• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    June 2012
    S M T W T F S
    « May   Jul »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930

Kawan Selepas Kahwin (II)

Salam Ukhuwah…

Saya ada seorang jiran yg hampir sebaya dgn saya. dia isteri kepada staff suami saya. Makin berkawan makin dia suka ambil kesempatan. Sentiasa dikomen. Sentiasa ada saja dia nak mengomel. tak tentang family mertua saya, kadang sampai orang sekeliling rumah dia nak komen. Keadaan ini ada memberi tekanan pada saya. Saya banyak bersyukur kerana tuhan memberi saya kesenangan selepas berkahwin. Tapi kesenangan saya ni jadi masalah Pulak bg jiran saya. Kerana dia kadang pertikaikan hidup saya dengan dia.

Kebanyakkan masalah saya pendam dalam hati. Nak menjawab balik mulut orang saya tak suka…nanti gaduh pula… Perkara begini sangat bagi tekanan pada saya…

Saya rasa puan mungkin ada pandangan untuk saya. Cara terbaik untuk saya elak jadi sahabat dengan orang begini dan pendapat untuk saya fokus pada apa yg sepatutnya. mungkin hal ini terjadi sebab saya banyak beralah dengan orang sampai tak ada pendirian sendiri. terima kasih.

 

Saya tidaklah tahu bagaimana kawasan kejiranan Puan, tetapi memiliki jiran sebagaimana yang diceritakan, ia sangatlah tipikal melayu dulu-dulu di kawasan perumahan – suka menjaga tepi kain orang secara berlebihan, dengan kata mudah, mengumpatlah kerja hariannya. Pantang ada keluangan masa, pantang melihat kelibat jiran yang lain, mulalah diajak bersembang kosong yang akhirnya membawa kepada sesi mengumpat dan disimpulkan pula dengan fitnah rekaan semata.

Mendapat jiran sebegini sememangnya tidak selesa, dia yang mengumpat kita yang tumpang dengar pun dapat saham dosa sekali. Jalan selamat untuk mengelakkan diri dari dihasuti jiran sebegini, cukuplah sekadar bertegur sapa sepatah dua dan katakan saja kita sibuk untuk menguruskan rumahtangga.

Jika kelihatan seolah-olah dia masih mendesak untuk berbicara dan mulalah menjaja cerita yang entah betul mahupun tidak, perlulah kita cari kekuatan untuk cuba mengalihkan topik perbualan pada waktu itu. Mungkin boleh bertanya kepadanya soalan-soalan ringan sahaja. Contohnya:

~ masak apa hari ni?

~ cantik baju, beli kat mana?

~ baca tak paper hari ni? Kesian kan…bla…bla…bla…

Nampak macam soalan remeh saja, tetapi sesuai ke untuk kita tanya soalan yang ‘luar biasa’ kepada jiran sebegini?

Saya melihat orang-orang yang suka mengumpat sebenarnya hanya mencari perhatian yang lebih baik dari kawanan sekelilingnya. Mereka punya kelemahan, tetapi bernafsu besar untuk berlebihan. Kerana tidak berkemampuan maka mereka terpaksa menutup kelemahan sendiri dengan mencari kelemahan orang lain.

Ianya juga bergantung kepada tahap kebaikan (keimanan) seseorang, jika kita punya akhlak yang baik, tentunya sama sekali tidak mahu mencari aib orang lain. Janji Allah, jika kita tiada segan membuka aib orang lain, maka Allah sendiri yang akan membuka aib diri kita. Tidakkah memalukan jika aib kita dipertontonkan ramai? Begitulah juga apabila kita suka mengambil tahu perihal orang lain sehingga boleh mendatangkan fitnah, tidakkah mereka juga malu?

Sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku, kita harus sentiasa positif dalam kehidupan. Jika terasa diri punya kelemahan, maka motivasikanlah diri sendiri dengan melihat kejayaan orang lain. Usah dengki, tetapi cubalah berusaha dengan lebih baik untuk mencapai apa jua impian dengan kekuatan sendiri.

11.45pm

Kawan Selepas Kahwin

Salam Ukhuwah…

Semenjak saya kahwin, saya jarang bergaul dengan kawan. cuma dalam talifon aja sekali sekala.

 

Samada kita sedar mahupun tidak, perkahwinan sebenarnya akan merubah kehidupan peribadi kita sebelumnya. Jika sebelum berkahwin kita punya 10 orang rakan baik, mungkin ia akan berkurangan kepada lima orang sahaja selepas berumahtangga. Mungkin juga selang waktu beberapa tahun, kita akan setia dengan dua orang sahabat sahaja. Mungkin inilah sahabat sejati yang akan sudi mendengar keluh kesah kita pada bila-bila masa sahaja sejak dari dulu lagi.

Kenyataannya, kawan-kawan sebelum kita berkahwin secara semulajadinya akan makin menjauh dari semasa ke semasa. Bukan bermaksud kita saling mahu menjauhkan diri, tetapi pelbagai faktor akan memisahkan kita. Mungkin kerana kawan-kawan menghormati kita kerana sudah mempunyai tanggungjawab dalam rumahtangga, mungkin juga kerana keterbatasan waktu untuk kita sentiasa berhubung, atau kerana mereka juga telah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab tersendiri, mahupun apa jua alasan, itulah fitrah dunia.

Tetapi, jauh sekali untuk kita tidak mempunyai kawan selepas berkahwin. Kawan baru akan muncul jua dalam pelbagai keadaan, terutamanya isteri kepada kawan-kawan suami, sekitar kejiranan, ibu kepada kawan anak-anak kita di sekolah, mahupun di tempat kerja. Pentingnya, kita tahu menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan, insyaAllah segalanya akan menghiburkan kehidupan ini.

Apabila kita berkahwin juga, pembahagian masa bukan lagi untuk diri sendiri sahaja, tetapi ianya akan berbahagi kepada suami/ isteri, anak-anak dan urusan sampingan yang lain. Maka tentunya tidak lagi sesuai untuk kita berada sepertimana dalam situasi kehidupan sendirian sebelumnya. Dengan kata lebih tepat, kawan bukan lagi keutamaan, tetapi rumahtangga yang sedang dibina kebahagiaannya adalah lebih utama.

Bukan bermaksud tiada waktunya untuk kita bersantai dengan kawan-kawan, tetapi perlu kepada masa tertentu sahaja. Berborak di telefon sudah cukup baik, jika mahu berjumpa kawan-kawan,  mohon keizinan daripada suami untuk menjemput kawan-kawan ke rumah mahupun keluar bersantai untuk seketika. Namun, pastikan terlebih dahulu urusan anak-anak dan rumahtangga telah selesai pada kadar sepatutnya.

Dalam keadaan begini, suami juga perlu memahami isteri, lebih-lebih lagi kepada pasangan yang baru berkahwin. Seorang wanita fitrahnya suka untuk bercerita, apa saja akan diborakkan dengan kawan-kawan. Maka fahamilah isteri jika mereka meminta untuk keluar bersantai seketika dengan kawan-kawan. Jika suami boleh menjaga anak-anak di rumah, itu adalah lebih baik. Jika tidak mampu, minta isteri untuk bawa anak-anak bersama. Sekurang-kurangnya ini adalah peluang terbaik untuk mereka keluar bergembira dan berikteraksi dalam dunia sendiri.

Namun isteri juga perlu tahu had batasannya bilakah masa yang sesuai untuk keluar dengan kawan-kawan. Jangan pula ketika suami sedang memerlukan khidmat isteri di rumah, mahupun keluar rumah di malam hari, ini masanya yang sangat tidak sesuai.

11.49am

 

Tinggal Bersama Mertua (II)

Salam Ukhuwah…

 

Dalam usia yg muda saya berkahwin dan melahirkan anak, saya rasa diri saya sangat mundur kerana saya sering beralah dengan kakak ipar saya. Mungkin saya terlalu lembut untuk terima apa jua keadaan di rumah sampai rasa diri ni direndahkan dan kadang rasa tak dihargai. Setiap tingkah laku saya dikomen kerana saya tinggal dengan mak mertua. Mertua saya dah uzur.

 

 

Pada saya, usia berapa kita berkahwin bukan suatu bentuk petunjuk untuk meletakkan titik kelemahan suami/ isteri.

Saya sendiri boleh dikatakan berkahwin pada usia yang muda kot, umur 22 tahun saya sudah berkahwin, juga masih berstatus seorang pelajar.

Jika kita berkahwin pada usia melebihi 20-an, pada saya mereka sudahpun mencapai satu tahap kematangan dalam kehidupan, sudah bersedia fizikal dan mental untuk bergelar suami/ isteri dalam sesebuah rumahtangga. Apatah lagi jika kita punya pendidikan pada tahap tertentu, membawa maksud bahawa ada ilmu di dada sebagai bekalan kehidupan pada masa hadapan.

Jangan jadikan faktor usia sebagai penanda aras kematangan seseorang. Apabila kita telah memutuskan untuk berkahwin, sedikit- sebanyak ia menunjukkan sebuah proses kematangan berfikir dalam kehidupan.

Bersyukur juga apabila kita berkahwin diawal usia, sekurang-kurangnya kita masih muda untuk melahirkan zuriat yang ramai dan masih bersemangat untuk mendidik amanah ini.

 

Walau bagaimanapun, saya faham bagaimana perasaan seorang isteri yang tidak bekerja dan tinggal pula bersama mertua akan lebih pelbagai emosinya, berbanding jika kita seorang isteri berkerjaya. Namun, jangan jadikan ini semua alasannya untuk kita terus positif memandang ke hadapan.

Saya fikir Puan Nazura masih berada dalam situasi yang baik apabila masih mampu mengakses internet dalam kehidupan seharian, tidaklah sekadar membuat kerja-kerja rutin sebagai surirumah sahaja. Sekurang-kurangnya Puan boleh mendapatkan sebarang maklumat di hujung jari sahaja, boleh menambahkan pengetahuan dalam pelbagai perkara seperti ilmu rumahtangga, mencari resipi, perihal kesihatan diri, soal-jawab agama, tips kecantikan, dan semestinya banyak lagi pengetahuan yang mampu diraih, janji berkemahuan mahukan yang terbaik.

 

Saban hari juga, insyaAllah kehidupan ini akan mematangkan kita. Cara berinteraksi dengan persekitaran mungkin akan berubah kearah yang lebih baik, begitu juga kemahiran kita untuk bertindak dalam menyelesaikan masalah, seterusnya membuat keputusan yang bijak untuk kehidupan berkeluarga sendiri.

Sesekala untuk mengeluh sendirian tidaklah mengapa, itu semua fitrah seorang manusia yang punya pelbagai alasan untuk menidakkan sesuatu takdir yang berlaku keatasnya. Tetapi elakkan dari kerap mengadu kepada suami ketidakselesaan ini kerana mungkin akan terjadinya pergaduhan, kemungkinan yang lebih buruk juga akan berlaku. Keluhan ini haruslah ditimbal balik dengan kebijakan berfikir sesuatu yang lebih logik, jangan terlalu mengikut emosi yang biasanya menjurus kearah sesuatu yang kurang baik.

Contohnya; jika Puan merasa tidak selesa tinggal bersama mertua di rumahnya, fikirkan positif begini: sekurang-kurangnya hanya mertua tinggal bersama keluarga Puan, tiada lagi keluarga lain yang juga tinggal bersama di dalam rumah itu.

– saya pernah lihat, satu rumah mertua dihuni lima buah keluarga! Bayangkan! Jadi, dalam situasi Puan, bersyukurlah! Sekurang-kurangnya Puan masih mendominasi rumah itu.

 

Inilah realiti sebuah kehidupan. Jika kita pernah merancang sesuatu yang lebih baik sebelum berkahwin, mungkin ia berbeza selepasnya.

Saya bawa contoh pengalaman sendiri; sebelum berkahwin kami merancang untuk hidup bersama sebagaimana pasangan suami isteri yang lain. Tetapi ia tidak berlaku sedemikian apabila hala tuju kami setiap hari adalah berbeza, apabila suami menghala ke kanan untuk ke tempat kerja, manakala saya ke kiri untuk ke kampus. Akhirnya saya tetap berada di rumah sewa bersama kawan-kawan sebagaimana sebelumnya. Tentunya ia membuatkan kami terkilan. Tetapi bersyukurlah, sekurang-kurangnya saya tahu suami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam perhubungan kami.

 

Ini semua soal tanggungjawab – tanggungjawab suami kepada isteri, juga tanggungjawab suami kepada ibubapanya. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, maka inilah yang dinamakan pengorbanan. Saya percaya suami Puan mahukan segalanya berjalan sempurna, bahkan mahu memberikan yang terbaik kepada Puan sekeluarga, tetapi adakalanya perancangan Allah itu tidak mampu kita terjemahkan dengan logik akal semata.

~ Mungkin Allah mahu memberikan lebih kemuliaan kepada Puan sekeluarga kerana sudi menjaga orang tua.

~ Mungkin juga kerana peribadi Puan seorang yang berlemah-lembut mampu memberi rasa keharmonian kepada mertua yang sudah uzur.

~ Mungkin juga Allah mahu membantu Puan sekeluarga menguruskan sumber kewangan dengan lebih baik untuk masa hadapan, sekurang-kurangnya apabila berada di rumah mertua kita tidak perlu menyewa, maka dapatlah menabung ataupun memiliki keperluan lain yang lebih baik.

~ Mungkin juga yang lain, tetapi percayalah, perancangan Allah itu hebat. Kita tidak mampu merasa manis hari ini, tetapi bahagianya mungkin pada hari esok.

 

Jangan terlalu tertekan dengan situasi yang tidak memberi keselesaan kepada kita. Fikirkan bahawa Allah menganjurkan perkahwinan adalah kerana untuk memberi ketenangan dan kebahagiaan kepada pasangan tersebut. Maka kita yang bergelar suami/ isteri ini adalah orangnya yang dijanjikan dengan ketenangan dan kebahagiaan itu.

Apa jua keputusan yang mahu diambil, fikirlah semasaknya. Jangan terlalu mengambil perhatian kepada campur tangan ahli keluarga yang lain kerana kita lebih memahami keperluan keluarga sendiri.

4.04pm

Tinggal Bersama Mertua

Assalammualaikum…

Saya baru saja membaca blog puan dan sangat suka dengan pendapat dan pandangan puan. Sangat  berguna bagi saya yang masih nak belajar hidup berkeluarga.

Saya berumur 29 tahun, ada 2 anak berumur 4 & 2 tahun. Surirumah… harap puan tak kisah sekiranya saya ingin minta nasihat atau pandangan puan.

Saya tinggal bersama mertua dan maid. Suami saya ada bisnes sendiri. Rumah saya juga bersebelahan dengan ipar2 saya.

Waalaikumussalam,

Terima kasih kerana menjenguk blog saya, mudah-mudahan ada yang baik-baik untuk kita kongsikan bersama, insyaAllah.

Saya telah edit sedikit-sebanyak persoalan yang Puan kemukakan, demi perkongsian lebih baik untuk sahabat lain di sini. Jawapan saya secara umum, mudah-mudahan ada pencerahannya, insyaAllah.

Apabila saya membaca perenggan pertama persoalan daripada Puan Nazura, ada dua perkara yang tentunya menarik perhatian untuk kita kongsikan;

  1. Tinggal bersama mertua
  2. Tinggal bersebelahan dengan ipar duai

Perkongsian yang lumrahnya banyak berlaku, terutamanya kepada pasangan yang baru memulakan kehidupan berumahtangga.

Tentu sekali kehidupan berkeluarga bagi pasangan baru yang tinggal sebumbung dengan mertua, apatah lagi berjiran pula dengan ipar-duai akan mengundang persepsi yang tersendiri.

Jadi bagaimana untuk kita menggapai bahagia disamping keluarga sendiri yang baru dibina?

Jawapan umum, jadilah diri sendiri.

Jawapan yang kelihatan mudah, tetapi praktikalnya memanglah susah. Tetapi tidaklah sesusah mana jika kita tahu apa prioritinya dalam kehidupan berumahtangga yang telah kita bina selama ini.

Hidup serumah dengan mertua mahupun ‘keluarga’ yang lain tentunya perlu kepada sikap toleransi yang baik. Jangan terlalu mementingkan keluarga sendiri, tetapi perlu juga ‘memberi ruang’ kepada keluarga lain yang juga sebenarnya mempunyai masalah yang agak sama dengan kita juga.

Jika kita rasa tidak bebas hidup ‘menumpang’ begitu, mereka juga tidak bebas sebenarnya.

Jika kita rasa tidak selesa kerana terpaksa berkongsi itu ini, maka mereka juga begitu sebenarnya.

Jika kita rasa sukarnya mahukan ‘privacy’ untuk keluarga sendiri, mereka juga merasa apa yang kita rasa sebenarnya.

Maka, bertolak-ansurlah.

Tetapi harus diingat, jangan pula kerana kita tinggal di rumah mertua, adik-beradik yang lain tidak teragak-agak untuk menjadikan kita ‘tukang’ segala-galanya.

Tukang memasak apabila berkumpul?

Tukang bersihkan rumah apabila berkumpul?

Tukang beli barang keperluan apabila berkumpul?

Jika kita sendiri yang sudi melakukan semua kerja tukang ini, maka kita tidak jauh beza dengan peranan orang gaji sahaja.

Kita bersedia untuk menjadi orang gaji? Jika jawapannya TIDAK, maka kembalikan status diri sendiri, kita juga ahli keluarga sebagaimana orang lain yang berkumpul di rumah orang tua juga. Suami kita juga perlu faham etika ini, jadilah ‘pelindung’ yang baik kepada isteri anda dari ‘didera’ semasa keluarga berkumpul beramai-ramai. Untuk isteri, bersyukurlah kerana anda telah memiliki seorang suami yang sayangkan keluarganya.

Tidak dapat tidak, tinggal bersama mertua ada masanya kita merasa sedikit tertekan. Emosi cepat tersentuh – maka mulalah mahu menangis, berkurung saja dalam bilik, memberontak dengan suami, marahkan anak-anak, dan apa saja yang mungkin kita lakukan semata-mata untuk melepaskan beban yang ditanggung. Mungkin suami akan memujuk; sabarlah! – jawapan standard!

Maka kita pujuklah diri sendiri pula – anggaplah kita bertuah kerana dapat berbakti kepada orang tua – mertua juga adalah ibubapa kita. Hulurkan tenaga yang ada buat mereka, cekalkan hati dengan melihat jauh ke hadapan, bahawa Allah itu akan membalas segala apa yang baik telah kita lakukan seikhlas mungkin buat mereka.

Namun, jika kita sendiri ada keinginan untuk memiliki rumah dan membina kehidupan berkeluarga sendiri, maka berbincanglah sebaik mungkin dengan suami. Ambil pendekatan yang sesuai supaya tiada hati yang akan terguris terutamanya mertua. Panjangkan doa semoga impian untuk membina masa depan keluarga dengan lebih baik akan dimakbulkan Allah suatu masa nanti, insyaAllah.

10.01am

Rejab dan Syaaban persiapan Ramadhan

Salam Ukhuwah…

Rejab bakal berlalu pergi, hadirnya Syaaban beberapa hari lagi insyaAllah akan kita sambutnya dengan rasa yang lebih baik. Mudah-mudahan datangnya bulan yang berjiran Ramadhan ini mampu mengubah tahap keimanan kita kepada Allah s.w.t. kepada yang lebih sempurna.

Inilah waktunya untuk kita terus membawa kesinambungan amalan baik yang kita lakukan pada bulan Rejab, malah semoga apa jua kebajikan yang sudah kita lakukan selama ini akan dilipatgandakan pada Syaaban ini.

Sebagai Muslim, kehidupan kita janganlah statik. Jadilah kita sebagai Muslim yang sentiasa positif untuk berubah pada setiap waktu. Mudah-mudahan kita sentiasa tergolong dalam kalangan hamba yang sentiasa berkemahuan dalam memantapkan iman dan taqwa kepada Allah s.w.t..

Jika Rejab kita sudah mengambil peluang keatas kelebihannya, maka begitu jugalah Syaaban yang mengajak kita untuk terus menghayatinya sebaik mungkin. Manfaatkanlah peluang terbuka ini yang dikurniakan Allah s.w.t., jangan biarkan ia berlalu begitu saja kerana kelalaian kita sendiri.

Rejab dan Syaaban bukan sekadar suatu galakan kepada kita semua untuk melaksanakan ibadah puasa sunat, tetapi ia lebih dari itu. Kita diberi peluang terbuka untuk bebas melakukan apa jua amal kebajikan sepanjang bulan ini seperti bersedekah, berzikir, beristighfar, qiamullail, dan pelbagai amalan sunat yang lain, bahkan adalah lebih menguntungkan jika amalan baik yang dilaksanakan itu diangkat kepada Allah s.w.t. dalam keadaan kita berpuasa juga.

Syaaban juga memberi peluang untuk kita membuat persiapan terakhir yang terbaik sebelum menyambut Ramadhan yang penuh barakah. Jika selama ini kita banyak memberi tumpuan persiapan material kepada Syawal, maka kini tibalah masanya untuk kita bersiap sedia dari sudut ruhiah untuk menyambut Ramadhan yang penuh kemuliaan.

Ramadhan yang bertempoh sebulan amat perlu untuk kita hayatinya sebaik mungkin. Maka Rejab dan Syaaban adalah peluang terbaik untuk kita melatih diri sebelum menempuh Ramadhan. Selain mebiasakan diri dengan amalan berpuasa sunat yang secara tidak langsung mendidik diri untuk tidak merasa terbeban dan sukar apabila tiba Ramadhan nanti, kita juga digalakkan untuk sentiasa berdoa supaya diberi peluang meraikan Ramadhan yang bakal tiba. Berdoalah juga semoga kita mampu menghayati Ramadhan dengan lebih baik berbanding sebelumnya.

Ramadhan

Ramadhan adalah bulan yang terlalu istimewa.

Jangan sesekali merasakan semakin hampirnya dengan Ramadhan semakin keluh kesah kita dibuatnya, semata-mata kerana memikirkan diri yang terpaksa menahan lapar dan dahaga sepanjang hari selama sebulan lamanya.

Jika sekarang kita sudah membuat kira-kiraan persiapan Syawal, maka kala ini juga peluang untuk membuat persiapan menyambut Ramadhan yang makin hampir. Paling tidakpun, hadirkan rasa gembira untuk kita menyambut satu bulan yang penuh dengan rahmat Allah s.w.t., betapa beruntungnya jika kita semua diberi kesempatan untuk berada di dalam Ramadhan dimana semua pintu-pintu syurga dibuka, malah ditutup pula semua pintu-pintu neraka. Sungguh nikmat!

Jika Rejab tempohari masih banyak kekurangannya, kita perbaiki lagi pelbagai amalan yang baik ini dibulan Syaaban. InsyaAllah kita perbanyakkan membaca al-Quran, mudah-mudahan latihan berterusan ini akan dapat membantu kita khatam al-Quran di bulan Ramadhan nanti. Selain itu ayat-ayat al-Quran juga adalah pengubat jiwa, maka insyaAllah hati-hati yang istiqamah membacanya akan diterangi dengan cahaya keimanan, langsung menjadikan kita ringan untuk melaksanakan ibadah sepanjang Ramadhan nanti.

Selain itu kita juga perlu bersedia menyambut Ramadhan dengan menambahkan ilmu tentangnya. Jika ilmu Ramadhan kita miliki, maka setiap ibadat yang dilakukan akan menjadi lebih sempurna penghayatannya. Pelbagai cara untuk kita mendapatkan ilmu, samada dengan membaca bahan ilmiah, menghadiri kuliah agama, bertanya kepada yang pakar, malah apa saja caranya, yang penting kita sendiri berkemahuan untuk sentiasa mahukan yang lebih baik dari sebelumnya. InsyaAllah niat yang baik akan sentiasa dipermudahkan Allah s.w.t..

4.06pm

Celik Al-Quran

Salam Ukhuwah…

Sejuk rasa hati apabila membaca kisah seorang ibu di sebuah perkampungan di Mesir yang istiqamah berusaha untuk menjadikan anak-anaknya celik al-Quran. Seawal usia anak-anak ini sudah mampu menghafaz 30 juzu’ al-Quran. Bayangkan jika kita punya anak-anak sedemikian….tentunya menunggu syafaat daripada anak-anak Huffaz sememangnya impian setiap ibubapa yang juga cakna al-Quran.

Saya sendiri sentiasa mahu berusaha, sekurang-kurangnya mengimpikan anak-anak khatam al-Quran selewat-lewatnya umur 12 tahun, lagi cepat lagi bagus. Tahniah daripada saya kepada ibubapa yang berjaya membantu anak-anak khatam al-Quran seawal usia.

Namun, khatam al-Quran bukan bermaksud tidak perlu mengaji al-Quran lagi. Khatam pertama kali biarlah menjadi pendorong utama untuk kita dan anak-anak sentiasa mahu lebih mendalami ilmu al-Quran. Jangan abaikannya semata-mata kerana telah sekali lalu mengkhatamkannya.

Mengaji al-Quran juga perlu istiqamah, biar ada waktunya pada setiap hari.  Jika sebelum khatam kita mengaji al-Quran pada setiap hari begitulah juga kalaupun selepas khatam. Membaca al-Quran sekali-sekala, lebih-lebih lagi ketika ‘berkeperluan’ sahaja boleh mengakibatkan bacaannya kembali tidak sempurna. Malah mungkin menjauhkan diri dari al-Quran dari hari ke hari.

Al-Quran juga bukan hanya perlu kepada sekali khatam, tetapi biarlah ia berkali-kali khatam. Mudah-mudahan dengan fasih dan tartilnya kita membaca al-Quran dapat pula mengajarnya kepada orang lain.

Mengajar al-Quran pula perlu istiqamah, biarlah ia berjadual sempurna sebagai amalan harian. Mudah-mudahan amalan sentiasa membaca al-Quran akan melahirkan rasa cinta yang lebih baik kepada al-Quran itu sendiri. Kita akan merasa seronok dan terhibur apabila boleh mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran ini.

Hidayah

Ayat-ayat al-Quran yang sentiasa dibaca juga mampu memberi hidayah dan keberkatan kepada isi rumah, akan menambahkan lagi keharmonian seisi keluarga.

Anak-anak kecil yang sudah dibiasakan dengan al-Quran, insyaAllah akan terus mengaji al-Quran walau di mana saja mereka berada.

Saya bawa kisah saya sendiri: (terima kasih kepada ibuayah yang mendidik saya)

Sedari umur berumur empat tahun saya mula diajar mengaji al-Quran. Jika betul ingatan ini, kali pertama saya khatam al-Quran pada usia tujuh tahun. Membaca al-Quran tetap menjadi kelangsungan selepas itu sebanyak tiga kali sehari – selepas Subuh, Zohor dan Maghrib. Nilai yang baik ini terus melekat pada diri walau ke mana-mana saja berpergian, sehinggalah ke kampus. Sehinggalah pada suatu hari, teman sebilik saya di kampus memberitahu: saya mengaji al-Quran kerana Nik mengaji. Saat itu saya sedar bahawa, jika mahu menerapkan nilai yang baik kepada anak-anak, didiklah mereka seawal usia.

 

Apabila anak-anak sudah dididik mengaji al-Quran sejak kecil lagi, maka tentunya mereka tidak betah untuk meminggirkan al-Quran dalam rutin kehidupannya. Bukan sekadar membekalkan al-Quran sebagai ‘peneman’ (halau hantu?), tetapi biarlah ia menjadi kecintaan dan kehormatan untuk mereka sentiasa berusaha membekali kehidupannya dengan sesuatu yang dimuliakan. Mudah-mudahan mereka turut serta untuk mengamalkan apa jua perintah Allah yang termaktub di dalam al-Quran.

Al-Quran juga bukan sekadar menjadi bahan alunan sahaja, jika tidak mampu memahami terjemahan keseluruhannya, ada baiknya juga kita peruntukkan masa untuk menilik terjemahannya. Mudah-mudahan fahamnya kita tentang isi kandungannya lebih mendekatkan hati ini untuk menghargai nikmat iman, lebih-lebih lagi memberi kekhusyukan yang lebih baik di dalam solat.

Sentiasa berdoa semoga Allah sentiasa menghidayahkan kita dan ahli keluarga yang lain sentiasa mencintai al-Quran, dan menjadikannya pedoman sebagai panduan hidup.

12.09pm