• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2012
    S M T W T F S
    « Apr   Jun »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  

Mendidik

Saya mempunyai 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan berumur 14, 12, 9 dan 8 tahun. Saya sering menyuruh mereka belajar, solat, mengaji dan menasihati mereka. Tetapi mereka sangat degil dan tidak mahu mendengar kata.

(Pandangan saya di bawah ini adalah umum, bukan merujuk kepada perkongsian di atas semata-mata)

Belajar, bersolat dan mengaji…tidak dinafikan ianya suatu aktiviti yang memerlukan lebih perhatian daripada ibubapa dalam mendidik anak-anak.

Apatah lagi jika di rumah disedikan banyak peralatan permainan – tidak kiralah apa jua bentuk permainan sekalipun – mahupun sangat diberikan kelonggaran masa untuk menonton televisyen tanpa sebarang had waktu.

Sebenarnya anak-anak ini bukanlah sukar sangat untuk dididik, tetapi tidak juga terlalu mudah. Sebagai ibubapa kita sangat perlu berperanan dalam mewujudkan suatu suasana yang baik kepada anak-anak, lebih-lebih lagi semasa aktiviti belajar, bersolat mahupun mengaji. Mudah-mudahan apabila ada suasana yang menyenangkan ini anak-anak akan lebih teruja untuk melakukan apa saja yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Selain dari menyediakan suatu suasana yang baik, anak-anak ini juga memerlukan kata-kata semangat daripada ibubapa. Bukan kata-kata semangat yang terlalu bersungguh-sungguh tetapi dengan ayat-ayat yang lebih ringan tetapi mampu menusuk ke jiwa mereka. Jangan sekadar berkata, itu wajib, ini tanggungjawab, itu untuk masa depan – kata-kata sebegini mungkin menjadikan mereka rasa terbeban, dan jika diulang berulang kali ianya tentu merimaskan anak-anak.

Beri mereka kata-kata semangat yang berbentuk kesedaran,  ini akan memotivasikan mereka. Biasanya saya akan berkata begini kepada anak-anak:

Belajar: Siapa dapat keputusan yang baik dalam peperiksaan cikgu akan sayang, Cek dan Pa akan bagi hadiah dan Allah pun sayang.

Solat: Siapa yang solat Allah sayang, dapat pahala dan masuk Syurga (masa ni seronok la cerita macam-macam pasal Syurga. Selalunya saya akan kata, dalam syurga kita akan dapat apa yang kita nak. Lepas tu anak-anak akan tanya, nak superman boleh? Jawab saya, boleh. Nak terbang boleh? Boleh. Nak baju cantik-cantik boleh? Boleh. Semuanya saya akan kata boleh walau apa jua soalan pun supaya mereka akan jatuh cinta dengan Syurga – syaratnya kena solat dulu.

Mengaji: Siapa baca al-Quran Allah sayang. Siapa cepat khatam al-Quran Cek dan Pa akan bagi hadiah.

(Contoh ayat-ayat saya di atas sekadar sesuai untuk anak-anak 4 tahun – 8 tahun sahaja)  

Biasanya untuk menundukkan jiwa anak-anak ibubapa seringnya akan berjanji, maka tunaikanlah. Memungkiri janji membawa kesan buruk kepada jiwa anak-anak. Mereka tidak lagi percaya kepada kata-kata ibubapanya. Jika sudah demikian, anak-anak mungkin tidak mendengar kata lagi. Siapa yang salah? Kita akan nampak anak yang degil, tetapi itulah hasil didikan yang kita berikan tanpa sedar.

Saya sendiri sentiasa memberikan hadiah untuk anak-anak, tidak perlu berhabis wang ringgit tetapi sekadar untuk menunaikan janji. Paling tidakpun saya akan berjanji untuk membeli baju sekolah yang baru jika mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan (sebenarnya baju itu memang akan dibeli kerana kebiasaannya saya tidak membeli pakaian baru diawal sesi persekolahan. Tetapi untuk memancing semangat mereka, berjanjilah, untuk memberi keseronokan kepada anak-anak).

Adakalanya saya berjanji untuk belikan mereka kasut sekolah baru, beg sekolah baru, alatulis baru, dan sebagainya – yang sebenarnya barangan itu adalah keperluan yang sepatutnya saya belikan jika tidak berjanjipun. Tetapi berjanji kepada anak-anak mampu memberikan keseronokan kepada mereka. Kekadang terfikir bahawa tindakan saya yang selalunya tidak membeli sebarang keperluan baru diawal sesi persekolahan memberikan peluang untuk membuat janji yang tentunya ditepati.

Membuat janji merupakan satu tarikan buat anak-anak, tetapi sebenarnya tidak cukup dengan sekadar berjanji sahaja. Adakalanya kita perlu duduk bersama-sama ketika mereka sedang belajar, berjamaah ketika bersolat dan mengajar sendiri anak-anak mengaji al-Quran. Tidak mampu melakukannya? Sebenarnya kita sangat mampu, tetapi merasa tidak cukup masa untuk menemani anak belajar, tidak cukup baik untuk menjadi imam, tidak tahu membaca al-Quran.

Maka berubahlah. Saya sendiri memperuntukkan masa selang antara Maghrib dengan Isya’ untuk menemani anak-anak belajar (membuat kerja sekolah, jika tiada homework saya benarkan mereka berehat, kecuali pada minggu peperiksaan mereka perlu membuat latihan).  Anak-anak yang bersekolah seramai lima orang akan bertebaran berada berhampiran saya, maka senang untuk mereka bertanya jika ada keperluannya. Atau mereka sekadar membuat kerja sekolah tanpa perlu saya mengajarnya, tetapi percayalah kehadiran ibu mampu memberi satu rasa kepada anak-anak, bahawa mereka ditemani, disayangi dan dihargai.

Masa

Pada saya, ibubapa perlu menyediakan masa tertentu untuk bersama anak-anak. Tidak kiralah untuk aktiviti apa sekalipun asalkan ia baik-baik untuk perkembangan jiwa mereka.

Begitu juga dengan perjalanan kehidupan mereka, perlu ada penjadualannya bergantung kepada keselesaan keluarga itu sendiri. Tidaklah terlalu rigid tetapi bertepatan dengan fitrah.

Kalau solatpun ada waktunya, begitu juga dengan masa belajar, mengaji, bermain  dan sebagainya. Saya sendiri tegas tidak membenarkan anak-anak menonton tv semasa tempoh waktu solat.

Saya sendiri buat macam ni (tengok pada perubahan waktu solat):

Zohor: 1 petang – 2 petang: tidak boleh menonton tv.

Asar : 4.30 petang dah tutup tv – biasanya mereka akan bermain selepas waktu solat sehingga waktu mandi petang.

Selesai mandi, makan, solat Maghrib, mengaji al-Quran, buat homework/ belajar, solat Isya’, sambung homework jika belum siap, tengok tv sehingga jam 10 malam sahaja, tidur.

InsyaAllah jika aturannya sedari kecil, anak-anak tidak bermasalah untuk melaluinya.

Fitrah

Ibubapa juga  jangan terlalu mengharapkan anak-anak menjadi sebagaimana diinginkan. Sudah menjadi fitrah kita mahukan anak-anak yang cemerlang, tetapi terimalah hakikat sekiranya mereka diparas sedan-sedan sahaja. Jangan terlalu mendesak, itu hanya menambahkan tekanan kepada mereka sahaja. Pentingnya kita selalu mendorong mereka dengan cara berhikmah.

Saya juga begitu, bukan tidak bimbang apabila ada prestasi anak jongkang-jongket. Tetapi ibubapa seharusnya yang mulakan tindakan seterusnya, supaya keadaan lebih terkawal pada masa hadapan. Cuba semak dimana kesukaran buat anak-anak, bantu mereka untuk perbaiki kelemahan sebelumya. Jangan drastik, lakukan perubahan secara perlahan-lahan tetapi berterusan.

Saya lakukannya begini: Jika keputusan matapelajaran Sains anakanda saya tidak memberansangkan, saya belikannya buku latihan tambahan untuk subjek tersebut. Dalam masa yang sama saya belikannya juga buku latihan subjek Matematik, walaupun kebiasaannya dia mendapat markah yang baik dalam subjek ini. Saya melihat ini sebagai dorongan keseimbangan. Saya katakan kepadanya: Buat latihan tambahan untuk Matematik supaya sentiasa cemerlang, latihan untuk Sains pula supaya markah lebih baik.

Moga-moga apa yang kita lakukan kepada anak-anak menarik perhatian mereka untuk melaksanakan apa jua aktiviti yang seharusnya dilaksanakan.

Komunikasi

Dalam mendidik anak-anak supaya mendengar kata ibubapa, komunikasi dengan mereka haruslah sentiasa dipermudahkan. Jika mereka bercerita, dengarlah. Jika mereka mengadu, dengarlah. Jika mereka meminta, dengarlah. Sekurang-kurangnya anak-anak akan rasa senang dengan kehadiran ibubapa dalam kehidupan mereka. Jika anak-anak sudah karib dengan ibubapa, tentunya mereka mudah menerima apa jua permintaan yang disampaikan.

Akhirnya, apa jua yang saya kongsikan di sini sekadar memberi sedikit pencerahan kepada ibubapa sekalian. Sebenarnya mendidik anak boleh menjadi suatu keseronokan jika kena caranya. Paling penting, jangan memaksa mereka, tetapi ajar dahulu apa yang sepatutnya.


9.21am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: