13

Salam Ukhuwwah…

Encik suami tanya; nak celebrate kat mana?

Jawab saya; nasi, ulam, budu, ayam kampung dan sup tulang! Saya memang versi kampung.

Maka…



Tapi sadis la jugak sebab sup tulang tak de…kena celebrate sekali lagi la nampaknya… 🙂

Semoga kami sentiasa diberi kekuatan jiwa dalam mengekalkan kebahagiaan ikatan suci ini yang telah melangkah usia 13 tahun. Semoga ia sentiasa berpanjangan dirahmati olehMu ya Allah…

11.19am

Pakaian

Salam Ukhuwah…

Dua minggu yang lalu saya mula membeli kain-kain untuk dijadikan baju raya anak-anak. Biasanya saya akan membeli-belah di Kamdar, kalau tak ada yang berkenan saya beralih rasa ke Nagoya. Bukan susah sangatpun untuk membuat pilihan kain baju anak-anak ni, rasa cantik dan agak berkualiti, bayar je lah.

Untuk anak-anak tak perlulah sampai nak beli kain RM20/ meter, berpada-padalah, mereka cepat membesar. Biasanya selepas enam bulan, pakaian mereka mula singkat. Selepas setahun, mereka dah mula tak nak pakai.

Tapi terpulanglah kepada pandangan masing-masing. Saya sekadar berkongsi pendapat sahaja. Bukan tidak mahu memberi yang terbaik kepada anak-anak, tetapi ‘ukur baju di badan sendiri’. Jangan sampai membazir semata-mata mahukan yang terbaik.

Selesai membeli, tukang jahit pula tujuannya. Alhamdulillah, urusan yang satu ini telah selesai. Tunggu nak ambil sahaja, janji siap sebelum Ramadhan nanti. InsyaAllah, Ramadhan tidak akan terganggu lagi dengan persiapan hari raya.

Cuba didik diri untuk tidak mengganggu Ramadhan walaupun pada ketika inilah banyaknya pesta membeli-belah. Nak dapatkan feel hari raya? Feel Ramadhan ada tak?

Lagi pula suasana pada penghujung Ramadhan sudah sesak, buang masa sahaja.

Baju Raya

Baju raya memang keutamaan bagi saya dan untuk semua ahli keluarga. Saya tidak kisah jika tiada tudung baru, kasut baru, handbag baru, dan sebagainya, tapi baju baru untuk hari raya mesti ada, dah jatuh ke tahap ‘wajib’ bagi saya.

Tentunya jauh sekali saya mahu melaram dengan langsir baru, perabot baru, hiasan baru…semua benda nak kena baru? Oh, itu bukan saya. Hanya perlu baju saja yang baru untuk hari raya. Lain-lain beli apabila ada keperluan, jika sekadar untuk berhari raya perlu ditukar seluruh isi rumah, itu membazir namanya.

Jangan kerana mahu berhari raya, kita jadi rambang mata mahu semua yang baru. Itu bukanlah idea terbaik dalam menguruskan kewangan secara berhemah.

Langkah pertama dah siap, langkah kedua pula akan menyusul.

 

Nanti saya cerita kemudian…

 

12.03pm

Ceria

Salam Ukhuwah…

April datang lagi, dengan kemeriah sambutan ulangtahun tiga orang ahli kami.

Kerana sambutan tahun ini bertemakan makan-makan di luar, maka tiga tempatlah menjadi pilihan anak-anak. Pilihan mereka berbeza-beza untuk merasai kelainan. Semua ahli yang lain mengikut saja, tunggu giliran masing-masing pula dilain waktu. Apapun, kami semua turut bergembira kerana masih boleh meraikannya bersama-sama.

Alhamdulillah, anak-anak ceria membesar sebagaimana dunia kanak-kanak yang lain. Semoga kesihatan mereka juga seiring dengan keriangan yang mereka kecapi selama ini. Sebagai ibubapa, tiada yang lain kami harapkan, semoga Allah s.w.t. sentiasa memberi perlindungan kepada anak-anak ini.

Jadikanlah mereka anak-anak yang soleh dan solehah, cemerlang dalam kehidupan dunia dan sejahteralah di akhirat nanti. InsyaAllah.

8.41am

Jodoh

Salam Ukhuwah…

Hujung minggu baru-baru ini saya menghadirkan diri ke majlis perkahwinan adik ipar kepada adinda saya.

Majlis yang diadakan di Kuala Trengganu ini cukup istimewa apabila pengantin lelaki telah disatukan dengan gadis pilihannya, seorang gadis berbangsa cina yang sememangnya berasal dari Negara China.

Inilah yang dinamakan jodoh!

Pengantin perempuan yang masih bergelar pelajar di salah sebuah universiti awam di sini telah sah menjadi isteri kepada Ahmad Faiz Zainuddin, yang telah diakad nikahkan oleh ayahanda saya sendiri. Inilah saat-saat bahagia buat mereka, jua kepada kedua ibubapa, lebih-lebih lagi kepada kedua ibubapa Hazlin Liu Jing yang berkesempatan terbang dari jauh semata-mata untuk melihat anak sunti mereka diijabkabulkan.

Saya doakan semoga kehidupan mereka dirahmati Allah s.w.t. selalu dan berbahagia hingga ke hujung nyawa, insyaAllah.

11.10am

Pelangi Kehidupan

Salam Ukhuwah…

Sejuta Pelangi, buku kedua hasil minda Oki Setiana Dewi yang telah dilancarkan di Kelantan tempohari, turut menarik minat saya untuk memilikinya.

Siapa Oki?

Tidak lain tidak bukan, artis Indonesia yang menjadi heroin utama filem Ketika Cinta Bertasbih. Mempunyai raut wajah lembut manis dan berperwatakan sopan santun, tentunya mampu meraih minat ramai untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

Saya tidak menghadirkan diri semasa pelancaran buku tersebut, tetapi mendapatkannya semasa Parti Abaya tempohari. Dua minggu lalu saya selesai membaca naskah ini. Bayangkan berapa lama masa yang saya ambil untuk menghabiskan buku yang sekadar 286 muka surat ini. Hampir sebulan jugalah. Lama!

Sekarang, saya sedang mencari-cari buku pertamanya, Melukis Pelangi, yang dikhabarkan mencatat jualan best seller sehingga telah diulangcetak sebanyak tujuh kali! Hebat!

Saya tidak mengenali Oki secara dekat, tetapi membaca tulisannya membayangkan beliau seorang yang sentiasa bersemangat dalam mencari motivasi diri mendekatkan hati kepada Maha Pencipta.

Membaca bukunya bagaikan menonton sebuah diari kehidupan sepanjang tahun. Pengalaman hidupnya ditulis satu persatu, mengajak para membaca membayangkannya lantas memahami sebuah kehidupan yang tidak sepenuhnya berada didalam kemahuan setiap manusia. Ada pengajaran dan teladan yang boleh kita kutip dari setiap kisah masyarakat yang dihalusinya.

Sejuta Pelangi menginspirasikan kehidupan pelbagai lapisan masyarakat yang sarat dengan rona-rona kemanusiaan sejagat. Kebanyakannya berjaya menyentuh perasaan pembaca untuk merenunginya. Adakalanya ada genangan air mata mengiringi pembacaan naskah ini.

Fikri

Saya tertarik dengan episod Guru Kecilku, Fikri, yang mengisahkan kehidupan seorang anak kecil berusia sembilan tahun, yang kehilangan seorang ayah ketika usianya enam tahun. Tinggal bersama seorang ibu yang sekadar meraih rezeki dari simpati masyarakat sebagai tukang cuci baju. ~ Bayangkan! Betapa sukarnya sebuah kehidupan.

Apa yang mengagumkan dari si anak kecil ini, jiwa besarnya yang sentiasa bergegas ke masjid saat azan berkumandang lima waktu seharian. Dialah antara ramai jemaah tua yang lain turut serta dalam memakmurkan masjid sekian lama. Betapa solehnya anak ini. Apabila ditanya kenapa dia begitu bersungguh-sungguh mentaati perintah Allah yang satu ini, jawabnya dengan mendung di wajah, ada genangan air mata dan bibir yang bergetar, dia mahu sentiasa mendoakan ayahnya, sebutir air mata jatuh di pipinya mengiringi jawapan itu.

Air mata itu jatuh jua di pipi saya saat itu. Kenapa? Mengenangkan sejauh mana saya mampu menjadi seorang ibu yang mampu mengajar anak-anak untuk sentiasa berjamaah di masjid lima waktu. Kala ini saya mendidik anak lelaki saya yang berusia sembilan tahun pergi berjamaah di masjid kala Asar sahaja.

Banyak lagi kisah menarik yang lain. Kepada sahabat yang belum memilikinya, ada baiknya untuk menatap naskah ini sebagai koleksi buku anda. Selamat membaca.

Juga saya titipkan di sini puisi hasil minda Oki sendiri yang dibacanya khusus untuk Negeri Kelantan, Negeri Tadahan Wahyu. Terima kasih!

Negeri Kelantan Seindah Namamu

Negeri Kelantan seindah namamu
Tanah serendah sekebun bunga
Negeri tadahan wahyu
Cik Siti Wan Kembang
Cukup indah namamu
Seindah negerimu

Duhai wajahmu yang indah
Persis Jeddah
Yang pernah ku lewati
Taat menjunjung Al-Quran
Teguh menggalas syariat
Yang tidak pernah goyah
Tersentuh hati kudusku

Lantaran aku disini
Biar tidak pernah ku duga
Bertemu dengan seorang ulama
Yang dicintai rakyatnya
Lalu kuntum rindu yang lama tersimpan
Terubat jua akhirnya
Biar sekelumit cinta

Beruntung rakyatnya
Menumpang teduh seorang ulama
Yang lembut tapi tegas beribadah
Yang pengasih namun tidak goyah
Pada percikan kealpaan dunia
Pasti aku merinduimu lagi
Entah kapan bisa di ubati
Cuma setitis doa bisa ku titip buatmu
Memacu membangun Islam bersama
Semoga kita bertemu kembali.

10.18am

Anak

… mempunyai lima orang anak (3 lelaki & 2 perempuan), yg sulong 9 tahun & yg kecil 2 tahun. Boleh bagi nasihat pada saya apa yang terbaik saya lakukan.

Salam Ukhuwah…

Tentunya ungkapan diatas datangnya daripada si ibu, jarang sekali datangnya daripada si bapa.

Ya, kerana umumnya dalam sesebuah keluarga ibu akan lebih dominan dalam mengambil peranan menguruskan anak-anak.

Walau bagaimanapun, peranan mengurus dan mendidik anak-anak bukan hanya kepada seorang ibu, tetapi bapa juga harus mengambil tempat tersendiri dalam memahami, lalu bersama-sama menjayakan pembentukan keperibadian anak-anak sedari kecil lagi.

Tidak kiralah bagaimana kita mahu mengurus dan mendidik anak-anak sekalian, pentingnya biarlah ia suatu didikan yang menekankan aspek keagamaan.

Barangkali kita mudah terikut-ikut dengan tradisi keluarga sendiri, tidak salah, sekadar mengubahsuai mengikut suasana dan keadaan semasa sahaja.

Saya percaya bahawa ibu lebih memahami anak-anak kerana mereka telah bersatu semenjak di dalam kandungan lagi. Selepas kelahiran sekalipun, sentuhan langsung lebih banyak dilakukan oleh ibu. Begitu juga dengan belaian dan pujukan seorang ibu mampu melahirkan sebuah kasih sayang yang lebih akrab di antara dua individu ini.

Ibu akan lebih memahami sekiranya anak-anak bermasalah, langsung tahu bagaimana untuk menguruskan emosi anak-anak ketika itu. Kebiasaannya anak-anak juga akan merasa lebih selesa berkongsi apa saja dengan ibu berbanding bercerita kepada si ayah.

Samada sebuah keluarga itu mempunyai bibik atau sebaliknya, tugas mengurus dan mendidik anak-anak hendaklah digalas oleh ibubapa. Tidak digalakkan pengurusan anak-anak diserah bulat-bulat kepada bibik untuk menyelianya, kerana disitu tiada chemistry yang memungkinkan bibik memahami anak-anak dengan sepatutnya.

Sesekala menyerahkan tugasan kepada bibik tidaklah mengapa, terutama kepada ibu yang bekerja tentulah bibik menjadi penyelamat kepada banyak perkara.

Begitu juga kepada ibubapa yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan, mereka seringkalinya akan merasa terkilan kerana tidak mampu untuk sentiasa berada dekat dengan anak-anak.

Perkembangan anak-anak

Lebih-lebih kepada anak-anak kecil seusia 3 bulan – 3 tahun, dimana pada peringkat ini sewajarnya ibu perlu sentiasa berada bersama mereka. Saat inilah anak-anak kecil akan mula belajar menggunakan bahasa yang betul. Apabila mereka mula tahu bercakap, tentunya banyak soalan yang akan ditanya, dimana ia memerlukan jawapan yang sepatutnya ibu berikan berdasarkan didikan yang mahu diterapkan.

Begitulah seterusnya kepada peringkat umur yang lain. Secara ringkasnya, pakar kanak-kanak selalunya memberikan pernyataan berkaitan perkembangan anak-anak sebagaimana berikut; (saya kongsikan berdasarkan pembacaan dan mengolahnya sendiri)

4 tahun:

Kanak-kanak seusia ini akan lebih seronok jika diberi peluang untuk mencipta sesuatu dengan idea sendiri. Biasanya mereka amat suka menulis, melukis, mewarna, menconteng, dan sebagainya. Mereka juga sudah boleh bermain lego dengan lebih baik berdasarkan ciptaan yang dilakukan.

Dalam masa yang sama, ibubapa perlulah prihatin kepada perkembangan anak-anak ini dengan menyediakan keperluan untuk mereka bereksploitasi dengan minda ketika usia ini.

Untuk tugasan peribadi pula, anak-anak seusia ini sudah boleh diajar membuka dan memakai pakaian sendiri. Mereka juga sudah boleh dididik untuk meletakkan pakaian kotor pada tempatnya dan diajar meletakkan tuala pada tempat sepatutnya.

Mereka juga perlu diajar untuk membuat pilihan yang sepatutnya, seperti memilih pakaian untuk bersantai di rumah, berjalan-jalan, untuk tidur dan sebagainya.

Jika anda membawa mereka untuk membeli-belah, beri peluang untuk mereka memilih barangan peribadi, seperti pakaian, kasut, alatulis, permainan, dan sebagainya. Biarkan mereka memilih, namun keputusannya tetap berada di tangan kita. Jika keinginan mereka tidak boleh tunaikan, berikan mereka alasan realistik yang mampu difahami anak-anak.

Pada usia 4 tahun juga saya sendiri mula mewajibkan anak-anak belajar al-Quran.

5 – 7 tahun:

5 tahun adalah usia yang paling sesuai untuk menghantar anak-anak ke tadika. Jika ibubapa mahu menghantar anak-anak lebih awal dari usia ini, terpulanglah kepada pandangan peribadi masing-masing. Anak-anak perlu diberitahu tentang tanggungjawab untuk mendapatkan ilmu, lebih- lebih kepada seorang Muslim yang akan diberi ganjaran istimewa oleh Allah s.w.t..

Anak-anak akan merasa sudah besar apabila mereka mampu menjejakkan kaki ke sekolah. Mereka akan menunjukkan sebuah kegembiraan dan keceriaan tersendiri. Dalam masa yang sama, ibubapa juga perlu mengajar anak-anak tentang disiplin apabila mula mendapat kawan yang ramai. Beritahu mereka apa yang boleh, apa yang tidak boleh

Jika mereka ada melakukan kesalahan awalan, nasihat mereka dengan intonasi yang baik tetapi tegas. Perkara biasa jika anak-anak nakal pada usia sebegini, tetapi mereka juga harus diberi kawalan yang sepatutnya. Jangan sehingga mencederakan kanak-kanak lain.

8 – 10 tahun:

Kebiasaannya anak-anak seusia ini sudah mula pandai bergaul, boleh memberi kerjasama yang lebih baik dan mempunyai teman-teman rapat.

Mereka juga sudah boleh membaca dengan lancar, mempunyai tulisan yang lebih cantik, boleh mengira, pandai menabung, dan menunjukkan keperibadian yang lebih baik.

Ibubapa juga perlu mensasarkan anak-anak khatam al-Quran selewat-lewatnya pada usia 12 tahun.

Berhenti Kerja

Saya mula berhenti kerja semasa mengandung anak yang keenam. Kandungan tidak menghadapi sebarang masalah, tetapi diri sendiri yang merasa cepat letih dan sakit-sakit badan semasa mengandung kali ini. Alhamdulillah, saya mampu pergi ke pejabat seperti biasa, morning sickness masih terkawal, tetapi yang menjadi masalah apabila selesai makan tengahari dan solat Zohor, badan saya terutamanya belakang mula akan merasa sakit. Tiada ubatnya melainkan saya berbaring sahaja.

Kebanyakan harinya sedemikian, maka saya berfikir inilah masa terbaik untuk saya berhenti kerja selepas selama ini saya sering memikirkannya. Pergi kerja pun tidak mampu memberikan yang terbaik kepada tugasan. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan sempurna sebagaimana diimpiankan.

