• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    September 2012
    S M T W T F S
    « Aug   Oct »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    30  

Tetamu

Salam Ukhuwah…

Pernah tak kalian menjadi tetamu yang tidak diundang kepada tuan rumah?

dan

Pernah tak kalian menerima tetamu yang tidak diundang ke rumah sendiri?

Ianya adalah dua situasi yang berbeza, tetapi aset utamanya adalah, tetamu.

Tetamu yang seharusnya kita raikan dengan sesempurna yang mungkin.

Dalam tempoh Syawal yang masih berbaki ini, saya lalui pengalaman berada pada situasi pertama – menjadi tetamu yang tidak diundang. Pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama di sini. Semoga ia baik untuk saya dan sahabat semua.

Pengalaman kali ini agak menyentuh perasaan saya. Mungkin juga kerana saya sememangnya seorang yang sensitif. Situasinya; saya menjadi termalu sendiri kerana tidak diraikan secara sepatutnya.

Awalannya, kami sekeluarga menerima jemputan, tetapi tidak dapat hadir pada harinya kerana kekangan menerima tetamu di rumah sendiri.

Kerana menghormati jemputan daripada seorang sahabat, saya dan suami cuba menghadirkan diri pada keesokan harinya. Saya berpagian, dengan membawa hadiah yang agak istimewa kami bertolak ke rumah sahabat itu. Silapnya kami, kerana tidak mendapat persetujuan untuk menjadi tetamunya pada pagi itu apabila beberapa kali panggilan sebelum bertolak tidak dijawabnya. Barangkali kerana itulah kami mendapat layanan yang sebegitu…

Saya tersentuh, kerana langsung tidak diberi peluang untuk menjadi tetamunya pada pagi itu. Hanya sekadar menghulurkan hadiah di sisi kereta, kami berlalu mengundur diri.

Ianya satu pengalaman yang benar-benar mengajar saya. Terima kasih, Allah!

Situasi

Saya sendiri seorang yang sentiasa berdolak-dalik untuk menerima tetamu. Mungkin kerana saya seorang yang berdisiplin, menerima tetamu juga seharusnya ada disiplinnya. Pada waktu-waktu tertentu sememangnya saya tidak bersedia untuk menerima tetamu.

Tetapi bukan sekadar untuk menerima tetamu, menjadi tetamu juga mesti ada disiplinnya. Paling saya ralat jika ia adalah waktu berehat, selepas Zohor hingga ke Asar adalah waktu yang tidak sesuai untuk bergelar tetamu. Begitu juga malam. Melainkan, ia adalah satu jemputan, mahupun kita telah mendapat persetujuan kedua belah pihak.

Bagaimana jika situasi tiba-tiba menjadi sebagaimana saya hadapi? Ini sudah tentunya diluar jangkauan. Apakah kita perlu mematuhi disiplin sendiri? Jawapan saya, tidak.

Jika kita menjadi tuan rumah, jadilah tuan rumah yang melayan baik tetamunya. Jika kita adalah tetamunya, maka berbudi bicaralah memohon maaf kerana mungkin berkebetulan menyinggah ke rumahnya kerana bersebab.

Islam sendiri amat menuntut kita menghormati setiap tetamu yang datang ke rumah, selagi mana mereka berniat baik untuk mengeratkan silaturrahim. Jika kita sedang dalam keadaan tidak bersedia sekalipun, tetamu tetap jua harus dilayan dengan baik. Begitulah didikan Islam. Indah!

Terlalu banyak informasi yang dapat kita capai bagaimana seharusnya untuk melayan baik tetamu. Antara asas menerima kunjungan yang dapat saya kongsikan bersama adalah sebagaimana berikut;

~ Berwajah ceria adalah sebaik-baiknya ketika menerima kunjungan. Jika kita berada dalam keadaan gundah sekalipun, cuba sembunyikan emosi yang sebenar. Sekurang-kurangnya tetamu tidak rasa bersalah kerana hadir pada waktu yang tidak sepatutnya.

~ Bertanya khabar, bertegur sapalah. Walaupun sudah dimaklumi bagaimana keadaan mereka ketika itu, sapaan mesra daripada tuan rumah mampu membangkitkan kemesraan yang lebih baik kepada tetamu.

~ Beradablah dalam menerima tetamu, sekurang-kurangnya ada hidangan untuk mereka. Ringkaspun tidak mengapalah, sekadar kemampuan yang kita ada. Tidak perlu sehingga menyusahkankan diri, sehingga kita sendiri merasa terbeban untuk menerima kunjungan tetamu dikemudian hari. Tidak salah jika sekadar menghidang teh o panas, sekurang-kurangnya kita sudah punya kesungguhan dan ikhlas menyediakannya.  

Rahmat

Tetamu fizikalnya, namun yang tersirat lebih dari itu. Islam menganjurkan bahawa menerima tetamu itu adalah satu rahmat.

Rahmat yang bagaimana?

Rahmat apabila menerima baik kunjungan tetamu adalah rasa kasih-sayang sesama Muslim. Tanpa kasih-sayang sesama Muslim tidak wujud istilah persaudaraan. Tanpa saudara tidak mungkin kita boleh menghargai sebuah kehidupan. Apabila tidak menghormati sebuah kehidupan, kita tidak akan tahu untuk menghormati hak orang lain. Kerana tiada rasa hormat, akan terbitnya bibit-bibit kebencian yang akhirnya akan mengundang permusuhan. Sudah tentunya kita tidak mahu bermusuhan, kita mahu bersaudara, dan saudara itulah tetamunya, yang sewajarnya kita santuni kunjungannya pada bila-bila masa sahaja.

Tanpa Rahmat Allah juga kita tidak akan merasa bahagia dalam kehidupan dunia, begitu jugalah di akhirat sana.

Bagaimana pula jika kita yang menjadi tetamu? Ada juga adab dan caranya. Kita kongsi asasnya;

~ Paling utama adalah memilih masa yang sesuai untuk membuat kunjungan. Elakkan waktu yang dirasakan adalah tempoh untuk tuan rumah berehat dan jangan juga berkunjung semasa waktu makan. Ini adalah waktu yang amat tidak sesuai.

~ Apabila menjadi tetamu juga, kita hendaklah tahu menjaga pandangan. Mata janganlah meliar mahu melihat semua sudut rumah, melainkan mendapat kebenaran daripada tuan rumah.

~ Sebelum pulang, ucapkan terima kasih diatas kesudian seisi rumah menerima kita sebagai tetamunya. Mudah-mudahan jalinan silaturrahim yang sediada akan menjadi makin kukuh hendaknya.

Ziarah

Cadang saya, seeloknya sebelum melakukan ziarah, pastikan tuan rumah tiada halangan untuk menerima kita sebagai tetamunya. Tidaklah nanti jadinya seperti saya. Jemput naik ke rumah pun tidak mahu…

Cerita daripada seorang teman lain pula bunyinya; Dia menjadi tetamu yang diundang untuk berhari raya, tetapi tidak dilayan dengan sebaiknya. Hanya menjumputnya makan tetapi tiada bicara di antara mereka. Hanya ucapan selamat datang ketika melangkah masuk ke rumah dan terima kasih ketika mahu pulang. Itu sahaja.

Moralnya, bukan mudah untuk membawa diri, samada kita sebagai tetamu mahupun tuan rumah. Tetapi seharusnya kita sentiasa berkemahuan untuk belajar memperbaiki kesilapan. Ini protokol umum, setiap daripada kita yang sudah berumahtangga harus tahu adab bermasyarakat.

Lebih elok jika terlebih dahulu kita berbincang dengan pasangan bagaimana seharusnya perlu membawa diri, samada sebagai tetamu mahupun tuan rumah. Seharusnya kita belajar untuk menghargai orang sekeliling, jangan sehingga ada hati yang tidak berpuas hati. Lebih teruk lagi jika selepas itu mereka buat tidak endah. Siapa yang rugi? Kita juga yang rugi apabila telah kehilangan sahabat.

Hidup bersahabat ada kualitinya yang tersendiri. Maka raikanlah sahabat yang sudi menjadi sahabat kita. Bersahabat menjadikan kehidupan kita lebih sempurna. Meraikan sahabat pula ada keberkatannya.

Akhirnya, usah berkerut muka jika menerima tetamu yang tidak diundang, tetapi positifkan minda bahawa tetamu itu membawa rahmat untuk seisi keluarga. Hormatilah tetamu seadanya, entah-entah merekalah punca rezeki kita yang dilorongkan Allah melaluinya. Siapa tahukan?

 

10.32pm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: