ikhlas lillahita’ala. Jangan ambil mudah setiap langkah kita di dunia ini, kerana setiap yang berlaku ada natijahnya kelak.

Belajarlah untuk menghormati hukum-hakam yang telah disyariatkan Allah s.w.t.. dalam kita meneruskan langkah di bumi tuhan ini. Disiplinkan diri dalam menuju redha Ilahi. Jangan jadikan Islam sekadar pada nama, tetapi jadikanlah Islam sebagai jalan menuju kecemerlangan dalam kehidupan.

10.35am