Anak

… mempunyai lima orang anak (3 lelaki & 2 perempuan), yg sulong 9 tahun & yg kecil 2 tahun. Boleh bagi nasihat pada saya apa yang terbaik saya lakukan.

Salam Ukhuwah…

Tentunya ungkapan diatas datangnya daripada si ibu, jarang sekali datangnya daripada si bapa.

Ya, kerana umumnya dalam sesebuah keluarga ibu akan lebih dominan dalam mengambil peranan menguruskan anak-anak.

Walau bagaimanapun, peranan mengurus dan mendidik anak-anak bukan hanya kepada seorang ibu, tetapi bapa juga harus mengambil tempat tersendiri dalam memahami, lalu bersama-sama menjayakan pembentukan keperibadian anak-anak sedari kecil lagi.

Tidak kiralah bagaimana kita mahu mengurus dan mendidik anak-anak sekalian, pentingnya biarlah ia suatu didikan yang menekankan aspek keagamaan.

Barangkali kita mudah terikut-ikut dengan tradisi keluarga sendiri, tidak salah, sekadar mengubahsuai mengikut suasana dan keadaan semasa sahaja.

Saya percaya bahawa ibu lebih memahami anak-anak kerana mereka telah bersatu semenjak di dalam kandungan lagi. Selepas kelahiran sekalipun, sentuhan langsung lebih banyak dilakukan oleh ibu. Begitu juga dengan belaian dan pujukan seorang ibu mampu melahirkan sebuah kasih sayang yang lebih akrab di antara dua individu ini.

Ibu akan lebih memahami sekiranya anak-anak bermasalah, langsung tahu bagaimana untuk menguruskan emosi anak-anak ketika itu. Kebiasaannya anak-anak juga akan merasa lebih selesa berkongsi apa saja dengan ibu berbanding bercerita kepada si ayah.

Samada sebuah keluarga itu mempunyai bibik atau sebaliknya, tugas mengurus dan mendidik anak-anak hendaklah digalas oleh ibubapa. Tidak digalakkan pengurusan anak-anak diserah bulat-bulat kepada bibik untuk menyelianya, kerana disitu tiada chemistry yang memungkinkan bibik memahami anak-anak dengan sepatutnya.

Sesekala menyerahkan tugasan kepada bibik tidaklah mengapa, terutama kepada ibu yang bekerja tentulah bibik menjadi penyelamat kepada banyak perkara.

Begitu juga kepada ibubapa yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan, mereka seringkalinya akan merasa terkilan kerana tidak mampu untuk sentiasa berada dekat dengan anak-anak.

Perkembangan anak-anak

Lebih-lebih kepada anak-anak kecil seusia 3 bulan – 3 tahun, dimana pada peringkat ini sewajarnya ibu perlu sentiasa berada bersama mereka. Saat inilah anak-anak kecil akan mula belajar menggunakan bahasa yang betul. Apabila mereka mula tahu bercakap, tentunya banyak soalan yang akan ditanya, dimana ia memerlukan jawapan yang sepatutnya ibu berikan berdasarkan didikan yang mahu diterapkan.

Begitulah seterusnya kepada peringkat umur yang lain. Secara ringkasnya, pakar kanak-kanak selalunya memberikan pernyataan berkaitan perkembangan anak-anak sebagaimana berikut; (saya kongsikan berdasarkan pembacaan dan mengolahnya sendiri)

4 tahun:

Kanak-kanak seusia ini akan lebih seronok jika diberi peluang untuk mencipta sesuatu dengan idea sendiri. Biasanya mereka amat suka menulis, melukis, mewarna, menconteng, dan sebagainya. Mereka juga sudah boleh bermain lego dengan lebih baik berdasarkan ciptaan yang dilakukan.

Dalam masa yang sama, ibubapa perlulah prihatin kepada perkembangan anak-anak ini dengan menyediakan keperluan untuk mereka bereksploitasi dengan minda ketika usia ini.

Untuk tugasan peribadi pula, anak-anak seusia ini sudah boleh diajar membuka dan memakai pakaian sendiri. Mereka juga sudah boleh dididik untuk meletakkan pakaian kotor pada tempatnya dan diajar meletakkan tuala pada tempat sepatutnya.

Mereka juga perlu diajar untuk membuat pilihan yang sepatutnya, seperti memilih pakaian untuk bersantai di rumah, berjalan-jalan, untuk tidur dan sebagainya.

Jika anda membawa mereka untuk membeli-belah, beri peluang untuk mereka memilih barangan peribadi, seperti pakaian, kasut, alatulis, permainan, dan sebagainya. Biarkan mereka memilih, namun keputusannya tetap berada di tangan kita. Jika keinginan mereka tidak boleh tunaikan, berikan mereka alasan realistik yang mampu difahami anak-anak.

Pada usia 4 tahun juga saya sendiri mula mewajibkan anak-anak belajar al-Quran.

5 – 7 tahun:

5 tahun adalah usia yang paling sesuai untuk menghantar anak-anak ke tadika. Jika ibubapa mahu menghantar anak-anak lebih awal dari usia ini, terpulanglah kepada pandangan peribadi masing-masing. Anak-anak perlu diberitahu tentang tanggungjawab untuk mendapatkan ilmu, lebih- lebih kepada seorang Muslim yang akan diberi ganjaran istimewa oleh Allah s.w.t..

Anak-anak akan merasa sudah besar apabila mereka mampu menjejakkan kaki ke sekolah. Mereka akan menunjukkan sebuah kegembiraan dan keceriaan tersendiri. Dalam masa yang sama, ibubapa juga perlu mengajar anak-anak tentang disiplin apabila mula mendapat kawan yang ramai. Beritahu mereka apa yang boleh, apa yang tidak boleh

Jika mereka ada melakukan kesalahan awalan, nasihat mereka dengan intonasi yang baik tetapi tegas. Perkara biasa jika anak-anak nakal pada usia sebegini, tetapi mereka juga harus diberi kawalan yang sepatutnya. Jangan sehingga mencederakan kanak-kanak lain.

8 – 10 tahun:

Kebiasaannya anak-anak seusia ini sudah mula pandai bergaul, boleh memberi kerjasama yang lebih baik dan mempunyai teman-teman rapat.

Mereka juga sudah boleh membaca dengan lancar, mempunyai tulisan yang lebih cantik, boleh mengira, pandai menabung, dan menunjukkan keperibadian yang lebih baik.

Ibubapa juga perlu mensasarkan anak-anak khatam al-Quran selewat-lewatnya pada usia 12 tahun.

Berhenti Kerja

Saya mula berhenti kerja semasa mengandung anak yang keenam. Kandungan tidak menghadapi sebarang masalah, tetapi diri sendiri yang merasa cepat letih dan sakit-sakit badan semasa mengandung kali ini. Alhamdulillah, saya mampu pergi ke pejabat seperti biasa, morning sickness masih terkawal, tetapi yang menjadi masalah apabila selesai makan tengahari dan solat Zohor, badan saya terutamanya belakang mula akan merasa sakit. Tiada ubatnya melainkan saya berbaring sahaja.

Kebanyakan harinya sedemikian, maka saya berfikir inilah masa terbaik untuk saya berhenti kerja selepas selama ini saya sering memikirkannya. Pergi kerja pun tidak mampu memberikan yang terbaik kepada tugasan. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan sempurna sebagaimana diimpiankan.

Saya tidak mempunyai bibik sewaktu berhenti kerja, tetapi mempunyai pembantu yang datang dari jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang. Semua urusan berkaitan anak saya uruskan sendiri, pembantu hanya menguruskan urusan rumahtangga yang lain. Situasi baru ini memberikan saya peluang untuk mempunyai lebih banyak masa berurusan dengan anak. Tidak lagi perlu memikirkan perihal anak sebagaimana ketika bekerja dulu.

Menjadi surirumah juga tidak bermakna kita tidak boleh mencari pendapatan sendiri. Jika kita berkeinginan, cabang perniagaan adalah jalan terbaik untuk menjana pendapatan. Saya juga begitu, kerana minat saya kepada pakaian agak tinggi, maka saya mulakan langkah pertama dan seterusnya hingga kehari ini.

Semuanya bergantung kepada minat dan keinginan. Menjana pendapatan dari rumah lebih seronok kerana dalam masa yang sama kita sentiasa berada di rumah bersama anak-anak.  Tentukan waktu sendiri, selesaikan urusan anak-anak dan rumahtangga, waktu berbaki adalah untuk kita berseronok dengan minat sendiri. InsyaAllah, jika betul pengurusannya, kita juga mampu berpendapatan walaupun adakalanya tidaklah sehebat dulu.

Suami

Suami juga perlu memahami bahawa apabila isteri anda sudah bergelar surirumah, tidak bermakna urusan rumahtangga terus melayang daripada bahu anda. Suami juga harus turut membantu kerana kerjaya surirumah lebih memenatkan berbanding bekerja di pejabat. Lebih-lebih lagi apabila mereka langsung tidak mempunyai sebarang cutipun!

12.33pm

* Semoga artikel yang saya sediakan ada manfaatnya buat Puan Nurisza dan ibu-ibu yang lain…insyaAllah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: