• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2013
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  

Sekolah Agama

Salam Ukhuwah…

Penghujung minggu lalu saya telah menghadiri sesi pertemuan ibubapa dengan guru bagi pelajar-pelajar baru tingkatan satu di sekolah anakanda sulong.

Alhamdulillah, saya berjaya menghantar anakanda sulong ke sekolah agama dimana ia merupakan pilihan terbaik untuknya mendapatkan ilmu dan didikan yang seimbang antara dunia dengan akhirat.

Bagi saya, penentuan dimana anak-anak akan bersekolah adalah tanggungjawab ibubapa, bukan semata-mata atas pilihan mereka sendiri. Jika anak-anak telah memilih dimana sasaran sekolah pilihan mereka dan berkebetulan pula ianya adalah baik untuk mendapatkan ilmu dan didikan seimbang untuk jiwanya, maka kita sebagai ibubapa bolehlah bersetuju. Jika sekadar mereka memilih kerana pelbagai alasan mahupun ikutan kawan-kawan sahaja, maka disinilah tanggungjawab ibubapa untuk menentukan pilihan sekolah yang terbaik.

Kenapa harus memilih sekolah agama?

Jika dimulai pada peringkat rendah lagi anak-anak telah dihantar ke sekolah agama tentunya itu adalah lebih baik. Saya sendiri dihantar ke sekolah agama diperingkat menengah. Malah kesemua kakak dan abang saya ketika itu juga telah dihantar ke sekolah agama pada peringkat menengah mereka. Kedua ibubapa saya langsung menutup ruang untuk anak-anak ke sekolah menengah biasa.

Alhamdulillah, walaupun saya agak kesulitan dalam menguasai ilmu bahasa Arab berbanding akademik, dengan dorongan ibubapa akhirnya berjaya juga menamatkan peringkat menengah di sekolah agama sebelum bertukar ke bidang akademik diperingkat universiti.

Berjauhan daripada keluarga untuk berada dalam dunia kampus yang menjurus kepada bidang akademik, barulah saya merasa kelebihannya bahawa berada di sekolah agama pada peringkat menengah agak menjamin jatidiri seorang mahasiswa pada ketika itu. Bukan bermaksud pelajar dari aliran akademik pada peringkat menengah tidak baik, jika kena memilih kawan di kampus  insyaAllah mereka mungkin akan menjadi lebih baik dari yang ‘beragama’. Mungkin juga yang ‘beragama’ itu pula tersilap langkah apabila mula berjauhan daripada keluarga. Namun bagi saya, menyediakan kawalan awalan dengan ilmu agama diperingkat lebih awal insyaAllah lebih menjamin anak-anak ini dari terpesong jauh dari landasan yang sepatutnya.

Asas Beragama

Saya juga bersyukur kerana pernah dihantar ke sekolah agama, sekurang-kurangnya pada hari ini saya mampu menjawab persoalan daripada anak-anak tentang hukum-hakam yang mudah. Mereka tidak perlu mencari sumber lain jika sekadar mahu bertanya tentang persoalan aqil baligh, tentang aurat, tentang pergaulan diantara mahram, tentang ibadah fardhu, mahupun apa jua kemusykilan yang mudah sebenarnya, tetapi masih ramai ibubapa yang tidak mampu menjawabnya kerana tidak berpengetahuan asas dalam beragama. Masakan tidak, pelajar sekolah agama sangat banyak mata pelajarannya. Bukan sekadar dengan ilmu akademiknya, malah ilmu agamanya juga sangat banyak subjeknya. Kerana itulah mungkin pelajar sekolah agama lebih ‘berilmu’ jika kena caranya.

Tetapi kerana banyaknya ‘ilmu’ di sekolah agama inilah ramai pula ibubapa yang memikirkan tentang bebanan kepada anak-anak untuk menguasainya. Mereka mungkin bimbang jika anak-anak ini mula mengeluh kepenatan tubuh badan dan otak. Fikirkan saja begini, mampukah kita untuk mengajar ilmu agama sendiri kepada anak-anak ini? Jika jawapannya tidak, maka sekolah agamalah pilihan terbaik untuk anak-anak ini mendapat bekalan dunia dan akhiratnya secara seimbang.

Lagi pula, jika sudah ramai anak-anak diluar sana yang mampu menamatkan persekolahan agama mereka dengan jayanya, kenapa perlu kita mengalah sebelum mencubanya. Kita perlu mencuba sesuatu yang telah dijanjikan bahagiannya di akhirat sana, bukan sekadar untuk bekalan di dunia ini. Penat menuntut ilmu di dunia masih ada waktu rehatnya, letih di akhirat? Kita sudah terlambat!

Menghantar anak-anak ke sekolah bukan sekadar mahu mereka berilmu duniawi, tetapi juga biarlah seimbang dengan bekalan menuju ke akhirat sana. Kerana itulah pada peringkat menengah ini saya mahu kesemua anak-anak saya melanjutkan pelajaran mereka di sekolah agama. Semoga seimbanglah jiwa mereka, ilmu dunia pun dituntut, ilmu akhirat pun tidak dicicirkan. Jika tidak mampu menguasai kedua-duanya sekaligus, sekurang-kurangnya sedikit sebanyak ada yang melekat di jiwanya buat bekalan kehidupan pada masa hadapan.

Sekolah agama yang menitikberatkan ilmu al-Quran insyaAllah mampu membina jatidiri anak-anak dengan lebih baik. Sekurang-kurangnya mereka tahu sedikit sebanyak tentang tafsir al-Quran, boleh menghafaz ayat-ayat suci walau sekadar beberapa Surah panjang, mampu mengimami solat ketika diperlukan, tahu apa itu tuntutan fardhu ‘ain dan fardu kifayah, langsungnya sebagai bekalan untuk membina keluarga sendiri apabila sampai waktunya.

Seiring

Bukan bermaksud sekolah menengah beraliran akademik itu tidak baik, malah ada juga kes disiplin pelajar yang teruk lahir dari sekolah agama. Kita hanya perlu berfikir begini, cari yang lebih baik di antara yang baik-baik. Malah fikirkan juga ilmu yang akan diperoleh dari sekolah agama ini, bidang akademik pun dapat, bidang agama pun seiring. Semoga suatu masa nanti apabila anak-anak ini mula berkerjaya, hasilnya adalah para profesional yang berlatar belakangkan pendidikan agama.

Menuntut ilmu di sekolah agama bukan sekadar akan menjadi ustaz uztazah. Itu pemikiran kolot. Apa yang kita mahu suatu masa nanti anak-anak ini akan membina satu generasi harapan baru yang akan pula menyumbang segala kepakaran ilmu mereka kepada negara yang tercinta ini. Anak-anak soleh ini tentunya memiliki kekuatan rohani yang lebih baik dengan pegangan agamanya, semoga mampu menjadi benteng utuh kepada mereka dalam mendepani pelbagai cabaran dan ujian diluar sana. InsyaAllah tiada lagi anasir-anasir jahat akan mampu menguasai mereka dengan mudah.

Anak-anak ini juga adalah pelaburan kita di akhirat nanti. Merekalah yang akan mendoakan untuk kebaikan kita apabila meninggal dunia nanti. Alangkah baiknya sewaktu umur yang masih berbaki ini kita sama-sama menyediakan suatu pendidikan yang sempurna untuk menjadikan mereka anak-anak yang soleh dan solehah, taat patuh kepada setiap perintah Allah, tentunya juga akan mengasihi kita sepanjang hayatnya, insyaAllah.

9.17pm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: