• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2012
    S M T W T F S
    « Apr   Jun »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  

Al-Quran

Salam Ukhuwah…

Sebuah cerita yang menarik untuk kita hayati…insyaAllah ada ilmunya buat bekalan kita bersama.

Di sebuah masjid di perkampungan Mesir, suatu petang. Seorang ustaz sedang mengajarkan murid-muridnya membaca Al-Qur’an. Mereka duduk melingkar & berkelompok. Tiba-tiba, masuk seorang anak kecil yang ingin menyertai di lingkaran mereka. Usianya kira-kira 9 tahun.

Sebelum menempatkannya di satu kelompok, ustaz itu ingin tahu kemampuannya. Dengan senyumnya yang lembut, dia bertanya kepada anak yang baru masuk tadi, “ada ayat yang kamu hafal dalam Al-Qur’an?”

“Ya,” jawab anak itu singkat.

“Kalau begitu, cuba bacakan salah satu ayat dari juz ‘Amma?” pinta ustaz

Anak itu mengalunkan beberapa ayat, fasih & betul tajwidnya. Merasa anak tersebut mempunyai kelebihan, guru itu bertanya lagi,“Adakah kamu hafal surah Tabaraka?” (Al-Mulk)

“Ya,” jawabnya lagi, & segera membacanya. Baik & lancar. Ustaz itu pun kagum dengan kemampuan hafazan si anak kecil itu, meski usianya lebih muda berbanding murid-muridnya yang ada.

Dia pun cuba bertanya lebih jauh, “kamu hafal surat An-Nahl?”

Ternyata anak kecil itu menghafalnya dengan sangat lancar, sehingga kekagumannya semakin bertambah. Lalu ustaz itu pun cuba mengujinya dgn surah-surah yang lebih panjang.

“Adakah kamu hafaz surat Al-Baqarah?”

Anak kecil itu kembali mengiyakan dan membacanya tanpa sedikitpun kesalahan. Dan ustaz itu semakin teruja dengan pertanyaan terakhir, “Anakku, adakah kamu menghafal Al-Qur’an?”

“Ya,” jawabnya dengan jujur.

Mendengar jawapan itu, seketika ustaz itu mengucapkan, “Subhanallah wa masyaallah,tabarakkallah.”

Setelah hari itu menjelang maghrib, sebelum ustaz tersebut menamatkan kelas mengaji, secara khusus dia berpesan kepada murid barunya,”Esok, kalau kamu datang ke masjid ini, tolong ajak juga ibubapa mu. Ustaz ingin berkenalan dengannya.”

Esok harinya, anak kecil itu kembali datang ke masjid. Kali ini dia bersama ayahnya, seperti pesan ustaz kepadanya. Melihat ayah dari anak tersebut, si ustaz bertambah kaget kerana gayanya tidak langsung seperti orang alim, kehormat & pandai.

Belum sempat dia bertanya, ayah si anak sudah menyapa terlebih dahulu, “Saya tahu, mungkin ustaz tidak percaya bahawa saya ini adalah ayah dari anak ini. Tapi rasa hairan anda akan saya jawab, sebenarnya disebalik anak kecil ini ada seorang ibu yang sekuat seribu lelaki. Dirumah, saya masih mempunyai 3 anak lagi yang semuanya hafal Al-Qur’an. Anak perempuan saya yg kecil berusia 4 tahun, dan sekarang sudah menghafal juz Amma”.

“Bagaimana si ibu itu boleh lakukan itu?” tanya si guru tanpa boleh menyembunyikan kekagumannya.

Ibu mereka, ketika anak-anak itu sudah pandai bercakap, si ibu membimbing anak kami menghafal Al-Qur’an dan selalu memotivasi mereka melakukan itu. Tak pernah berhenti dan tak pernah bosan. Dia selalu katakan kepada mereka, “Siapa yang hafal lebih dulu, dialah yang menentukan makan malam ini, “Siapa yang paling cepat mengulangi hafalannya, dialah yang berhak memilih ke mana kita boleh bersiar – siar nanti.”

“Itulah yang selalu dilakukan ibunya, sehingga tercipta semangat bersaing dan berlumba-lumba antara mereka untuk memperbanyak dan mengulang-ulang hafalan Al-Qur’an mereka,” jelas si ayah memuji isterinya.

Sebuah keluarga biasa yang boleh melahirkan anak-anak yang luar biasa. Hanya seorang ibu yang biasa. Setiap kita dan semua ibubapa tentu bercita-cita anak-anaknya menjadi generasi yang soleh, cerdas dan membanggakan. Tetapi tentu perkara itu tidak mudah.

Apatah lagi membentuk anak-anak itu mencintai & mencintai Al-Qur’an. Memerlukan perjuangan, perlu kekuatan. Mesti tekun & sabar melawan rasa letih dan susah tanpa kenal batas. Maka wajar jika si ayah mengatakan, “Disebalik anak ini ada seorang ibu yang kekuataanya sama dengan seribu lelaki.”

Ya, perempuan yang telah melahirkan anak itu memang begitu kuat & perkasa. Sebab membuat permulaan yang baik untuk kehidupan anak-anak, adalah tidak mudah. Hanya orang – orang yang punya kemahuan & motivasi yang boleh melakukannya. Dan tentu modal pertamanya adalah kesolehan diri. Tidak ada yang lain.

Ibu si anak cerdas ini, dia adalah lambang seorang perempuan solehah yang mewariskan kesolehannya ke dalam kehidupan rumah tangganya. Dialah contoh perempuan yang pernah diwasiatkan Rasulullah saw kepada kaum lelaki untuk mereka jadikan pendamping hidup diantara sekian banyak wanita.

Dengan menangggalkan keutamaan harta, kecantikan & keturunannya, seperti sabda Rasulullah saw, “Wanita dinikahi kerana 4 perkara: kerana hartanya, keturunannya. kecantikkannya, & agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”(HR.Bukhari & Muslim).

Perempuan yang dikenalkan kepada kita dalam cerita diatas, dia sebenarnya tidak memulakan kerja kerasnya ketika anak-anaknya baru belajar bercakap. Tidak. Tetapi jauh sebelum itu, tenaganya telah ditumpahkan untuk mengakrabkan mereka dengan bacaan-bacaan Al-Qur’an semasa mereka masih janin.

Dalam keadaan kehamilannya yang berat, ibu ini hampir setiap hari selalu meluangkan waktu untuk membaca Al-Qur’an, memperdengarkannya janin yang ada dirahimnya, dalam keadaan berbaring, duduk/pun bersandar. Perjuangan itulah yang berat tapi itu pulalah yang kemudian memudahkan lidah anak-anaknya merangkai kata demi kata dari ayat-ayat Al-Qur’an, saat mereka sebenarnya baru mulai belajar bicara.

Semoga dari kisah diatas dapat kita ambil pelajaran & menjadikan teladan.

jazimin.wordpress.com/category/mendidik-anak/

11.05am

Advertisements

Mendidik (II)

Menyuruh anak solat…

Salam Ukhuwah…

Saya panjangkan lagi artikel ‘mendidik’ dengan harapan semoga perkongsian ini mampu memberi sedikit pencerahan lagi kepada ibubapa sekalian, dalam mendidik anak-anak yang merupakan amanah besar Allah s.w.t. kepada kita semua. InsyaAllah apa yang baik-baik kita sama-sama jadikan panduan, yang kurang elok kita tambah baiknya dengan pengetahuan yang lebih sempurna hendaknya.

 

Anak-anak seawal usia sangatlah perlu dididik dengan nilai-nilai kehidupan yang baik agar mereka seiring membesar dengan akhlak yang bersih. InsyaAllah dengan didikan yang elok ini menjadi benteng kepada mereka apabila remaja kelak. Anak-anak yang terdidik ini kebiasaannya tidak akan terlalu bermasalah apabila remaja nanti.

Disinilah letaknya tanggungjawab ibubapa apabila melahirkan zuriat. Kita bukan sekadar mahukan zuriat yang cukup sifatnya, sihat rohani dan jasmaninya, berkhasiat makan minumnya, cukup pakaian dan mainannya…ini semua satu keperluan sampingan, tetapi yang menjadi kewajipannya adalah memberi didikan yang cukup sempurna buat anak-anak yang dilahirkan bersih ini tanpa secalit dosapun.

Jika kita perhatikan jauh, rosaknya kebanyakan generasi hari ini adalah hasil didikan tidak langsung daripada ibubapa mereka sendiri. Maka, jika kita tidak mahu menjadi ibubapa yang sedemikian, perlu kita fahami mengapa kita direzekikan dengan anak-anak sebagai penyeri rumahtangga.

Selain dari memberi rasa bahagia apabila kita dapat melihat keletah anak-anak, menjadi tanggungjawab ibubapa untuk merealisasikan tujuan Allah s.w.t. memberikan kita zuriat. Salah satunya adalah untuk menjadikannya Khalifah di muka bumi ini. Khalifah yang membawa maksud mudahnya adalah hamba Allah yang diciptakan untuk menjaga agama – bermu’amalah, mentadbir, memerintah, dan segala perlakuan lain adalah bersandarkan agama semata-mata.

Solat

Maka, apabila kita membincangkan bagaimana mahu mendidik anak-anak mendirikan solat, tiada yang lain melainkan kita mengikut jejak Rasulullah s.a.w. yang telah meninggalkan pesan bahawa, anak-anak perlu disuruh sembahyang seawal usianya tujuh tahun.

Ini bermakna pada usia ini anak-anak sudah mula boleh faham apa itu kehidupan beragama. Maka berlemah-lembutlah dalam mengajar anak-anak mendirikan solat, jangan sekadar menyuruh sahaja. Ajarlah mereka bagaimana untuk mendirikan solat – sama ada ibubapa sendiri mengajarnya mahupun dari sumber-sumber yang sewajarnya, seperti di sekolah yang lazimnya akan mengadakan Kem Solat beberapa kali dalam setahun. Alhamdulillah!

Mencapai umur anak-anak ini 10 tahun, mereka sudah boleh dipukul seandainya masih liat untuk solat.

Ini bermaksud bahawa pada umur ini sebenarnya anak-anak sudah dapat memahami nilai kehidupan beragama dengan lebih sempurna. Sepatutnya jiwa mereka sudah terkesan dengan  keperluan hidup beragama dan mereka sudah faham tentang kefardhuan solat keatas setiap Muslim.

Kebiasaannya pada umur 10 tahun anak-anak belum mencapai tahap aqil baligh, tetapi sudah menghampiri baligh iaitu usia taklif. Disinilah kita dapat lihat bahawa didikan Islam itu sangat sempurna – jika mahu mendidik, didiklah anak-anak diawal usia. Jika mereka sudah mencapai umur aqil baligh maka keadaan bukan lagi sama, jiwa remaja yang kerapkalinya suka ‘memberontak’ mungkin akan memberi kesukaran kepada ibubapa untuk membentuk keperibadian anak-anak ketika ini.

Maksud memukul pula adalah dengan maksud mendidik, bukan untuk mendera. Memukul juga bukan di bahagian wajah yang merupakan kehormatan seseorang, tetapi pada anggota badan yang lain.

Namun jika kita melihat kewajipan solat ini masih dibuat acuh tidak acuh kepada anak-anak seusia ini, ia memberi petanda awal bahawa jiwa mereka belum terbina sempurna dengan nilai kehidupan beragama. Maka disinilah perlunya ibubapa mengambil sepenuh usaha untuk memperbetulkan keadaan sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

Tetapi jangan pula asyik memukul anak-anak tanpa dinasihati dan diperbaiki kesilapan mereka. Emosi anak-anak juga haruslah dijaga agar mereka tidak terganggu perkembangan psikologinya. Sepatutnya mereka telah faham mengapa kita telah bertindak sedemikian ketika menghukum.

Namun, jika ada ibubapa yang terlewat dalam mendidik ia bukanlah sesuatu yang terlambat untuk berubah kearah yang lebih baik. Maka, bukan sekadar kita mahukan anak-anak yang berubah, tapi mulakan dengan ibubapa terlebih dahulu. Pastikan kita menunjukkan contoh teladan yang terbaik, mudah-mudahan anak-anak ini secara tidak langsung mengakui kebaikan ibubapa mereka.

11.46am

Mendidik

Saya mempunyai 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan berumur 14, 12, 9 dan 8 tahun. Saya sering menyuruh mereka belajar, solat, mengaji dan menasihati mereka. Tetapi mereka sangat degil dan tidak mahu mendengar kata.

(Pandangan saya di bawah ini adalah umum, bukan merujuk kepada perkongsian di atas semata-mata)

Belajar, bersolat dan mengaji…tidak dinafikan ianya suatu aktiviti yang memerlukan lebih perhatian daripada ibubapa dalam mendidik anak-anak.

Apatah lagi jika di rumah disedikan banyak peralatan permainan – tidak kiralah apa jua bentuk permainan sekalipun – mahupun sangat diberikan kelonggaran masa untuk menonton televisyen tanpa sebarang had waktu.

Sebenarnya anak-anak ini bukanlah sukar sangat untuk dididik, tetapi tidak juga terlalu mudah. Sebagai ibubapa kita sangat perlu berperanan dalam mewujudkan suatu suasana yang baik kepada anak-anak, lebih-lebih lagi semasa aktiviti belajar, bersolat mahupun mengaji. Mudah-mudahan apabila ada suasana yang menyenangkan ini anak-anak akan lebih teruja untuk melakukan apa saja yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Selain dari menyediakan suatu suasana yang baik, anak-anak ini juga memerlukan kata-kata semangat daripada ibubapa. Bukan kata-kata semangat yang terlalu bersungguh-sungguh tetapi dengan ayat-ayat yang lebih ringan tetapi mampu menusuk ke jiwa mereka. Jangan sekadar berkata, itu wajib, ini tanggungjawab, itu untuk masa depan – kata-kata sebegini mungkin menjadikan mereka rasa terbeban, dan jika diulang berulang kali ianya tentu merimaskan anak-anak.

Beri mereka kata-kata semangat yang berbentuk kesedaran,  ini akan memotivasikan mereka. Biasanya saya akan berkata begini kepada anak-anak:

Belajar: Siapa dapat keputusan yang baik dalam peperiksaan cikgu akan sayang, Cek dan Pa akan bagi hadiah dan Allah pun sayang.

Solat: Siapa yang solat Allah sayang, dapat pahala dan masuk Syurga (masa ni seronok la cerita macam-macam pasal Syurga. Selalunya saya akan kata, dalam syurga kita akan dapat apa yang kita nak. Lepas tu anak-anak akan tanya, nak superman boleh? Jawab saya, boleh. Nak terbang boleh? Boleh. Nak baju cantik-cantik boleh? Boleh. Semuanya saya akan kata boleh walau apa jua soalan pun supaya mereka akan jatuh cinta dengan Syurga – syaratnya kena solat dulu.

Mengaji: Siapa baca al-Quran Allah sayang. Siapa cepat khatam al-Quran Cek dan Pa akan bagi hadiah.

(Contoh ayat-ayat saya di atas sekadar sesuai untuk anak-anak 4 tahun – 8 tahun sahaja)  

Biasanya untuk menundukkan jiwa anak-anak ibubapa seringnya akan berjanji, maka tunaikanlah. Memungkiri janji membawa kesan buruk kepada jiwa anak-anak. Mereka tidak lagi percaya kepada kata-kata ibubapanya. Jika sudah demikian, anak-anak mungkin tidak mendengar kata lagi. Siapa yang salah? Kita akan nampak anak yang degil, tetapi itulah hasil didikan yang kita berikan tanpa sedar.

Saya sendiri sentiasa memberikan hadiah untuk anak-anak, tidak perlu berhabis wang ringgit tetapi sekadar untuk menunaikan janji. Paling tidakpun saya akan berjanji untuk membeli baju sekolah yang baru jika mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan (sebenarnya baju itu memang akan dibeli kerana kebiasaannya saya tidak membeli pakaian baru diawal sesi persekolahan. Tetapi untuk memancing semangat mereka, berjanjilah, untuk memberi keseronokan kepada anak-anak).

Adakalanya saya berjanji untuk belikan mereka kasut sekolah baru, beg sekolah baru, alatulis baru, dan sebagainya – yang sebenarnya barangan itu adalah keperluan yang sepatutnya saya belikan jika tidak berjanjipun. Tetapi berjanji kepada anak-anak mampu memberikan keseronokan kepada mereka. Kekadang terfikir bahawa tindakan saya yang selalunya tidak membeli sebarang keperluan baru diawal sesi persekolahan memberikan peluang untuk membuat janji yang tentunya ditepati.

Membuat janji merupakan satu tarikan buat anak-anak, tetapi sebenarnya tidak cukup dengan sekadar berjanji sahaja. Adakalanya kita perlu duduk bersama-sama ketika mereka sedang belajar, berjamaah ketika bersolat dan mengajar sendiri anak-anak mengaji al-Quran. Tidak mampu melakukannya? Sebenarnya kita sangat mampu, tetapi merasa tidak cukup masa untuk menemani anak belajar, tidak cukup baik untuk menjadi imam, tidak tahu membaca al-Quran.

Maka berubahlah. Saya sendiri memperuntukkan masa selang antara Maghrib dengan Isya’ untuk menemani anak-anak belajar (membuat kerja sekolah, jika tiada homework saya benarkan mereka berehat, kecuali pada minggu peperiksaan mereka perlu membuat latihan).  Anak-anak yang bersekolah seramai lima orang akan bertebaran berada berhampiran saya, maka senang untuk mereka bertanya jika ada keperluannya. Atau mereka sekadar membuat kerja sekolah tanpa perlu saya mengajarnya, tetapi percayalah kehadiran ibu mampu memberi satu rasa kepada anak-anak, bahawa mereka ditemani, disayangi dan dihargai.

Masa

Pada saya, ibubapa perlu menyediakan masa tertentu untuk bersama anak-anak. Tidak kiralah untuk aktiviti apa sekalipun asalkan ia baik-baik untuk perkembangan jiwa mereka.

Begitu juga dengan perjalanan kehidupan mereka, perlu ada penjadualannya bergantung kepada keselesaan keluarga itu sendiri. Tidaklah terlalu rigid tetapi bertepatan dengan fitrah.

Kalau solatpun ada waktunya, begitu juga dengan masa belajar, mengaji, bermain  dan sebagainya. Saya sendiri tegas tidak membenarkan anak-anak menonton tv semasa tempoh waktu solat.

Saya sendiri buat macam ni (tengok pada perubahan waktu solat):

Zohor: 1 petang – 2 petang: tidak boleh menonton tv.

Asar : 4.30 petang dah tutup tv – biasanya mereka akan bermain selepas waktu solat sehingga waktu mandi petang.

Selesai mandi, makan, solat Maghrib, mengaji al-Quran, buat homework/ belajar, solat Isya’, sambung homework jika belum siap, tengok tv sehingga jam 10 malam sahaja, tidur.

InsyaAllah jika aturannya sedari kecil, anak-anak tidak bermasalah untuk melaluinya.

Fitrah

Ibubapa juga  jangan terlalu mengharapkan anak-anak menjadi sebagaimana diinginkan. Sudah menjadi fitrah kita mahukan anak-anak yang cemerlang, tetapi terimalah hakikat sekiranya mereka diparas sedan-sedan sahaja. Jangan terlalu mendesak, itu hanya menambahkan tekanan kepada mereka sahaja. Pentingnya kita selalu mendorong mereka dengan cara berhikmah.

Saya juga begitu, bukan tidak bimbang apabila ada prestasi anak jongkang-jongket. Tetapi ibubapa seharusnya yang mulakan tindakan seterusnya, supaya keadaan lebih terkawal pada masa hadapan. Cuba semak dimana kesukaran buat anak-anak, bantu mereka untuk perbaiki kelemahan sebelumya. Jangan drastik, lakukan perubahan secara perlahan-lahan tetapi berterusan.

Saya lakukannya begini: Jika keputusan matapelajaran Sains anakanda saya tidak memberansangkan, saya belikannya buku latihan tambahan untuk subjek tersebut. Dalam masa yang sama saya belikannya juga buku latihan subjek Matematik, walaupun kebiasaannya dia mendapat markah yang baik dalam subjek ini. Saya melihat ini sebagai dorongan keseimbangan. Saya katakan kepadanya: Buat latihan tambahan untuk Matematik supaya sentiasa cemerlang, latihan untuk Sains pula supaya markah lebih baik.

Moga-moga apa yang kita lakukan kepada anak-anak menarik perhatian mereka untuk melaksanakan apa jua aktiviti yang seharusnya dilaksanakan.

Komunikasi

Dalam mendidik anak-anak supaya mendengar kata ibubapa, komunikasi dengan mereka haruslah sentiasa dipermudahkan. Jika mereka bercerita, dengarlah. Jika mereka mengadu, dengarlah. Jika mereka meminta, dengarlah. Sekurang-kurangnya anak-anak akan rasa senang dengan kehadiran ibubapa dalam kehidupan mereka. Jika anak-anak sudah karib dengan ibubapa, tentunya mereka mudah menerima apa jua permintaan yang disampaikan.

Akhirnya, apa jua yang saya kongsikan di sini sekadar memberi sedikit pencerahan kepada ibubapa sekalian. Sebenarnya mendidik anak boleh menjadi suatu keseronokan jika kena caranya. Paling penting, jangan memaksa mereka, tetapi ajar dahulu apa yang sepatutnya.


9.21am

Surirumah Berkerjaya

Saya seorang surirumah yang berkerjaya. Saya mempunyai 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan berumur 14, 12, 9 dan 8 tahun. Saya sering menyuruh mereka belajar, solat, mengaji dan menasihati mereka. Tetapi mereka sangat degil dan tidak mahu mendengar kata. Setiap kali solat saya selalu mendoakan mereka supaya menjadi anak-anak yang berjaya dunia dan akhirat. Bagaimana saya hendak menangani masalah ini, minta nasihat puan.

Salam Ukhuwah…

Saya menerima perkongsian daripada seorang sahabat yang berkunjung di sini. Melihat kepada pengalaman yang dikongsikan, saya percaya situasi sebegini bukanlah asing kepada ibubapa sekalian.

Sedikit berbeza tapi hampir sama dengan artikel yang kita bincangkan tempohari. Cuma apa yang menarik perhatian untuk saya kongsikan pengalaman dan pengetahuan terlebih dahulu, adalah berkaitan dengan sahabat kita ini yang bergelar surirumah yang berkerjaya. (Perkongsiannya yang seterusnya kita bincangkan kemudian, insyaAllah).

Saya tidak pasti samada beliau seorang ibu berkerjaya yang juga akan melakukan kerja-kerja lazim sebagai surirumah apabila berada di rumah, ataupun seorang surirumah yang mempunyai kerjaya sampingan. Apapun peranannya, ia menarik perhatian saya yang bergelar surirumah ini. Saya bukanlah surirumah yang berkerjaya (‘berkerjaya’ apabila ada permintaan), tetapi apabila merujuk kepada surirumah yang mempunyai kerjaya sampingan, bagi saya dia adalah seorang yang berdaya saing.

Surirumah juga adalah suatu kerjaya sebenarnya kerana mereka juga melakukan kerja, bukannya hanya melangut di rumah. Apatah lagi kepada surirumah yang berkerjaya, mereka sebenarnya mempunyai semangat yang sentiasa membara untuk berdikari dalam memajukan dan mengekspresikan diri sendiri. Tentunya mereka juga positif untuk bersama-sama membantu suami dalam membina ekonomi keluarga yang lebih teguh demi mencapai kualiti hidup yang lebih sempurna.

Istimewanya mereka yang bergelar surirumah berkerjaya ini adalah dapat memberi luang waktu yang lebih baik kepada anak-anak dan keluarga. Tentunya apabila bekerja dari rumah dan sentiasa berada dekat dengan anak-anak, langsungnya mereka dibawah jagaan dan pengawasan yang lebih baik dan sempurna hendaknya daripada seorang ibu. InsyaAllah tiada lagi kes penderaan anak-anak kecil oleh pengasuh dan dapat memberi sokongan lebih baik kepada anak-anak remaja yang seringnya menuntut perhatian sewajarnya dari terjebak dengan gejala sosial yang pelbagai. 

Peluang

Tempoh masa untuk surirumah berkerjaya juga boleh disesuaikan sendiri mengikut keperluan keluarganya. InsyaAllah kebanyakan masa mereka adalah di rumah, ada waktunya untuk anak-anak dan untuk merawat letih si suami sepulangnya dari pejabat. Suami pun teruja apabila pulangnya disambut, begitu juga dengan anak-anak yang sentiasa mendapat peluang untuk berkasih mesra dari seorang ibu.

Tentunya kebanyakan ibu mahukan situasi sebegini – mahu mengurus dan mengatur rumahtangga sendiri – tetapi surirumah berkerjaya sahaja mampu mengecapi nikmat yang satu ini. Pendapatan pun dapat, kasih sayang langsung kepada suami dan anak-anak juga seiring hendaknya.

Seorang perempuan apabila mereka bergelar isteri, seterusnya memegang peranan sebagai ibu, sebenarnya terus mempunyai keinginan untuk mencari kepuasan kehidupan peribadinya sendiri. Ada yang mencari kepuasan dengan berkerjaya – memberi mereka peluang untuk melihat dunia luar. Sebaliknya ada isteri yang memilih untuk menjadi surirumah kerana keistimewaanya yang tersendiri.

Saya sendiri memilih untuk menjadi surirumah, tetapi tidak bermakna apabila menjadi surirumah kita tidak melihat dunia luar. Jangan jadikan dunia anda hanya di rumah. Ada masanya kita perlu keluar mencari ‘hiburan’ sendiri selepas selesai menguruskan keperluan ahli keluarga yang lain. Keluarlah untuk beraktiviti bersama rakan-rakan, pergi makan-makan pun sudah cukup sambil bertukar-tukar fikiran, berkongsi cerita dan pandangan. InsyaAllah aktiviti sebegini mampu mengembalikan semangat anda untuk meneruskan kehidupan ini.

(Perkongsian seterusnya kita bincang kemudian, insyaAllah)

9.28am

Kem

Salam Ukhuwah…

Kem Perkhemahan Badan Beruniform datang lagi.

Seperti tahun sebelumnya, saya membenarkan anakanda sulong menyertainya. Kali ini perkhemahan diadakan pada 27-29 April, bertempat di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kelantan. Dekat saja, macam jalan-jalan balik kampung…lebih kurang setengah jam perjalanan sahaja dari Kota Bharu.

Walaupun dekat, keterujaan anakanda untuk menyertai kem perkhemahan kali ini tetap membuak-buak seperti dulu juga. Keseronokan untuk bereksplorasi bersama kawan-kawan dan guru-guru tetap menjadi keinginan yang penuh meruap.

Kali ini bayaran yang dikenakan sebanyak RM60. Semua keperluan disediakan sepanjang perkhemahan tersebut, jadi saya hanya membekalkan wang saku sebanyak RM10 sahaja. Seperti biasa handphone tidak dibenarkan dibawa sama sekali.

Sebanyak empat badan beruniform menyertai perkhemahan ini, dimana empat buah bas disewa khas untuk membawa mereka ke tapak perkehemahan. Bas mula bertolak seawal jam 8.30 pagi.

Alhamdulillah, kali ini impian untuk anakanda saya tidur di dalam khemah tercapai. Tetapi hanya satu malam sahaja, malam kedua terpaksa tidur di dalam dewan kerana hujan.

Selepas tiga hari dua malam melakukan pelbagai aktiviti sampingan, saya kembali menjemputnya di sekolah lebih kurang jam 2.30 petang.

Terima kasih kepada guru-guru yang menjaga baik semua ahli rombongan yang terlibat.

12.09pm

57

Salam Ukhuwah…

12 Jumadi thani 1433/ 3 Mei 2011, sekali lagi saya menerima kedatangan seorang anak saudara baru daripada keluarga kekanda saya, Nik Abdul Rahim/ Arina Abdul Rahman. Langsungnya menjadikan cucu ayahbonda menjangkau ke angka 57!

Saya menerima pesanan ringkas daripada kekanda yang menyatakan bayi lelaki mereka telah selamat dilahirkan pada jam 7.03 pagi. Kakak ipar saya yang seorang ini amatlah mudah apabila melahirkan pada setiap kelahiran kesemua anak-anaknya. Alhamdulillah.

Pada malam sebelumnya dia kelihatan sihat-sihat saja semasa kami makan malam bersama di rumah ayahbonda, tanpa sebarang tanda ‘keletihan’ ibu-ibu mengandung disaat-saat akhir.

Alhamdulillah, ini anak yang ke-11 didalam keluarga mereka. Hebat! Memang saya tak terkejar. Tahniah buat kekanda sekeluarga, semoga rezeki memiliki anak-anak yang ramai ini memberikan suatu suasana kemeriahan dan kebahagiaan didalam rumahtangga kalian. Mudah-mudahan setiap anak-anak ini mampu menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Jika tempohari si sulong mereka, Nik Mariyyah al-Qibtiah (Hafizah) telah mengharumkan nama Maahad Darul Anuar, apabila muncul sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 8A, semoga anak-anak yang lain juga bakal mengikut jejak langkah kakak sulong mereka ini. Semoga mereka semua bakal membawa pulang kejayaan yang lebih bererti, insyaAllah.

6.23pm