• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    March 2012
    S M T W T F S
    « Feb   Apr »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    25262728293031

Surirumah

Saya seronok baca kisah puan dah jadi suri rumah sepenuh masa. Saya juga berharap dapat berbuat begitu, tapi keperluan hidup mendesak untuk bekerja. Kerana suami berniaga & pendapatan tidak tetap.

Salam Ukhuwah…

Mendapat komen daripada sahabat baru di blog saya, yang menyatakan betapa seronoknya jika mampu menjadi surirumah sepenuh masa, menghadirkan idea untuk saya bercerita tentang pengalaman sendiri menjadi surirumah. Rasanya tak pernah lagi saya menulis tentang jawatan yang satu ini.

Lama tak lama, sudah tiga tahun lebih saya memegang status surirumah sepenuh masa.

Seronok?

Seronok juga. Bebas.

Seawal pagi tak perlu bergegas untuk ke pejabat – itu termasuklah sesi pemilihan pakaian dan yang seangkatan dengannya. Tiada lagi situasi kalut-kalut nak punch card, sesi menghadap Bos, gosip? Semua tu dah simpan kejap-kejap dalam kamus hidup.

Masa yang dimiliki sendiri lebih dikhususkan untuk keluarga. Pengurusan masa bergantung kepada diri sendiri – masa untuk bersenam, kemas rumah, berkebun, berusrah, bersantai, berblog, memasak, berkasih sayang dengan suami dan anak-anak, keluar jalan-jalan cari makan, bercuti, hatta untuk keluar berbelanja sekalipun kita boleh memilih masa tersendiri – semuanya bergantung sepenuhnya kepada kita untuk memberikan yang terbaik kepada diri sendiri dan orang-orang tersayang.

Tak seronok?

Ada juga. Melayang gaji la tu… 🙂

Tak boleh dah nak sakan-sakan macam dulu, kena lebih berhemah dalam berbelanja.

Positifnya; nafsu nak berlebih-lebih tu dah jauh jatuh menjunam. Elok sangat la tu…

Tapi bukanlah teruk sangatpun, encik suami kan ada… 🙂

Berpengetahuan

Menjadi surirumah juga perlu ada ‘jiwanya’. Bukan semua wanita boleh menjadi surirumah sepenuh masa, yang sebahagian besar waktunya adalah berada di rumah sahaja. Kepada wanita yang telah lama berkerjaya – melebihi 10 tahun – tentunya akan merasa kekok jika tiada lagi rutin bekerja yang telah menjadi ‘kembar’ mereka selama ini. Lebih-lebih lagi apabila berada di rumah sendirian – suami bekerja dan anak-anak semuanya ke sekolah, mahupun tinggal di asrama ataupun sudah tinggal berasingan.

Lainlah surirumah seperti saya, masih lagi mempunyai anak-anak yang perlu diuruskan kehidupannya sejak awalan pagi. Selain menguruskan anak kecil, saya juga berjawatan ‘driver’ dalam menguruskan persekolahan anak-anak yang lain. Pagi, tengahari dan petang – kehidupan saya bukanlah berada di rumah sepenuh masa. Itu belum lagi dicampur dengan pelbagai aktiviti lain yang perlu saya hadirkan diri, terutama program politik dan aktiviti sosial yang lain.

Tetapi seawal tahun 2012 ini saya mula terfikir-fikir untuk kembali bekerja. Bukan bekerja sepenuh masa, tetapi mungkin sekadar part time sahaja. Mungkin juga kerana anak kecil saya sudah mula mencapai usia tiga tahun, sudah boleh ‘berdikari’ seadanya.

Paling penting, kita perlu menjadi surirumah yang berpengetahuan. Akses internet mungkin paling mudah untuk kita mendapat sebarang info dunia luar sana. Bukan sekadar untuk mendapatkan sebarang berita terkini, malah ilmu pengetahuan juga. Ilmu pula bukan sekadar ilmu agama sahaja, tetapi ia turut merangkumi perkongsian cara mendidik anak-anak, boleh menyalin dan mencuba resipi baru, mungkin juga memudahkan urusan lain dengan perkhidmatan online.

Kesimpulannya, pilihan menjadi surirumah juga mempunyai manfaat yang tersendiri. Rutinnya tidaklah membosankan jika kena caranya. Namun, seorang wanita berkerjaya pada hari ini yang mempunyai impian untuk berjawatan surirumah perlu berfikir panjang, berbincang dengan suami dan buatlah keputusan yang terbaik setelah ditimbang taranya.

Mudah-mudahan apa jua yang diputuskan adalah terbaik untuk kesinambungnan kebahagiaan rumahtangga yang dibina. InsyaAllah niat yang baik akan sentiasa dipermudahkan Allah s.w.t.. Tugas kita sebagai hambaNya adalah sentiasa berdoa agar berkesudahan yang baik-baik sahaja.

3.02 pm

p/s: mungkin episod surirumah ni akan bersambung…tengok atas kerajinan surirumah yang sorang ni…

Parti

Salam Ukhuwah…

Bukan parti politik, bukan parti tari-menari, bukan parti karaoke, tetapi parti yang lain dari yang lain. Lebih hebat lagi, masuk secara percuma!

Pagi Jumaat lalu saya hadir dalam satu parti – Abaya Party, bertempat di Dar Nur al-Zahra’, Kota Bharu, anjuran seorang sahabat, Kak Chik – yang merupakan pemilik butik abaya online – Abaya Elegan.

Turut menemani anakanda perempuan kedua saya, yang turut saya pakaikannya dengan jubah hitam cantik. Saya juga memakai jubah hitam, yang mana sebenarnya semua yang hadir diwajibkan memakai jubah mahupun abaya tersendiri.

Tentu semuanya memilih koleksi peribadi yang terbaik, mahu melaram seadanya. Masakan tidak, parti itu tertutup untuk perempuan sahaja. Kelihatan semua yang hadir berwajah ceria semuanya. Alhamdulillah…

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah demonstrasi memakai shaila/ shawl selain dari acara makan-makan yang menghidangkan menu utama mee kari dan berkenal-kenalan sesama sendiri.

Program sebegini cukup baik untuk mengubah definisi ‘parti’.

Sebagai Muslim yang memahami agamanya, sewajarnya apabila mahu menganjurkan sebuah parti hiburan jiwa, haruslah kita halusi terlebih dahulu apa pelaksanaan program yang mahu diadakan. Tentunya acara yang dianjurkan haruslah menjurus kepada suatu kebaikan, malah lebih bermakna jika ia mampu menambahkan ilmu, iman dan taqwa di dada.

Banyak kategori parti yang boleh kita anjurkan. Jika kita berkategori cintakan fesyen, mungkin dilain waktu boleh dianjurkan parti jahitan aksesori pakaian seperti sulaman, kerawang, manik dan banyak lagi yang lain. Mungkin juga kepada yang berbakat senilukis mahupun suka bereksploitasi dengan minda, kita hadirkan sebuah parti relax minda yang mampu menghadirkan rasa damai dengan pameran pelbagai karya di antara satu sama lain.

Tiada yang mustahil jika kita impikan kelainan. Kita lakukannya demi sebuah perubahan ke arah yang lebih baik. Jika hari ini kita mulakan di tempat tertutup, mungkin suatu masa nanti kita melangkah ke khalayak ramai dengan mengadakan sebuah parti hebat di mana-mana dewan utama. InsyaAllah!

12.38pm

IKLAN

Pergi Mekah tempohari banyak sahabat yang mengirim jubah.

Ini merupakan stok terakhir untuk dijual. Kepada sahabat yang berminat boleh bagitahu saya ya…

Al-Aziziah

Salam Ukhuwah…

Al-Aziziah – nama yang diberikan oleh ayahanda saya kepada keluarga besar kami, gabungan nama daripada ayahbonda.

Nama ini mula digunakan sekitar tahun 2004, apabila keluarga besar kami buat pertama kalinya mengadakan Hari Keluarga. Kami beramai-ramai konvoi ke Gunung Stong yang terletak di Hutan Simpan Dabong, Kelantan, untuk berkumpul beramai-ramai mengadakan pelbagai aktiviti sampingan.

Sungguh menyeronokkan apabila keluarga besar kami berkumpul, terutamanya berkesempatan bermain di air terjun Stong yang merupakan tempat kelima dalam kedudukan 10 tempat menarik dan tertinggi dalam ecotourism Malaysia.

Setelah itu, kami sekeluarga memutuskan untuk mengadakan Hari Keluarga yang seterusnya selang beberapa tahun selepas itu. Maka, yang kedua kalinya kami laksanakannya pada tahun 2008, bertempat di Sudara Beach Resort, Bachok, Kelantan.

Tahun 2012 sekali lagi keluarga besar kami yang berjumlah 78 orang berkumpul. Alhamdulillah, saya masih lagi mampu mengingati setiap nama ahli kami sehingga setakat ini.

Hari Keluarga untuk siri ketiga ini kami selesaikannya di Tok Aman Bali Beach Resort, Tok Bali, Kelantan, pada 17-18 Rabiul Akhir 1433/ 10-11 Mac 2012.

Tempat-tempat di sekitar Kelantan menjadi pilihan kami memandangkan majoriti ahli tinggal di negeri ini. Hanya tiga keluarga sahaja yang tinggal di luar Kelantan.

Selain itu kami memilih tempat berkenaan merujuk kepada kemudahan yang disediakan, untuk mengadakan pelbagai program yang melibatkan semua peringkat umur ahli. Kami juga menjurus kepada tempat yang mempunyai reakreasi air, untuk memberi lebih keseronokan kepada setiap ahli. Mudah-mudahan kenangan bersama ini akan meninggalkan sebuah keceriaan yang mendalam kepada semua yang hadir.

Program

Antara program yang dilaksanakan pada Hari Keluarga kali ini adalah kuliah kekeluargaan daripada ayahanda, mengimbau memori daripada kekanda sulong, pemberian sumbangan kewangan kepada para Hafiz/ Hafizah dalam keluarga besar kami, pemberian hadiah kepada ahli yang menyambut ulangtahun perkahwinan pada Mac dan Rabiul Akhir, pemberian hadiah kepada ahli yang menyambut ulangtahun kelahiran pada Mac dan Rabiul Akhir, serta cabutan bertuah.

Selain itu rekreasi air menjadi suatu keseronokan kepada semua ahli. Mudah-mudahan semua program yang dirancang ini mampu memberi manfaat yang besar kepada semua ahli yang hadir.

InsyaAllah, Hari Keluarga ini akan menjadi suatu kelaziman selang beberapa tahun kepada keluarga besar kami. Ia amatlah penting diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim di antara semua ahli. Setiap ahli pula haruslah memandang positif kepada pelaksanaan Hari Keluarga ini, supaya mereka dapat meluangkan masa dan turut serta dalam setiap aktiviti yang dirangkakan.

Sebelum bertolak ke Tok Aman Bali, keluarga besar kami terlebih dahulu merakam gambar rasmi keluarga bertempat di JKR 10 (rumah rasmi Menteri Besar Kelantan). Kami juga sempat bersarapan di sana dengan hidangan ringkas mee goreng dan beberapa jenis kuih tradisional Kelantan.

10.24pm

7

Salam Ukhuwah…

Setahun berlalu, semalam si kembar saya mencecah umur tujuh tahun.

Kali ini kami sekeluarga menyambutnya dengan makan-makan di luar, di tempat pilihan si kembar. Apabila anak-anak sudah membesar, tentunya mereka ada citarasa tersendiri. Saya ikut saja, melayan karenah anak-anak sekadar kemampuan untuk mengembirakan mereka.

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini mereka membesar dalam keadaan sihat walafiat, semoga cemerlanglah kehidupan mereka di dunia dan sejahteralah di akhirat nanti, insyaAllah.

6.57pm