• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2012
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

Murtad

Salam Ukhuwah…

Saya telah menerima satu persoalan daripada seorang pengunjung di sini berkaitan isu murtad. Paling meluluhkan hati apabila ahli keluarganya yang terdekat telah murtad apabila berkahwin dengan non-muslim.

Walaubagaimanapun, sebagai menghormati permintaannya untuk tidak menyiarkan ceritanya di sini, saya sekadar ingin menulis tentang isu murtad yang kelihatannya telah menghantui masyarakat kita hari ini.

 

Murtad – satu perkataan yang boleh digambarkan sebagai satu ‘jenayah paling kejam’ telah dilakukan oleh seseorang yang bergelar Muslim – bukan sekadar kejam buat dirinya sahaja, tetapi telah meluluhkan hati-hati Muslim yang lain, jua menodai kesucian martabat Islam yang agung.

Tidak kira di mana saja seseorang Muslim itu berada, murtad merupakan salah laku yang paling zalim terhadap diri pelakunya sendiri. Tiada tempatnya disisi Allah s.w.t., melainkan neraka jahanam sahaja yang sudi menerimanya untuk menambahkan lagi kejahanamannya sepuas-puasnya.

Jenayah murtad yang membawa kekufuran kepada seseorang Muslim, boleh sahaja berlaku kerana iktikad di dalam hati, pengucapan dan juga amalan yang dilakukannya. Jenayah ini jelas termaktub bahawa tiada keampunannya disisi Allah s.w.t., melainkan si pelakunya itu bertaubat nasuha.

Islam sangat bertegas didalam perihal murtad ini, sehingga Muslim yang murtad boleh mengakibatkan mereka ditegah daripada menggunakan hartanya sendiri (melainkan keperluan mendesak), tidak boleh mewarisi sebarang harta pusaka dan terputus ikatan perkahwinannya.

Samada kita ambil peduli mahupun tidak, kita telah diberi maklum bahawa lewat waktu kebelakangan ini negara kita sering saja diberitakan dengan pelbagai kes murtad. Betapa kebenarannya adalah, gejala murtad makin menular di dalam negara kita, Malaysia. Ia merupakan ancaman baru kepada Muslim di negara ini, terutamanya kepada golongan remaja yang kelihatan mudah benar terpengaruh dengan apa jua keseronokan yang ditaja oleh pihak-pihak yang sebenarnya mahu mengikiskan syiar Islam di bumi Malaysia ini.

Media massa turut melaporkan bahawa satu kajian yang telah dilaksanakan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Ummat (Himpun) menyatakan bahawa ramai remaja kita telah murtad hasil perkenalan di laman sosial Facebook. Sungguh mudah!

Lihatlah, betapa gejala ini makin meruncing!

Siapa yang sebenarnya bersalah?

Rapuhnya Iman

Umumnya, pernyataan-pernyataan sebegini telah menggambarkan keadaan sebenar betapa rapuhnya iman masyarakat Muslim pada hari ini. Kelihatan Islam begitu mudah diperkotak-katikkan, secara langsung memberi imej yang tercalar kepada masyarakat Muslim di negara ini.

Antara faktor utama gejala murtad ini makin berleluasa adalah kerana kelemahan institusi kekeluargaan itu sendiri. Kita dapat lihat secara jelas bahawa masyarakat Islam di negara ini makin ramai meminggirkan agama dalam kehidupan harian mereka. Kita boleh rujuk kepada keluarga kita sendiri, lihat juga kepada masyarakat di kejiranan setempat, ambil kira sekali penonjolan secara terbuka corak kehidupan selebriti, dan tidak lupa juga kepada para pemimpin utama negara.

Jika personaliti ikutan seperti para pemimpin utama, artis mahupun selebriti, mempamerkan gaya hidup yang tersasar jauh dari landasan Islam, tentunya perlakuan ini boleh membawa pengaruh yang besar kepada ahli masyarakat. Secara tidak langsung semakin besarlah kerosakan yang akan dialami oleh masyarakat di luar sana, kerana mereka sudah seronok dan merasakan bahawa perlakuan sebegitu boleh dianggap betul dan benar belaka.

Tebaran majalah yang berkonsepkan hiburan, secara terusan mengagungkan kehebatan budaya barat juga merupakan pengaruh besar kepada minda anak-anak kita hari ini. Seolah-olah tiada sebarang tapisan kepada majalah-majalah ini, yang bebas mempromosi dan mengeksploitasi sepenuhnya minda anak-anak kita untuk terusan hidup dalam dunia khayalan. Sudah tentunya ia dirancang rapi dan tersusun halus untuk merosakkan minda, seterusnya memesong akidah anak-anak ini kepada keperluan hidup beragama.

Budaya berhibur ini bukan hanya mengundang gejala sosial yang makin parah, tetapi akidah Muslim sudah melayang-layang entah ke mana. Seolah-olah masyarakat Muslim di negara kita ini mula berkembang biak dengan memilih jalan hidup yang jauh terpesong dari landasan Islam. Bukan secara tersembunyi lagi tetapi semakin berani menonjolkan kefahaman kebebasan yang mereka anuti, seolah-olah apa yang mereka lakukan langsung tidak menggugat kesucian Islam.

Mereka galak membawa budaya barat ke dalam kehidupan mereka, tetapi masih akui tentang kesucian Islam. Sangat meluat! Lebih menyedihkan apabila setiap aktiviti maksiat yang dijalankan mendapat sokongan terbuka oleh para pimpinan atasan negara ini.

Masyarakat yang terbina dari jiwa-jiwa yang rapuh imannya hanya akan mengundang bahaya kepada setiap ahlinya. Kerapuhan persaudaraan berteraskan agama boleh mengundang pelbagai gejala buruk keatas setiap individu. Antaranya, fenomena melihat anak-anak melayu kita yang berusia seawal belasan tahun, telah mula bekerja sebagai GRO untuk menampung perbelanjaan, terutamanya bagi memiliki barangan mewah seperti gajet terkini, pakaian berjenama dan bersukaria. Bukan menjadi pemandangan pelik lagi anak-anak ini dikepit warga asing di bandar-bandar besar.

Jelas bukan? Mereka telah menolak mentah-mentah kehidupan sebagai seorang Muslim, sebagaimana ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran. Kita sendiri merasa ragu apa sebenarnya identiti yang jelas kepada ummat Islam hari ini? Faktor kejahilan inilah yang memudahkan lagi mereka terjebak dengan gejala murtad.

Kita sebagai masyarakat Muslim yang mendominasi rakyat negara ini, sangat benar mahu melihat gejala sebegini ditangani, malah dihapuskan, dengan tindakan-tindakan yang sewajarnya oleh pihak-pihak yang berkuasa.

Generasi Baru

Nipisnya kefahaman tentang Islam menyebabkan anak-anak muda kita hari ini terutamanya, makin tidak faham apa sebenarnya ajaran mulia yang dibawa oleh agamanya sendiri. Mereka seolah-olah bingung tentang agama bilamana terlalu berleluasa dan beraninya pihak-pihak tertentu memanipulasi minda generasi baru hari ini.

Minda yang telah dijajah ini menjadikan mereka makin jahil tentang hukum hakam Islam. Mereka sendiri tidak faham tentang kesucian agama yang mereka anuti, malah tidak merasa sebarang kepentingan kepada agama yang mereka anuti selama ini. Mereka tidak kenal Allah, tiada kasih sayang untukNya, malah mungkin tidak pernah ‘berurusan’ pun dengan Allah selama mana mereka hidup selama ini.

Ini bukan cerita rekaan, tetapi kajian telah dilakukan ke atas para pelajar menengah tentang sejauh mana pengetahuan mereka berkaitan agama, jawapannya amat menyedihkan sekali. Berapa ramai sebenarnya anak-anak kita yang telahpun akil baligh menunaikan solat Subuh pada setiap hari? Jawapannya mungkin 1/10, malah mungkin lebih sedikit dari itu.

Tiada amalan mahupun praktikal yang ditonjolkan oleh ibubapa mungkin antara penyebab kenapa generasi hari ini makin jauh dari landasan hidup beragama. Jati diri mereka makin hilang ditolak arus deras kehidupan penuh bermaksiat hari ini.

Oleh yang demikian, bagi memastikan anak-anak kita tidak mudah terpesong langkah hidupnya, maka sebagai ibubapa seharusnya mendahulukan didikan yang berteraskan agama kepada anak-anak ini. Mantapkan pengetahuan mereka mengenai kewajipan beriman kepada Allah s.w.t., mudah-mudahan mereka akan sentiasa cintakan Islam sebagai agama hingga ke penghujung nyawa, insyaAllah.

Redha Allah

Tidakkah kita mencari redha Allah dalam kehidupan ini? Mudah-mudahan kita sentiasa hidup dengan berpaksikan landasan agama.

Kita semua haruslah bersatu hati dalam mempertahankan aqidah sesama Muslim. Tunjukkan contoh teladan yang terbaik, mudah-mudahan ia akan menjadi ikutan kepada semua yang memandang, terutamanya buat anak-anak yang menjadi pengikut utama kita dalam mereka memulakan kehidupan bermasyarakat di luar sana.

Setiap Muslim harus merasa bangga dengan Islam, kerana sama sekali kita tidak akan pernah mundur. Al-Quran itu diturunkan untuk kesesuaian semua zaman, yang penting kita mempelajari dan mengamalkan segala apa yang terkandung di dalamnya. Mudah-mudahan kita sentiasa dihidayahkan Allah s.w.t. sepanjang kehidupan ini.

Islam itu indah dan mengasyikkan sekiranya difahami keseluruhannya oleh setiap Muslim. Setiap amalan baik kita di muka bumi ini bukan sekadar ikut-ikutan, tetapi ia dipandang Allah s.w.t. untuk diberi balasan baik, insyaAllah syurgalah tempatnya.

6.55pm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: