• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    February 2013
    S M T W T F S
    « Jan   Mar »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    2425262728  

Daftar Haji

Salam Ukhuwah…

Awal minggu ini saya berpeluang untuk ke Tabung Haji (TH) bagi mendaftarkan Haji buat anakanda sulong. Niat mahu mendaftar sudah berbulan-bulan tertangguh, hajat tidak kesampaian dengan kekangan masalah-masalah dunia yang lain. Usai saja mendaftar, hati rasa lega sangat. Tertunai sudah satu tanggungjawab buat anakanda yang ini.

Untuk daftar Haji mudah saja, peruntukkan sedikit wang untuk buka akaun (RM50) dan deposit tetap untuk Haji sebanyak RM1300. Duit pendaftaran untuk ibadat Haji sebanyak RM1300 itu akan dibekukan sehinggalah giliran kita dipanggil oleh TH untuk pergi menunaikan ibadat Haji suatu masa nanti.

Saya hanya mendaftar Haji untuk anakanda sahaja, kerana pendaftaran diri sendiri untuk Haji kali kedua hanya boleh dilakukan 10 tahun selepas Haji pertama dilaksanakan. Itulah syarat yang dikenakan oleh TH buat masa sekarang.

Nombor giliran jangkaan anakanda yang ini dipanggil untuk pergi mengerjakan ibadat Haji adalah pada tahun 2058!  Fuhhh! 45 tahun tempoh persediaan! Kalaupun saya panjang umur rasanya sudah tidak larat untuk pergi bersama-sama anakanda kala itu. Namun, saya tanamkan keyakinan bahawa insyaAllah jika simpanan anakanda mencukupi seminimum RM10k pada suatu masanya nanti, kami akan membuat rayuan untuk disegerakan panggilannya, mungkin 30 tahun lebih awal! Semoga kami masih lagi dipanjangkan umur dan disihatkan tubuh badan untuk menjadi tetamuNya apabila tiba saatnya nanti.

Tapi tahukah sahabat, saban tahun TH akan menerima hampir 70k surat rayuan daripada para pendaftar untuk percepatkan giliran mereka! Berdoa sajalah!

Suka saya nasihatkan kepada semua sahabat di sini untuk mendaftar Haji kepada yang belum mendaftar.Daftar Haji bukan bermaksud mahu bersegera menunaikan ibadat Haji, tetapi sebagai satu persediaan apabila masanya telah tiba nanti. Sediakan wang RM1350, insyaAllah nama kita sudah tersenarai untuk panggilan Haji walaupun berpuluh tahun akan datang. Sekurang-kurangnya kita telah mengambil satu inisiatif yang bijak untuk masa depan sebagai seorang Muslim yang baik.

Bertindak Sekarang

Jangan tunggu sehingga wang kita telah mencukupi untuk mengerjakan ibadat Haji (sekurang-kurangnya RM10,000) barulah mahu mendaftar, itu pemikiran yang salah. Jika begitulah keadaannya, seandainya pada usia saya 36 tahun ini baru mahu mendaftar, natijahnya umur 80+ tahunlah baru kita akan mendapat panggilan daripada Tabung Haji (TH) untuk ke Tanah Suci. Kalau panjang umur dan sihat tubuh badan, Alhamdulillah. Jika sebaliknya? Tidak tertunailah Rukun Islam kelima itu kerana kesilapan kita sendiri juga. Nau’uzubillah… Jadi, bertindaklah sekarang untuk mendaftar Haji, sekurang-kurangnya Allah tahu kita telah berniat dan berkeinginan tinggi untuk menyambut panggilanNya itu.

Jika kita lambat mendaftar dan tiba-tiba pula keinginan sudah membuak-buak untuk ke Tanah Suci, dikhuatiri susah pula untuk mendapat kuota daripada TH. Kebiasaannya TH akan mendahulukan rayuan daripada mereka yang mendaftar lebih awal. Lain ceritanya jika kita punya perancangan untuk ke Tanah Suci dengan pakej swasta, bersedia sahaja dengan bayaran dua kali ganda! InsyaAllah lambat mendaftarpun masih mampu untuk pergi menunaikan Haji pada bila-bila masa sahaja.

Walaubagaimanapun, seandainya sehingga kinipun kita belum lagi mendaftar Haji, mahupun ibubapa kita tidak juga mendaftar Haji, insyaAllah masih ada peluang untuk kita bersama ibubapa pergi menunaikan Haji bersama-sama nanti. Ini kerana TH akan mendahulukan warga emas yang berusia 75 tahun keatas untuk pergi menunaikan ibadat Haji – walaupun mereka baru mendaftar, dengan ditemani oleh seorang pengiring yang muda – juga baru mendaftar, untuk membantu dan membimbing mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

Begitu jugalah kepada suami isteri, kalaupun mereka mendaftar pada masa yang berbeza dan menerima tawaran pada tahun yang berlainan, kebiasaannya TH akan menerima rayuan untuk pasangan ini pergi bersama-sama kerana ia berkaitan dengan urusan Mahram – yang mana tawaran lebih awal diterima.

7.15pm

Hong Kong

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, awal Februari lalu saya direzekikan buat pertama kalinya menjengah bumi Hong Kong. Satu destinasi yang saya pasti agak berbaloi kepada semua sahabat yang sangat suka dengan aktiviti melancong, termasuklah saya – tertakluk kepada bajet di poket masing-masing…

Antara mercu tanda Hong Kong

Antara mercu tanda Hong Kong

Saya bersama suami dan dua orang sahabat lain telah memilih Air Asia untuk perjalanan kami kali ini. Penerbangan ke Hong Kong hanya memakan masa 3 jam 45 minit sahaja, dan waktu diantara dua negara ini langsung tidak berubah. Namun, waktu solatnya lebih awal di sini. Subuh seawal 5.45 pagi dan Magrib pula menjelang 6.15 malam.

Sebaik sahaja sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, saya agak teruja melihatkan airportnya yang agak besar dan cantik, memukau pandangan. Maka terpaksalah berjalan agak jauh untuk terlebih dahulu mendapatkan train yang akan membawa kami ke terminal yang menempatkan lokasi pemeriksaan Imigresen, tempat pengambilan luggage dan perhubungan kepada semua pengangkutan awam untuk ke destinasi seterusnya. Masih juga saya teruja kerana trainnya tersangatlah laju, maka sekejap saja sudah sampai ke terminal yang dituju.

20130204_006

Usai beratur untuk pemeriksaan Imegresen yang agak cepat dan memuaskan, barulah kami ke tempat pengambilan luggage. Selesai semuanya, terus saja pergi mendapatkan teksi untuk membawa kami ke hotel penginapan. Segalanya boleh dilakukan dengan agak mudah kerana banyak disediakan signboard yang efisyen untuk semua pengguna. Pentingnya, stamina kena bagus kerana berjalan di dalam airport ini sajapun sudah mampu melenguhkan kaki…lebih-lebih lagi kepada perempuan mengandung seperti saya…nak melancong punya pasal buat-buat sanggup sajalah…

Sampai di hentian teksi, kami dihidangkan dengan dua pilihan – Teksi Merah dan Teksi Hijau. Oleh kerana pemergian ini adalah diatas faktor urusan kerja suami, maka segalanya kami lakukan sendiri tanpa panduan daripada pemandu pelancong. Hanya berpandukan kepada signboard yang efisyen, maka kami maklum bahawa Teksi Merah untuk ke Kowloon dan Teksi Hijau untuk ke pulau Hong Kong. Kerana hotel penginapan kami terletak di Kowloon maka kami memilih Teksi Merah.

