• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2013
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  

Anugerah

Salam Ukhuwah…

Hari ini masuk hari kesebelas anak saudara saya, Nik Farhana, melalui tempoh berpantang. Pengalaman pertama kali melahirkan zuriat, dianugerahkan pula sepasang kembar perempuan tentunya sangat mengembirakan hatinya dan suami, Adi Firdaus. Tidak cukup dengan itu, kembar perempuan ini juga merupakan cucu sulong kepada kekanda sulong saya, Nik Aini dan suami, Ahmad Pakaruldin. Lebih mengujakan, pasangan kembar ini juga merangkap cicit sulong kepada ayahbonda saya. Alhamdulillah, bertuahnya kembar perempuan ini, ditunggu-tunggu kehadirannya oleh semua yang menanti.

Saya juga tumpang gembira kerana bertambahlah pasangan-pasangan kembar didalam keluarga besar kami. Setakat ini sudah ada tiga pasang, belum lagi dicampur dengan sepupu, rasanya kalau dicampur kesemuanya berjumlah tujuh pasang kesemuanya. Alhamdulillah!

Kegembiraan menerima kehadiran ahli baru dalam keluarga kami juga bertambah serinya apabila cucu sulong ayahanda saya, Nik Ahmad Thalhah Ahmad Pakaruldin melangsungkan pertunangannya selang seminggu selepas menerima anak saudara sulongnya. Maka kelam kabut jugalah kekanda saya mahu meraikan kedua-dua anakandanya yang ini. Mana masanya nak menyambut kedatangan cucu sulong, mencuri waktu pula untuk persiapan majlis pertunangan bagi meraikan bakal menantu keduanya. Kalau dah rezekikan, berganda-ganda  dalam sekelip mata sahaja, selepas dinaikkan pangkat pula dalam kerjayanya baru-baru ini. Makan besar sungguh! Tahniah daripada kami sekeluarga.

IMG_0025

IMG_0034

IMG_0052

IMG_0073

IMG_0094

Nampaknya kesibukan kekanda sulong saya ini masih tidak bernoktah kerana tempoh pertunangan anakandanya ini hanyalah sebulan. InsyaAllah jika direzekikanNya, maka majlis akad nikah anak saudara sulong saya ini akan diadakan pada penghujung Februari nanti. Bertambah lagilah ahli keluarga besar kami!

9.04am

Advertisements

Gaya Hidup

Salam Ukhuwah…

Dalam kita menyediakan anak-anak yang berjaya dalam kehidupan dunia mereka, jangan sesekali mengabaikan keperluan rohani sebagai bekalan menuju ke akhirat. Setiap ibubapa adalah dipertanggungjawabkan untuk menjaga amanah besar ini supaya anak-anak ini akan berpengetahuan tentang peranan mereka yang sebenarnya sebagai hamba Allah di muka bumi.

Menyayangi dan mengasihi anak-anak bukan sekadar mencukupkan keperluan zahir mereka seperti makan minum, pakaian, permainan, pendidikan, dan sebagainya, tetapi ia lebih besar dari itu. Setiap ibubapa perlu berusaha untuk menjadikan anak-anak ini kenal kepada Penciptanya yang Maha Agung.

Maka sejak awalan lagi ibubapa sememangnya berperanan penting dalam memberi didikan yang sempurna bermula dari rumah sendiri. Didikan peribadi bukan bermula di sekolah mahupun ikut-ikutan terhadap persekitaran sekeliling, tetapi anak-anak kita mula berkembang fizikal dan mentalnya ketika mereka berada bersama-sama keluarga di rumah. Secara langsungnya rumahlah yang akan menjadi sekolah permulaan kepada anak-anak kita ini.

Apabila rumah menjadi sekolah pertama kepada setiap anak-anak kita, maka ‘guru-gurunya’ adalah ibubapa – dan ahli keluarga yang lain, jika ada. Untuk menghasilkan anak-anak yang beremosi dan berakhlak elok maka rumah itu sendiri mestilah berada dalam keadaan yang baik – baik ahlinya dan sempurna suasananya. Suasana yang sempurna pula akan terbentuk jika wujudnya roh Islam didalam rumahtangga tersebut.

Utamanya, ibubapa sendiri mestilah menjalani kehidupan sebagaimana Muslim yang sebenar. Berusahalah untuk mewujudkan suasana Islamik didalam rumah seperti mendisiplinkan anak-anak dengan solat berjamaah bersama ahli keluarga – jika ada halangan untuk ke surau, membaca al-Quran pada waktu-waktu yang telah ditetapkan, saling menghormati dan tolong menolong diantara satu sama lain, dan apa jua akhlak yang baik perlu diterapkan.

Ibubapa yang merupakan ahli keluarga yang paling hampir dan dihormati oleh anak-anak sangat perlu menunjukkan teladan yang baik kepada mereka, semoga setiap perilaku yang ditonjolkan akan memberi kesan yang mendalam kepada jiwa-jiwa yang sedang berkembang sihat ini. Jika kita mampu memberi contoh yang baik buat anak-anak, insyaAllah secara terusan ia akan menjadi satu gaya hidup yang sempurna kepada mereka sepanjang hayat.

Anak-anak yang terdidik sempurna akan tahu menghormati orang tua mereka, malah suatu masa nanti mungkin mereka pula yang akan cuba mengingatkan kita kepada keperluan hidup beragama. Mereka akan turut serta dalam membina sebuah keluarga yang setiap ahlinya akan menjaga keperluan beragama masing-masing, taat kepada setiap perintah Allah dan sentiasa menghindarkan diri dari larangannya.

Pengisian

Jangan kita menjadi ibubapa yang keterlaluan memberi keutamaan kepada bidang akademik anak-anak, tetapi dalam masa yang sama memandang sebelah mata tentang kepentingan pengisisan agama kedalam jiwa mereka. Adadikalangan kita yang sanggup berhabisan wang dan masa untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen, tetapi amat berat untuk menghantar anak-anak ke kelas mengaji al-Quran dan Fardhu ‘Ain, walaupun jika dibandingkan bayaran untuk ke kelas agama jauh lebih murah sebenarnya. Disini kita dapat melihat bagaimana cara ibubapa masa kini berfikir – keterlaluan dalam mengejar kecemerlangan kehidupan dunia dan dengan rela hati menyisihkan keperluan pengisian akhirat yang sepatutnya diseimbangkan. Ibubapa sendiri yang memalapkan keperluan kehidupan beragama kepada anak-anak.

Jika sehari dua ini kita dikhabarkan seorang remaja perempuan berusia 11 tahun melarikan diri bersama kekasihnya seorang remaja lelaki berusia 17 tahun – untuk kali kedua – adakah kita mahu terus menyalahkan anak-anak ini? Remaja ini kelihatannya bersalah, tetapi jika direnungi lebih mendalam, terfikirkah kita tentang pengamalan kehidupan beragamanya? Tentang solatnya, tentang auratnya, tentang bacaan al-Qurannya, tentang kehidupan sosialnya? Remaja ini adalah Muslim dan lahir daripada keluarga Muslim. Siapa yang liar sebenarnya? Anak-anak atau ibubapa? Mungkin ibubapa liar dari tanggungjawab memberi didikan agama kepada anak-anak lalu liatlah anak-anak ini untuk menjalani kehidupan beragama. Ini semua berpunca dari ketidaktegasan dan pengabaian daripada ibubapa yang memandang mudah kepada keperluan sebuah keluarga yang berorientasikan roh Islam didalam rumahtangganya.

Mendidik anak-anak bukan satu perkara yang mudah, malah sangat mencabar. Cabarannya mungkin berbeza-beza mengikut tahap umur, jantina dan bilangan mereka. Apa yang paling penting, ibubapa sendiri berkemahuan untuk membina sebuah rumahtangga yang bercirikan sebuah keluarga Muslim yang sebenarnya.

Utamakan Solat

Tonggak utamanya adalah solat, dan dituruti dengan pengamalan amalan-amalan wajib yang lain. Solat adalah tiang agama. Solat lima waktu yang wajib ditunaikan demi menegakkan agama. Jika solat ini diabaikan walaupun satu waktu sahaja, walaupun tidak tertunai sesekala sahaja, ia sudah menggambarkan bahawa kita seorang Muslim yang telah mengabaikan agamanya dengan sewenang-wenangnya.

Solat adalah satu bentuk disiplin yang diajar sendiri oleh Islam. Selain dari memperuntukkan waktu untuk berbicara dengan Maha Pencipta, solat juga akan mampu mencegah kita dari melakukan sebarang perkara mungkar kepada Allah s.w.t. hasil dari ingatan yang berkali-kali terhadapNya pada setiap hari. Jika anak-anak kita telah dididik sempurna tentang solat lima waktunya, mudah-mudahan terhindarlah keinginan nafsu mereka untuk cuba melakukan perkara-perkara yang tidak sewajarnya sejak usia muda lagi.

Ambil kesempatan berharga ketika anak-anak masih dalam penjagaan dan pemerhatian langsung daripada kita, kelak apabila mereka sudah remaja mahupun meningkat dewasa dan langkahnya makin panjang, tentunya agak sukar untuk kita mengawasi gerak laku mereka lagi. Maka didikan yang sempurna terutamanya kewajipan solat lima waktu yang telah menjadi amalan wajib mereka selama ini, insyaAllah akan menjadi ‘pendinding’ utuh kepada jiwa anak-anak kita disaat berjauhan dari pandangan mata ibubapa.

Selain mengerjakan solat berjamaah di rumah, anak-anak juga perlu diajar untuk berjamaah di masjid. Selain mewujudkan rasa cinta kepada rumah Allah, berjamaah di masjid juga mampu mengajar anak-anak bersosial dengan jamaah yang lain. Mereka akan saling mengenali diantara satu sama lain yang secara tidak langsung akan mewujudkan silaturrahin sesama Muslim.

Selain itu jadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu rutin wajib kepada anak-anak. Ajari mereka seawal usia untuk mengenal huruf-huruf al-Quran kala lidah masih lembut untuk mengalunkannya. Biarlah jangan terlewat, kelak nanti tidaklah kekok bacaannya apabila umur sudah meningkat. Jadikan rumah kita bercahaya dengan ayat-ayat suci al-Quran semoga terhindarlah semua penghuninya daripada godaan syaitan la’natullah.

Anak-anak juga mestilah dipraktikalkan dengan adab dan akhlak yang baik. Semua aturcara hidup perlu ada tertibnya – bagaimana berbicara dengan sopan, adab ketika makan, pemilihan berpakaian, dan apa jua tingkah kita seharian. Ini semuanya protokol kehidupan seorang Muslim, yang akan memberi teladan kepada semua yang memandangnya untuk mereka lihat keindahan Islam itu sendiri.

Didik Jiwa

Selain kita mengajar itu ini, begitu begini dalam mendisiplinkan kehidupan anak-anak, jangan ketinggalan untuk memberitahu mereka tentang pengkisahan para nabi, para sahabat, para ulama’, dan juga tokoh pejuang Islam yang lain tentang gaya kehidupan mereka yang sebenarnya. Kebanyakan daripada tokoh-tokoh hebat ini hanya menjalani kehidupan bersederhana sahaja sepanjang hayat mereka, tidak melebihkan dunia tetapi begitu mencintai akhirat yang kekal abadi.

Jika kita kurang berpengetahuan tentang tokoh-tokoh Islam ini, usahakan pula untuk menyediakan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak supaya mereka dapat menghayati cara hidup Islam yang sebenar. Semoga usaha kita ini secara tidak langsung mampu mendidik jiwa mereka untuk merasa kehebatan orang-orang yang soleh, selain dari cintakan amalan membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan secara berterusan.

Cuba elakkan anak-anak daripada terlalu memuja artis, sekadar mengambil tahu sepintas lalu mungkin tidak dapat dielakkan kerana propagandanya sangat hebat dimana-mana media massa, tetapi jangan biarkan mereka keterlaluan sehingga mahu pula meniru apa jua yang dilakukan oleh artis tersebut. Ibubapa perlu bertegas dengan anak-anak dalam sebarang bentuk hiburan yang mampu melalaikan, sebelum mereka merasakan bahawa tanpa hiburan dunia ini tiada manisnya.

Adakalanya faktor kawan juga mampu mengubah sikap anak-anak kita. Maka adalah baik sekiranya kita tahu dengan siapa mereka berkawan. Bukan bermaksud untuk mengongkong hak mereka untuk mendapatkan kawan, tetapi ibubapa juga mempunyai hak untuk menentukan dengan siapa anak-anak berkawan. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berteman, sempurnakah pakaiannya? Tingkahnya? Percakapannya? Dan banyak lagi perkara lain yang perlu diambil tahu, supaya tidaklah dikemudian hari anak-anak kita pula yang terjebak dalam permasalahan sosial yang tidak baik hasil daripada pengaruh kawan-kawannya itu. InsyaAllah, jika baik sahabatnya maka baiklah anak kita.

Akhirnya, berdoalah! Semoga kita sekeluarga sentiasa berada dikalangan orang-orang yang beriman. Pohon kepadaNya semoga kita dianugerahkan anak-anak yang soleh dan solehah. Berdoalah juga agar kita sentiasa diberi keinginan untuk menambahkan kefahaman tentang perlunya hidup beragama agar rasa cinta terhadap Islam akan sentiasa membara di jiwa ini.

Dan ingatlah bahawa, keinginan mencipta sebuah rumahtangga yang bercirikan roh Islam semestinya perlu kepada kesungguhan daripada ibubapa itu sendiri. Kita perlu menjadi lebih baik sebelum mengharapkan anak-anak pula menjadi yang terbaik.

 6.20pm

Sekolah Agama

Salam Ukhuwah…

Penghujung minggu lalu saya telah menghadiri sesi pertemuan ibubapa dengan guru bagi pelajar-pelajar baru tingkatan satu di sekolah anakanda sulong.

Alhamdulillah, saya berjaya menghantar anakanda sulong ke sekolah agama dimana ia merupakan pilihan terbaik untuknya mendapatkan ilmu dan didikan yang seimbang antara dunia dengan akhirat.

Bagi saya, penentuan dimana anak-anak akan bersekolah adalah tanggungjawab ibubapa, bukan semata-mata atas pilihan mereka sendiri. Jika anak-anak telah memilih dimana sasaran sekolah pilihan mereka dan berkebetulan pula ianya adalah baik untuk mendapatkan ilmu dan didikan seimbang untuk jiwanya, maka kita sebagai ibubapa bolehlah bersetuju. Jika sekadar mereka memilih kerana pelbagai alasan mahupun ikutan kawan-kawan sahaja, maka disinilah tanggungjawab ibubapa untuk menentukan pilihan sekolah yang terbaik.

Kenapa harus memilih sekolah agama?

Jika dimulai pada peringkat rendah lagi anak-anak telah dihantar ke sekolah agama tentunya itu adalah lebih baik. Saya sendiri dihantar ke sekolah agama diperingkat menengah. Malah kesemua kakak dan abang saya ketika itu juga telah dihantar ke sekolah agama pada peringkat menengah mereka. Kedua ibubapa saya langsung menutup ruang untuk anak-anak ke sekolah menengah biasa.

Alhamdulillah, walaupun saya agak kesulitan dalam menguasai ilmu bahasa Arab berbanding akademik, dengan dorongan ibubapa akhirnya berjaya juga menamatkan peringkat menengah di sekolah agama sebelum bertukar ke bidang akademik diperingkat universiti.

Berjauhan daripada keluarga untuk berada dalam dunia kampus yang menjurus kepada bidang akademik, barulah saya merasa kelebihannya bahawa berada di sekolah agama pada peringkat menengah agak menjamin jatidiri seorang mahasiswa pada ketika itu. Bukan bermaksud pelajar dari aliran akademik pada peringkat menengah tidak baik, jika kena memilih kawan di kampus  insyaAllah mereka mungkin akan menjadi lebih baik dari yang ‘beragama’. Mungkin juga yang ‘beragama’ itu pula tersilap langkah apabila mula berjauhan daripada keluarga. Namun bagi saya, menyediakan kawalan awalan dengan ilmu agama diperingkat lebih awal insyaAllah lebih menjamin anak-anak ini dari terpesong jauh dari landasan yang sepatutnya.

Asas Beragama

Saya juga bersyukur kerana pernah dihantar ke sekolah agama, sekurang-kurangnya pada hari ini saya mampu menjawab persoalan daripada anak-anak tentang hukum-hakam yang mudah. Mereka tidak perlu mencari sumber lain jika sekadar mahu bertanya tentang persoalan aqil baligh, tentang aurat, tentang pergaulan diantara mahram, tentang ibadah fardhu, mahupun apa jua kemusykilan yang mudah sebenarnya, tetapi masih ramai ibubapa yang tidak mampu menjawabnya kerana tidak berpengetahuan asas dalam beragama. Masakan tidak, pelajar sekolah agama sangat banyak mata pelajarannya. Bukan sekadar dengan ilmu akademiknya, malah ilmu agamanya juga sangat banyak subjeknya. Kerana itulah mungkin pelajar sekolah agama lebih ‘berilmu’ jika kena caranya.

Tetapi kerana banyaknya ‘ilmu’ di sekolah agama inilah ramai pula ibubapa yang memikirkan tentang bebanan kepada anak-anak untuk menguasainya. Mereka mungkin bimbang jika anak-anak ini mula mengeluh kepenatan tubuh badan dan otak. Fikirkan saja begini, mampukah kita untuk mengajar ilmu agama sendiri kepada anak-anak ini? Jika jawapannya tidak, maka sekolah agamalah pilihan terbaik untuk anak-anak ini mendapat bekalan dunia dan akhiratnya secara seimbang.

Lagi pula, jika sudah ramai anak-anak diluar sana yang mampu menamatkan persekolahan agama mereka dengan jayanya, kenapa perlu kita mengalah sebelum mencubanya. Kita perlu mencuba sesuatu yang telah dijanjikan bahagiannya di akhirat sana, bukan sekadar untuk bekalan di dunia ini. Penat menuntut ilmu di dunia masih ada waktu rehatnya, letih di akhirat? Kita sudah terlambat!

Menghantar anak-anak ke sekolah bukan sekadar mahu mereka berilmu duniawi, tetapi juga biarlah seimbang dengan bekalan menuju ke akhirat sana. Kerana itulah pada peringkat menengah ini saya mahu kesemua anak-anak saya melanjutkan pelajaran mereka di sekolah agama. Semoga seimbanglah jiwa mereka, ilmu dunia pun dituntut, ilmu akhirat pun tidak dicicirkan. Jika tidak mampu menguasai kedua-duanya sekaligus, sekurang-kurangnya sedikit sebanyak ada yang melekat di jiwanya buat bekalan kehidupan pada masa hadapan.

Sekolah agama yang menitikberatkan ilmu al-Quran insyaAllah mampu membina jatidiri anak-anak dengan lebih baik. Sekurang-kurangnya mereka tahu sedikit sebanyak tentang tafsir al-Quran, boleh menghafaz ayat-ayat suci walau sekadar beberapa Surah panjang, mampu mengimami solat ketika diperlukan, tahu apa itu tuntutan fardhu ‘ain dan fardu kifayah, langsungnya sebagai bekalan untuk membina keluarga sendiri apabila sampai waktunya.

Seiring

Bukan bermaksud sekolah menengah beraliran akademik itu tidak baik, malah ada juga kes disiplin pelajar yang teruk lahir dari sekolah agama. Kita hanya perlu berfikir begini, cari yang lebih baik di antara yang baik-baik. Malah fikirkan juga ilmu yang akan diperoleh dari sekolah agama ini, bidang akademik pun dapat, bidang agama pun seiring. Semoga suatu masa nanti apabila anak-anak ini mula berkerjaya, hasilnya adalah para profesional yang berlatar belakangkan pendidikan agama.

Menuntut ilmu di sekolah agama bukan sekadar akan menjadi ustaz uztazah. Itu pemikiran kolot. Apa yang kita mahu suatu masa nanti anak-anak ini akan membina satu generasi harapan baru yang akan pula menyumbang segala kepakaran ilmu mereka kepada negara yang tercinta ini. Anak-anak soleh ini tentunya memiliki kekuatan rohani yang lebih baik dengan pegangan agamanya, semoga mampu menjadi benteng utuh kepada mereka dalam mendepani pelbagai cabaran dan ujian diluar sana. InsyaAllah tiada lagi anasir-anasir jahat akan mampu menguasai mereka dengan mudah.

Anak-anak ini juga adalah pelaburan kita di akhirat nanti. Merekalah yang akan mendoakan untuk kebaikan kita apabila meninggal dunia nanti. Alangkah baiknya sewaktu umur yang masih berbaki ini kita sama-sama menyediakan suatu pendidikan yang sempurna untuk menjadikan mereka anak-anak yang soleh dan solehah, taat patuh kepada setiap perintah Allah, tentunya juga akan mengasihi kita sepanjang hayatnya, insyaAllah.

9.17pm

Bermula…

Salam Ukhuwah…

Sesi persekolahan bagi tahun 2013 telahpun bermula…setelah anak-anak bercuti selama hampir dua bulan. Maka tamatlah sesi bersantai-santai bagi anak-anak dan juga ibubapa sekalian.

Bagi saya sekeluarga tempoh cuti panjang tempohari kami hanya habiskan di rumah sahaja, tiada sesi berjalan-jalan kerana saya berada didalam tempoh keletihan yang teramat. Sekadar menghantar anak-anak lima kali seminggu ke kelas rutin mereka sepanjang cuti – mewarna dan melukis – dan juga beberapa kali balik ke kampung mertua, nasib baiklah dekat saja.

Nasib baik jugalah anak-anak tidaklah meminta-minta untuk dibawa kemana-mana, mungkin juga kerana usai peperiksaan UPSR tempohari, saya telah membawa si sulong dan anakanda kedua untuk bersantai-santai di Universal Studio Singapura dan juga Legoland Johor. Baki anak-anak berempat yang lain saya bawa berjalan-jalan di Kuala Lumpur sahaja sambil memeriahkan majlis pertunangan anak saudara sebelah suami.

Sekarang dari KB boleh terus ke JB

Sekarang dari KB boleh terus ke JB

Alhamdulillah...selamat sampai

Alhamdulillah…selamat sampai

Menuju ke Singapura

Menuju ke Singapura

Keriangan bermula

Keriangan bermula

IMG_1089

IMG_1138

 

 

 

 

IMG_1102

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Saya sendiri tidak pernah merancang secara khusus percutian keluarga. Tiada waktu tertentu untuk pergi bercuti, biasanya ia hanya berlaku secara kebetulan sahaja, dan lebih seronok jika ‘percutian’ kami itu berlaku diluar musim cuti umum. Tentunya lokasi tumpuan tidak akan memenuh dengan orang ramai dan kami akan lebih bersantai untuk menikmatinya, berbaloilah dengan senggang waktu yang amat jarang kami peruntukkan bersama.

Berubah

Berbalik kepada kehidupan seminggu dua ni, jadual hidup mula berubah – terutama buat anak-anak – bangun mesti la seawal pagi.  Sehingga tempoh ini tiada masalah untuk mereka bangun pagi – kecuali bagi anakanda kelima saya yang baru melangkah ke darjah satu – selalu saja komplen mengantuk di sekolah menjelang waktu tengahari – dua tahun di tadika semuanya sesi petang! Katanya, kalau siap latihan yang cikgu bagi, murid-murid yang mengantuk dibenarkan tidur lentok di meja sehingga waktu pelajaran tersebut tamat. Oh, baiknya cikgu! Terima kasih cikgu kerana sangat memahami pengalaman pertama anak-anak kecil ini.

Saya sendiri pula seawal pagi akan sibuk menyediakan sarapan usai solat Subuh – sekarang Subuh agak lambat maka segalanya sehabis segera. Tiada menu yang berat-berat, janji kena bersarapan sebelum ke sekolah. Kekerapan menu = dua keping roti bakar setiap seorang + milo – kalau dah habis stok roti baru tukar menu lain – biasanya anak-anak akan mengambil bijirin + susu segar – kalau kehabisan stok juga, mulalah menggoreng-goreng apa-apa saja yang bernama ‘segera’!

Encik suami pula mengambil tugas menghantar anak-anak ke sekolah jika berkelapangan, jika sibuk, sayalah tukang hantar dan ambilnya. Apa yang penting…, kerjasama! Alhamdulillah, segalanya kelihatan bergerak sempurna untuk menyekolahkan anak-anak di tiga buah sekolah berbeza.

Ringkas

Cerita tentang persiapan untuk sesi persekolahan baru kali ini, saya rasa tahun inilah yang paling ringkas penyediaannya. Segalanya pakai yang sedia ada! Kecuali buat anakanda sulong yang melangkah ke tingkatan satu dan anakanda kelima yang melangkah ke darjah satu – setiap seorangnya saya sediakan tiga pasang seragam baru. Anak-anak yang lain tiada keperluan yang berwajah baru, kecuali pensil warna sahaja. Itupun dibeli lebih awal untuk ke kelas mewarna dan melukis. Alhamdulillah anak-anak tidak merungut…kerana saya telah membuat janji, jika ada yang rosak nanti insyaAllah akan dibeli yang baru. Maka hari ini, anakanda yang kedua mula menagih janji! Katanya kasut sekolahnya sudah koyak! Ok, ok…saya berjanji, insyaAllah akhir bulan nanti kita beli yang baru. Kena ajar juga untuk bersabar…

Itu cara didikan sayalah – sebagaimana ibubapa saya mendidik saya dulu-dulu – selagi boleh pakai, maka pakailah. InsyaAllah jika dididik dan diberitahu dengan elok sempurna, anak-anak akan dapat menerima setiap disiplin dalam kehidupan mereka tanpa rasa terbeban emosinya. Jika kelihatan anak-anak amat berkemahuan kepada sesuatu – dan kemahuannya itu boleh dipertimbangkan – biasanya saya akan berkata: ok, boleh! Kita sama-sama kumpul duit dulu. Sebenarnya, saya mahu dia belajar erti sabar dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu. Saya tidak suka untuk terlalu mempermudah-mudahkan keatas sesuatu perkara yang bukannya keperluan mendesak, tetapi tidak pula akan menyukarkannya sehingga membuat anak-anak akan merasa kecewa. Jauhkanlah perasaan kecewa kepada anak-anak jika sesuatu kemahuannya itu berada didalam kemampuan kita sebagai ibubapa. Sekadar mendidik untuk mereka lebih menghargai sesuatu, itu adalah baik untuk jiwanya.

Akhirnya, sebagai ibubapa sama-samalah kita berdoa semoga anak-anak ini akan meneruskan usaha mereka untuk berada pada tahap yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. Semoga prestasi mereka akan terus cemerlang, bukan sekadar dalam akademiknya tetapi jua akhlak peribadinya.

6.44pm