• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    July 2012
    S M T W T F S
    « Jun   Aug »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

Puasa

Salam Ukhuwah…

Apa khabar puasa kita setelah Ramadhan sudah seminggu berlalu?

Tentunya kita semua mengharapkan ianya akan menjadi persembahan terbaik ibadat yang satu ini kepada Allah s.w.t.

Apatah lagi inti Ramadhan adalah puasa.

Puasa yang bukan sekadar berpuasa – menahan lapar dan dahaga – tetapi berpuasa yang bermatlamat hendaknya, insyaAllah.

Maka, kita akan terus mencuba mempersembahkan puasa yang berilmu dan berakhlak pada hari-hari berbaki Ramadhan ini – puasa yang mampu mendidik jiwa demi mencapai suatu tingkat ketaqwaan yang mampu menundukkan hati ini kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benarnya.

Jangan sekadar kita berpuasa fizikal tetapi biarlah ianya sepenuh jiwa. Kita bukan sekadar mahu berpuasa sebagaimana orang awam  – sebagaimana yang dinyatakan Imam al-Ghazali – bahawa puasa umum itu sekadar menahan nafsu makan dan syahwat sahaja.

Kita mahukan puasa yang lebih khusus – bukan sekadar berpuasa dari makan minum, tetapi jauh lebih baik dari itu. Kita juga perlu berpuasa pancaindera yang lain – mengawal sendiri nafsu penglihatan, pendengaran, perbualan, pergerakan, malah apa saja pada tubuh badan ini supaya tidak melakukan sesuatu yang sia-sia, yang secara tidak sedarnya mampu mengurangkan pahala puasa itu sendiri.

Jika diri sendiri tidak mampu menguasai nafsu untuk mengelak dari melakukan maksiat melalui pancaindera umum ini, maka sudah tentunya kita sekadar mendapat lapar dan dahaga sahaja sebagaimana puasa umum. Tentunya puasa sebegini tiada ertinya, maka kita perlu berusaha lagi untuk membaikpulih puasa yang masih berbaki pada Ramadhan ini.

Tetapi masih ada puasa yang terbaik, iaitu puasa paling khusus – bukan sekadar berpuasa dari makan dan minum serta menguasai nafsu sendiri, tetapi ianya puasa yang sebenar-benarnya dari jiwa yang tunduk kepada Allah s.w.t. Hamba-hamba Allah yang terbaik ini terus memesongkan hati mereka dari segala kekalutan duniawi, tetapi terusan memfokuskan hati mereka kepada janji-janji manis Allah sepanjang Ramadhan ini. Mereka terus sujud demi mencari keredhaan Allah dalam meniti sebuah perjuangan dalam kehidupan ini.

Berusaha

Kesimpulannya, kita berpuasa jangan sekadar pada zahirnya sahaja, tetapi berusahalah mencapai kepada suatu tingkat yang lebih memuaskan. Jangan malu untuk melakukan perubahan kearah yang lebih sempurna, tetapi yakinlah pada diri sendiri bahawa kita sangat perlu menjadi lebih baik pada setiap hari demi mencapai redha Allah s.w.t.

Jangan sesekali kita melalui Ramadhan dengan perasaan yang biasa-biasa sahaja, tetapi perlulah mendidik diri untuk lebih menghargai kelebihan dan keistimewaan yang terlalu berlebih-lebihan pada bulan yang satu ini.

Sangatlah sia-sia sekiranya kita membiarkan hari-hari Ramadhan berlalu pergi begitu sahaja, tanpa sebarang keinginan untuk bersaing merebut tawaran-tawaran istimewa yang dijanjikan Allah s.w.t. sepanjang bulan ini.

Pada Ramadhan yang masih lagi berbaki ini, jom kita sama-sama menghayati ibadah puasa dengan rasa yang lebih baik. Kita sama-sama tanamkan impian untuk beribadah dengan lebih berkesan, semoga jiwa ini lebih bertaqwa untuk sentiasa sujud kepada Allah s.w.t. Sama-sama juga kita berdoa semoga ibadah ini akan diterima Allah dengan segala kemuliaanNya. InsyaAllah.

7.38am

Ramadhan 1433

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih berpeluang sekali lagi berada didalam Ramadhan kali ini. 30 hari yang penuh dengan janji-janji hebat daripada Allah s.w.t. merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.

Sudah tentunya setiap daripada kita sentiasa mengimpikan sebuah kehidupan yang dirahmati, diampuni dan diberkati, maka inilah masanya yang terbaik – Ramadhan yang sekian lama ditunggu kembali sekali lagi dengan membawa segala rahmat kepada seluruh alam. Sebagai hambaNya kita hanya perlu meminta-minta tanpa rasa jemu dan malu untuk memiliki setiap daripada kelebihannya.

Sebulan yang sedang berlangsung, menawarkan seluruh keistimewaan kepada semua hamba Allah dalam mencipta suatu kelainan dalam kehidupan masing-masing. Tentunya ketika ini kita sedang merasa perbezaannya, apabila pada setiap saatnya sentiasa bersemangat dalam usaha merebut ganjaran pahala berganda-ganda pada setiap amalan yang dilaksanakan. Ianya seperti mendapat bonus yang sangat luar biasa sedang ditawarkan secara besar-besaran dan sungguh hebat!

Inilah masanya yang tepat untuk kita sama-sama membuka lembaran baru dalam hidup – tanpa gangguan syaitan la’natullah – kita hanya perlu menguruskan nafsu sahaja supaya sentiasa mahu melakukan muhasabah diri kearah yang lebih baik, demi menyediakan satu buku amalan yang hebat untuk dihadapkan kepada Allah s.w.t. apabila tiba saatnya nanti ketika dihisab di akhirat sana.

Sentiasa kita tanamkan keinginan untuk berubah pada setiap hari kearah yang lebih baik. Kita lakukan amalan secara istiqamah walaupun ia sekadar amalan yang biasa-biasa sahaja. Jangan sekadar bersemangat pada minggu pertama Ramadhan, tapi makin lesu pada minggu seterusnya… dan menyambung kembali semangatnya itu pada akhir Ramadhan demi mahu juga memiliki Lailatul-Qadar. Agak-agak…macamana tu?

Jika Ramadhan sinonim dengan al-Quran, maka kita ambil peluang ini untuk memperbanyakkan lagi bacaan keatasnya. Jika sebelum Ramadhan kita sekadar membaca al-Quran tiga mukasurat sahaja sehari, maka kita gandakannya menjadi 10 muka surat sehari. Begitu juga jika setiap kali Ramadhan kita sudah mampu mengkhatamkan al-Quran sekali, maka kali ini kita tanamkan azam untuk khatamkannya sebanyak dua kali.

Azam biarlah beriringan dengan istiqamah. Tidak boleh sekadar berazam sesuatu yang baik tanpa pelaksanaan secara istiqamah. Tidak mengapa azam tidak menggunung tetapi biarlah pelaksanaannya makin hari makin baik. Itu sudah cukup baik jika kita mampu mengawal nafsu sendiri. Itulah iman namanya yang sedang bermukim di hati. Jika amalan baik kita sentiasa istiqamah, maka sebenarnya iman kita makin gemuk isinya.

Akhirnya, selamat meneruskan ibadah puasa Ramadhan sehingga ke penghujungnya. Jom kita sama-sama mencari manfaat terhebat dan Redha Allah sepanjang Ramadhan kali ini, insyaAllah!

8.54am

Menjelang Ramadhan

Salam Ukhuwah…

InsyaAllah lebih kurang seminggu lagi kita akan bersama-sama menyambut Ramadhan al-Mubarak. Bagaimana agaknya persiapan kita semua untuk menyambut satu bulan yang penuh kemuliaan ini?

Hari-hari terakhir menjelang Ramadhan ini sangat bermakna bagi hati-hati yang sedang menunggu satu bulan yang penuh barakah ini. Selain dari kita teruskan amalan baik di bulan Syaaban ini, iringkannya bersama doa-doa penuh pengharapan semoga diberi kesempatan oleh Allah s.w.t. dipanjangkan umur untuk merasa nikmatnya Ramadhan.

Jika saya sendiri berawalan lagi menyiapkan persiapan untuk menyambut Syawal, tidak sesekali kerana keterlaluan untuk bergembira di hari raya, tetapi ia sebenarnya adalah untuk mendidik diri ini supaya lebih menghargai Ramadhan. Perkara asas hari raya bagi saya seperti baju raya dan biskut raya telah diselesaikan semuanya. Alhamdulillah, moga-moga tiada gangguan lagi sepanjang Ramadhan ini dengan perkara remeh-temeh ini.

Saya sendiri menyimpan azam untuk bersungguh-sungguh memberi makna yang lebih baik kepada Ramadhan kali ini yang hanya kunjung tiba sekali sahaja setahun. Itupun jika saya dipanjangkan umur untuk melaluinya, mudah-mudahan Allah mengizinkannya.

