• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    February 2014
    S M T W T F S
    « Jan   Mar »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    232425262728  

Petrosains

Salam Ukhuwah…

Dah lebih sebulan…tapi baru nak kongsi…

Usai majlis pertunangan anak saudara tempohari, saya mengambil sedikit masa untuk menjengah Petrosains, KLCC, sebelum pulang ke Kota Bharu pada malam harinya.

Selalu juga saya membawa anak-anak ke KLCC, tetapi untuk meluangkan masa ke Petrosains selalu saja berhalangan. Selalunya datang sini untuk makan-makan saja. Alhamdulillah, kali ini berjaya merealisasikan keinginan mereka untuk pertama kali, suailah dengan umur anak-anak yang telah meningkat untuk memahami penerokaan di Petrosains nanti.

Bersama dua orang anak dara yang sudah lama mengimpikan untuk ke Petrosains, bersemangatlah kami mahu meneroka apa yang ada di dalamanya.

Sebenarnya, saya sendiri tidaklah tergolong dikalangan yang sukakan sains, saya lebih sukakan matematik. Lagipun dengan umur yang macam ni, saya makin tidak berminat…huhu… Namun demi anak-anak, saya akan cuba tanamkan minat untuk sama-sama meneroka nanti. Sementelah si sulong sangatlah berminat dengan sains. Layan sajalah…

20140119_145444

The Dark Ride menjemput kami untuk masuk meneroka ke dalam Petrosains dalam suasana gelap, tetapi tenang serta mengasyikkan. Sepanjang perjalanan yang perlahan sahaja, kami dijamu mata untuk melihat ke kiri dan ke kanan dinding yang penuh dengan keindahan pemandangan di Malaysia. Kami meneroka hutan hujan negara kita yang kaya dengan hutan belantara, gunung ganang, lautan luas dan pelbagai struktur alam yang lain, seiring menemani perjalanan kami sehingga ke hujungnya.

20140119_152550

Sebenarnya, seronok juga meneroka di sini apabila kita dibawa mengimbau kejadiaan alam berjuta tahun lalu. Dari dunia zaman batu sehinggalah hari ini. Ada letusan gunung berapi! Siap ada dinasor lagi! Boleh menyanyi pulak tu!

Saya juga suka bau alam yang penuh dengan gas sulfur yang dapat dihidu melalui pameran di sini. Melihat batuan yang wujud berjuta tahun dahulu, bagaimana minyak dan gas terhasil dari fosil dan tumbuhan serta perubahan yang berlaku kepada bumi kita dari semasa ke semasa. Mahu lebih berseronok, cubalah pengalaman menjadi ahli carigali petroleum, dapat merasa kehidupan di pelantar minyak dan kerja-kerja yang dilakukan di sana.

Mini Show

20140119_155651Banyak juga mini show yang diadakan di sini bertujuan memberikan penerangan yang lebih jelas kepada pengunjung mengenai perkara itu ini. Saya memberi peluang kepada anak-anak mencuba pelbagai perkara dengan kefahaman mereka sendiri. Sangat teruja kelihatannya kerana semua perkara sememangnya menyeronokkan.

Ada juga kereta lumba Sauber Petronas F1 dipamerkan. Pengunjung pula boleh merasa bagaimana perasaan sebenar ketika berlumba di trek, tak perlu nak jadi pelumba profesional! Kebanyakan pengunjung dewasa sangat tertarik untuk mencuba keseronokan berlumba ini.

20140119_170720Dengan kata lain, salahlah tekaan awalan saya yang merasakan Petrosains hanyalah sesuai untuk peringkat anak-anak sahaja, sebenarnya semua peringkat usia sekalipun masih boleh berseronok jika berpeluang untuk ke sini. Mana taknya, masa dua jam yang kami cuba peruntukkan berlalu begitu saja. Kami dengan rela hati menambah satu jam lagi untuk terus berseronok di sini.

20140119_152306

Akhirnya kami keluar dengan pengalaman yang menyeronokkan!

7.18pm

Jodoh Itu Rahsia

Salam Ukhuwah…

Awal Februari lalu sempat saya menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat. Gembira saya jika diberi kesempatan untuk sama-sama meraikan hari bahagia kawan-kawan terdekat.

Maka, kali ini mahu pula saya menulis tentang jodoh, yang merupakan rahsia besar Allah buat hambaNya. Cepat mahupun lambat, insyaAllah jodoh itu pasti akan datang. Kita pastinya cuba merancang yang terbaik untuk kehidupan ini, yang pastinya perancangan Allah itu adalah yang lebih baik dan mengatasi jangkauan ilmu yang kita miliki.

Ada pasangan yang bercinta bagai nak rak pun, jika tidak tertulis itu jodoh buatnya, maka cinta hanya sekadar membuang masa, menambah koleksi dosa sahaja.

Ada pula yang menyangkal, kalau tidak bercinta mana jodoh nak datang?

Pastinya, bercinta dan berjodohan adalah dua perkara yang berbeza. Bercinta bukan satu gerenti untuk berjodohan, tetapi berjodohan itu adalah pasti kerana ia ketentuan Allah s.w.t.

Bercinta itu satu usaha untuk mendapatkan jodoh?

Mencari jodoh tidak perlu kepada kata-kata cinta, tidak perlu kepada perlakuan romantik, tidak perlu kepada janji sumpah setia, tidak perlu keterlaluan dalam mengenali hati budi pasangan hingga perlunya kita bercintan-cintun, sehingga menjadi pasangan yang dikenali ramai hanya kerana bercinta sakan. Bercinta bukan tiket menjadikan kita berjodohan dengan pasangan yang diinginkan, tetapi itu semua sekadar mengikut hawa nafsu sahaja.

Tiada pasangan yang akan lengkap sesempurna idaman hati, tetapi percayalah bahawa jodoh yang ditentukan Allah adalah sangat bertepatan dengan sahsiah diri kita sendiri, akan saling mampu melengkapi di antara satu sama lain. Cara terbaik untuk mengenali hati budi pasangan adalah dengan berkahwin, apabila kita boleh merasa nikmat bahagia hidup bersama.

Bersederhana sajalah dalam memilih pasangan hidup, tetapi bukanlah sehingga bermudah-mudahan. Perlu juga mengambil kira latar-belakang pasangan, keturunannya, akhlaknya, dan yang paling penting adalah agamanya. Kita bukan sekadar mencari pasangan hidup, tetapi bakal ibu/ayah kepada zuriat yang akan diamanahkan Allah dikemudian masa nanti.

Bersyukurlah dengan setiap kelebihan pasangan dan berlapang dadalah dengan kekurangan yang ada padanya. Kita juga tidak sempurna, tetapi beriltizamlah untuk sama-sama berusaha memperbaiki setiap kekurangan yang ada demi kehidupan berumahtangga yang lebih baik pada setiap masa bersama.

Mogo berbahagia, sahabat...

Moga berbahagia, sahabat…

7.05pm

Adab Bertunang

Salam Ukhuwah…

Berkongsi cerita mengenai majlis pertunangan anak saudara baru-baru ini, tergerak hati saya untuk menulis tentang khitbah (pertunangan) yang sememangnya dianjurkan Islam.

Bertunang bermakna si teruna mahupun si dara telah memilih insan yang difikirkan terbaik untuk dijadikan pasangan hidup mereka kelak.

Sebelum proses peminangan berlaku, sebaiknya kedua-dua belah pihak mula mengumpul maklumat secukupnya mengenai individu yang dipilih untuk menjadi tunangan mereka. Sewajarnyalah pengumpulan maklumat ini dilakukan oleh pihak ketiga yang boleh dipercayai, disamping empunya diri masing-masing juga perlu tahu sedikit sebanyak latar-belakang bakal pasangan masing-masing.

Apabila pertunangan berlaku, hendaklah pasangan bertunang ini tahu tentang batas-batas dan adab-adab bertunang yang telah disyariatkan Islam.

Melihat realiti hari ini sangat dukacita apabila masyarakat sangat mengambil mudah urusan yang satu ini dengan secara sembrononya menghalalkan pergaulan pasangan bertunang tanpa batasan tertentu.  Jika sebelum bertunang mereka sudah kesana kemari berdua-duaan, apatah lagi selepas bertunang, bagaikan sudah sah menjadi suami isteri melakukan pelbagai aktiviti bersama. Pergaulan mereka sangat bebas, dengan alasan mahu mengenali hati budi masing-masing dengan lebih baik.

Alasan sebegini langsung tidak menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Islam. Keindahan alam pertunangan sepatutnya dihiasi dengan batas-batas pergaulan yang menonjolkan teladan akhlak pasangan masing-masing, bukannya keburukan peribadi seterusnya mampu membawa fitnah kepada hubungan itu sendiri.

Mata yang memandang akan memberi persepsi yang buruk kepada imej pasangan bertunang apabila dilihat sering bersama kesana kemari. Jika dipihak perempuan mungkin dikatakan murahan apabila boleh sahaja diangkut ke hulu ke hilir, begitu juga dengan lelaki, apakah lelaki begini yang dipilih untuk menjadi tunjang utama dalam sebuah rumahtangga? Jika diri sendiri tidak mampu diislamikkan, apatah lagi mahu mengemudi anak isteri dikemudian hari.

Oleh yang demikian, bukan sekadar pasangan bertunang sahaja yang perlu tahu adab-adab dalam  perhubungan mereka, bahkan ibubapa kedua-dua belah pihak juga sewajarnya membantu pasangan ini menjaga kemuliaan ikatan mereka. Jika kita mahukan pasangan yang terbaik buat anak sendiri, maka didiklah anak kita untuk menjadi yang terbaik kepada pasangan mereka juga.

Didiklah anak perempuan untuk menjadi seorang yang solehah, begitu juga dengan anak lelaki, jadikanlah mereka dikalangan yang soleh, mudah-mudahan rumahtangga yang akan mereka bina kelak akan menghasilkan satu generasi baru yang lebih berakhlak mulia. InsyaAllah…

10.30pm

Bertunang

Salam Ukhuwah…

Ahad, 19 Januari 2014, berlangsungnya majlis pertunangan anak saudara saya, Nik Maulidil Huda Ahmed Pakaruldin, anakanda ketiga kekanda saya, Nik Aini Nik Abdul Aziz.

Saya bersama dua anak sunti terbang ke Kuala Lumpur (KL) untuk memeriahkan lagi majlis ini. Datang untuk meraikan saja…segala jenis urusan berkaitan telahpun diurus selia oleh keluarga kekanda saya sendiri. Maklumlah kami kan jauh…Ahad tu pun dua beradik ni dah ponteng sekolah…huhu…Tak pe lah…demi Kak Molly sepupu kesayangan semua…

20140119_110638

20140119_111110

20140119_111224

Majlis berlangsung sekitar jam 11.30 pagi, apabila rombongan peminangan selamat sampai dari Klang. Alhamdulillah, semoga ikatan ini akan kekal ke jinjang pelamin, insyaAllah.

Turut diraikan bersama cucuanda kembar kekanda saya yang meraikan ulangtahun pertama mereka.

IMG-20140203-WA0017

10.30am