• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    February 2012
    S M T W T F S
    « Jan   Mar »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    26272829  

Bebas!

Alhamdulillah!

Seolah-olah kami mendapat sebuah kemerdekaan – bebas – selepas sekian lama menunggu keputusannya.

Kami telah melalui sebuah perjalanan yang agak panjang, lebih kurang dua tahun yang lalu. Melalui hari-hari sebagaimana hari-hari yang lain, tetapi mungkin ada sedikit bebanan yang terpaksa ditanggung.

Walaupun melaluinya seperti biasa, hakikatnya kami sedang menunggu sesuatu, keputusan muktamad tentang siasatan keatas kes yang direkacipta oleh segelintir makhluk Allah yang punya hati tidak baik.

Akhirnya, hari yang ditunggu tiba jua. Terima kasih kepada sahabat yang menghubungi kami saat berita utama memaparkan mengenai keputusan tersebut. Suami tentunya terkejut, terus mengkhabarkan kepada saya yang sedang mengajar anak-anak mengaji al-Quran.

Saat itu saya mengharapkan betapa ramai orang yang melihat dan mendengar pengumuman tersebut, bahawa suami saya tidak bersalah. Tidak lama, kami mula menerima respon yang amat baik daripada ramai orang di luar sana. Alhamdulillah, di luar sana masih ramai yang memberi sangka baik kepada kami, malah memberi kata-kata penuh sokongan untuk bekalan hidup pada masa hadapan.

Hati kami tersenyum.

Beremosi

Awalan kes ini dididihkan, ramai kawan jauh mahupun dekat menegah saya daripada turut serta bersuara untuk menyampaikan kebenaran keatas perihal yang sedang terfitnah. Ramai di luar sana yang tidak suka akan penonjolan saya, siapa mereka dalam situasi kami ketika itu?

Ada alasan mereka yang mengatakan saya beremosi, mungkin ya, tetapi saya kira ia emosi yang baik untuk berada teguh di belakang suami yang saya yakin dia berada di pihak yang benar. Saya mahu menjadi isteri yang baik kepada suami ketika mana dia memerlukan sokongan, dan saya tahu saya perlu memberikan sokongan itu bilamana sangat yakin bahawa dia berada di landasan yang tepat.

Sehingga akhirnya tiada pintu rundingan lagi kepada suami saya, hanyalah sebuah keputusan yang wajib dia patuhi, sebagai tanda patuh dan taat kepada sebuah parti yang kami sayangi sepenuh hati.

Saat suami saya meletakkan jawatannya di PMBK, ada sahabat yang menghadiahkan kepada kami sebuah buku ‘La Tahzan – Jangan Bersedih – Don’t be Sad’ karya Dr. ‘Aidh al-Qarni – terima kasih kepada si pemberi. Saya mengambil kesempatan untuk membacanya, sebuah buku yang mampu menenangkan hati yang sedang pasrah lalu menjadi redha. Sebuah buku yang bukan sekadar menjadi sebuah buku bacaan, tetapi ia menambahkan lagi kekuatan iman kita sebagai bekalan hidup pada setiap masa.

Tenang

Mengimbau kenangan tahun-tahun yang merimaskan, kami suami isteri melalui hari-harinya dengan tenang. Kami belajar untuk bertenang sebaik yang boleh, berfikir secara positif bahawa kami tidak perlu takutkan sebarang kemungkinan kerana berkeyakinan tinggi bahawa kami berada di posisi yang betul, dan sesungguhnya kami sentiasa berdoa semoga pengakhiran kami adalah baik-baik belaka.

Bukan kami langsung tidak memikirkannya, ada juga kami berbincang sesama sendiri dan merujuk kepada kedua ibubapa. Itu semua kami lakukan apabila merasakan kes tersebut disenyapkan tanpa sebarang pengetahuan kepada kami.

Namun, seringkalinya kami menumpahkan kerisauan kami kepada Allah s.w.t.. Dia Maha Mengetahui isi hati kami yang sebenar dalam menghadapi situasi yang tidak diingini ini.

Senjata yang sentiasa menjadi milik kita adalah doa! Yakinlah bahawa Allah itu Maha Berkuasa. Doa itulah yang sentiasa menjadikan kita merasa bebas daripada segala bebanan hidup.

Saya sentiasa yakin dan percaya kepada hikmah disebalik setiap kegagalan yang diterima. Walaupun perlu sabar dan terus bersabar, saya percaya sesuatu yang indah akan berlaku jua apabila tiba saatnya nanti.

Saya tidak akan menyentuh hati untuk mempersoalkan kenapa semua ini terjadi? Saya cuba untuk tidak memikirkan sebarang kebarangkalian yang buruk-buruk, kerana saya mahu percaya kepada takdir Allah itu adalah sentiasa terbaik dalam kehidupan ini. Dia yang menjadikan kita, tentunya Dia ada perancangan terbaik disepanjang kehidupan kita ini.

Mungkin hari ini kita tidak suka kepada sesuatu perkara, insyaAllah bukan untuk hari esok.

10.49pm

Advertisements

Syukur

SIARAN MEDIA

 

Bismillahhirrahmanirrahim

Assalamamualaikum dan salam sejahtera

 

Marilah kita semua mengucapkan setinggi syukur kehadrat Ilahi diatas segala nikmat yang telah dicurahkan semenjak dilahirkan ke dunia sehingga ke detik ini. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw yang telah menyempurnakan amanah dalam menyampaikan risalah Islam untuk dinikmati semua makhluk di seluruh alam semesta.

Saya telah dihubungi oleh ramai kawan melalui pelbagai saluran semenjak semalam sebagai respon kepada keputusan yang dibuat oleh Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM. PPO yang mewakili SPRM  bersidang semalam telah membersihkan nama saya daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa semasa berada di PMBK dengan menyatakan kes siasatan telahpun ditutup.

Berita mengenai perkara ini juga telah dilaporkan dalam buletin AWANI dan beberapa portal berita serta blog pada hari ini Jumaat, 24 Februari 2012.

Saya ingin menyatakan setinggi-tinggi syukur kehadrat Allah swt kerana telah membebaskan saya daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa yang disebarkan, seterusnya membersihkan nama saya dari persepsi negatif semenjak kes ini berjalan.

Sememangnya siasatan kes ini memakan masa yang agak panjang, semenjak September 2009 dan melibatkan banyak pihak yang bersangkutan. Alhamdulillah saya sentiasa tenang dalam menempuh dugaan ini. Penantian untuk mendapatkan keputusan kes yang dilihat tergantung sepanjang tahun 2010 dan 2011 mungkin juga kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor politik, terutama musuh PAS, lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum akan datang.

Keputusan kes ini juga memberikan saya ketenangan yang lebih sempurna dalam merancang kehidupan kami sekeluarga dengan lebih baik.

Dikesempatan ini juga saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama ayahanda Tok Guru dan kedua-dua bonda di atas doa berterusan untuk kesejahteraan saya sekeluarga. Tidak lupa kepada kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dan sentiasa yakin bahawa saya di pihak yang benar.

Terima kasih yang teristimewa kepada isteri saya yang tercinta kerana sentiasa berada disisi saya di saat sukar dan memberi sokongan yang bermakna dalam hidup saya.

Akhir sekali, saya mendoakan semoga apa yang berlaku selama ini mampu mematangkan saya dalam menempuh kehidupan pada masa hadapan. Apa yang lebih penting, dengan keputusan terbaru ini ianya secara langsung dapat membunuh segala persepsi negatif hasil dari adu domba dan gelombang fitnah terancang oleh pihak tertentu ke atas saya.

Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan hidayat dan berkat Allah swt jua.

 

Ir Abdul Ariffahmi Bin Ab Rahman

24 Februari 2012

Pulau Melaka

Berfesyen

Salam Ukhuwah…

Tentunya ramai yang akan bersetuju jika saya katakan perempuan sekarang amat sukakan kepada gaya, fesyen dan kecantikan. Sekarang ini dapat kita lihat makin ramai perempuan yang sangat suka berfesyen, malah makin hari makin berani untuk melaram.

Ada juga yang kita lihat perempuan-perempuan yang sangat sukakan berfesyen ini makin tidak realistik dalam fesyen yang dikenakan mereka, bukan lagi berfesyen tetapi melaram yang entah apa-apa.

Bukan kepada perempuan yang berkerjaya sahaja – yang telah mempunyai pendapatan sendiri – tetapi lebih musykil kepada para pelajar yang masih lagi ditanggung perbelanjaan mereka, samada oleh ibubapa mahupun wang pinjaman – kadang-kadang gaya si pelajar ini lagi hebat dibanding wanita berkerjaya dalam berfesyen.

Sesuai ke seorang pelajar berfesyen sehingga melaram? Jawapan saya; Tidak.

Kenapa perempuan sekarang sangat suka berfesyen sehingga melaram? Mungkin juga kerana pendedahan yang lebih meluas dalam pelbagai saluran media betapa banyaknya cara untuk seseorang perempuan itu kelihatan cantik, sehinggalah kepada mereka yang berimej bertudung.

Maka, timbullah pelbagai gaya dan fesyen melanda tanahair. Bukan sekadar cara berpakaian sahaja, tetapi turut merangkumi bagaimana mahu menggayakan tudung. Bermacam-macam nama tudung ada, baik bertudung labuh, tiga segi, berawning, syria, shawl, dan banyak lagilah. Ada yang perlu sarung sahaja, ada yang nak kena pakai brooch, yang susah sikit mungkin yang nak kena belit lilit, dan pelbagai cara tersendiri untuk mengenakan tudung. Jelasnya, mahu cantik! Mudah-mudahan berniat baik untuk menutup aurat lillahita’ala.

Ada juga sesetengah pencinta fesyen ini menjadikan selebriti sebagai idola, lalu mengambil pendekatan untuk menjadi sedemikian rupa, dengan kata yang lebih mudah, menciplak identiti.

Kalau kita perhatikan, memang ramai perempuan hari ini menggayakan fesyen ala-ala artis. Tidak kiralah samada artis itu bertudung atau sebaliknya, ramai dikalangan kita menjadikan mereka sebagai pedoman untuk berfesyen. Sesuaikah sebenarnya?

Peribadi Muslim

Berfesyen tidaklah salah, tetapi meniru gaya orang lain itu kurang tepat, lebih-lebih lagi apabila ianya sangat tidak bersesuaian dengan keperibadian kita sebagai seorang Muslim.  Jika berkenan, tidak salah kita mengambil inspirasi daripadanya, tetapi jangan meniru bulat-bulat. Tidak semua fesyen sesuai dengan kita.

Kesimpulannya, boleh saja jika kita mahu berfesyen, tetapi jangan sehingga merentasi batas syariat. Semoga kepelbagaian dalam berfesyen itu juga mampu menarik minat ramai untuk memahami bahawa Islam itu mudah, tidak hanya statik, tetapi sangat bersesuaian dalam pelbagai suasana, asalkan kena gayanya.

Mahu berfesyen boleh saja, tetapi jangan sehingga melaram yang menjadikannya haram pula. Berfesyen biar ada batasannya, jangan sehingga melanggar syariat Allah s.w.t..

Akhirnya, bukan sahaja berfesyen dalam berpakaian, lebih jauh dari itu, telekung sembahyang juga mula mengalami perubahan ‘identitinya’. Bukan sekadar putih tetapi ada pilihan warna, bukan sekadar berenda dan bersulam nipis, tetapi sarat bersulam berkerawang bermanik, meriah sekali. Beratnya juga bertambah, harap bertambahlah juga khusyuknya…

6.12pm