Surirumah (II)

… tapi keperluan hidup mendesak untuk bekerja. Kerana suami berniaga & pendapatan tidak tetap.

Salam Ukhuwah…

Saya percaya pernyataan ini bukan hanya keluhan kepada seorang isteri, tetapi untuk kebanyakan isteri di luar sana. Bukan hanya kepada rumahtangga yang mempunyai pendapatan tidak tetap, tetapi yang berpendapatan tetap pun saya percaya akan berfikir banyak kali untuk membuat keputusan kisah yang satu ini.

Apabila saya memutuskan untuk menjadi surirumah, bukan sebulan, bukan dua bulan berfikir untuk berhenti kerja, tetapi setahun. Saya berfikir baik buruknya, dalam masa yang sama sering mengulang-ulang pernyataan bahawa akan berhenti kerja dalam masa terdekat kepada suami. Dengan harapan suami mampu menelan keinginan saya, dalam masa yang sama dia perlu bersedia untuk menerima realiti bahawa sumber kewangan keluarga akan menjadi satu saluran sahaja.

Bagi saya, apabila seorang isteri yang berkerjaya mula berkeinginan untuk menjadi surirumah, mereka perlulah yakin dengan keinginan dan impian itu. Terlebih dahulu mereka perlu yakin dengan diri sendiri bahawa menjadi surirumah itu adalah pilihan terbaik untuk dirinya pada hari ini dan untuk masa hadapan.

Saya sendiri sentiasa positif dalam membuat keputusan untuk menjadi surirumah. Usah terlalu bebankan fikiran dengan soalan-soalan yang tiada jawapannya dalam kehidupan pada masa hadapan, tetapi positifkan minda bahawa menjadi surirumah itu adalah suatu episod hidup yang terbaik bagi seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu.

Jika terlalu berfikir, dan fikiran itu selalunya menjurus kepada masalah, bebanan, ketakutan, ia bukanlah sesuatu yang baik dalam membuat keputusan. Jika tiada jawapannya, kita berbalik kepada agama. Asasnya, seorang isteri kedudukannya adalah lebih baik jika mampu berada di rumah. Lebih-lebih lagi jika sudah mempunyai anak-anak.

Tidak salah untuk wanita berkerjaya, tetapi seringnya apabila sudah mencapai satu tahap, keinginan untuk menjadi surirumah sering menjadi pilihan banyak kepada para isteri. Disinilah sepatutnya kita mula memahami semula peranan suami isteri yang sebenar didalam rumahtangga.

Berbincang

Masing-masing perlu duduk berbincang bersama, memberi makna semula kepada fungsi, tugas dan peranan sebagai suami, bapa, isteri dan ibu. Berbincang dengan cara baik, jangan menghasilkan kekecewaan antara satu sama lain, jangan saling menyalahkan, tetapi nyatakan keinginan yang bersebab kearah kebaikan dalam rumahtangga itu sendiri.

Adakalanya keputusan untuk menjadi surirumah juga akan menjadi satu isu yang besar apabila ia melibatkan pendapat banyak pihak, terutamanya kepada kedua ibubapa, adik-beradik dan juga rakan taulan.

Selain suami, ibubapa sebenarnya agak takut juga membiarkan anak menantu perempuan mereka bergelar surirumah. Ada juga ketakutan ini bersabitan sekiranya suatu masa nanti suami tidak mampu menanggung kehidupan keluarga, suami mencari wanita lain kerana rasa diri tidak dihargai, paling malang sekiranya diceraikan suami – si isteri tiada lagi sumber pendapatan.

Inilah yang saya katakan persoalan yang tiada jawapannya. Semua jawapan adalah pada masa hadapan – yang tidak mampu kita menjawabnya hari ini.

Bagi saya, jangan terlalu berfikiran negatif apabila mahu membuat sesuatu yang positif. Usah terlalu risau pada sebarang kemungkinan yang tiada kepastian. Jika kita sudah memiliki sebuah rumahtangga yang baik, kenapa pula harus dikisahkan kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jika kita berasa sudah selesa dengan kehidupan ini dengan segala pengorbanan dari suami mahupun isteri, maka sebenarnya lebih mudah untuk kita teruskan keselesaan ini walaupun hadirnya sedikit kesusahan. Itu semuanya lumrah kehidupan.

Kepada ibubapa, boleh dijelaskan kenapa kita memilih jalan yang satu ini. Jika mereka masih menidakkannya, tidak mengapa kerana kita yang lebih memahami keperluannya.

Tetapi, sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja, ada baiknya wanita itu terlebih dahulu menyediakan ‘persediaan’ sebelum mereka melangkah ke fasa yang seterusnya. Berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi surirumah yang baik adalah persediaan yang baik. Tetapi persediaan ‘pelindung diri’ juga adalah baik. Jika wanita itu mempunyai harta sendiri itu lebih baik, jika tiada, pastikan mempunyai wang simpanan yang banyak. Berapa? Sekurang-kurangnya lima bulan gaji anda sekarang.

Kenapa?

‘Pelindung awalan’.

Wang simpanan ini adalah modal anda untuk memulakan kehidupan baru. Adakalanya kita tidak boleh mengubah ‘status’ sebelum ini secara drastik. Mungkin juga anda mempunyai hutang sendiri, maka wang simpanan ini dapat membantu bayaran bulanannya.

Peranan

Seorang isteri yang mahu memilih kerjaya sebagai surirumah tentunya jauh sekali mahu menganiayai suaminya, jauh lagi mahu menyusahkan rumahtangganya. Tentunya keputusan ingin menjadi surirumah bukan keputusan yang singkat fikirannya, tetapi tentunya mereka mula mahu memahami tugas dan fungsi sebenar peranan di antara pasangan.

Semua akan bersetuju bahawa hidup jauh lebih senang jika punya pendapatan sendiri. Bagi seorang isteri, pendapatan peribadi membolehkannya mengurus kehidupan sendiri tanpa menyusahkan suami. Isteri akan merasa bahagia jika keinginan peribadinya akan dipenuhi, tetapi jauh lebih gembira jika dia mampu memberi yang terbaik buat dirinya tanpa menyusahkan suami.

Kebiasaannya seorang isteri akan sentiasa ikhlas dalam memberi khidmat kepada suami dan rumahtangganya. Mereka sentiasa mahu menyajikan yang terbaik kepada orang-orang disayanginya pada setiap masa. Inilah yang dinamakan pengorbanan – sebuah cinta yang suci ditebarkan demi suami dan anak-anak menggapai kebahagiaan masing-masing.

Jika suami juga memahami makna sebuah pengobanan, maka bertolak ansurlah kepada keperluan seorang isteri. Berikan kebebasan kepada isteri untuk memilih jalan yang terbaik buat dirinya – tentu untuk rumahtangganya juga. Seringkalinya apabila sudah memiliki beberapa orang anak – minima tiga orang – isteri yang berpangkat ibu ini akan mula memikirkan perihal keperluan untuk berada di rumah – menjadi surirumah – membesarkan dan mendidik anak-anak ini dengan caranya yang tersendiri.

Sebenarnya, pendapatan rumahtangga bukanlah satu isu yang besar. Pengalaman berkata, pendapatan besar, maka besarlah keraknya. Benarlah begitu. Setiap rumahtangga akan memikirkan keperluan kewangan – bayar kereta, bayar rumah, pergi haji/ umrah, mahu melancong, keperluan anak-anak, sangat bermacam-macam dalam kepala jika mahu difikirkan.

Jadi, bagaimana jika sumber kewangan akan menjadi kecil? Kalau dua talian hayat pun masih merasa tidak cukup, bagaimana pula mahu menanggung beban jika akan menjadi satu talian hayat sahaja?

Ya, awalan kehidupannya mungkin akan ada sedikit kesukaran.

10.05am

One Response

  1. saya ibu yg berkerja. Saya sdg plan utk menjadi surirumah demi 4 org anak saya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: