• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    December 2012
    S M T W T F S
    « Oct   Jan »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Sikap

Salam Ukhuwah…

Cerita mengandung lagi…

Mengandung yang bukan sahaja diakhiri dengan melahirkan zuriat amanah Allah s.w.t, tetapi sebenarnya ia lebih dari itu.

Seringkalinya kita hanya melihat kepada ibu yang sedang mengandung, hakikat sebenarnya adalah ibu dan bapa kepada zuriat yang sedang dikandungkan itu.

Jika kita seorang pemerhati, didalam masyarakat Melayu sendiripun terlalu banyak pantang larang yang harus diambil tahu oleh para ibu yang sedang mengandung, si bapa juga apa kurangnya. Itu tidak boleh, ini tidak boleh, dan sepatutnya dilakukan begini dan begitu. Itu baru ‘Melayu’, didalam Islam pun ada galakan dan larangan yang sepatutnya diambil tahu oleh pasangan yang sedang menanti kelahiran zuriat mereka.

Selalunya kita akan mengidamkan kelahiran zuriat yang sedap mata memandang, sempurna fizikalnya dan sihat tubuh badan serta mentalnya. Kerana keinginan inilah akan banyaklah cara yang kita cuba amalkan sepanjang kehamilan dengan harapan apa yang diinginkan akan dimakbulkan Allah s.w.t. Percaya tak? Saya sendiri sejak dari mengandung sulong akan diberi pesan supaya banyak memandang kepada wajah-wajah yang cantik – tidak kiralah wajah siapapun, kagumi ciptaan hebat Allah ini dan kekonon berniatlah untuk memiliki zuriat yang secantik itu! Selain itu diberi pesan juga supaya banyak mengagumi tokoh-tokoh hebat – tidak kiralah siapapun, semoga dengan detik hati seorang ibu yang sedang hamil akan ‘berjangkitlah’ kehebatan itu kepada zuriat yang sedang dikandungkan.

Begitulah pesannya, ambil yang difikirkan baik dan tolak ketepi jika tidak mahu, usah terlalu mempertikaikan jika tidak boleh bersetuju sehinggalah ianya benar-benar menyalahi hukum-hakam Allah s.w.t.

Sebenarnya, apa yang paling penting adalah sikap kita semasa mengandung. Sikap ibu dan bapa zuriat yang sedang dikandungkan itu. Apabila si isteri disahkan mengandung, ianya bagaikan pasangan suami isteri itu telahpun mempunyai seorang ‘anak’. Anak yang sudah punya rohnya yang tersendiri, yang seharusnyalah disayangi pada setiap saat sepanjang kehamilan itu.

Sihat

Lazimnya ibu mengandung akan dibekalkan dengan pelbagai jenis vitamin sepanjang kehamilan dengan harapan ia akan membantu memberi kesihatan yang baik kepada ibu dan zuriat yang sedang dikandungkan. Mereka juga sangat digalakkan untuk mengambil pemakanan yang lebih berzat supaya dapat memberi lebih khasiat kepada ibu dan anak. Antara pemakanan yang baik untuk ibu mengandung adalah ikan salmon, bijirin, yogurt, sayuran berdaun hijau, dan bayak lagilah. Segala-galanya demi untuk lebih sihat!

Begitulah usaha luarannya, lebih dari itu kita bukan sekadar mahu sihat tetapi ibubapa juga sebenarnya perlu berusaha dan berkeinginan sendiri untuk mula memberi didikan kepada zuriat yang sedang dikandungkan sejak awalan lagi. Usaha mendidik anak-anak ini sebenarnya perlulah bermula sejak di alam rahim lagi.

Kebiasaannya orang tua kita sering berpesan supaya ibu-ibu mengandung dan juga si bapa perlulah bersikap lebih positif sepanjang kehamilan. Jaga tingkah laku, tutur kata dan perbanyakkan membuat perkara-perkara kebaikan kerana tindakan ini semua mampu dirasai oleh zuriat di dalam kandungan.

Emosi ibu mengandung juga perlu diurus dengan baik, jangan terlalu memikirkan sesuatu perkara yang bukan-bukan sehingga boleh mengganggu keselesaan diri sendiri. Tips yang paling berguna untuk mendapatkan emosi yang stabil adalah dengan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Selain dari solat lima waktu, digalakkan juga para ibu mengandung ini memperbanyakkan amalan-amalan baik yang lain terutamanya membaca al-Quran.

Cuba tanamkan azam untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali sahaja sepanjang kehamilan, jika lebih dari itu tentunya ia lebih baik. Jika ada keinginan insyaAllah dipermudahkan, dalam tempoh seminggu kita cuba selesaikan satu juzu’ al-Quran, tidaklah terlalu sukar sebenarnya jika istiqamah. Bacaan ayat-ayat suci ini insyaAllah akan membantu kita melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Zuriat yang sedang dikandungkan akan sentiasa mendengar apa jua yang diucapkan oleh ibu dan bapanya.

Selain dari itu kita cuba juga mengamalkan beberapa surah pilihan untuk ibu-ibu mengandung. Antaranya adalah; surah Yusuf, surah Maryam, surah Luqman, surah Muhammad, dan beberapa surah-surah kelaziman yang lain.

Jangan lupa untuk sentiasa berselawat, berzikir dan doa berpanjangan supaya urusan kandungan kita dipermudahkan sehingga keakhirnya dan dikurniakan sebaik-baik zuriat apabila tiba masanya nanti.

Suami

Menjadi kelaziman apabila mengandung, seringkali individu yang lebih difokuskan adalah si ibu. Si ayah agak kurang diberi peranan untuk bersama-sama menjayakan misi penting ini. Namun, situasi ini nampaknya makin berubah untuk pasangan generasi baru yang mendirikan rumahtangga. Alhamdulillah, semakin banyak bahan bacaan terbuka untuk setiap pasangan baru lebih menghargai di antara satu sama lain, lebih-lebih lagi apabila menerima berita gembira kedatangan ahli baru dalam keluarga.

Apabila isteri telah disahkan mengandung, suami juga sangat digalakkan untuk bersama-sama mencari maklumat yang tepat tentang kehamilan, mudah-mudahan saat terindah ini mampu untuk dikongsikan bersama isteri dengan perbincangan sihat tentang zuriat anda berdua.

Suami juga seharusnya banyakkan berdoa supaya isteri dan zuriat yang dikandung sentiasa berada didalam keadaan sihat walafiat sepanjang kehamilan. Pohon kepada Allah semoga segalanya akan dipermudahkan dan diselamatkan kedua-dua insan tersayang ini.

Adakalanya perasaan isteri juga menjadi lebih sensitif semasa mengandung, maka sangatlah perlu suami memberi rasa keprihatinan yang lebih baik sepanjang kehamilan ini. Jadilah pendengar yang baik jika adakalanya isteri berkeluh-kesah. Adakalanya mereka merasa sangat tidak selesa dengan kandungan tetapi tidak tahu untuk meluahkannya dengan kata-kata. Sekurang-kurangnya dengan hadirnya suami disisi mampu memberi sedikit kelegaan dan ketenangan kepada emosi isteri.

Suami juga perlu lebih ringan tulang untuk membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah walaupun tidak diminta. Ini memberi peluang untuk isteri menerima waktu rehat yang lebih baik. Cuba fahami keperluan ibu mengandung walaupun mereka tidak meluahkannya. Elakkan merungut jika ada tugasan mereka yang tidak cukup sempurna sebagaimana biasa. Bukan mereka mengelak untuk melakukannya tetapi adakalanya keletihan yang luar biasa membataskan segala pergerakan, lebih-lebih lagi apabila kandungannya sarat.

Jika berpeluang, temani isteri setiap kali melakukan pemeriksaan rutin di klinik, dan semestinya ketika sedang menghadapi kesulitan melahirkan anak. Ucapkan kata-kata semangat dan kalimah-kalimah Allah yang baik di telinga mereka, mudah-mudahan tekanan yang sedang dihadapi ketika kesakitan yang amat itu mampu diurus dengan lebih baik apabila terasa diri dihargai dan disayangi.

9.15am

« »

2 Responses

  1. salam..anak dapat berapa a upsr..

    • w’lam,

      sikit saja, 3A 2B, tak sampai target…

      saya sambung sikit lagi…nak dikatakan saya kecewa, adalah sikit-sikit, kerana tidak berpeluang untuk menghantar anakanda ke sekolah terbaik, SMU(A) Maahad Muhammadi (P) kerana ini merupakan sekolah kawalan – antara sekolah terbaik di Malaysia.

      InsyaAllah saya tetap akan menghantarnya ke salah sebuah sekolah agama dibawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) kerana saya mahu dia berpeluang belajar Bahasa Arab dan belajar agama dengan lebih berkesan.

      Anakanda sendiri menerima result dengan wajah yang biasa-biasa saja, saya pula mengucapkan tahniah. Saya memujuk sekurang-kurangnya ‘lebih banyak A dari B’, apatah lagi prestasi sekolahnya sendiri sangat merosot, dari 90+ orang pelajar yang mendapat 5A (2011) tahun ini hanya 50+ sahaja.

      Selepas mengambil keputusan upsr, saya terus bawa dia untuk makan-makan apa yang dia suka, belikan hadiah untuknya atas pilihan sendiri (bajet RM50) dan berikan cash RM50 untuk simpanannya. Saya lakukan sebagai menghargai usahanya selama ini yang telah bersungguh-sungguh, sambil memujuknya lagi, ‘Allah tidak melihat berapa A yang kita dapat, tetapi Allah melihat apa usaha yang telah kita lakukan selama ini.

      Semoga kita semua tidak keterlaluan dalam meletakkan harapan yang terlalu tinggi buat anak-anak, apa yang harus dilakukan adalah dorongan dan sokongan yang berterusan serta doa yang berpanjangan semoga jalan hidup mereka sentiasa dipermudahkan, insyaAllah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: