Surirumah (III)

… kerana saya selalu berasa tertekan & bersalah kerana tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu & isteri dengan sempurna …

Salam Ukhuwah…

Bukan seorang isteri yang mengeluh begini, tetapi sangat ramai…saya pun pernah merasakannya begitu.

Dari satu sudut, sebenarnya ada juga silap pemahaman daripada suami apabila mereka sendiri tidak membenarkan isteri menjadi surirumah. Jika mereka mengizinkan isteri berkerjaya, itu adalah baik, dan jika mereka memberi pilihan untuk isteri berhenti kerja, itu adalah lebih baik.

Sebenarnya jika kita perhatikan, rumahtangga hari ini mengambil mudah tentang tanggungjawab suami isteri. Ini juga adalah penyebab kenapa sebahagian suami takut untuk membenarkan isterinya menjadi surirumah.

Mereka takut kepada tanggungjawab seorang suami, seolah-olah merasa tidak mampu mengurus perbelanjaan rumahtangga tanpa bantuan kewangan daripada isteri.

Kenapa kesilapan ini boleh berlaku?

Salahnya daripada kedua-dua pihak, samada suami mahupun isteri.

Suami merasakan isteri patut juga membantu membayar bil-bil tertentu dalam rumahtangga, dipihak isteri pula, cepat merasa kasihan kepada bebanan yang ditanggung suami. Tetapi, yang sepatutnya bagaimana?

Suami wajib menguruskan segala perbelanjaan keluarga, ini termasuklah membayar segala jenis hutang – ansuran rumah, ansuran kereta, bil elektrik, bil air, bil telefon dan segala jenis bil lain mahupun hutang-piutang. Begitu jugalah wang dapur, keperluan sampingan anak isteri dan juga kewangan kontijensi sekiranya berkeperluan.

Tanggungjawab

Tidak kiralah gaji suami sedikit mahupun banyak, berpendapatan tetap atau sebaliknya, perbelanjaan rumahtangga adalah tanggungjawab suami. Tidak boleh sama sekali suami mengharapkan pendapatan isteri untuk hal-hal pegurusan kewangan rumahtangga. Jika adapun isteri sendiri berbesar hati mahu menyumbang – saya sendiri menggalakkannya – tetapi haruslah beringat bahawa ia bukan satu tanggungjawab, tetapi atas dasar bertolak ansur sahaja.

Saya kira tanggungjawab ini adalah perkara asas, yang sepatutnya semua lelaki berpengetahuan sebelum mendirikan rumahtangga.

Saya tidak silap sekiranya berkata, wanita hari ini terlalu memanjakan suaminya. Adakalanya berlebih-lebihan menggalas tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh si suami. Natijahnya, suami lupa tanggungjawab sendiri, dan isteri pula mula terasa terbeban dengan perkahwinan.

Saya seru kepada semua wanita yang bergelar isteri, mahupun belum; Bertolak ansur dalam berumahtangga ada batasnya, jangan sehingga terasa dikemudian hari betapa bergelar seorang isteri adalah suatu kesilapan yang pernah dilakukan.

Sayang kepada suami biar berpada-pada. Sayang sehingga terbeban bukan caranya.

Begitu jugalah dipihak isteri. Jika sudah berimpian menjadi surirumah, berimpianlah juga untuk hidup tidak sebagaimana ketika berpendapatan sendiri. Mulakan hidup baru dengan bersedia menerima segala kelebihan dan kekurangannya.

Kelebihan: Impian untuk menjadi surirumah sudah tercapai. Bersyukurlah.

Kekurangan: Hiduplah mengikut kemampuan suami. Bersyukurlah.

Kalau dahulu, boleh beli kain baju setiap bulan, maka terimalah jika selepas ini baju baru hanya empat pasang sahaja setahun. Itupun mungkin kerana ada hari raya!

Begitu juga kalau dahulu, kain baju RM200 sepasang, tetapi selepas ini hargai dan bersyukurlah jika ianya hanya RM50 sepasang.

Berjimat

Boleh saja jika mahu hidup seperti dahulu-dahulu, tetapi perlu pula kepada berjimat-cermat keatas perkara lain.

Ada juga isteri yang akan berfikir tentang wang bulanan yang kebiasaannya diberi kepada kedua ibubapa mereka selama ini. Berbincanglah dengan suami bagaimana seterusnya.  Mungkin daripada RM300 sebulan, menjadikannya hanya RM50 sebulan sahaja. Anda harus bersyukur, sekurang-kurangnya wang bulanan itu masih ada. Bagaimana mahu memujuk rasa terkilan kedua ibubapa kita? Bayarkannya dengan selalu menghubungi mereka bertanya khabar. Jika sebelum ini dua kali sebulan, jadikannya sekali seminggu mahupun lebih. Kasih sayang itu lebih tinggi nilainya dari wang ringgit.

Bincang dengan suami nafkah kewangan yang perlu anda terima setiap bulan. Senaraikan keperluannya secara berterus-terang. Seterusnya, hiduplah dengan sekadar kemampuan yang ada. Jika mahu berlebih-lebihan lagi, biar suami mencari alternatifnya sendiri. Itu bukan lagi tanggungjawab isteri. Tanggungjawab isteri adalah memberi pandangan yang terbaik kepada suami dalam memastikan urusan  rumahtangga sentiasa terkawal, terutamanya mendahulukan keperluan anak-anak. Juga sentiasa meyakinkan diri suami bahawa kita tidak akan kesah dengan segala kekurangan yang ada.

Suatu masa nanti, kehidupan anda sebagai surirumah akan terasa lebih bermakna. Masalah kewangan bukan lagi satu bebanan, tetapi akan mendidik kita menjadi seorang yang lebih berhemah dalam berbelanja.

Pengurusan kewangan yang baik amatlah diperlukan untuk kehidupan pada masa hadapan. Jikapun taraf kehidupan kita akan menjadi agak kurang baik pada awalannya, tetapi wang tabungan harus sentiasa ada. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Pengalaman

Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri dan juga perkhabaran daripada orang lain. Menjadi surirumah bukan bermakna kita tidak boleh berjaya dalam hidup. Jika kita merasakannya sebagai kegagalan, maka kita akan gagal sepanjang kehidupan ini, kerana mungkin kita tidak akan kembali lagi sebagai seorang wanita berkerjaya.

Menjadi surirumah akan memberi makna yang lebih jelas kepada tanggungjawab suami isteri. Jika selama ini kita merasa terbeban dengan sebuah tanggungjawab yang tidak sepatutnya, maka kali ini berubahlah kearah yang lebih baik.

InsyaAllah tiada yang buruk-buruk akan menimpa, berdoalah sentiasa agar segalanya berjalan seperti biasa dan rumahtangga kita akan berjaya sehingga akhirnya.

8.21am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: