• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    December 2012
    S M T W T F S
    « Oct   Jan »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Hujan

Salam Ukhuwah…

Dua tiga hari ni hujan yang kebiasaannya lebat berhari-hari yang lalu makin reda nampaknya. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya hilanglah sedikit rasa nak membeku dalam rumah je… terutama bagi sahabat-sahabat yang seangkatan dengan saya. Kalau dah hujan lebat memanjang adakalanya mood pun boleh melayang-layang rasanya… Ikutkan kata pakar motivasi, mana boleh faktor sekeliling mempengaruhi daya fikiran, segalanya kita sendiri yang kena tentukan! Tapi kalau dah hujan dan sejuk semacam…ermmm…M mula la mengambil tempat!

Malas tak malas, yang paling kena dikesahkan oleh para suri rumahtangga dimusim hujan ni adalah pasal kain baju yang hari-harinya mau diambil pedulikan. Kalaulah keluarga seperti saya yang jumlahnya sembilan orang…mmm…manalah nak jemur baju tu semua kalau berhari-hari matahari tak timbul, air pula yang mencurah-curah…. Maknanya habis tempatlah di dalam rumah ni yang kelihatannya bersesuaian akan dijadikan mangsa tempat sidaian, janji asal kering dan janganlah muncul bauan yang ‘semerbak’ pula… Kalaulah pula ada tetamu yang bertandang maka gopoh-gapahlah kemaskan sidaian tu, lepas tu sidai balik bila ‘line clear’…berlakon!

Kalaulah di tempat saya ni ada Self Service Laundry rasanya mahu juga mencuba nasib dimusim tengkujuh ni. Kat sana kan ada Dryer. Senang! Basuh, keringkan dan terus lipat! Nak beli sendiri Dryer untuk kegunaan di rumah rasanya tak berbaloi kalau sekadar keperluan terdesaknya hanyalah dimusim ini sahaja.

Itu cerita suri macam saya la kot…

Lain pula kepada sahabat yang berkerjaya. Hujan lebat ke, hujan renyai ke, amanah tetap amanah, rezeki tetap perlu dicari, kerja tetap juga kena pergi. Mungkin akan bertambah sukar lagi kepada sahabat kita yang berstatus rider. Pakai baju hujan pun kadang-kadang boleh kena juga tempiasnya. Paling teruk jika hujan teramat lebat sehingga boleh mengganggu penglihatan terpaksalah mereka peruntukkan masa untuk berteduh dahulu sebelum kembali memulakan perjalanan. Buatlah yang terbaik, keselamatan haruslah diutamakan!

Begitulah antara cabarannya dalam mencari sesuap rezekikan? Berdoalah selalu agar segalanya dipermudahkan. Redha dengan segala ujianNya adalah sebaik-baik amalan hati. Sesekala ditimpa musibah secara tidak langsung akan menguji tahap keimanan kita sendiri, maka sentiasalah memohon untuk dipermudahkan segalanya pada masa hadapan.

Rahmat dan Peringatan

Apapun, hujan yang sedang galak membasah bumi kebelakangan ini sebenarnya adalah rahmat besar daripada Allah s.w.t. buat sekalian hambaNya, baik untuk manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan semua makhluk ciptaanNya. Selepas hadirnya kemarau, hujan pula mengambil tempat bagi menyuburkan bumi dan juga memberi sumber air kepada semua hidupan di muka bumi ini. Tanah yang subur adalah untuk sebarang tanaman bagi membekalkan sumber makanan dan sumber air yang berkualiti merupakan suatu keperluan kepada semua makhluk Allah di dunia ini.

Adapun jika berlakunya banjir sehingga mengundang bencana besar, itulah tandanya kekuasaan Allah s.w.t. dalam memberi peringatan kepada semua hambaNya, yang ada waktunya berada dalam kelalaian dan sering saja melakukan kemusnahan di muka bumi ini secara tidak terancang. Kebiasaannya kerakusan melaksanakan pembangunan secara berleluasa tanpa perancangan tepat sering saja mengundang masalah banjir besar yang tidak dijangka, terutama apabila ianya bermasalah dengan sistem perparitan dan pembuangan sampah yang tidak terurus sempurna. Bukan hujan yang salah, tetapi lemahnya manusia dalam mengurus bumi ini.

Bersamalah kita berdoa semoga Allah s.w.t. akan sentiasa melindungi kita semua dari sebarang bencana yang tidak mampu untuk kita menghadapinya.

11.43pm

Advertisements

Artis

Salam Ukhuwah…

Seminggu yang lalu saya berkesempatan menghadiri majlis Hi-Tea Wanita anjuran Muslimat Pas Kawasan Pengkalan Chepa bertempat di PUTIK. Semestinya majlis ini khusus untuk wanita sahaja. Antara jemputan istimewa didalam majlis ini adalah selebriti bersuara gemersik, Aisyah, yang turut mendendangkan empat buah lagunya termasuklah ‘Janji Manismu’ bagi menyerikan lagi majlis ini.

20121215_018

Aisyah yang merupakan ahli Pas seumur hidup bermula pertengahan tahun ini, merupakan sebilangan daripada ramai selebriti tanahair yang sentiasa mewarnai mana-mana majlis Pas diseluruh negara.

Melihat kepada fenomena kebelakangan ini, tidak kiralah selebriti itu wanita mahupun lelaki, mereka juga sebenarnya sangat terdorong untuk bersama-sama membantu dan menjayakan sebarang majlis kendalian Pas, diatas faktor kesedaran sendiri untuk turut serta bergerak diatas tiket perjuangan dan berdakwah, malah berpolitik sekalipun kerana sudah tentunya Islam dan politik itu sememangnya tidak boleh dipisahkan.

Jika selama ini selebriti sering digambarkan berada didalam dunianya yang tersendiri, tetapi hari ini sebilangan daripada mereka mula merasa sangat yakin dengan dasar Islam yang diperjuangkan Pas selama ini. Penyertaan mereka kedalam Pas sememangnya sesuatu yang mengejutkan ramai pihak, malah kemunculan dan keberanian mereka menghadiri pelbagai program parti turut memberi impak positif yang besar kepada para peminat dan generasi muda masa kini. Sudah tentunya dengan populariti mereka ini sangat mampu menarik lebih ramai masyarakat diluar sana untuk bersama-sama mendokong perjuangan Pas.

Semua selebriti yang telah menyatakan sokongan dan menyertai Pas tentunya jauh sekali untuk mencari makan, malah adakalanya tindakan ini sangat memberi kesan kepada periuk nasi mereka selama ini samada sebagai penyanyi, pelakon atau apa saja karier glamor mereka. Namun, kerana hidayah Allah yang mula meresapi jiwa, mereka sanggup menghadapi sebarang kesan dan tekanan terhadap kerjaya tetap selama ini. Kehidupan dunia ini bukan segalanya, apatah lagi dunia artis yang sangat sinonim dengan pelbagai jenis kemaksiatan, maka mereka tetap menanam suatu keyakinan yang teguh bahawa rezeki Allah itu ada dimana-mana. Dengan menyertai Pas juga, insyaAllah jiwa mereka akan lebih terdidik kearah yang lebih baik.

Sebagai rakyat umum kita sewajarnya memberi sokongan penuh kepada penghijrahan selebriti ini untuk berada didalam kumpulan yang tepat. Mereka sebenarnya berjiwa besar dan tabah dalam menghadapi sebarang kemungkinan dipulau untuk melakukan sebarang aktiviti yang selama ini didokongi, malah itulah sebenarnya punca rezekinya. Demi sebuah perjuangan, mereka dengan beraninya melakukan suatu yang sebenarnya diluar jangkaan sendiri, tetapi demi Islam, berjuang bersama Pas adalah jalan yang terbaik.

Apatah lagi kita sebagai rakyat umum yang tentunya lebih terdedah kepada permasalahan sensitiviti umum, sangatlah perlu memberi sokongan yang lebih padu kepada perjuangan Pas untuk menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini. Ini semua adalah tanggungjawab kita, tanggungjawab untuk memilih barisan kepimpinan negara yang terbaik didalam pilihanraya umum akan datang yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

10.39am

Sikap

Salam Ukhuwah…

Cerita mengandung lagi…

Mengandung yang bukan sahaja diakhiri dengan melahirkan zuriat amanah Allah s.w.t, tetapi sebenarnya ia lebih dari itu.

Seringkalinya kita hanya melihat kepada ibu yang sedang mengandung, hakikat sebenarnya adalah ibu dan bapa kepada zuriat yang sedang dikandungkan itu.

Jika kita seorang pemerhati, didalam masyarakat Melayu sendiripun terlalu banyak pantang larang yang harus diambil tahu oleh para ibu yang sedang mengandung, si bapa juga apa kurangnya. Itu tidak boleh, ini tidak boleh, dan sepatutnya dilakukan begini dan begitu. Itu baru ‘Melayu’, didalam Islam pun ada galakan dan larangan yang sepatutnya diambil tahu oleh pasangan yang sedang menanti kelahiran zuriat mereka.

Selalunya kita akan mengidamkan kelahiran zuriat yang sedap mata memandang, sempurna fizikalnya dan sihat tubuh badan serta mentalnya. Kerana keinginan inilah akan banyaklah cara yang kita cuba amalkan sepanjang kehamilan dengan harapan apa yang diinginkan akan dimakbulkan Allah s.w.t. Percaya tak? Saya sendiri sejak dari mengandung sulong akan diberi pesan supaya banyak memandang kepada wajah-wajah yang cantik – tidak kiralah wajah siapapun, kagumi ciptaan hebat Allah ini dan kekonon berniatlah untuk memiliki zuriat yang secantik itu! Selain itu diberi pesan juga supaya banyak mengagumi tokoh-tokoh hebat – tidak kiralah siapapun, semoga dengan detik hati seorang ibu yang sedang hamil akan ‘berjangkitlah’ kehebatan itu kepada zuriat yang sedang dikandungkan.

Begitulah pesannya, ambil yang difikirkan baik dan tolak ketepi jika tidak mahu, usah terlalu mempertikaikan jika tidak boleh bersetuju sehinggalah ianya benar-benar menyalahi hukum-hakam Allah s.w.t.

Sebenarnya, apa yang paling penting adalah sikap kita semasa mengandung. Sikap ibu dan bapa zuriat yang sedang dikandungkan itu. Apabila si isteri disahkan mengandung, ianya bagaikan pasangan suami isteri itu telahpun mempunyai seorang ‘anak’. Anak yang sudah punya rohnya yang tersendiri, yang seharusnyalah disayangi pada setiap saat sepanjang kehamilan itu.

Sihat

Lazimnya ibu mengandung akan dibekalkan dengan pelbagai jenis vitamin sepanjang kehamilan dengan harapan ia akan membantu memberi kesihatan yang baik kepada ibu dan zuriat yang sedang dikandungkan. Mereka juga sangat digalakkan untuk mengambil pemakanan yang lebih berzat supaya dapat memberi lebih khasiat kepada ibu dan anak. Antara pemakanan yang baik untuk ibu mengandung adalah ikan salmon, bijirin, yogurt, sayuran berdaun hijau, dan bayak lagilah. Segala-galanya demi untuk lebih sihat!

Begitulah usaha luarannya, lebih dari itu kita bukan sekadar mahu sihat tetapi ibubapa juga sebenarnya perlu berusaha dan berkeinginan sendiri untuk mula memberi didikan kepada zuriat yang sedang dikandungkan sejak awalan lagi. Usaha mendidik anak-anak ini sebenarnya perlulah bermula sejak di alam rahim lagi.

Kebiasaannya orang tua kita sering berpesan supaya ibu-ibu mengandung dan juga si bapa perlulah bersikap lebih positif sepanjang kehamilan. Jaga tingkah laku, tutur kata dan perbanyakkan membuat perkara-perkara kebaikan kerana tindakan ini semua mampu dirasai oleh zuriat di dalam kandungan.

Emosi ibu mengandung juga perlu diurus dengan baik, jangan terlalu memikirkan sesuatu perkara yang bukan-bukan sehingga boleh mengganggu keselesaan diri sendiri. Tips yang paling berguna untuk mendapatkan emosi yang stabil adalah dengan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Selain dari solat lima waktu, digalakkan juga para ibu mengandung ini memperbanyakkan amalan-amalan baik yang lain terutamanya membaca al-Quran.

