• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2013
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  

Gaya Hidup

Salam Ukhuwah…

Dalam kita menyediakan anak-anak yang berjaya dalam kehidupan dunia mereka, jangan sesekali mengabaikan keperluan rohani sebagai bekalan menuju ke akhirat. Setiap ibubapa adalah dipertanggungjawabkan untuk menjaga amanah besar ini supaya anak-anak ini akan berpengetahuan tentang peranan mereka yang sebenarnya sebagai hamba Allah di muka bumi.

Menyayangi dan mengasihi anak-anak bukan sekadar mencukupkan keperluan zahir mereka seperti makan minum, pakaian, permainan, pendidikan, dan sebagainya, tetapi ia lebih besar dari itu. Setiap ibubapa perlu berusaha untuk menjadikan anak-anak ini kenal kepada Penciptanya yang Maha Agung.

Maka sejak awalan lagi ibubapa sememangnya berperanan penting dalam memberi didikan yang sempurna bermula dari rumah sendiri. Didikan peribadi bukan bermula di sekolah mahupun ikut-ikutan terhadap persekitaran sekeliling, tetapi anak-anak kita mula berkembang fizikal dan mentalnya ketika mereka berada bersama-sama keluarga di rumah. Secara langsungnya rumahlah yang akan menjadi sekolah permulaan kepada anak-anak kita ini.

Apabila rumah menjadi sekolah pertama kepada setiap anak-anak kita, maka ‘guru-gurunya’ adalah ibubapa – dan ahli keluarga yang lain, jika ada. Untuk menghasilkan anak-anak yang beremosi dan berakhlak elok maka rumah itu sendiri mestilah berada dalam keadaan yang baik – baik ahlinya dan sempurna suasananya. Suasana yang sempurna pula akan terbentuk jika wujudnya roh Islam didalam rumahtangga tersebut.

Utamanya, ibubapa sendiri mestilah menjalani kehidupan sebagaimana Muslim yang sebenar. Berusahalah untuk mewujudkan suasana Islamik didalam rumah seperti mendisiplinkan anak-anak dengan solat berjamaah bersama ahli keluarga – jika ada halangan untuk ke surau, membaca al-Quran pada waktu-waktu yang telah ditetapkan, saling menghormati dan tolong menolong diantara satu sama lain, dan apa jua akhlak yang baik perlu diterapkan.

Ibubapa yang merupakan ahli keluarga yang paling hampir dan dihormati oleh anak-anak sangat perlu menunjukkan teladan yang baik kepada mereka, semoga setiap perilaku yang ditonjolkan akan memberi kesan yang mendalam kepada jiwa-jiwa yang sedang berkembang sihat ini. Jika kita mampu memberi contoh yang baik buat anak-anak, insyaAllah secara terusan ia akan menjadi satu gaya hidup yang sempurna kepada mereka sepanjang hayat.

Anak-anak yang terdidik sempurna akan tahu menghormati orang tua mereka, malah suatu masa nanti mungkin mereka pula yang akan cuba mengingatkan kita kepada keperluan hidup beragama. Mereka akan turut serta dalam membina sebuah keluarga yang setiap ahlinya akan menjaga keperluan beragama masing-masing, taat kepada setiap perintah Allah dan sentiasa menghindarkan diri dari larangannya.

Pengisian

Jangan kita menjadi ibubapa yang keterlaluan memberi keutamaan kepada bidang akademik anak-anak, tetapi dalam masa yang sama memandang sebelah mata tentang kepentingan pengisisan agama kedalam jiwa mereka. Adadikalangan kita yang sanggup berhabisan wang dan masa untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen, tetapi amat berat untuk menghantar anak-anak ke kelas mengaji al-Quran dan Fardhu ‘Ain, walaupun jika dibandingkan bayaran untuk ke kelas agama jauh lebih murah sebenarnya. Disini kita dapat melihat bagaimana cara ibubapa masa kini berfikir – keterlaluan dalam mengejar kecemerlangan kehidupan dunia dan dengan rela hati menyisihkan keperluan pengisian akhirat yang sepatutnya diseimbangkan. Ibubapa sendiri yang memalapkan keperluan kehidupan beragama kepada anak-anak.

Jika sehari dua ini kita dikhabarkan seorang remaja perempuan berusia 11 tahun melarikan diri bersama kekasihnya seorang remaja lelaki berusia 17 tahun – untuk kali kedua – adakah kita mahu terus menyalahkan anak-anak ini? Remaja ini kelihatannya bersalah, tetapi jika direnungi lebih mendalam, terfikirkah kita tentang pengamalan kehidupan beragamanya? Tentang solatnya, tentang auratnya, tentang bacaan al-Qurannya, tentang kehidupan sosialnya? Remaja ini adalah Muslim dan lahir daripada keluarga Muslim. Siapa yang liar sebenarnya? Anak-anak atau ibubapa? Mungkin ibubapa liar dari tanggungjawab memberi didikan agama kepada anak-anak lalu liatlah anak-anak ini untuk menjalani kehidupan beragama. Ini semua berpunca dari ketidaktegasan dan pengabaian daripada ibubapa yang memandang mudah kepada keperluan sebuah keluarga yang berorientasikan roh Islam didalam rumahtangganya.

Mendidik anak-anak bukan satu perkara yang mudah, malah sangat mencabar. Cabarannya mungkin berbeza-beza mengikut tahap umur, jantina dan bilangan mereka. Apa yang paling penting, ibubapa sendiri berkemahuan untuk membina sebuah rumahtangga yang bercirikan sebuah keluarga Muslim yang sebenarnya.

Utamakan Solat

Tonggak utamanya adalah solat, dan dituruti dengan pengamalan amalan-amalan wajib yang lain. Solat adalah tiang agama. Solat lima waktu yang wajib ditunaikan demi menegakkan agama. Jika solat ini diabaikan walaupun satu waktu sahaja, walaupun tidak tertunai sesekala sahaja, ia sudah menggambarkan bahawa kita seorang Muslim yang telah mengabaikan agamanya dengan sewenang-wenangnya.

Solat adalah satu bentuk disiplin yang diajar sendiri oleh Islam. Selain dari memperuntukkan waktu untuk berbicara dengan Maha Pencipta, solat juga akan mampu mencegah kita dari melakukan sebarang perkara mungkar kepada Allah s.w.t. hasil dari ingatan yang berkali-kali terhadapNya pada setiap hari. Jika anak-anak kita telah dididik sempurna tentang solat lima waktunya, mudah-mudahan terhindarlah keinginan nafsu mereka untuk cuba melakukan perkara-perkara yang tidak sewajarnya sejak usia muda lagi.

Ambil kesempatan berharga ketika anak-anak masih dalam penjagaan dan pemerhatian langsung daripada kita, kelak apabila mereka sudah remaja mahupun meningkat dewasa dan langkahnya makin panjang, tentunya agak sukar untuk kita mengawasi gerak laku mereka lagi. Maka didikan yang sempurna terutamanya kewajipan solat lima waktu yang telah menjadi amalan wajib mereka selama ini, insyaAllah akan menjadi ‘pendinding’ utuh kepada jiwa anak-anak kita disaat berjauhan dari pandangan mata ibubapa.

Selain mengerjakan solat berjamaah di rumah, anak-anak juga perlu diajar untuk berjamaah di masjid. Selain mewujudkan rasa cinta kepada rumah Allah, berjamaah di masjid juga mampu mengajar anak-anak bersosial dengan jamaah yang lain. Mereka akan saling mengenali diantara satu sama lain yang secara tidak langsung akan mewujudkan silaturrahin sesama Muslim.

Selain itu jadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu rutin wajib kepada anak-anak. Ajari mereka seawal usia untuk mengenal huruf-huruf al-Quran kala lidah masih lembut untuk mengalunkannya. Biarlah jangan terlewat, kelak nanti tidaklah kekok bacaannya apabila umur sudah meningkat. Jadikan rumah kita bercahaya dengan ayat-ayat suci al-Quran semoga terhindarlah semua penghuninya daripada godaan syaitan la’natullah.

Anak-anak juga mestilah dipraktikalkan dengan adab dan akhlak yang baik. Semua aturcara hidup perlu ada tertibnya – bagaimana berbicara dengan sopan, adab ketika makan, pemilihan berpakaian, dan apa jua tingkah kita seharian. Ini semuanya protokol kehidupan seorang Muslim, yang akan memberi teladan kepada semua yang memandangnya untuk mereka lihat keindahan Islam itu sendiri.

Didik Jiwa

Selain kita mengajar itu ini, begitu begini dalam mendisiplinkan kehidupan anak-anak, jangan ketinggalan untuk memberitahu mereka tentang pengkisahan para nabi, para sahabat, para ulama’, dan juga tokoh pejuang Islam yang lain tentang gaya kehidupan mereka yang sebenarnya. Kebanyakan daripada tokoh-tokoh hebat ini hanya menjalani kehidupan bersederhana sahaja sepanjang hayat mereka, tidak melebihkan dunia tetapi begitu mencintai akhirat yang kekal abadi.

Jika kita kurang berpengetahuan tentang tokoh-tokoh Islam ini, usahakan pula untuk menyediakan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak supaya mereka dapat menghayati cara hidup Islam yang sebenar. Semoga usaha kita ini secara tidak langsung mampu mendidik jiwa mereka untuk merasa kehebatan orang-orang yang soleh, selain dari cintakan amalan membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan secara berterusan.

Cuba elakkan anak-anak daripada terlalu memuja artis, sekadar mengambil tahu sepintas lalu mungkin tidak dapat dielakkan kerana propagandanya sangat hebat dimana-mana media massa, tetapi jangan biarkan mereka keterlaluan sehingga mahu pula meniru apa jua yang dilakukan oleh artis tersebut. Ibubapa perlu bertegas dengan anak-anak dalam sebarang bentuk hiburan yang mampu melalaikan, sebelum mereka merasakan bahawa tanpa hiburan dunia ini tiada manisnya.

Adakalanya faktor kawan juga mampu mengubah sikap anak-anak kita. Maka adalah baik sekiranya kita tahu dengan siapa mereka berkawan. Bukan bermaksud untuk mengongkong hak mereka untuk mendapatkan kawan, tetapi ibubapa juga mempunyai hak untuk menentukan dengan siapa anak-anak berkawan. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berteman, sempurnakah pakaiannya? Tingkahnya? Percakapannya? Dan banyak lagi perkara lain yang perlu diambil tahu, supaya tidaklah dikemudian hari anak-anak kita pula yang terjebak dalam permasalahan sosial yang tidak baik hasil daripada pengaruh kawan-kawannya itu. InsyaAllah, jika baik sahabatnya maka baiklah anak kita.

Akhirnya, berdoalah! Semoga kita sekeluarga sentiasa berada dikalangan orang-orang yang beriman. Pohon kepadaNya semoga kita dianugerahkan anak-anak yang soleh dan solehah. Berdoalah juga agar kita sentiasa diberi keinginan untuk menambahkan kefahaman tentang perlunya hidup beragama agar rasa cinta terhadap Islam akan sentiasa membara di jiwa ini.

Dan ingatlah bahawa, keinginan mencipta sebuah rumahtangga yang bercirikan roh Islam semestinya perlu kepada kesungguhan daripada ibubapa itu sendiri. Kita perlu menjadi lebih baik sebelum mengharapkan anak-anak pula menjadi yang terbaik.

 6.20pm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: