• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    June 2014
    S M T W T F S
    « Mar   Sep »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    2930  

Buruk Sangka (II)

Salam Ukhuwah…


… suami saya memang seorang yang rajin, melebihi seorang perempuan. Kadang-kadang kalau saya tak sempat, dia akan tolong jemurkan baju dan sebagaimya…kami amat bahagia…
Ibu mertua cari alasan lain untuk marah saya… dia mengatakan saya tak pernah gosok baju suami, tidak masak, tidak lipat baju, jemur baju dan sebagainya. Dia kata dia didik anak dia elok, tak macam saya satu apa pun tak boleh buat…saya hanya mampu menangis…dia kata saya asik membuta sahaja…ya Allah walhal itu tidak benar belaka…memang kadang-kadang suami saya membantu saya,tapi kami membahagikan kerja…ketika anak mahukan susu (susu badan) saya akan melayani anak-anak dahulu dan suami menawarkan untuk membantu. Tapi apa yg dilihat pada mak mertua saya hanya buruk sahaja…sehingga dia katakan padan muka saya punya anak yang nakal dan pasti ia seperti saya…ya Allah saya yg mendengar hanya dari dalam bilik mampu menangis dan hendak lari rasanya…saya rasa tidak sanggup lagi rasanya untuk tinggal serumah dan terus rasa hormat saya padanya hilang…

 

Lumrah hidup berumahtangga kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai ujian, samada daripada pasangan sendiri, anak-anak, mertua, ipar-duai, dan sebagainya.

Namun alhamdulillah, Puan Nik punya pasangan hidup yang sangat memahami tugas dan peranannya sebagai ketua keluarga dengan baik. Dia telah memainkan peranan seorang suami secara efektif kerana walau sesibuk manapun, dia tetap turut membantu menguruskan keperluan sebuah rumahtangga. Ini adalah antara ciri-ciri seorang suami yang baik, sentiasa mahu memelihara keharmonian rumahtangga dan kelangsungan kepada kasih sayangnya kepada keluarga yang dibina.

Seorang suami yang membantu isteri menguruskan tugasan di rumah bukanlah satu kesalahan, malah perkara sebeginilah yang mengeratkan lagi perasaan kasih sayang di antara suami isteri tersebut. Kedamaian hidup sesebuah rumahtangga sememangnya perlu diurus dengan baik. Lebih-lebih lagi dalam suasana hari ini dimana isteri turut bekerja membantu suami menjana ekonomi keluarga, maka sinergi antara keduanya amatlah diperlukan dalam melaksanakan tanggungjawab pengurusan rumahtangga yang lebih efisyen.

Tradisi

Namun, bagi mengelakkan sangka buruk berterusan mertua, Puan juga perlu menitikberatkan perasaannya apabila melihat seorang anak lelaki membuat kerja-kerja rumah yang sangat sinonim dengan perempuan/ isteri. Cara hidup masyarakat Melayu kita yang telah mentradisikan situasinya begitu. Masih berleluasa pandangan yang menyatakan pengurusan rumahtangga adalah tanggungjawab isteri, walaupun keadaan yang sebenarnya bukanlah begitu. Islam sendiri tidak memfardhukan kewajipan sebegitu keatas isteri, sebaliknya ia merupakan perkara ma’ruf apabila kita melaksanaan tanggungjawab dan khidmat bakti atas nama kasih sayang dan layanan yang baik (husnul mu’asyarah) terhadap suami.

Walaupun suami isteri saling memahami tanggungjawab di antara pasangannya, ada ketikanya kita juga perlu memahami hati orang tua/ mertua yang terlalu sensitif, cepat kecil hati, mudah merajuk, sangka buruk, dan sebagainya. Tidak dinafikan kita akan sentiasa makan hati dan hidup dalam ‘penderitaan’, namun jangan sesekali biarkan perasaan itu menguasai keseluruhan kehidupan kita.

Apabila mertua sudah bersangka buruk terhadap kita, cuba beri penjelasan sebaik mungkin, supaya dia sedar akan kesilapannya. Adakalanya memang sukar untuk menjelaskan kebenaran kerana mungkin mertua sukar untuk menerimanya. Namun, berdiam diri bukanlah pendirian terbaik, itu bererti seolah kita redha dan boleh bersetuju dengan apa saja lakunya. Percayalah bahawa, seteruk manapun perangai mertua akan tetap ada kelembutan seorang ibu padanya. Tetap akan ada belas kasihan daripadanya suatu ketika nanti. Pastinya kita yang terlebih dahulu perlu bersabar, bertenang dan cuba menerima hakikat keadaan pada ketika ini.

Namun, tidaklah terlalu sukar untuk melayan mertua yang cerewet, perhatikan kelemahannya, dalam waktu yang sama perlu cari kenapa dia selalu bersangka buruk kepada kita. Cuba cari penyelesaian untuk mengharmonikan suasana. Perlu pandai mengambil hatinya, bercakap dengan lemah-lembut, memasak/ membeli makanan kegemarannya, dan sebagainya. Hasilnya pasti ada, walaupun tidak seperti kemahuan, insyaAllah ia akan bertambah baik dari hari ke hari.

Anggaplah ini semua ujian yang kecil sahaja!

 

1.15pm

Advertisements

Buruk Sangka

Salam Ukhuwah…

Assalamualaikum,

… Saya tidak tahan dengan sikap buruk sangka yang melampau ibu mertua…

 

Waalaikumussalam,

Saya telah edit persoalan yang Puan kemukakan, demi perkongsian yang lebih baik untuk sahabat lain di sini. Jawapan saya secara umum (mungkin lebih fokus kepada menantu perempuan), mudah-mudahan ada pencerahannya, insyaAllah.

Apabila saya membaca perenggan pertama persoalan daripada Puan Nik, perkara yang menjadi isu utamanya adalah tentang sikap buruk sangka mertua kepada Puan, sebagai menantunya.

Tidak dapat dinafikan wujudnya mertua yang agak cerewet, sangat suka mencampuri urusan rumahtangga anak-anak sehingga anak menantu merasa tidak selesa dengan keadaan tersebut. Lebih teruk jika sehingga bercerai-berai.

Konflik perhubungan yang berlaku di antara menantu dan mertua tentunya akan menjadi permasalahan besar kepada anak menantu, terutamanya kepada pasangan yang baru berkahwin. Lebih-lebih lagi apabila pasangan baru ini terpaksa tinggal sebumbung dengan mertua, tidak dapat tidak keharmonian rumahtangga yang baru dibina turut bergantung kepada sejauh mana mereka berperanan kepada mertua masing-masing.

Namun, saya sendiri melihat ini semua bukan hanya terletak kepada mertua yang cerewet – bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi – adakalanya anak menantu juga berperanan dalam membentuk satu situasi yang tidak memuaskan.

Tanggungjawab

Apabila berkahwin, tanggungjawab kita bukan hanya sebagai isteri kepada seorang suami, tetapi juga sebagai menantu kepada mertua. Penghormatan kepada mertua pula adalah sebagaimana kita hormatkan ibubapa sendiri.

Tanggungjawab pasangan suami isteri yang tinggal bersama mertua begitu besar jika dibandingkan dengan hidup berdikari bersama pasangan sahaja, lebih-lebih kepada yang bergelar menantu, lebih emosional jika si isteri yang terpaksa tinggal bersama mertua.

Seorang isteri sememangnya perlu meletakkan suami sebagai individu yang sangat perlu diutamakan terlebih dahulu – selepas Allah dan Rasul. Sebagai menantu perempuan pula kita perlulah lebih banyak bertolak-ansur dengan mertua, yang sewajibnya menjadi keutamaan kepada suami. Maka, seorang isteri perlu sentiasa membantu suami untuk menjadi anak yang soleh kepada kedua ibubapanya, secara langsungnya akan menjadi suami terbaik kepada kita.