Kelebihan

Ramadhan yang penuh dengan pelbagai kelebihan, terutamanya Lailatul Qadar yang sepatutnya menjadi impian setiap daripada kita semua. Pada 30 hari Ramadhan ini juga Allah s.w.t. telah  menjanjikan bahawa akan dibukanya semua pintu syurga dan ditutupnya semua pintu neraka. Tiada jua syaitan-syaitan yang akan berkeliaran mengganggu ummat Muhammad ini, agar kita semua mampu merebut peluang keemasan untuk muhasabah diri kearah yang lebih sempurna.

Bukan sekadar itu, Allah juga menjanjikan tawaran hebat dengan melipatgandakan pahala bagi setiap amal kebajikan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Jika amalan sunat dilaksanakan maka pahalanya digandakan menjadi pahala amalan yang wajib, apatah lagi amalan wajib, digandakan pahalanya menyamai 70 amalan fardhu pada bulan-bulan yang lain. Sangat hebat bukan?

Jika sudah merasa aura Ramadhan, maka kita sama-sama persiapkan diri untuk melaluinya sekali lagi pada usia yang masih berbaki ini. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi yang terbaik pada yang sebelumya.

Jauhkanlah diri dari kealpaan sendiri sepanjang Ramadhan nanti, semoga kita tidak akan terleka dengan segala kelebihan yang ditawarkan oleh Allah s.w.t. Jangan mensia-siakan peluang yang terbentang luas ini semasa hayat dikandung badan kerana tiada siapapun tahu bila masanya kita akan meninggalkan dunia ini.

3.21pm

Hari Keluarga

Salam Ukhuwah…

Hujung minggu lalu saya berkesempatan bersama-sama Jawatankuasa Cakna Palestin, Kelantan, menyertai program Hari Keluarga mereka. Saya hadir sebagai ahli keluarga sahaja, dimana suami terlibat sama dengan Jawatankuasa tersebut.

Program yang diadakan di Kandiez Sunrise Estuary Chalet, Kandis, Bachok, agak santai sahaja, namun tetap meriah dengan kedatangan ahli keluarga yang lain.

Apatah lagi bagi keluarga saya yang turut membawa anak-anak saudara yang kebetulan berada di rumah sebelum kami bertolak. Tahu saja kami ingin ke pantai semuanya mahu mengikut. Maka saya menghantar mesej ringkas kepada ibu mereka masing-masing untuk memberi izin anak-anak kecil ini bersama kami. Bertolaklah kami dengan dua buah kereta untuk mengisi sejumlah 15 orang kanak-kanak riang…

Sampai sahaja ke destinasi, kami telah memberikan mereka peluang keemasan untuk bersukaria bersama-sama dalam ‘pesta air.’ Memang seronok sakan! Masing-masing tidak melepaskan kesempatan untuk menunjukkan kehebatan bermain air.

Saya sendiri sekadar menjadi penonton sahaja…

3.31pm

Makan Malam

Sebagaimana kebiasaannya, malam Khamis merupakan makan malam mingguan bagi keluarga besar kami di rumah ayahbonda. Namun, untuk pengisian minggu lalu, keluarga kami berubah arah ke Haza Bistro demi meraikan tetamu  undangan. Mereka sekeluarga dijemput untuk bersama-sama menikmati hidangan bersama keluarga besar kami yang kesemuanya lebih kurang 40 orang. Memanglah sangat seronok apabila dapat berkumpul beramai-ramai.

Itu muqaddimahnya, tetapi saya panjangakan perihal Haza Bistro, yang merupakan restoran terbaru di bandar Kota Bharu, Kelantan.

Restoran yang dirasmikan ayahanda saya pada 31/5/12. Saya tidaklah menghadirinya kerana pada waktu itu telah bertolak ke Kedah untuk majlis Himpunan Hijau tempohari.

Maka, apabila ada cadangan untuk makan malam mingguan keluarga kami diadakan di luar, maka saya cadangkan Haza Bistro. Restoran yang agak menarik pada pandangan saya untuk meraikan tetamu, selain dari konsepnya yang agak moden, tetapi masih bersahaja bertemakan warna putih yang kelihatannya bersih.

Restoran ini mempopularkan nasi beriani, tetapi pilihan kami adalah masakan melayu sahaja memandangkan itulah pilihan ayahanda saya. Hidangannya boleh dipuji, enak! Alhamdulillah, saya cukup berselera dengan hidangan yang disediakan. Tak habis, kami bawa balik!

Untuk sahabat-sahabat yang belum sampai lagi ke sini, bolehlah mencuba. Tetapi saya tidak galakkan untuk pergi bersarapan kerana menunya hanya satu sahaja – Nasi Berlauk! Memang tiada pilihan.

11.53am

Durian

Salam Ukhuwah…

Apabila tengok pokok durian sebelah rumah berbuah lebat, senyum saya ranum saja. Memang tak sabar nak tunggu buah tu luruh. Berhari-hari saya tunggu buah tu luruh, tak jugak luruh-luruh. Rindu nak merasa, akhirnya saya beli durian di pasaraya! Itulah nikmat durian pada saya, sangat mengecurkan!

Itu adegan sebelum masuk musimnya, tetapi sekarang ni sudah melimpah-ruah durian merata-rata dijual dengan pelbagai macam nama. Paling saya tahu, durian kampunglah, seminggu ni asyik bersarapan dengan durian saja.

Tapi, jika tiba-tiba mengidam nak merasa D24 mahupun Musang King, haruslah jenguk-jenguk dompet tu dulu…memang alah membeli tapi berbaloi! Semuanya sedap!

Musim durian ni boleh membawa ingatan saya ke zaman kanak-kanak dahulu. Usai Subuh je saya dah bersiap-siap masuk kebun terbongkok-bongkok cari durian dalam gelap. Syaratnya, deria bau mesti kuat…mmm…harumnya bau durian, ke situlah kita pergi kan. Nikmat sangat kalau nampak ada yang tergolek depan mata. Pernah buat? Kawan-kawan seumur saya yang ada kebun durian kat kampung tu mesti dah kalih dengan kerja-kerja ni kan.

Masa tu tak takut pacatpun, sekarang? Pucat…

Selain makan durian begitu saja, saya sangat suka makan pulut durian dan pengat durian, tapi tak boleh makan tempoyak. Dalam gulai masih boleh tahan, tapi kalau dalam budu memang tak boleh terima.

Kesimpulannya, durian ni memang salah satu nikmat dunia. Rugi la kepada kawan-kawan yang tak boleh makan durian ni.

P/S: Miza apa cerita sekarang? Dah boleh cium durian? Inilah satu-satunya kawan saya yang bermusuh ketat dengan durian. Sangatlah rugiii… 

9.22am

UPSR

Salam Ukhuwah…

Cikgu target 2A 2B 1C.

Saya tarik nafas, namun sentiasa positif mengharapkan anakanda sulong akan lakukan dengan lebih baik lagi. InsyaAllah, jika ada kesungguhan adalah rezeki yang akan memihak.

Lebih kurang dua bulan lagi anakanda sulong saya akan menduduki peperiksaan UPSR. Saya percaya, ibubapa sekalian yang seangkatan dengan saya tentunya ada debar sedang menghuni jauh di sudut hati.

Saya juga sepertimana ibubapa yang lain, mengharapkan anak-anak akan membawa pulang sebuah kejayaan untuk dinikmati bersama. Tetapi perlulah realistik, tentunya kita sudah tahu sejauhmana prestasi anak-anak ini. Kita sudah tahu sejauhmana pencapaian mereka selama ini, maka realistiklah.

Janji manis mula saya tabur. Setiap kali peperiksaan, jika ada A, maka setiapnya RM5, peperiksaan Percubaan nanti setiap A = RM10, dan A milik UPSR bernilai RM15 setiap satunya.

Alhamdulillah, untuk keputusan peperiksaan yang terbaru ini, anakanda membawa pulang 3A 1B 1C. Saya menarik nafas, lega. Syukur kerana telah melepasi sasaran cikgu. Sekurang-kurangnya saya percaya jika ada usaha, adalah ganjarannya. Materialnya, anakanda sudah membuat koleksi RM15! Banyak dah tu…

Walaupun A, kata cikgu, A kurus-kering. A nyaris-nyaris. A dihujung tanduk. A kebulur.

Terpaksalah saya tarik nafas lagi.

Inilah pengalaman pertama kali saya menyokong anakanda menghadapi peperiksaan utama, walaupun ia sekadar UPSR sahaja! Saya pula yang sesak nafas.

Namun, apa jua keputusan yang akan dimiliki anakanda nanti, saya akan belajar menerimanya dengan penuh redha. Saya tidak akan kecewa kerana percaya bahawa anakanda yang ini telah lakukannya dengan bersungguh-sungguh dan terbaik.

Kejayaan akademik bukanlah penentu berjayanya sebuah kehidupan, maka usah terlalu kecewa jika impian tidak kesampaian. Tetapi teruslah menyokong anak-anak dalam apa jua bidang yang mereka ceburi, sekurang-kurangnya mereka tahu kita sentiasa ada untuk masa depannya.

Saya akan sentiasa panjatkan doa kepada Allah s.w.t. semoga anakanda ini akan menduduki peperiksaan nanti dalam keadaan yang tenang dan lakukan yang terbaik, insyaAllah!

3.42pm