• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    August 2012
    S M T W T F S
    « Jul   Sep »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    262728293031  

Patriot

Salam Ukhuwah…

Membawa maksud mudah sebagai seorang yang sangat mencintai negaranya dan sanggup pula berhabisan untuk mempertahankan kedaulatan tanah tumpah darahnya.

Tetapi bukanlah saya sedang ingin memperihalkan tentang seorang Patriot sempena ulangtahun Kemerdekaan Negara kita yang ke 55, tetapi saya ingin bercerita tentang Sebelas Patriot!

Buah tangan terbaru daripada Andrea Hirata yang telah saya selesaikan lebih kurang sebulan yang lalu.

Nukilan daripada seorang penulis yang sentiasa saya nantikan hasil mindanya. Pengkisahannya yang sentiasa mampu menyentuh perasaan dan sungguhlah penuh dengan semangat dan inspirasi yang membuak-buak.

Jika tulisan Andrea Hirata sebelum ini ralit memfokuskan tentang zaman pesekolahannya di daerah Belitung, lain benar kali ini apabila Sebelas Patriot bercerita tentang cinta. Bukan cinta murahan, tetapi cinta yang sangat unik. Mungkin tidak pernah kita membacanya dimana-mana novel lain sebelum ini. Ianya cinta tulus antara seorang anak (Ikal – watak yang sentiasa mendominasi karyanya) kepada ayahnya, jua cinta kepada negara, tetapi terapinya adalah bola sepak. Unik! Nampak mudah, tetapi kerana ianya sebuah cinta, maka sangat memerlukan pengorbanan demi mencapai sebuah mimpi, sebagai bukti mengalirnya kasih sayang yang tulus ikhlas.

Jika ada hal lain yang sangat menakjubkan di dunia ini selain cinta, bola sepak.

Namun, kisah cinta ini sekadar 71 muka surat! Kecewanya saya! Sangat nipis! Mampu dikhatamkan hanya beberapa jam sahaja!

Memujuk hati, sekurang-kurangnya Andrea Hirata terus mahu berkarya untuk menghidangkan kepada peminatnya, seperti saya, sebuah tulisan yang penuh dengan motivasi dan semangat juang yang tinggi. Ternyata dia seorang penulis yang mampu bercerita dengan baik dan penuh santai adakalanya. Ia sentiasa mengesankan kepada saya tentang keasyikan layar hidupnya, jua metafornya yang boleh melepaskan tawa. Sangat lucu!

Realiti

Buku tipis ini bagaikan didedikasi khusus buat penggila bola sepak, kerana itulah dinamakan Sebelas Patriot bagi menggambarkan kesebelasan utama. Tetapi tidak pula Andrea Hirata mahu membariskan kawanan Ikal yang lain, jika ada Mahar dan Lintang, sekurang-kurangnya terubatlah rindu kepada semusim Lasykar Pelangi.

Andrea Hirata selalu menulis tentang sebuah realiti kehidupan, ada bahagia dan deritanya. Pengakhirannya, takdir Allah jualah yang akan mengatasi segala perancangan manusia walaupun sekuat mana hambaNya telah berusaha.

Novel ini juga bukan sekadar bola sepak, tetapi rasa kasihnya seorang anak kepada ayahnya. Seperti selalunya, Ikal seringkali berusaha untuk menyajikan yang terbaik buat si ayahnya – yang sangatlah pendiam lakunya. Tetapi kejutan terbaik telah disuarakan si ayah…

Ayah, bagi kedua ratus enam puluh kali, tersenyum sahaja. Namun, aku terkejut kerana suatu ketika dijawabnya,

“Real Madrid, bujang,”

Ya, kerana cintakan bola akhirnya seorang ayah yang sangat pendiam mampu yakin bersuara meluahkan isi hati. Tidak bernoktah disitu, disuarakan pula bahawa Luis Figo adalah idolanya.

Maka, seorang anak yang benar-benar kasihkan si ayah telahpun berkesempatan mengunjungi Madrid, menyimpan hasrat besar mahu membuat kejutan kepada si ayah dengan membeli jersi bertulis Luis Figo di belakangnya, jua bertanda tangan asli pemain itu. Hanya tinggal helaian terakhir di kedai rasmi Real Madrid. Dengan harga 250 Euro! Sedangkan sehingga ke dasar sakupun, hanya sejumlah 60 euro mampu dikeluarkannya.

Hanya kerana kasihkan si ayah, Ikal berjanji akan kembali untuk memiliki helaian terakhir itu. Perjuangannya untuk mencukupkan sejumlah wang 250 euro sangat mengharukan.

Sahabat semua patut membacanya sendiri…

Penutupnya, saya bukanlah berada di kalangan perempuan yang cintakan bola. Tetapi saya berada dikalangan peminat Andrea Hirata yang sentiasa mengagumi kekuatan tulisannya, dan semestinya metafor lawaknya yang sentiasa menjadi!

Bola sepak adalah satu-satunya cinta yang tidak bersyarat di dunia ini.

 

11.05pm

Raya 1433H

Salam Ukhuwah…

Rasanya selesai sudah edisi raya saya selama seminggu. Kemuncaknya saya telah mengadakan rumah terbuka pada Jumaat lalu, Alhamdulillah sambutannya amat menggalakkan. Terima kasih kepada semua sahabat yang sudi hadir memeriahkan suasana, mengeratkan silaturrahim. Mudah-mudahan Syawal menjanjikan tautan ukhuwah yang lebih sempurna hendaknya.

Cerita 1 Syawal saya bermula dengan rutin seperti kebiasaannya, berhari raya di rumah ayahbonda pada sebelah pagi, dan menyambung edisi raya seterusnya beberapa hari di kampung mertua.

Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, saya menyertai ahli keluarga yang lain untuk sama-sama meraikan tetamu di majlis rumah terbuka ayahbonda. Ramai juga yang datang, terima kasih!

Selepas Zohor kami sekeluarga bertolak ke Machang. Sesi ziarah ke rumah sanak-saudara dan rakan-taulan dipihak suami berjalan lancar. Rezeki anak-anak mula mencurah-curah, keceriaan tergambar di wajah masing-masing apabila dihulurkan sampul raya.

Itupun saya sudah siap dengan pesanan penaja sebelum ziarah hari raya; kalau orang bagi duit raya, cakap terima kasih. Kalau orang tak bagi, jangan dok bisik-bisik sesama sendiri, tak de duit raya ke ni?Kita pergi beraya bukan nak kutip duit raya, tapi nak mengeratkan silaturrahim antara saudara-mara dan kawan-kawan.  

Alhamdulillah, di depan saya pesanan tu menjadilah. Kalau di belakang saya tak tahulah kan anak-anak ni…

Minggu ni rasanya nak bermulalah edisi Puasa 6. Harap-harap menjadilah!

11.10am

Berlalunya Ramadhan…

Salam Ukhuwah…

Kita makin hampir ke garisan penamat.

Samada Ramadhan kali ini telah kita manfaatkannya sebaik mungkin mahupun sebaliknya, hari ini merupakan bilangan yang terakhir kita berpuasa.

Tidak akan ada lagi solat sunat Tarawikh pada malam ini, tetapi yang akan kedengaran adalah takbir dan tahmid memuji kebesaran Ilahi, tanda kesyukuran dan sebuah kemenangan kepada kita semua yang telah berjaya mengekang nafsu sepanjang Ramadhan kali ini.

Apa yang saya rasa saat ini? Gembira untuk menyambut lebaran pun ada, sedih untuk melalui hari-hari seterusnya tanpa Ramadhan pun ada.

Ramadhan itu lain intinya berbanding bulan-bulan yang lain. Ramadhan hadir tanpa syaitan, yang ada hanyalah pengurusan keatas nafsu sendiri. Berbeza dengan bulan-bulan lain yang mana mungkin mudah saja kita tergoda dengan segala kemaksiatan kepada Allah s.w.t.

Maka, semoga Ramadhan yang baru saja kita lewati ini mampu membina satu disiplin baru dalam kehidupan pada masa akan datang, terutamanya pembinaan akhlak yang lebih sempurna hendaknya.

Saya sendiri mengharapkan agar kita bersama-sama mengambil peluang yang hanya tinggal seketikanya lagi ini untuk membuat segala kebajikan yang terbaik agar kita mampu mengucapkan selamat tinggal buat Ramadhan dengan sebuah senyuman, mahupun genangan air mata kesyukuran kerana telah mampu  sehabis daya menghargai Ramadhan sebaik-baiknya.

Kita tinggalkan Ramadhan dengan sebaik-baik penutupnya, insyaAllah.

Ya ALLAH, terimalah puasa kami dan segala amalan kami didalam Ramadhan kali ini. Ampunkanlah segala dosa-dosa kami. Semoga nur hidayahMu sentiasa menerangi kehidupan kami walaupun selepas berlalunya Ramadhan.

Amin…

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin

kepada semua sahabat yang sudi berkunjung ke rumah saya ini.

Hikmah

Salam Ukhuwah…

Samada kita sedang menikmati hari-hari istimewa sepanjang Ramadhan ini, mahupun sebaliknya melaluinya dengan menghitung hari menunggu saat 1 Syawal, pejam celik hanya tinggal seminggu sahaja lagi untuk kita mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadhan.

Pada usia saya yang sebegini, Ramadhan sesungguhnya banyak memberi nilai tambahan kepada sebuah kehidupan yang sudah berpuluh-puluh tahun melaluinya. Sesungguhnya Ramadhan itu ada jiwanya yang perlu dihayati dan ditakluki semangatnya.

Ramadhan bukan sekadar berpuasa, bersahur, berbuka, bertarawikh – itu adalah rutinnya – tetapi  Ramadhan pada sebuah kedewasaan punya beribu hikmah untuk setiap hamba Allah menunaikan tanggungjawab didalamnya. Ramadhan menitipkan banyak keberkatan, kerahmatan dan keampunan daripadaNya – jika kita sama sekali tidak membiarkan setiap saat Ramadhan berlalu begitu saja, tetapi merebut peluang ini untuk mendapatkan semua manfaat yang ditawarkan Allah s.w.t. sepanjang Ramadhan ini.

Lebih-lebih lagi dipenghujung Ramadhan ini akan dihadiahkan Lailatul-Qadar. InsyaAllah kita sama-sama berjuang melawan nafsu tidur untuk turut serta bangun sujud kepada Maha Pencipta, sekurang-kurangnya diakhir sepertiga malam. Mungkin ianya sebuah perjuangan yang agak sukar, tetapi bantulah diri sendiri untuk membuka mata, membuka hati melihat banyaknya kelebihan yang sedang dikurniakan sepanjang malam Ramadhan ini. Jangan sia-siakannya.

Tarawikh

Apa khabar malam-malam Ramadhan kita yang telah berlalu? Sekurang-kurangnya kita telah bersama-sama memenuhi saf di masjid untuk menunaikan solat sunat tarawikh beramai-ramai sehingga ke penghujungnya.

Saya sendiri banyak bertarawikh di masjid ayahanda, diimami secara bergilir-gilir oleh kekanda-kekanda dan adakalanya para Hafiz dari Maahad Tahfiz berdekatan. Alhamdulillah, anak-anak ini telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai imam dengan baik.

Para jemaah juga agak ramai, terutamanya pada hujung minggu yang memberi peluang kepada masyarakat dari luar datang ke sini.

(bersambung…)

10.05am

Saat itu…

Salam Ukhuwah…

Sedikit luang waktu untuk menulis sementelah mata masih lagi belum mahu beristirehat.

Sedang saya mendengar tazkirah pada senggang waktu tarawikh tadi di masjid ayahanda, saya dikhabarkan ibu kepada pengasuh saya sewaktu kecil dahulu telah meninggal dunia. Innalillah… Kalau tidak silap saya usianya sudah menjangkau 90-an.

Saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan tarawikh lapan rakaat terlebih dahulu sebelum lakukan ziarah si mati.

Sesampai di rumahnya yang terletak di belakang rumah ayahbonda saya, kelihatan sudah ramai sanak-saudara yang sedang berkumpul. Saya melihat dua orang remaja lelaki sedang membaca Yaasin di sisi si mati. Sejuk hati saya memandangnya. Saya fikir cucu kepada nenek tua itu. Terasa bertuahnya si mati meninggalkan anak cucu yang sungguh baik lakunya. Mudah-mudahan jika sudah sampai saatnya nanti milik kita, begitulah juga akan diperlakukan oleh anak cucu dan kaum kerabat. InsyaAllah.

Mengimbau kenangan, sebenarnya saya amat manja dengan nenek tua itu sewaktu masih dizaman kanak-kanak. Selalu juga saya dibawa pengasuh ke rumah nenek itu yang pada suatu ketika dulu berada di Kampung Chepa. Hanya setelah kematian anak yang tinggal bersamanya ketika itu, dia berpindah ke rumah anaknya kini, yang merupakan pengasuh saya ketika kecil dulu.

Sewaktu nenek ini masih sihat, dia merupakan ahli jemaah di masjid ayahanda saya, boleh dikatakan pada setiap waktu solat. Alhamdulillah, dia telah menggunakan segala kudrat usia senjanya untuk terus gagah menapak ke masjid, mahu bersama-sama ahli jemaah yang lain sujud bangun kepada Yang Maha Esa.

Akhirnya, penghujung usianya adalah pada Ramadhan, mudah-mudahan ada keringanan buatnya di ‘alam sana’ sepanjang Ramadhan ini dan pada hari-hari yang seterusnya. Saya panjatkan doa buatnya, ampunkanlah Ya Allah dosa-dosanya dan rahmatilah dirinya.

InsyaAllah solat jenazah akan diadakan selepas Subuh esok. Mudah-mudahan saya masih berkesempatan untuk menatapnya buat kali terakhir pada esok pagi.

Al-Fatihah!

12.25am

Bersahur

Salam Ukhuwah…

Mudah-mudahan kita akan diberi kesempatan menuju ke fasa ketiga Ramadhan, fasa terakhir untuk merebut segala tawaran hebat sepanjang bulan ini. Lebih-lebih lagi untuk bersama-sama jutaan hamba Allah yang lain memburu Lailatul-Qadar sehabis upaya.

Semoga fasa pertama dan kedua yang telah kita lalui sepanjang tempoh 20 hari yang lalu memberi sedikit-sebanyak kesan yang baik kepada diri sendiri, insyaAllah.

Kali inipun saya mahu menulis pengisian yang ringan-ringan sahaja, mungkin sebagai satu terapi minda yang mudah menemani puasa kita sepanjang hari ini. Jika tempohari saya menulis perihal berbuka, hari ini saya mahu menulis tentang bersahur pula.

Jika berbuka puasa menjadi saat yang ditunggu-tunggu kepada semua orang, samada dia sedang berpuasa mahupun sebaliknya, lain pula ceritanya dengan bersahur. Saya percaya sebahagian besar ahli masyarakat kita masih lagi tidak sudi untuk bangun bersahur seawal dinihari. Sayang sungguh pada tidurnya. Tetapi sayangnya itu sungguh mengharukan kerana si dia sudah menolak mentah-mentah ganjaran pahala sunat sahur yang sangat mudah diperoleh.

Tidakkah pada sahur itu ada keberkatannya? Maka, bersahurlah demi sebuah kehidupan yang akan diberkati Allah s.w.t. Jua akan meringankan beban puasa kita kerana tubuh badan telah mendapat tenaga yang sepatutnya.

Mudahnya bersahur samalah juga sebagaimana kita berbuka puasa. Usah terlalu skeptikal tentang menu semata-mata untuk menarik minat ahli keluarga bangun bersahur, tetapi apa yang perlu adalah memberi kesedaran kepada setiap ahli tentang hikmah bersahur.

Alhamdulillah, saya tidak menghadapi masalah untuk mengajak semua ahli keluarga bersahur – dikecualikan kepada anakanda yang berusia 6 tahun dan 3 tahun. Anak-anak pula tidak cerewet untuk makan – saya mendidik mereka begitu sedari kecil, makan saja apa yang dihidangkan.

Menu kami pula ringkas sahaja, tetapi insyaAllah boleh mengenyangkan dan berupaya membekalkan tenaga sepanjang hari. Tidak semestinya kami menyediakan menu baru untuk bersahur, jika masih berbaki semalam, kami panaskannya balik atau mungkin saja kami modified untuk menambah selera. Kalaupun fakta mengatakan kandungan nutrisi didalam makanan yang dipanaskan semula akan berkurangan, itu adalah lebih baik dari membazir! Kami hanya menyediakan menu baru jika berkeperluan. Untuk menambahkan tenaga, saya juga mewajibkan anak-anak mengambil kurma sebagai serat tambahan.

Peluang

Waktu Sahur juga sebenarnya satu peluang keemasan untuk kita mengambil kesempatan sedikit luang waktu beribadah seketika. Jika kita tidak mampu untuk bangun sepertiga malam, jangan juga tidak mampu untuk bangun diakhir sepertiga malam. Bangunlah!

Jika kita mulakan persiapan sahur pada jam 4.30 pagi, maka ambillah sedikit luang waktu seawal 4.00 pagi untuk sujud kepada Maha Pencipta, memohon segala-gala daripadaNya. Mudah-mudahan dengan amal ibadat yang sekadar termampu ini dan sentiasa istiqamah melaksanakannya, akan membuka lebih besar peluang untuk kita berada dikalangan hamba-hamba yang diredhaiNya.

Kesempatan ini juga boleh digunakan untuk membaca al-Quran, juga beristighfar memohon keampunan sebanyak-banyaknya, kerana waktu sahur juga adalah diantara tempoh mustajabnya doa.

Mudah-mudahan kita masih mampu melaksanakan yang terbaik di penghujung Ramadhan ini, insyaAllah.

11.24am

Berbuka

Salam Ukhuwah…

Kali ni saya mahu menulis santai perihal berbuka puasa.

Amalan berbuka puasa sebahagian besar rakyat Malaysia yang sungguh meriah dan mewah sepanjang Ramadhan dan sangat sinonim dengan Bazar Ramadhan.

Kalau bukan Ramadhan, kemeriahan pesta makanan ini pada kadar biasa-biasa sahaja, tetapi lain sakan apabila berkunjungnya Ramadhan. Nafsu terhadap makanan makin menjadi-jadi. Bazar Ramadhan mengambil watak bagaikan sebuah pesta yang tidak pernah surut pengunjungnya saban petang, melainkan hari hujan sahaja – bukan hanya satu kehilangan kepada peminat Bazar Ramadhan tetapi juga kepada para penjual, hasil jualan agak nipis pada hari tersebut.

Bazar Ramadhan yang begitu berwarna-warni dengan pelbagai jenis menu, apatah lagi kepada Kelantan yang tersohor dengan kepelbagaian juadahnya. Tidak cukup dengan rambang mata melihat berserinya kuih-muih, dijamu pula dengan rasa keenakan lauk-pauk, tidak kalah juga dengan pilihan pelbagai jenis minuman…tanpa sedar sudah berapa RM duit kita melayang di bazar ini semata-mata mahu memenuhi nafsu untuk berbuka puasa pada hari itu.

Begitulah agaknya situasi apabila kita berbuka puasa bertemankan nafsu barangkali. Upah puasa mungkin. Jika mampu menghabiskannya, tidak mengapalah, sekurang-kurangnya kita tidak membazir. Tetapi bagaimana jika ke sahurpun makanan yang dibeli itu masih juga berbaki? Inilah yang dinamakan suci dalam debu kot – amalan berpuasa sudah cukup baik mentaati perintah Allah, tetapi apabila berlakunya pembaziran, amalan siapa yang kita warisi? Syaitan sudah terikat kejap di bulan yang mulia ini, jadinya nafsu kitalah yang sedang bermaharajalela lagi.

Menu

Apapun, janji menu yang kita sediakan semasa berbuka puasa pada setiap hari adalah sajian yang boleh menyihatkan dan memberi tenaga kepada badan hendaknya. Jangan terlalu berlebih-lebihan hanya kerana mahu mengqada’ beberapa sesi makan yang tertangguh di siang hari sepanjang Ramadhan. Tetapi kita berbukalah dengan senarai menu yang boleh memberikan keselesaan kepada tubuh badan agar dapat pula menyambung ibadat lain selepas itu, terutamanya solat tarawikh.

Bukan tidak boleh kita meraikan nafsu makan yang cukup terliur dengan pelbagai citarasa yang ditayangkan di Bazar Ramadhan mahupun menyediakannya sendiri di rumah, tetapi apa yang perlu diberi perhatian adalah jangan makan terlalu banyak. Makanlah dengan kepelbagaian menu tetapi bersederhanalah. Jangan lupa mengambil air minuman yang mencukupi untuk keperluan tubuh badan bagi mengelakkan dehidrasi.

Sebagaimana yang dianjurkan Sunnah, sebaiknya kita berbuka puasa dengan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu. Tentunya kurma adalah sebaik-baik makanan pertama yang perlu kita ambil semasa berbuka puasa. Sudah banyak kita maklum tentang kebaikan yang ada pada kurma ini – sangat kaya dengan tenaga, serat, vitamin dan mineral yang akan membekalkan nutrien kepada tubuh. Barulah disusuli pula dengan minuman dan kuih-muih.

Mengambil makanan ringkas semasa permulaan berbuka puasa ini sangat digalakkan supaya sistem penghadaman kita dapat bekerja dengan selesa dan lebih baik, tidak terlalu terkejut dengan tugasannya yang terlalu agresif secara tiba-tiba.

Adalah lebih baik jika kita bersolat Maghrib terlebih dahulu selepas berbuka ringkas ini, memandangkan senggang waktu solatnya yang tidak panjang.

Selepas itu bolehlah meneruskan kembali aktiviti makan-makan untuk berbuka puasa secara bersederhana. Kawallah nafsu sendiri ketika makan, jangan menggunakan tiket berpuasa pada siang harinya untuk melupakan ‘diet’ yang sepatutnya kita ambil bagi kesinambungan tenaga untuk beribadat pula selepasnya. Makan dengan banyak hanya akan menyebabkan kita rasa tidak selesa kerana ketidakhadaman makanan. Lebih teruk lagi ia boleh meningkatkan berat badan tanpa kita sedar.

Ramadhan juga sebenarnya mampu mengembalikan tahap kesihatan diri kita kepada yang lebih baik. Jangan kita terbalikkan semangat Ramadhan ini dengan mengundang penyakit pula kerana kelalaian sendiri mengambil makanan yang berlebihan, malah berlebihan kalori pula. Tidakkah ini akan menjadi sia-sia sahaja kepada kesihatan diri?

Jadikan Ramadhan ini sebagai suatu jalan untuk mencari keberkatan sepanjang hayat.

Selamat meneruskan ibadah puasa, semoga dengan berpuasa kita dapat menikmati tahap kesihatan yang lebih baik, insyaAllah.

4.15pm