Permasalahan menantu/ mertua perlu berpenghujung. Jika kita tidak mampu mengubah persepsi mertua yang sentiasa berburuk sangka, maka cubalah cari peluang untuk kita sendiri yang belajar untuk berubah. Kita perlu cuba untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi kini. Jika hanya sekadar menunggu mertua bertukar menjadi seorang yang lebih baik, mungkin juga ia akan memakan masa yang lebih lama, maka adalah lebih baik jika kita sendiri yang mulakan sesuatu yang lebih sempurna dalam perhubungan ini.

Berbincanglah dan bertolak-ansurlah, agar hati sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kelemahan dan kelebihan hidup bersama mertua. Jika seorang isteri sayang kepada suaminya, begitulah juga suami yang sayang kepada kedua ibubapanya. Harus kita tidak lupa bahawa tanggungjawab suami yang paling utama adalah kedua ibubapanya, wajib bagi seorang anak lelaki berbakti kepada ibubapanya untuk selama-lamanya.

Paling utama adalah doa yang berpanjangan. Mohon kepada Allah supaya hati sentiasa tenang, mohon supaya mertua tidak lagi berburuk sangka, mohonlah supaya rumahtangga sentiasa berada didalam keadaan aman damai sentiasa. Positifkan fikiran bahawa kita juga mampu membina sebuah rumahtangga yang harmoni seperti yang didambakan.

Cuba buang rasa tidak selesa tinggal bersama mertua, belajarlah menerima hakikat bahawa hanya suami kitalah tempat mertua meraih kasih sayang seorang anak. Luangkan sedikit masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengannya, ini sebagai satu langkah untuk kita lebih memahami kehendak dan keperluan mereka. Sekali-sekala cubalah bertanya pendapat mereka tentang sesuatu perkara, mereka akan rasa dihargai apabila buah fikiran mereka diperlukan.

 

11.11pm

Denggi

Salam Ukhuwah…

Saya fikir ia adalah demam biasa, rupa-rupanya demam denggi!

Seingat saya, dua hari saya demam, susah mahu kebah, masuk hari ketiga migrain mula menyerang teruk. Tak dapat saya gambarkan kesakitannya yang teramat. Selera makan terus melayang jauh, badan longlai saja tidak bermaya. Sengsara! Akhirnya saya mengalah untuk dibawa ke klinik.

Tak cukup dengan klinik, akhirnya saya warded. Pertama kali cek darah, platlet 141. Suhu badan 38’c.

Dua hari di wad, sebanyak enam botol air dimasukkan. Terpaksa pula ambil ubat itu dan ini. Tak selesanya. Selain itu saya paksa diri untuk minum 100plus, hirup sup ketam nipah dan minum air daun betik – walaupun rasanya…fuhhh…pahitnyaaa!

Saya tidak betah tinggal di hospital, hari ketiga saya mohon untuk balik. Doktor memberi keizinan apabila platlet saya sudah mencapai 119 selepas turun sehingga paras 64 dalam tempoh dua hari tersebut. Demam pun sudah pulih sepenuhnya.

Rasa bahagia sangat apabila dapat kembali ke rumah. Namun saya teruskan dengan amalan minum 100plus, hirup sup ketam nipah dan minum air daun betik, selain dari ubat yang dibekalkan hospital. Sengal-sengal di badan masih terasa untuk beberapa hari seterusnya.

Alhamdulillah, selepas seminggu saya kembali sihat sepenuhnya. Percayalah, sakit itu adalah penghapus dosa. Redhalah!

Saya kongsikan info umum berkaitan denggi untuk sama-sama kita ambil perhatian agar diri dan orang-orang tersayang dijauhkan dari serangan ini.

Elakkan gigitan nyamuk dengan:

• Gunakan ubat nyamuk.

• Gunakan kelambu semasa tidur. Gunakan ‘repellent’ jika perlu.

• Elakkan aktiviti semasa nyamuk aktif menggigit (5.30 pagi-8.00 pagi dan 5.30 petang-8.00 malam).

• Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar daripada rumah.

• Pasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.

 

Menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk:

• Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah.

• Bersihkan persekitaran rumah. Musnahkan semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya di besen, tayar lama, bekas bunga, bekas plastik, tong, tin, dan botol.

• Buang air dan basuh piring pasu bunga setiap minggu.

• Salin air dalam jambangan bunga setiap minggu.

• Tutup rapat semua bekas air seperti baldi, tangki. Letakkan bahan pembunuh jentik-jentik.

• Kerap tukar air di bekas minuman haiwan peliharaan.

 

10.34am

Surirumah je…

Salam Ukhuwah…

Alahai tajuk…macam rendah diri je!

Sebenarnya sentap!

Pandai jugak saya nak sentap-sentap ya…

Ya, tersentap dengan seorang doktor yang merawat saya berminggu yang lalu. Saya hadir ke satu pusat perubatan swasta kerana diserang migrain yang teruk. Tak pernah sekalipun seumur hidup ini saya diserang migrain, entah kenapa kali ini diserang migrain yang sangat teruk. Kata saya kepada suami, sakitnya macam mahu melahirkan anak! Sakit kepala ya amat!

Sehari sebelumnya, saya mendapatkan rawatan di klinik, kata doktor yang merawat, jika esok masih sakit saya perlu ditempatkan di wad. Memang saya masih sakit, dan keesokan harinya saya memang sudah bersedia untuk diwadkan. Saya ke pusat perubatan yang satu ini, doktor yang merawat bertanya itu dan ini, dan bertanya…kerja apa? Saya jawab; Surirumah. ‘Surirumah je…’ kata doktor lelaki itu. Oh, sentapnya saya.

Saya terasa dipandang rendah dengan kerjaya yang satu ini. Dalam hati, ingat saya tak mampu bayar bil hospital ke? Kerana sebelumnya  doktor itu Ada bertanyakan perihal insuran saya. Tapi sentap saya cukuplah di dalam hati sahaja, bukannya saya tahu, apa niat sebenar doktor tersebut memberikan jawapan yang berintonasi tidak sesedap telinga yang mendengar.

Saya pujuk hati sendiri, nasib baiklah saya ada pelajaran, nasib baiklah saya pernah kerja dulu, nasib baiklah saya sendiri yang memilih untuk menjadi surirumah sepenuh masa. Nasib saya masih baik. Alhamdulillah…masih banyak nasib baik yang menyebelahi saya.

Paling bernasib baik apabila saya mampu berada disisi keluarga dalam tempeh masa yang lebih banyak berbanding isteri/ibu berkerjaya yang lain. Ramai wanita di luar sana mengimpikan kehidupan yang lebih ‘keibuan’, tetapi masih tidak berezeki untuk memilih kerjaya sebagai surirumah sepenuh masa.

Alasan utama adalah keperluan membantu suami dalam mengukuhkan ekonomi keluarga. Silakanlah dengan niat yang betul jika itu yang terbaik untuk rumahtangga masing-masing, jangan ada tekanan sehingga boleh mengganggu peranan sebenar seorang wanita, yang sebenarnya lebih anggun apabila mampu berada di rumah, menguruskan suami, anak-anak dan rumahtangga secara keseluruhannya.

Gaji

Adakalanya menjadi surirumah perlu kepada keyakinan yang lebih, kerana masih Ramai di luar sana memandang enteng pada tugasan yang satu ini. Maklumlah tak bergaji…mmm…seolah-olah tak bergaji itu kehidupannya tidak stabil! Bergaji mahupun tidak, percayalah bahawa rezeki untuk kesempurnaan hidup itu bukan hanya hak mutlak orang yang bergaji.

Saya pun pernah kerja bergaji, nak kata mewah tak juga…berbanding sekarang sama juga. Namun, memilih kerjaya surirumah yang tidak mempunyai slip gaji mengajar lebih berhati-hati dalam berbelanja. Elok sangatlah tu, boleh mendidik nafsu yang sentiasa membuak-buak mahukan itu ini. Sekarang ini banyak fikir dulu sebelum membeli.

Alhamdulillah, sentiasalah bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang ada, insyaAllah makin terbuka luas rezeki untuk rumahtangga.

 

12.54pm