• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    July 2016
    S M T W T F S
    « Jun   Aug »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  

Syawal 1437H

Salam Ukhuwah…

Hari ini sudah minggu terakhir Syawal. Saya baru saja mahu menulis tentang Syawal. Nak juga tulis tu. Nak juga Syawal 1437H ni ada dalam memori blog saya. Apa-apa la kan…

Alhamdulillah, saya masih lagi menikmati 1 Syawal dengan izin Allah dengan segala persiapan berskala sederhana sahaja. Sangat bersederhana kerana baju raya saya tak siap! Sadiskan. Hantar untuk disiapkan baju raya dua bulan sebelum Aidilfitri, dan saya menyambut raya dengan bukan baju raya. Nangis. Mujurlah semua baju raya anak-anak berjaya disiapkan. Suami pula memakai baju melayu sediada. Alhamdulillah suami tak cerewet. Bagus suami saya…hihi…dan saya masih juga bernasib baik kerana masih ada baju yang sudah lama disiapkan tapi belum dipakai. Nak juga beraya dengan baju baru kan…

Persiapan raya untuk rumah tiada. Biasanya begitulah setiap tahun. Tiada yang keterlaluan untuk setiap kali sambutan Aidilfitri. Alhamdulillah, kami sekeluarga menganjurkan Rumah Terbuka pada 4 Syawal dengan hidangan yang mampu membuatkan ramai tetamu tersenyum. Senyuman tetamu mengenyangkan kami sebagai tuan rumah. Beberapa keluarga sahabat dari Kuala Lumpur yang tidak berkesempatan hadir ke rumah terbuka kami juga hadir dilain-lain hari, saya sediakan menu air tangan sendiri. Fuhh…

Sebenarnya saya kagum dengan diri sendiri kerana sudah berani menyediakan hidangan untuk suapan tetamu. Saya ditakdirkan tidak pandai memasak. Sudah lama menjadi suri tetapi dapur bagaikan ruang terakhir untuk saya terokai. Tetapi kerana ini adalah sebuah kehidupan…saya ada suami, saya ada ramai anak-anak yang makin hari makin membesar, makin hari makin makan banyak…inilah motivasi saya mungkin. Terima kasih untuk Google!

Ok, berbalik kepada Syawal…cerita masak-masak kita simpan.

Aktiviti

Antara keseronokan dan kemeriahan Aidilfitri bagi saya adalah aktiviti kunjung-mengunjungi, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, sanak-saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat-handai. Mudah-mudahan silaturrahim yang baik ini mampu memberi keberkatan dalam kehidupan kita dan sentiasa dalam perlindungan Allah swt.

Syawal yang sudahpun mahu berlabuh beberapa hari lagi ini masih lagi memberikan kita kesempatan untuk menghabiskan misi Puasa 6. Raya, raya jugak…open house, open office kita mampu jejak…puasa Ramadhan sebulan kita berjaya selesaikan, apalah sangat dengan puasa enam hari je kan… Ok, mudah-mudahan dalam pada kita bersuka ria meraikan Syawal ini, jangan dilupakan ibadat puasa 6 dibulan Syawal ya!

Semoga segala amal ibadat yang kita kerjakan selama ini diterima oleh Allah swt. dan mendapat rahmat dan keberkatan serta keampunan daripadaNya. InsyaAllah.

Sehingga ketemu lagi…

 

9.02am

Advertisements

Husnul Khatimah

Salam Ukhuwah…

 

Maksudnya pengakhiran yang baik. Kematian yang baik.

Kematian yang sebuah kepastian, hanya perlu kepada persediaan, persiapan dan bekalan yang secukupnya.

Bekalan yang bagaimana?

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Apabila seseorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak soleh yang berdoa untuknya.”

 

Sedekah sememangnya mengundang rahmat besar daripada Allah. Pintu rezeki kita akan makin terbuka luas dengan hanya bersedekah. Tidak kiralah seberapa sedikit mahupun banyak kita bersedekah, syarat utamanya hanyalah ikhlas. Bersedialah untuk memberi kepada sesiapa yang lebih memerlukan, kerana Allah akan memberi yang lebih sempurna kepada kita.

Sedikit mahupun banyak yang kita beri kepada yang lebih memerlukan, Allah akan menggandakan berganda-ganda rezekiNya kepada kita. Rezeki ini bukan sekadar dari sudut harta, tetapi mungkin pada hati kita yang lebih tenang, kehidupan yang sentiasa dipermudahkan semua urusan, merasa cukup dengan apa yang ada dan sebagainya.

Apabila kita bersedekah, bertawakkallah kepada Allah. Tawakkal inilah rezeki, apabila kita berserah dan yakin bahawa bersedekah itu akan mengembalikan rezeki yang lebih baik kepada kita. Hati kita hanya bersandar kepada Allah dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memberi segala kecukupan dalam kehidupan ini.

Bersedekah tidak akan menjadi kita berkurang, malah perlu rasa bersyukur apabila mampu bersedekah kerana telah membelanjakan harta pada jalan yang sepatutnya. Lebih banyak bersyukur maka lebih banyaklah rezeki yang sedang menunggu. Bukan hanya pada rezeki harta tetapi kesejahteraan hidup juga, kerana lazimnya orang yang menerima sedekah itu akan sentiasa mendoakan perkara yang baik-baik untuk kita.

Sangat tidak rugi apabila bersedekah kerana disebalik amalan tersebut tersembunyi beberapa hikmah. Antaranya Allah menjanjikan urusan kehidupan kita dipermudahkan, jiwa menjadi tenang, rezeki semakin mudah diperoleh, dijauhkan sebarang bencana, juga disihatkan tubuh badan.

Bukan susah untuk bersedekah, jika tiada wang, boleh berkongsi makanan. Jika berharta lebih, boleh diwakafkan. Selain daripada sedekah rutin yang telah kita amalkan, saya cuba menggalakkan diri sendiri dan sahabat semua bersedekah kepada pembinaan tempat ibadat seperti surau, masjid dan lain-lain. Bayangkan, selagi mana orang ramai memanfaatkan tempat ibadat ini selagi itulah pahala mengalir ke kuburan kita nanti.

 

Ilmu yang berguna dan mampu memberi manfaat kepada orang lain merupakan kesinambungan pahala kepada si mati. Ilmu yang bermanfaat mampu memberi pengetahuan kepada manusia tentang dunia, akhirat, soal pelaksanaan ibadah, mengenal kebaikan dan kejahatan serta dapat belajar dan memahami kehidupan di dunia ini sebagai persediaan ke akhirat.

Tidak kiralah samada kita guru, usahawan, doktor, pakar komputer, arkitek, mahupun tenaga pakar dan mahir dalam pelbagai bidang lain, atau mungkin sahaja orang awam, apa jua ilmu yang kita sampaikan kepada sesiapapun, selagi ia memberi makna kepada seseorang maka itulah ilmu yang berfaedah. Ini kerana dengan setiap ilmu yang bermanfaat itulah si penerima ilmu tersebut mampu mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik dan pahala pemberi ilmu tersebut akan berterusan mengalir ke kuburan mereka nanti.

Mungkin pernah kita merasakan ada ilmu seperti remeh saja, tetapi jika ilmu itulah yang secara tidak sengaja telah menjadikan seseorang manusia itu bertambah baik, maka itulah ilmu yang bermanfaat. Dengan adanya ilmu, kita dapat membuat dan melaksanakan apa jua hal berkaitan kehidupan dengan lebih bijak, tepat dan teratur.

Sangat bertuah kepada guru-guru kita semua, kerana melalui syarahannyalah kita menjadi seorang yang berilmu pengetahuan, mudah-mudahan rahmat Allah memayungi semua guru-guru kita. Lebih bermanfaat lagi untuk semua penyampai ilmu yang mempunyai kitab-kitab karangan sendiri, pahalanya memang tak tergambar. Selagi mana ilmu yang disampaikan masih dinikmati manfaatnya oleh orang ramai selagi itulah pahalanya berterusan.

Islam sangat mengagungkan ilmu kerana Islam itu sendiri didasari dengan ilmu. Tidak ada satu pun permasalahan mampu diselesaikan kecuali diajar dalam Islam. Bagi mereka yang mahu memartabatkan Islam, maka gunalah akal untuk menuntut ilmu mudah-mudahan kemuliaan Islam terjaga di tempat yang tertinggi.

 

Anak soleh merupakan saham terbaik yang dilaburkan oleh ibu bapa sepanjang hayat mereka. Setiap anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua ibu bapanya, sepanjang hayat mereka sehinggalah selepas mereka meninggal dunia. Sentiasalah memberi penghormatan dan kasih sayang terbaik kepada mereka, tunjukkan rasa terima kasih dengan sentiasa berbuat baik dan patuh kepada setiap kata-katanya, menjaga perasaannya jangan sampai terluka serta memanjakannya disaat kita sudah memiliki kehidupan dan mereka pula sudah mula tua malah semakin uzur.

Sentiasa menghargai perasaan ibu bapa dengan banyak berbicara dengan mereka. Usah mengambil hati dengan apa jua laku mereka yang tidak berkenan di hati kita. Jangan sesekali sisihkan mereka dihari tua. Jadikan kita sebagai tempat mereka mengadu dan jadilah pendengar yang baik kepada mereka. Darjat ibu bapa di sisi Allah adalah sangat dimuliakan, sehingga menjadi ukuran penentu bagi keredaan dan kemurkaan Allah. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw. yang bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapanya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim).

Maka berdoalah untuk kedua ibu bapa samada yang masih hidup mahupun telah meninggal dunia kerana ia sangat bermanfaat, lebih-lebih lagi kepada yang telah tiada. Doa anak soleh ini adalah satu rahmat kepada kedua ibu bapanya. Berdoalah sentiasa kepada orang tua kita agar diampunkan segala dosa-dosa mereka, dirahmati dan diredhai Allah sentiasa, dihindarkan dari azab kubur, diterima segala amal kebaikan sepanjang hayatnya di dunia, disenangkan roh mereka dengan amal ibadat anak-anak, diringankan hisabnya, dihindari dari siksa api neraka dan dimuliakan mereka di akhirat nanti. InsyaAllah.

 

Bekalan

Ini semua adalah bekalan yang perlu kita sediakan sebelum menghadapi kematian. Jangan sesekali bertangguh untuk mempersiapkannya kerana mati itu datangnya mengejut. Bukan menunggu sakit, bukan hanya kerana tua, tiada apa-apa syarat untuk Allah mencabut nyawa kita semua. Hanya kita yang perlu sentiasa bersedia menunggu saat itu. InsyaAllah sama-sama amalkan istighfar tidak kira waktu dan dimana kita berada serta sentiasa berdoa selalu memohon keampunan Allah.

Jangan dilupa kepada tiang agama, solat! Perbaiki solat kita pada setiap waktu semoga ia makin berkualiti dari waktu ke waktu. Paksa diri untuk khusyuk.

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah saw. bersabda bermaksud: “Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu, Allah berfirman: ‘Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

 

 

Sehingga ketemu lagi…

 

4.12pm