Cuba tanamkan azam untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali sahaja sepanjang kehamilan, jika lebih dari itu tentunya ia lebih baik. Jika ada keinginan insyaAllah dipermudahkan, dalam tempoh seminggu kita cuba selesaikan satu juzu’ al-Quran, tidaklah terlalu sukar sebenarnya jika istiqamah. Bacaan ayat-ayat suci ini insyaAllah akan membantu kita melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Zuriat yang sedang dikandungkan akan sentiasa mendengar apa jua yang diucapkan oleh ibu dan bapanya.

Selain dari itu kita cuba juga mengamalkan beberapa surah pilihan untuk ibu-ibu mengandung. Antaranya adalah; surah Yusuf, surah Maryam, surah Luqman, surah Muhammad, dan beberapa surah-surah kelaziman yang lain.

Jangan lupa untuk sentiasa berselawat, berzikir dan doa berpanjangan supaya urusan kandungan kita dipermudahkan sehingga keakhirnya dan dikurniakan sebaik-baik zuriat apabila tiba masanya nanti.

Suami

Menjadi kelaziman apabila mengandung, seringkali individu yang lebih difokuskan adalah si ibu. Si ayah agak kurang diberi peranan untuk bersama-sama menjayakan misi penting ini. Namun, situasi ini nampaknya makin berubah untuk pasangan generasi baru yang mendirikan rumahtangga. Alhamdulillah, semakin banyak bahan bacaan terbuka untuk setiap pasangan baru lebih menghargai di antara satu sama lain, lebih-lebih lagi apabila menerima berita gembira kedatangan ahli baru dalam keluarga.

Apabila isteri telah disahkan mengandung, suami juga sangat digalakkan untuk bersama-sama mencari maklumat yang tepat tentang kehamilan, mudah-mudahan saat terindah ini mampu untuk dikongsikan bersama isteri dengan perbincangan sihat tentang zuriat anda berdua.

Suami juga seharusnya banyakkan berdoa supaya isteri dan zuriat yang dikandung sentiasa berada didalam keadaan sihat walafiat sepanjang kehamilan. Pohon kepada Allah semoga segalanya akan dipermudahkan dan diselamatkan kedua-dua insan tersayang ini.

Adakalanya perasaan isteri juga menjadi lebih sensitif semasa mengandung, maka sangatlah perlu suami memberi rasa keprihatinan yang lebih baik sepanjang kehamilan ini. Jadilah pendengar yang baik jika adakalanya isteri berkeluh-kesah. Adakalanya mereka merasa sangat tidak selesa dengan kandungan tetapi tidak tahu untuk meluahkannya dengan kata-kata. Sekurang-kurangnya dengan hadirnya suami disisi mampu memberi sedikit kelegaan dan ketenangan kepada emosi isteri.

Suami juga perlu lebih ringan tulang untuk membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah walaupun tidak diminta. Ini memberi peluang untuk isteri menerima waktu rehat yang lebih baik. Cuba fahami keperluan ibu mengandung walaupun mereka tidak meluahkannya. Elakkan merungut jika ada tugasan mereka yang tidak cukup sempurna sebagaimana biasa. Bukan mereka mengelak untuk melakukannya tetapi adakalanya keletihan yang luar biasa membataskan segala pergerakan, lebih-lebih lagi apabila kandungannya sarat.

Jika berpeluang, temani isteri setiap kali melakukan pemeriksaan rutin di klinik, dan semestinya ketika sedang menghadapi kesulitan melahirkan anak. Ucapkan kata-kata semangat dan kalimah-kalimah Allah yang baik di telinga mereka, mudah-mudahan tekanan yang sedang dihadapi ketika kesakitan yang amat itu mampu diurus dengan lebih baik apabila terasa diri dihargai dan disayangi.

9.15am

Hamil

Salam Ukhuwah…

Mentang-mentang la mengandung…

Ok, kali ni saya mahu menulis perihal wanita hamil. Bukanlah perihal kehamilan tersebut, tetapi bagaimana saya telah melihat sejak kebelakangan ini semakin berlumba-lumba pula gayanya ibu-ibu mengandung ini berpakaian. Semakin ketat bukan? Dengan hanya satu tujuan; mahu menunjuk-nunjukkan kandungan mereka yang semakin memboyot. Perlu ke?

Ketat, sendat, sesaknya nafas rasanya. Sehingga apa yang patut disembunyikan jika mampu semuanya mahu dibuat tayangan percuma. Alasannya; mengandung bukan lagi halangan untuk bergaya, jua kekononnya menikmati kurniaan Allah – bukan semua perempuan mampu bergelar seorang ibu. Oh…keyakinan diri yang sangat-sangat berlebihan!

Bermula dengan selebriti antarabangsa yang tentunya non-Muslim, berjangkit kepada artis tempatan sehinggalah merebak wabak ini kepada kaum wanita Muslim yang lain di negara kita, semuanya mahu tampil berani dengan menyerlahkan dan mendedahkan susuk tubuh mereka yang sedang sarat mengandung itu. Urbanlah kononnya.

Pakaian ketat sebegitu bukan hanya tidak sopan dipandang, tetapi sebagai Muslim sepatutnya kita ada batasnya dalam memperagakan seberang fesyen, lebih-lebih lagi ketika mengandung apabila adakalanya tubuh badan wanita bagaikan di pam-pam pembesarannya. Kalau berada di rumah tidak mengapalah mahu berpakaian sendat dan seksi sekalipun, mungkin itulah yang terbaik buat tatapan suami. Tetapi ceritanya lain apabila kita mula melangkah keluar dari rumah,  kesahnya bukan sekadar terpulang kepada citarasa sendiri untuk kelihatan cantik dan bergaya tetapi ia haruslah seiring dengan hukum-hakam Allah.

Jika perut semakin memboyot, sudah tiba masanya untuk kita menukar saiz baju kepada yang lebih besar. Bergayalah dengan pakain yang membuatkan kita merasa selesa untuk sebarang pergerakan dan yang paling penting ianya mampu menutup aurat!

Tiada lagi kesukaran untuk wanita hamil kini kelihatan bergaya kerana pelbagai pilihan pakaian mengandung terlalu banyak di pasaran, tunggu untuk memilih sahaja. Maka buatlah pilihan yang terbaik – cantik, menarik, cukup menyelesakan dan menutup aurat.

Apa jua status kita dalam kehidupan bermasyarakat, samada di bandar mahupun di kampung, maruah sebagai seorang Muslim haruslah dijaga. Mahu cantik dan bergaya tidak salah, tetapi ada batasnya dan berpada-padalah, jangan terlalu berlebih-lebihan.

Mengaku sebagai seorang Muslim haruslah seiring dengan iman. Tanpa iman kita tidak akan merasa kecintaan kepada Allah s.w.t. …yang akhirnya mungkin akan terus menghanyutkan diri kita dalam keseronokan kehidupan duniawi yang tiada bernoktah.

Terlalu berseronok dengan kehidupan dunia sama sekali tidak akan menjanjikan kesejahteraan di akhirat. Hanya kesengsaraan seksaan azab Allah sahajalah yang menunggu. Na’uzubillah!

7.51pm

Anak

Salam Ukhuwah…

Bagi saya, enam orang anak sudah cukup. Tetapi bagi encik suami, enam orang anak masih sedikit. Biasalah para suami ni kan… Dalam cukup dan sedikit itu, maka akhirnya saya mengandung lagi zuriat ketujuh! Alhamdulillah…!

Mengandung diusia 35 tahun…rasanya agak sudah tua! Memang terasa kelainannya berbanding kandungan yang dulu-dulu. Faktor umur barangkali yang menjadikan saya cepat merasa letih dan kepenatan yang berlebihan…walaupun tak buat kerja pun!

Apapun, Alhamdulillah, saya sudah melepasi suatu tahap keletihan yang teramat…sehingga mahu masuk ke rumah sendiri inipun sangat tidak larat…! Rasanya sudah hampir dua bulan saya tidak menulis di sini…dan sudah berhari-hari berniat mahu menulis, tetapi susah pula nak memulakannya. Kali ini harap-harap menjadilah.

Sehingga ketemu lagi…

9.32am