• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2017
    S M T W T F S
    « Nov    
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031  

Bonda

Salam Ukhuwah…

Kenyataan daripada Naib Pengerusi PAN Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, yang menyentuh peribadi bonda saya agak menyentak perasaan saya sebagai anak.

Bonda saya, Datin Bentara Setia Tuan Sabariah Tuan Ishak, merupakan seorang wanita yang terdidik peribadinya dengan akhlak yang baik. Beliau seorang ibu yang sangat berlemah lembut bicaranya, tinggi budi pekertinya, terpuji tindakannya, dan tentu sekali disayangi sepenuh jiwa oleh arwah ayahanda saya, jua kami 10 beradik. Tentunya bondalah yang merupakan rusuk kiri terbaik buat arwah ayahanda semasa hayatnya dalam apa jua selok belok kehidupan, samada berumahtangga, berkeluarga, dan tentunya berpolitik yang menjadi darah daging membara dalam kehidupan kami anak-beranak.

Bonda saya tidak sama sekali seperti dikata, – ‘tak pernah terlibat dengan Muslimat Pas’ – entah dari kacamata mana penulis melihat, sedangkan sejak dari kecil sering saja saya ditinggalkan di rumah semata-mata untuk bonda keluar berjuang bersama Muslimat Pas ke serata pelosok negeri, bukan sekadar di petempatan biasa malah sehingga nun jauh ke pedalaman.

Beginilah wahai penulis, janganlah melakukan sesuatu perkara hanya kerana nafsu untuk dilihat hebat di mata orang lain. Lakukan lebih banyak perkara kebaikan untuk lebih mendapat keredhaan Allah.

Sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, adalah lebih baik jika mendapat info yang sebenar, jangan sekadar menulis kerana nafsu. Jangan sesekali memberi tanggapan yang salah kepada individu yang kita tidak kenal, jauh sekali pernah berjuang bersamanya. Tindakan mengeluarkan kenyataan sebegitu adalah membawa maksud untuk dibaca kepada umum, secara langsung untuk membuatkan orang lain percaya bahawa kenyataan tersebut adalah benar.

Tindakan sebegini amatlah salah. Jangan sekadar mahu kelihatan hebat di mata umum, tetapi hasilnya hanya sia-sia pada pandangan Allah.

11.25am

Masak

Salam Ukhuwah…

Makan memang setiap hari, tapi masak je yang bukan setiap hari. 🙂

Sekarang sangat senang untuk belajar memasak, bukan hanya tanya chef google, kawan-kawan yang berstatus chef dalam WhatsApp group pun ramai. Tak ada idea nak masak apa hari ini? Tanya saja di group, insyaAllah tak menang jari nak salin resipi.

Tak suka masak? Malas masak? Ok, boleh je beli. Tapi kalau setiap hari beli larat ke…?  Larat ke setiap hari nak singgah kedai? Saya memang tak larat. Tak larat nak makan menu kedai setiap hari…kalau dah hari-hari jadi tak ada menu yang membuka selera pula. Jadi, masaklah sendiri di rumah. Masak yang ringkas-ringkas pun ok je. Janji sedap.

Saya sendiri terasa masih baru bergiat di dapur…rasanya selepas anakanda sulong mula melangkah ke alam persekolahan menengah. Segan kepada anak pun ada, dapat mak yang tak pandai masak. Kalau raya tentu lagi sadis, tak adapun menu istimewa. Haru.

Kalau ada sahabat-sahabat nak datang rumah, lagilah saya berpeluh. Kritikal sungguh. Tapi tetamu itu rezeki. Tak pandai masak jangan sehingga tidak mahu menerima tetamu. Tak yakin dengan kebolehan sendiri, banyak lagi menu di luar sana yang boleh kita hidangkan. Pentingnya, tetamu perlu dilayan dengan baik dan mereka rasa dihargai.

Alhamdulillah, suami saya memang baik orangnya…hihi…terima segala kekurangan yang ada pada saya. Kalau saya masak, sukalah dia. Kalau saya bagitahu hari ini dapur cuti, ini peluang untuk kami berdating! Kadang-kadang berdua sahaja dan adakalanya bersama anak-anak. Bukan sekadar keluar untuk makan-makan sahaja, adakalanya ambil peluang ini untuk membeli-belah keperluan rumahtangga. Biasanya saya membeli keperluan rumah dua kali sebulan, bahan basah pula sekali seminggu.

Inilah cerita seorang suri.

Minggu depan saya sudah mula mahu menyediakan persiapan Aidiladha…

Semoga Allah permudahkan semua urusan rumahtangga kita. InsyaAllah.

Sehingga bertemu lagi…

6.53pm

Disiplin

Salam Ukhuwah…

Apa khabar Ramadhan…

Hari ini mahu bicara perihal Ramadhan dan keluarga juga. Saya sangat suka menulis perihal kekeluargaan, terutamanya sentuhan kepada anak-anak.

Sepanjang Ramadhan ini jadual harian anak-anak saya juga berubah, waktu mengaji al-Quran diawalkan kepada selepas asar kerana selepas maghrib adalah waktu makan. Waktu mandi petang yang kebiasaannya 6.30 petangpun diubah kepada 4 petang, untuk mengelakkan makruh. Waktu menonton tv dikurangkan, perlu tidur seketika selepas zohor untuk bekalan tarawikh malam nanti dan waktu tidur malam diawalkan untuk memudahkan bangun sahur.

Semua ini adalah suatu bentuk disiplin yang perlu dilatih. Perlu diberitahu kenapa mereka mesti lakukan ini semua demi mendapatkan puasa yang lebih baik. Jikalah mereka dapat berdisplin sepanjang Ramadhan ini, maka besarlah juga harapan saya untuk mereka semua menjadi insan soleh pada sepanjang kehidupan mereka, insyaAllah.

Kebiasaannya saya memberi upah duit kepada anak-anak darjah 1 – darjah 3 apabila mereka berpuasa. Darjah 4 tiada lagi ganjaran kerana mereka sudah diwajibkan berpuasa penuh. Kalau adapun, mereka boleh memilih juadah berbuka pilihan sendiri di bazar Ramadhan sahaja. Bukan setiap haripun, jika berkebetulan lalu dimana-mana bazar Ramadhan dan orang tidaklah memenuh, kebiasaannya saya mengambil peluang mencari-cari juadah yang kecur di hati.

15 minit sebelum berbuka saya pun potpet menyuruh anak-anak berwudhu’ dan berkumpul di meja makan, memberitahu mereka perihal mustajabnya tempoh waktu sewaktu hampir berbuka puasa. Maka berdoalah mereka seadanya apa yang dimahukan, tak ketinggalan mahu mendapat nombor 1 di dalam kelas, kerana hadiahnya yang begitu menggiurkan, sebuah basikal baru!

Untuk saya juga, terlalu banyak tempoh mustajab doa yang telah diabaikan sepanjang kehidupan ini. Jom sahabat, kita berubah! Kita ambil peluang tempoh mustajab doa sewaktu hampir berbuka puasa ini dengan doa dan pengharapan yang terbaik. Paling penting mohon dosa-dosa diampunkan, dikurniakan syurga dan tidak lupa buat insan-insan tersayang, tentunya ibubapa dan semua ahli keluarga.

Sehingga ketemu lagi…

10.10am

Didikan

Salam Ukhuwah…

Apa khabar Ramadhan…

Apa khabar Ramadhan anak-anak kita?

Anak-anak perlu dididik untuk memuliakan ibadah puasa sedari kecil agar dewasa kelak akan memudahkan lagi kefahaman mereka tentang ibadah ini secara mendalam.

Asuhan rohani perlu diterapkan berteraskan Islam sejak anak-anak mukallaf agar mereka membesar sebagai insan yang soleh.

Anak-anak kecil perlu dilatih berpuasa setakat mana kemampuan mereka. Latih mereka untuk menahan nafsu makan dan minum di siang hari, kemudian barulah seiring dengan asuhan rohani dengan memperdengarkan kelebihan-kelebihan berpuasa disisi Allah. Saya sendiri melatih anak-anak berpuasa penuh usai usia mereka tujuh tahun. Sebelum usia tersebut saya memberikan mereka kebebasan samada mahu berpuasa mahupun tidak. Apabila berusia tujuh tahun saya cuba didik mereka untuk berpuasa penuh, dapat seharipun ok lah, kalau dapat seminggu syukur sangat, kalau dapat lebih dari itu, memang anak itu sangat berkeinginan.

Saya juga cuba mengajar anak-anak perihal ibadah sampingan sepanjang Ramadhan ini. Paling sukar bangun qiam! Huhu…Mungkin saya yang perlu menjadi lebih baik supaya mampu menjadi idola kepada anak-anak. Paling seronok anak-anak suka bersedekah. Pastinya saya mengharamkan segala jenis bunga api dan mercun! Kata saya, daripada membakar duit lebih baik kita bersedekah, pahala pun dapat dan insyaAllah rezeki lagi dimurahkan Allah.

Apa yang penting adalah disiplin. Jika mahu anak-anak menjadi lebih baik dari kita, maka terapkan disiplin dalam kehidupan mereka. Harus diingat, kita juga harus berubah kepada yang lebih baik dari hari ini. Biar satu keluarga berubah kearah yang lebih baik, kita akan rasa keharmoniannya.

Sehingga bertemu lagi…

8.53am

Morib

Salam Ukhuwah…

Morib bukanlah satu impian, tidak pernah ada dalam senarai tempat yang saya ingin jejaki.

Namun, keterujaan mula timbul apabila sahabat saya, Ida, menghantar sekeping gambar percutiannya ke Gold Coast Morib. Gambar taman tema yang dipenuhi dengan pelbagai permainan air yang amat sesuai untuk seisi keluarga. Ada gelongsor air terbuka, ada gelongsor sederhana, ada gelongsor besar…semuanya sesuai untuk pengunjung dari pelbagai peringkat umur, hanya satu sahaja yang dikhususkan untuk peringkat dewasa, iaitu gelongsor tertutup yang extra panjang. Ada juga satu aliran ala sungai yang boleh digunakan untuk semua pengunjung. Macam best sangat!

IMG-20140307-WA0033

Kebetulan Encik suami sudah lama mengimpikan satu percutian bersama anak-anak, maka saya mencadangkan untuk kami ke sini.

20140203_153922

Lalu awal Februari lalu menjanjikan satu percutian keluarga yang begitu menarik buat anak-anak saya. Layan sajalah walaupun saya tidak suka air! Nasib baik di persekitaran kolam ini banyak disediakan kemudahan untuk duduk-duduk santai disamping pengunjung boleh meletakkan barang-barang peribadi mereka. Saya hanya duduk di tepian kolam memerhatikan encik suami dan anak-anak riang ria sakan bermain air.

20140203_165551

Taman temanya bukanlah dalam kategori bersaiz luas, namun masih selesa untuk seisi keluarga mencari kepuasan dalam percutian masing-masing. Kos percutian juga masih dalam kategori berpatutan untuk penginapan kami sekeluarga selama 3 hari 2 malam di sini. Satu percutian yang singkat namun begitu bermakna untuk mencari keseronokan dan menjalin kemesraan di antara ahli keluarga.

20140204_203419

Kami juga berkesempatan untuk ke Pantai morib yang bersih, cantik dan terjaga elok. Lanskap riadah juga amat sesuai untuk santai sekeluarga. Pantai ini sememangnya menjadi tumpuan kerana kita berpeluang untuk melihat pemandangan matahari terbenam di sini. Sungguh indah dan mengasyikkan suasananya.

20140204_201429

1.13pm

Petrosains

Salam Ukhuwah…

Dah lebih sebulan…tapi baru nak kongsi…

Usai majlis pertunangan anak saudara tempohari, saya mengambil sedikit masa untuk menjengah Petrosains, KLCC, sebelum pulang ke Kota Bharu pada malam harinya.

Selalu juga saya membawa anak-anak ke KLCC, tetapi untuk meluangkan masa ke Petrosains selalu saja berhalangan. Selalunya datang sini untuk makan-makan saja. Alhamdulillah, kali ini berjaya merealisasikan keinginan mereka untuk pertama kali, suailah dengan umur anak-anak yang telah meningkat untuk memahami penerokaan di Petrosains nanti.

Bersama dua orang anak dara yang sudah lama mengimpikan untuk ke Petrosains, bersemangatlah kami mahu meneroka apa yang ada di dalamanya.

Sebenarnya, saya sendiri tidaklah tergolong dikalangan yang sukakan sains, saya lebih sukakan matematik. Lagipun dengan umur yang macam ni, saya makin tidak berminat…huhu… Namun demi anak-anak, saya akan cuba tanamkan minat untuk sama-sama meneroka nanti. Sementelah si sulong sangatlah berminat dengan sains. Layan sajalah…

20140119_145444

The Dark Ride menjemput kami untuk masuk meneroka ke dalam Petrosains dalam suasana gelap, tetapi tenang serta mengasyikkan. Sepanjang perjalanan yang perlahan sahaja, kami dijamu mata untuk melihat ke kiri dan ke kanan dinding yang penuh dengan keindahan pemandangan di Malaysia. Kami meneroka hutan hujan negara kita yang kaya dengan hutan belantara, gunung ganang, lautan luas dan pelbagai struktur alam yang lain, seiring menemani perjalanan kami sehingga ke hujungnya.

20140119_152550

Sebenarnya, seronok juga meneroka di sini apabila kita dibawa mengimbau kejadiaan alam berjuta tahun lalu. Dari dunia zaman batu sehinggalah hari ini. Ada letusan gunung berapi! Siap ada dinasor lagi! Boleh menyanyi pulak tu!

Saya juga suka bau alam yang penuh dengan gas sulfur yang dapat dihidu melalui pameran di sini. Melihat batuan yang wujud berjuta tahun dahulu, bagaimana minyak dan gas terhasil dari fosil dan tumbuhan serta perubahan yang berlaku kepada bumi kita dari semasa ke semasa. Mahu lebih berseronok, cubalah pengalaman menjadi ahli carigali petroleum, dapat merasa kehidupan di pelantar minyak dan kerja-kerja yang dilakukan di sana.

Mini Show

20140119_155651Banyak juga mini show yang diadakan di sini bertujuan memberikan penerangan yang lebih jelas kepada pengunjung mengenai perkara itu ini. Saya memberi peluang kepada anak-anak mencuba pelbagai perkara dengan kefahaman mereka sendiri. Sangat teruja kelihatannya kerana semua perkara sememangnya menyeronokkan.

Ada juga kereta lumba Sauber Petronas F1 dipamerkan. Pengunjung pula boleh merasa bagaimana perasaan sebenar ketika berlumba di trek, tak perlu nak jadi pelumba profesional! Kebanyakan pengunjung dewasa sangat tertarik untuk mencuba keseronokan berlumba ini.

20140119_170720Dengan kata lain, salahlah tekaan awalan saya yang merasakan Petrosains hanyalah sesuai untuk peringkat anak-anak sahaja, sebenarnya semua peringkat usia sekalipun masih boleh berseronok jika berpeluang untuk ke sini. Mana taknya, masa dua jam yang kami cuba peruntukkan berlalu begitu saja. Kami dengan rela hati menambah satu jam lagi untuk terus berseronok di sini.

20140119_152306

Akhirnya kami keluar dengan pengalaman yang menyeronokkan!

7.18pm

Bertunang

Salam Ukhuwah…

Ahad, 19 Januari 2014, berlangsungnya majlis pertunangan anak saudara saya, Nik Maulidil Huda Ahmed Pakaruldin, anakanda ketiga kekanda saya, Nik Aini Nik Abdul Aziz.

Saya bersama dua anak sunti terbang ke Kuala Lumpur (KL) untuk memeriahkan lagi majlis ini. Datang untuk meraikan saja…segala jenis urusan berkaitan telahpun diurus selia oleh keluarga kekanda saya sendiri. Maklumlah kami kan jauh…Ahad tu pun dua beradik ni dah ponteng sekolah…huhu…Tak pe lah…demi Kak Molly sepupu kesayangan semua…

20140119_110638

20140119_111110

20140119_111224

Majlis berlangsung sekitar jam 11.30 pagi, apabila rombongan peminangan selamat sampai dari Klang. Alhamdulillah, semoga ikatan ini akan kekal ke jinjang pelamin, insyaAllah.

Turut diraikan bersama cucuanda kembar kekanda saya yang meraikan ulangtahun pertama mereka.

IMG-20140203-WA0017

10.30am