20130201_00920130201_008Teksinya agak klasik namun selesa dan bersih – lebih baik dari teksi di Malaysia. Semua teksi di sini menggunakan meter, tetapi tambangnya agak mahal. Meter bermula dengan HKD20 = RM8 (berubah-ubah mengikut pasaran matawang).

Bercerita perihal HKD, ianya agak unik kerana wang kertas ini dikeluarkan oleh tiga bank berlainan dan berbeza jugalah dari segi rekabentuk dan warna serta nilainya.

Halal

Sepanjang perjalanan menuju ke hotel, mata saya segar melihatkan betapa ramainya manusia masih bersimpang-siur di sekitar bandar Kowloon ke sana sini walaupun malam sudah mula menjengah.

Lokasi hotel penginapan saya yang terletak di Nathan Road sangat berdekatan dengan Masjid Kowloon, menaranya yang tinggi menjadikan ianya sebuah bangunan yang mudah dikenali. Masjid itu sendiri berupa bangunan empat tingkat. Masjid ini pula terletak bersebelahan dengan stesen MTR Tsim Sha Tsui.  Melihatkan kepada jaringan pengangkutan awam di Hong Kong, dapat disimpulkan bahawa di sini langsung tidak mempunyai masalah didalam hal perhubungan kemana-mana lokasi dengan mudah.

Oleh kerana penginapan kami berada di lokasi yang menempatkan ramai Muslim, maka makanan Halal agak senang diperoleh di kawasan ini. Walaupun begitu, secara umumnya makanan halal di Hong Kong agak mahal kerana sukar juga untuk mendapatkannya di kawasan lain, melainkan kita boleh ke Islamic Centre. Disana disediakan pelbagai masakan makanan Cina Muslim yang dijamin 100% halal. Namun, jika anda pula bertekak cerewet ada baiknya makanan ringan dibawa bersama sepanjang percutian ini. Namun, saya sendiri lebih suka untuk merasai masakan tempatan di negara itu sendiri, janji halal!

Saya berkesempatan menuju ke Islamic Centre, yang dikenali sebagai Masjid Ammar dan Osman Ramju Sadick, yang terletak di Oi Kwan Road, Wan Chai. Bangunan masjid tiga tingkat ini menempatkan ruang solat, tadika, perpustakaan, dan kantin serta pejabat pertubuhan Islam. Antara pertubuhan Islam yang bernaung di sini adalah Persatuan Islam Hong Kong, Dana Komuniti Islam Hong Kong dan Persatuan Belia Islam Hong Kong.

Kami singgah di kantin Pusat Islam ini, merasa dim sum yang menjadi menu utamanya, disusuli dengan pelbagai menu sampingan lain seperti menu udang, telur, sayuran dan agar-agar. Boleh tahan!

20130202_00520130202_00320130202_00420130202_006Cuaca

Merasa udara Hong Kong, cuaca di sini menjelang Februari agak memuaskan, sedan-sedan, ala-ala di Cameron Highland sahaja. Ketika kami tiba, cuaca sekitar 23dc. Paling tragispun, ketika kami berkesempatan mengikuti rombongan city tour mengelilingi bandar Kowloon. Berada di tingkat atas bas yang tidak berbumbung sangatlah menguji tulang-temulang memandangkan suhu kala ini serendah 13dc. Bagi yang alah sejuk seperti saya sangatlah menyeksakan walaupun badan sudah berbungkus.

20130202_013

Dari sudut komunikasi, Kantonis merupakan Bahasa utama di Hong Kong, dan hanya minoriti boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Cukup di sini sahaja coretan saya, hanya asas pengetahuan untuk sahabat-sahabat yang belum pernah ke Hong Kong dan sedang berhajat ke sana. Masih banyak tempat menarik yang boleh diteroka dan diabadikan kenangannya. InsyaAllah jika diberi kesempatan, saya masih teruja untuk sekali lagi kembali ke sana…mungkin dua, tiga tahun lagi…!

 11.01am