• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    November 2017
    S M T W T F S
    « Nov    
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    2627282930  

Berbuka

Salam Ukhuwah…

Kali ni saya mahu menulis santai perihal berbuka puasa.

Amalan berbuka puasa sebahagian besar rakyat Malaysia yang sungguh meriah dan mewah sepanjang Ramadhan dan sangat sinonim dengan Bazar Ramadhan.

Kalau bukan Ramadhan, kemeriahan pesta makanan ini pada kadar biasa-biasa sahaja, tetapi lain sakan apabila berkunjungnya Ramadhan. Nafsu terhadap makanan makin menjadi-jadi. Bazar Ramadhan mengambil watak bagaikan sebuah pesta yang tidak pernah surut pengunjungnya saban petang, melainkan hari hujan sahaja – bukan hanya satu kehilangan kepada peminat Bazar Ramadhan tetapi juga kepada para penjual, hasil jualan agak nipis pada hari tersebut.

Bazar Ramadhan yang begitu berwarna-warni dengan pelbagai jenis menu, apatah lagi kepada Kelantan yang tersohor dengan kepelbagaian juadahnya. Tidak cukup dengan rambang mata melihat berserinya kuih-muih, dijamu pula dengan rasa keenakan lauk-pauk, tidak kalah juga dengan pilihan pelbagai jenis minuman…tanpa sedar sudah berapa RM duit kita melayang di bazar ini semata-mata mahu memenuhi nafsu untuk berbuka puasa pada hari itu.

Begitulah agaknya situasi apabila kita berbuka puasa bertemankan nafsu barangkali. Upah puasa mungkin. Jika mampu menghabiskannya, tidak mengapalah, sekurang-kurangnya kita tidak membazir. Tetapi bagaimana jika ke sahurpun makanan yang dibeli itu masih juga berbaki? Inilah yang dinamakan suci dalam debu kot – amalan berpuasa sudah cukup baik mentaati perintah Allah, tetapi apabila berlakunya pembaziran, amalan siapa yang kita warisi? Syaitan sudah terikat kejap di bulan yang mulia ini, jadinya nafsu kitalah yang sedang bermaharajalela lagi.

Menu

Apapun, janji menu yang kita sediakan semasa berbuka puasa pada setiap hari adalah sajian yang boleh menyihatkan dan memberi tenaga kepada badan hendaknya. Jangan terlalu berlebih-lebihan hanya kerana mahu mengqada’ beberapa sesi makan yang tertangguh di siang hari sepanjang Ramadhan. Tetapi kita berbukalah dengan senarai menu yang boleh memberikan keselesaan kepada tubuh badan agar dapat pula menyambung ibadat lain selepas itu, terutamanya solat tarawikh.

Bukan tidak boleh kita meraikan nafsu makan yang cukup terliur dengan pelbagai citarasa yang ditayangkan di Bazar Ramadhan mahupun menyediakannya sendiri di rumah, tetapi apa yang perlu diberi perhatian adalah jangan makan terlalu banyak. Makanlah dengan kepelbagaian menu tetapi bersederhanalah. Jangan lupa mengambil air minuman yang mencukupi untuk keperluan tubuh badan bagi mengelakkan dehidrasi.

Sebagaimana yang dianjurkan Sunnah, sebaiknya kita berbuka puasa dengan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu. Tentunya kurma adalah sebaik-baik makanan pertama yang perlu kita ambil semasa berbuka puasa. Sudah banyak kita maklum tentang kebaikan yang ada pada kurma ini – sangat kaya dengan tenaga, serat, vitamin dan mineral yang akan membekalkan nutrien kepada tubuh. Barulah disusuli pula dengan minuman dan kuih-muih.

Mengambil makanan ringkas semasa permulaan berbuka puasa ini sangat digalakkan supaya sistem penghadaman kita dapat bekerja dengan selesa dan lebih baik, tidak terlalu terkejut dengan tugasannya yang terlalu agresif secara tiba-tiba.

Adalah lebih baik jika kita bersolat Maghrib terlebih dahulu selepas berbuka ringkas ini, memandangkan senggang waktu solatnya yang tidak panjang.

Selepas itu bolehlah meneruskan kembali aktiviti makan-makan untuk berbuka puasa secara bersederhana. Kawallah nafsu sendiri ketika makan, jangan menggunakan tiket berpuasa pada siang harinya untuk melupakan ‘diet’ yang sepatutnya kita ambil bagi kesinambungan tenaga untuk beribadat pula selepasnya. Makan dengan banyak hanya akan menyebabkan kita rasa tidak selesa kerana ketidakhadaman makanan. Lebih teruk lagi ia boleh meningkatkan berat badan tanpa kita sedar.

Ramadhan juga sebenarnya mampu mengembalikan tahap kesihatan diri kita kepada yang lebih baik. Jangan kita terbalikkan semangat Ramadhan ini dengan mengundang penyakit pula kerana kelalaian sendiri mengambil makanan yang berlebihan, malah berlebihan kalori pula. Tidakkah ini akan menjadi sia-sia sahaja kepada kesihatan diri?

Jadikan Ramadhan ini sebagai suatu jalan untuk mencari keberkatan sepanjang hayat.

Selamat meneruskan ibadah puasa, semoga dengan berpuasa kita dapat menikmati tahap kesihatan yang lebih baik, insyaAllah.

4.15pm

Advertisements

Penampilan Diri

Salam Ukhuwah…

Sebagaimana kita melihat remaja pada hari ini terutamanya di peringkat menengah, begitulah saya suatu ketika dahulu, sibuk belajar bagaimana cara mahu menjaga penampilan diri, terutamanya perihal kecantikan wajah – yang mula dimasalahi dengan kulit berminyak, langsung dilawati jerawat. Tidak kiralah jerawat nasi mahupun batu, sungguhlah ia merimaskan emosi.

Maka bermulalah episod saya mencuba produk kecantikan, tetapi tidaklah sehingga belajar untuk bermekap. Sekadar untuk menghilangkan masalah pada wajah. Kesimpulannya, nak juga merasa cantik!

Itu satu bab, belum lagi keinginan untuk berjalan persis model, catwalk lah kononnya…sehingga saya mula belajar berjalan dengan menjunjung buku! Ada sahabat yang pernah buat? Rasa terrorlah sangat kalau mampu berjalan dari A hingga ke hujung B tanpa menjatuhkan buku di atas kepala. Susah tau! Tulang belakang nak kena tegak, mata pula harus tepat pandang ke hadapan dan langkah kaki harus tersusun cantik pada satu garisan sahaja.

Semuanya gara-gara nak cantik! Bukan mak ayah yang ajar, tapi berjangkit dengan kawan-kawan sebaya yang semuanya nak jadi cantik. Termasuklah cara berpakaian juga, rasa mahu mencuba pelbagai fesyen terkini. Namun yang ini ada batasnya apabila masih dalam kefahaman kewajipan menutup aurat sepenuhnya. Jadi, saya belajar cara untuk menyuaipadankan warna baju dan tudung, sehinggalah pemilihan kasut!

Itu muqaddimahnya – tentang penampilan diri. Tetapi bukan itu yang mahu saya bualkan. Bukan sekadar cantik – lebih jauh dari itu, yang sebenarnya adalah sihat tubuh badan.

Cantik vs Sihat

Mana yang lebih penting? Cantik atau sihat?

Mudahnya, kita perlu sihat untuk kelihatan cantik. Betulkan?

Maka, bermulalah episod seterusnya dalam kehidupan saya untuk menjaga kesihatan sepenuhnya apabila mula bermastautin di Skudai, Johor. Saya mula sedar untuk menjaga kesihatan diri apabila mula berjauhan daripada keluarga. Saya belajar untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, baik dari segi pola pemakanan dan cuba untuk bersenam.

Minggu ini juga, saya berkesempatan menghadiri majlis kesyukuran seorang sahabat yang membuka Farmasi. Lebih mengujakan apabila disediakan tempat untuk membuat pemeriksaan kesihatan diri secara menyeluruh dengan percuma. Saya mula memeriksa kandungan gula dalam darah, mengambil tekanan darah, mengukur tahap kolestrol dalam badan, dan membuat ujian BMI. Alhamdulillah, segalanya masih terkawal.

Pada usia 30-an kini, saya masih cuba untuk tetap menjaga pemakanan dan adakalanya bersenam walaupun sangatlah tidak berutin tetap. Nasib baiknya, saya bukanlah pencinta makanan. Selalunya makan untuk mengalas perut dan tidak pernah berkira pun perihal sedap mahupun tidak. Saya boleh makan apa saja dan suka mencuba sesuatu yang baru, tetapi pada kuantiti yang kecil sahaja.

Adakalanya boleh makan berulangkali pada selang waktu yang singkat tetapi pada kuantiti yang kecil sahaja pada setiap kalinya. Selain daripada halal, selalunya saya memilih masakan yang kurang berlemak, kurang berminyak, kurang garam, kurang gula, kurang segalanya…janji ia makanan yang boleh membantu menyihatkan badan.

Bukan bermakna saya menolak terus kerepek yang mendorong kearah kegemukan, seafood yang gah dengan kolestrol dan makanan segera yang menggunakan bahan pengawet dalam kuantiti yang agak tinggi, ada juga mengambilnya tetapi sangat jarang. Biasa sangat kita mengambil makanan sebegini ketika makan di luar dan bersantai bersama keluarga.

Saya juga sangat jarang mengambil minuman berkarbonat – yang sebenarnya berkafein juga (Coca-cola/ Pepsi). Langsung mendidik anak-anak untuk tidak membelinya. Jika ada juga yang ‘tersesat’ masuk ke rumah, saya pastikan mereka menambah air masak ke dalam minuman tersebut sebelum meminumnya, untuk mengurangkan rasa manis yang teramat.

Buat anak-anak, saya galakkan mereka bersarapan dengan Koko Krunch dan susu rendah lemak. Dengan harapan mereka memiliki tubuh badan yang sihat dan bertenaga untuk memulakan kehidupan harian.

Usaha  

Ini semua adalah usaha yang saya lakukan untuk menjaga kesihatan, baik untuk diri sendiri mahupun keluarga. Seboleh mungkin saya mahu jauhkan sebarang penyakit dari menyentuh diri, sekurang-kurangnya pada usia yang masih boleh dikatakan ‘muda’. Biarlah usaha ini dilihat kecil dan sedikit, mudah-mudahan saya mampu lakukannya secara istiqamah.

Tetapi saya sangat sukakan coklat! Perempuan macam ni la kot…jarang nak jumpa lelaki yang suka coklat kan…? Lelaki suka bola! Tetapi bukan semua coklat boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan, bahkan ada sejenis asid dalam coklat yang boleh berperanan merendahkan paras kolestrol dalam darah.

Hanya coklat yang berkafein (Cadbury) sahaja kurang digalakkan. Namun masih ada kemaafan apabila faktanya adalah; kafein yang wujud di dalam coklat adalah tidaklah berbahaya. Jadi apalagi? Makan je lah…

Walau bagaimanapun, sejauh mana kita berinisiatif untuk menjaga kesihatan diri, samada menjaga pola pemakanan mahupun aktif bersenam, ia tetap juga perlu disokong dengan gaya hidup yang sihat. Terutamanya, JANGAN MEROKOK!

Sudah terbiasa dengan amalan merokok, dan sudah kalih telinga mendengar ‘jangan merokok’, inilah yang menimpa kepada emosi perokok tegar. Mereka sudah mencapai kepada suatu tahap ketagihan yang kompleks. Kenapa? Kerana ia berpunca dari tiga perkara utama: pengaruh dadah nikotin dalam tembakau, tabiat yang tidak mahu diubah dan psikologi yang mengatakan bahawa merokok mampu menghilangkan tekanan.

Sebenarnya tiada alasan untuk berkata tidak kepada rokok, kerana kini sudah wujud pelbagai jenis rawatan yang disediakan untuk mengatasi masalah ketagihan tembakau. Paling penting, kemahuan untuk berubah! Bersedia untuk melakukan penghijrahan diri kepada yang lebih baik. InsyaAllah niat yang baik akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami kenapa proses perubahan ini sangat perlu dilakukan.

Tiada guna duit yang tidak terhitung banyaknya, kerja yang terbaik, kereta yang berprestasi tinggi, dan rumah yang sangat moden, serta kawan-kawan yang bersemangat, tetapi diri sendiri terabai – tiada ketenangan jiwa dek kesihatan yang tidak memuaskan.

Pinjaman

Maka, sayangilah tubuh badan kita yang hanya pinjaman daripada Allah s.w.t. semata-mata. Organ dalaman adalah sangat penting untuk kesinambungan nyawa penyambung hayat. Bersama tanamkan kesedaran untuk sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, walaupun kita merasa bahawa diri ini sedang sihat walafiat. Sementara kita masih sihat hari ini, buatlah pilihan yang terbaik buat diri sendiri, semoga kebajikan diri dapat dioptimumkan pada tahap yang sewajarnya.

Seterusnya, jangan sesekali abaikan komponen yang paling penting dalam kehidupan, manfaatkanlah ayat-ayat suci al-Quran dan sertailah dengan doa yang berpanjangan semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik sepanjang umur ini. InsyaAllah!

10.30am