Saya tidak mempunyai bibik sewaktu berhenti kerja, tetapi mempunyai pembantu yang datang dari jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang. Semua urusan berkaitan anak saya uruskan sendiri, pembantu hanya menguruskan urusan rumahtangga yang lain. Situasi baru ini memberikan saya peluang untuk mempunyai lebih banyak masa berurusan dengan anak. Tidak lagi perlu memikirkan perihal anak sebagaimana ketika bekerja dulu.

Menjadi surirumah juga tidak bermakna kita tidak boleh mencari pendapatan sendiri. Jika kita berkeinginan, cabang perniagaan adalah jalan terbaik untuk menjana pendapatan. Saya juga begitu, kerana minat saya kepada pakaian agak tinggi, maka saya mulakan langkah pertama dan seterusnya hingga kehari ini.

Semuanya bergantung kepada minat dan keinginan. Menjana pendapatan dari rumah lebih seronok kerana dalam masa yang sama kita sentiasa berada di rumah bersama anak-anak.  Tentukan waktu sendiri, selesaikan urusan anak-anak dan rumahtangga, waktu berbaki adalah untuk kita berseronok dengan minat sendiri. InsyaAllah, jika betul pengurusannya, kita juga mampu berpendapatan walaupun adakalanya tidaklah sehebat dulu.

Suami

Suami juga perlu memahami bahawa apabila isteri anda sudah bergelar surirumah, tidak bermakna urusan rumahtangga terus melayang daripada bahu anda. Suami juga harus turut membantu kerana kerjaya surirumah lebih memenatkan berbanding bekerja di pejabat. Lebih-lebih lagi apabila mereka langsung tidak mempunyai sebarang cutipun!

12.33pm

* Semoga artikel yang saya sediakan ada manfaatnya buat Puan Nurisza dan ibu-ibu yang lain…insyaAllah!

Surirumah (III)

… kerana saya selalu berasa tertekan & bersalah kerana tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu & isteri dengan sempurna …

Salam Ukhuwah…

Bukan seorang isteri yang mengeluh begini, tetapi sangat ramai…saya pun pernah merasakannya begitu.

Dari satu sudut, sebenarnya ada juga silap pemahaman daripada suami apabila mereka sendiri tidak membenarkan isteri menjadi surirumah. Jika mereka mengizinkan isteri berkerjaya, itu adalah baik, dan jika mereka memberi pilihan untuk isteri berhenti kerja, itu adalah lebih baik.

Sebenarnya jika kita perhatikan, rumahtangga hari ini mengambil mudah tentang tanggungjawab suami isteri. Ini juga adalah penyebab kenapa sebahagian suami takut untuk membenarkan isterinya menjadi surirumah.

Mereka takut kepada tanggungjawab seorang suami, seolah-olah merasa tidak mampu mengurus perbelanjaan rumahtangga tanpa bantuan kewangan daripada isteri.

Kenapa kesilapan ini boleh berlaku?

Salahnya daripada kedua-dua pihak, samada suami mahupun isteri.

Suami merasakan isteri patut juga membantu membayar bil-bil tertentu dalam rumahtangga, dipihak isteri pula, cepat merasa kasihan kepada bebanan yang ditanggung suami. Tetapi, yang sepatutnya bagaimana?

Suami wajib menguruskan segala perbelanjaan keluarga, ini termasuklah membayar segala jenis hutang – ansuran rumah, ansuran kereta, bil elektrik, bil air, bil telefon dan segala jenis bil lain mahupun hutang-piutang. Begitu jugalah wang dapur, keperluan sampingan anak isteri dan juga kewangan kontijensi sekiranya berkeperluan.

Tanggungjawab

Tidak kiralah gaji suami sedikit mahupun banyak, berpendapatan tetap atau sebaliknya, perbelanjaan rumahtangga adalah tanggungjawab suami. Tidak boleh sama sekali suami mengharapkan pendapatan isteri untuk hal-hal pegurusan kewangan rumahtangga. Jika adapun isteri sendiri berbesar hati mahu menyumbang – saya sendiri menggalakkannya – tetapi haruslah beringat bahawa ia bukan satu tanggungjawab, tetapi atas dasar bertolak ansur sahaja.

Saya kira tanggungjawab ini adalah perkara asas, yang sepatutnya semua lelaki berpengetahuan sebelum mendirikan rumahtangga.

Saya tidak silap sekiranya berkata, wanita hari ini terlalu memanjakan suaminya. Adakalanya berlebih-lebihan menggalas tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh si suami. Natijahnya, suami lupa tanggungjawab sendiri, dan isteri pula mula terasa terbeban dengan perkahwinan.

Saya seru kepada semua wanita yang bergelar isteri, mahupun belum; Bertolak ansur dalam berumahtangga ada batasnya, jangan sehingga terasa dikemudian hari betapa bergelar seorang isteri adalah suatu kesilapan yang pernah dilakukan.

Sayang kepada suami biar berpada-pada. Sayang sehingga terbeban bukan caranya.

Begitu jugalah dipihak isteri. Jika sudah berimpian menjadi surirumah, berimpianlah juga untuk hidup tidak sebagaimana ketika berpendapatan sendiri. Mulakan hidup baru dengan bersedia menerima segala kelebihan dan kekurangannya.

Kelebihan: Impian untuk menjadi surirumah sudah tercapai. Bersyukurlah.

Kekurangan: Hiduplah mengikut kemampuan suami. Bersyukurlah.

Kalau dahulu, boleh beli kain baju setiap bulan, maka terimalah jika selepas ini baju baru hanya empat pasang sahaja setahun. Itupun mungkin kerana ada hari raya!

Begitu juga kalau dahulu, kain baju RM200 sepasang, tetapi selepas ini hargai dan bersyukurlah jika ianya hanya RM50 sepasang.

Berjimat

Boleh saja jika mahu hidup seperti dahulu-dahulu, tetapi perlu pula kepada berjimat-cermat keatas perkara lain.

Ada juga isteri yang akan berfikir tentang wang bulanan yang kebiasaannya diberi kepada kedua ibubapa mereka selama ini. Berbincanglah dengan suami bagaimana seterusnya.  Mungkin daripada RM300 sebulan, menjadikannya hanya RM50 sebulan sahaja. Anda harus bersyukur, sekurang-kurangnya wang bulanan itu masih ada. Bagaimana mahu memujuk rasa terkilan kedua ibubapa kita? Bayarkannya dengan selalu menghubungi mereka bertanya khabar. Jika sebelum ini dua kali sebulan, jadikannya sekali seminggu mahupun lebih. Kasih sayang itu lebih tinggi nilainya dari wang ringgit.

Bincang dengan suami nafkah kewangan yang perlu anda terima setiap bulan. Senaraikan keperluannya secara berterus-terang. Seterusnya, hiduplah dengan sekadar kemampuan yang ada. Jika mahu berlebih-lebihan lagi, biar suami mencari alternatifnya sendiri. Itu bukan lagi tanggungjawab isteri. Tanggungjawab isteri adalah memberi pandangan yang terbaik kepada suami dalam memastikan urusan  rumahtangga sentiasa terkawal, terutamanya mendahulukan keperluan anak-anak. Juga sentiasa meyakinkan diri suami bahawa kita tidak akan kesah dengan segala kekurangan yang ada.

Suatu masa nanti, kehidupan anda sebagai surirumah akan terasa lebih bermakna. Masalah kewangan bukan lagi satu bebanan, tetapi akan mendidik kita menjadi seorang yang lebih berhemah dalam berbelanja.

Pengurusan kewangan yang baik amatlah diperlukan untuk kehidupan pada masa hadapan. Jikapun taraf kehidupan kita akan menjadi agak kurang baik pada awalannya, tetapi wang tabungan harus sentiasa ada. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Pengalaman

Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri dan juga perkhabaran daripada orang lain. Menjadi surirumah bukan bermakna kita tidak boleh berjaya dalam hidup. Jika kita merasakannya sebagai kegagalan, maka kita akan gagal sepanjang kehidupan ini, kerana mungkin kita tidak akan kembali lagi sebagai seorang wanita berkerjaya.

Menjadi surirumah akan memberi makna yang lebih jelas kepada tanggungjawab suami isteri. Jika selama ini kita merasa terbeban dengan sebuah tanggungjawab yang tidak sepatutnya, maka kali ini berubahlah kearah yang lebih baik.

InsyaAllah tiada yang buruk-buruk akan menimpa, berdoalah sentiasa agar segalanya berjalan seperti biasa dan rumahtangga kita akan berjaya sehingga akhirnya.

8.21am