• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    September 2017
    S M T W T F S
    « Nov    
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930

Bermakna

Salam Ukhuwah…

Hari ini mungkin ada dikalangan kita yang telah bersedia dari awal untuk mencuri sedikit waktu bagi menemani anak-anak mengambil keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya juga begitu, sentiasa bersedia untuk menemani anak-anak saat mereka mengambil keputusan peperiksaan walaupun mereka seringkalinya tidak meminta lebihan masa yang saya miliki.

Masa ibubapa bersama anak-anak sangatlah besar ertinya. Apatah lagi disaat yang mendebarkan mereka, sangat bermakna apabila kita ada bersama diwaktu itu. Sekurang-kurangnya kita sendiri menghantar mereka pada hari pertama peperiksaan besar yang akan dihadapi, dan bersedia meluangkan waktu pada hari keputusan diumumkan.

Sudah tiga kali saya menghadapi saat sebegini, dua kali untuk UPSR dan sekali untuk Penilaian Tingkatan 3 (PT3). Masih segar dalam ingatan menghantar dan menemani seketika anak-anak pada hari pertama peperiksaan dan turut hadir memberi sokongan ketika mereka menerima keputusan peperiksaan. Usah bicara tentang perasaan kita pada waktu itu, paling penting adalah sokongan yang kita berikan kepada mereka.

Saya kira saya diantara ibubapa yang telah menukar mentaliti kebiasaan masyarakat yang melihat keputusan peperiksaan anak-anak adalah suatu jaminan untuk masa depan mereka yang lebih baik. Hakikatnya, mentaliti seperti saya ini bukannya mudah kerana keputusan peperiksaan yang tidak baik sering saja menyusahkan anak-anak untuk menyambung pengajian mereka ditempat-tempat tertentu.

Sudah tentulah anak-anak yang tidak cemerlang sangat tidak berpeluang untuk masuk ke sekolah idaman hati. Disinilah tugas dan peranan kita sebagai ibubapa, usah menambah beban derita dan kesedihan kepada anak-anak yang tidak mampu mencapai impian mereka. Sesungguhnya mereka sememangnya sudah tidak layak, tetapi kita sebagai ibubapa haruslah cuba merancang sesuatu yang terbaik buat anak-anak demi masa depan mereka yang masih jauh dan terbentang luas.

Peluang

Peluang untuk anak-anak kita sangat luas diluar sana. Jangan biarkan anak-anak kita berputus asa, dan jauh sekali kita untuk merana. Jangan sesekali membandingkan anak kita dengan anak orang lain, hatta dengan anak-anak yang lainpun. Setiap anak itu ada kelebihan dan kekurangannya. Keputusan peperiksaan hari ini adalah kejayaan untuk setakat ini, bukan untuk selamanya. Masa depan masih panjang, masih banyak kejayaan yang boleh dicipta untuk segala kekurangan pada hari ini.

Tahniah untuk anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang 6A pada hari ini. Untuk anak-anak yang tidak mencapai sasaran, jika mahu menangis, menangislah buat seketika. Kita ibubapa, disinilah kita perlu berperanan, pujuklah mereka dengan penuh motivasi. Jangan lupa ucapkan terima kasih buat semua guru-guru yang telah memberi ilmu kepada anak-anak kita.

Jangan menambah beban emosi kepada anak-anak jika mereka kurang berjaya. Usah malu dengan kelemahan anak sendiri. Apapun keputusan mereka, itulah anak kita yang perlu disokongi.

Sehingga ketemu lagi…

5.21pm

17 Safar 1438

Advertisements

Redha Allah

Salam Ukhuwah…

Hari ini 1 Safar 1438. Sebulan telahpun berlalu di tahun baru Hijrah. Semoga khabarnya masih baik untuk kita semua…walaupun senak rasa dada mendapat khabaran segala jenis minyak telah naik harga bermula hari ini dan kita…? mungkin naik minyak!

Hari ini saya mahu menulis santai-santai sahaja…mencuri waktu di blog sendiri dan sangat berharap semoga apa jua yang saya tulis dan kongsikan akan ada seri buat yang membaca dan mendapat redha Allah untuk kita semua.

Saya agak suka untuk menulis dan berkongsi sesuatu kepada yang sudi, tetapi kekangan masa dan adakalanya kemalasan hebat melanda menjadi aral yang sungguh besar dalam memberi peluang kepada diri untuk memenuhi minat sendiri.

Pastinya, talian hayat kita makin singkat dari hari ke hari. Sebenarnya apa kekuatan kita untuk meneruskan kehidupan di dunia ini? Hanya kerana hidup ini hanya sekali, tiada dua kalinya. Hidup yang sekali inilah peluang untuk kita mengenal Allah, bukan selepas mati.

Jika sudah mati baru mahu menyesali diri, tiada lagi jalan untuk kembali. Jangan buta mata buta hati di dunia, kelak akan sesat di akhirat. Jadikan dunia ini sebagai kebun untuk beramal ibadat, biarlah dunia kita subur dengan iman kerana inilah bekalan yang akan dibawa ke akhirat.

Kelihatannya mudah, tetapi memang bukan mudah. Dunia memang penuh cabaran, lebih-lebih lagi dunia hari ini yang sememangnya mencabar. Walau apapun ujian yang mendatang, gunakanlah tempoh hayat yang ada untuk berusaha dan bertindak kearah kesempurnaan iman zahir dan batin. Jangan sehingga membunuh diri kerana sudah tidak tahan diuji, ataupun diatas apa jua alasan sekalipun. Itu semua hasutan syaitan yang menyesatkan.

Tipu Daya

Dunia ini penuh tipu daya. Tiada satu tempatpun yang tidak dihuni syaitan. Malah, nafsu manusia ini mudah sahaja digoda dengan magnet syaitan. Ada waktunya manusia kehilangan fitrahnya sendiri seolah-olah dia pula secara terang-terangan mahu menjadi syaitan. Hari ini saya melihat beberapa potret saudara semuslim yang berimej syaitan apabila turut meraikan Halloween. Allahuakbar! Saban tahun ada saja ilmuan agama yang menyatakan bahawa amalan meraikan perayaan ini dikalangan muslim adalah secara terangan mereka telah menyimpang daripada akidah Islam.

Tiadakah mereka berpengetahuan tentang hukum ini? Al-Quran juga telah menyatakan secara jelas bahawa, jika meniru perbuatan atau amalan kaum tertentu dikhuatiri kita akan terjerumus dalam kalangan mereka. Sangat jelas disini bahawa muslim yang turut meraikan Halloween langsung tidak menepati syara’. Inilah yang dikatakan amalan cacamarba sebilangan besar muslim yang secara sedar mencampur adukkan nilai-nilai Islam dan nilai syaitan dalam kehidupan mereka.

Sangat sayang jika kita seorang muslim yang menunaikan kewajipan seperti solat, berpuasa, menunaikan haji, tetapi dalam waktu yang sama turut melakukan rasuah, menipu, sihir, seolah-olah tiada bezanya kita dengan bukan muslim. Inilah peranan syaitan yang mahu merosakkan manusia sehingga kehujung nyawa. Berdoalah kita semoga dijauhkan daripada malapetaka sebegini.

Sama-samalah kita berusaha untuk mencapai redha Allah.

Sehingga ketemu lagi…

 

8.30pm

1 Safar 1438

Ujian

Salam Ukhuwah…

Ujian Allah ini datang dalam pelbagai bentuk. Setiap hamba Allah akan merasa keperitan musibah yang menimpa keatasnya. Sehebat mana manusia itu dia tidak akan mampu untuk mengelak daripada ditimpa ujian daripada Allah.

Masing-masing punya ujian hidup yang tersendiri. InsyaAllah disebalik semua ujian Allah itu iman kita akan menjadi bertambah matang.

Usah persoalkan kenapa kita diuji begini begitu, tetapi hadirkan jiwa untuk lebih dekat kepada Allah, mudah-mudahan kita mampu menjadi hambaNya yang lebih baik dikemudian hari.

Redhalah dalam menghadapi ujian Allah, hati kita akan menjadi lebih tenang. Cuba fikirkan musibah yang kita sedang alami ini hanya ujian kecil sahaja, dan renungkan kepada orang sekeliling yang mungkin ujiannya lebih hebat. Percayalah bahawa ujian yang Allah berikan itu adalah semampu iman yang kita ada. Inilah juga tanda kasih sayang Allah buat hambaNya. Tidak sesekali membebani hambaNya dengan apa yang kita tidak mampu.

Yakinkan juga bahawa semakin besar ujian Allah itu maka semakin besar jugalah rahmat dan kasih sayangNya kepada kita. Hadapilah setiap ujian Allah dengan berlapang dada, InsyaAllah pahala dan redha Allah akan menyusul.

Bersabarlah ketika menghadapi apa jua ujian daripada Allah. Hikmah bersabar itu akan datang pada kemudian hari yang tidak kita sangka-sangka. Hanya perlu yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar segala rintihan daripada setiap hambaNya. Mohonlah segala-galanya, dari sekecil-kecil rasa sehinggalah sehabis air mata, insyaAllah ada noktahnya nanti untuk setiap ujian yang melanda.

Setiap ujian Allah juga adalah penghapus dosa. Adakalanya perlu juga kita bersyukur dengan ujian yang melanda, kerana ujian inilah yang mampu membersihkan kita dari dosa-dosa yang menimbun. Positifkan fikiran bahawa Allah mahu melihat kita dalam keadaan yang bersih dan sentiasa dekat kepadaNya.

Akhirnya, berusaha, berdoa dan bertawakallah kepada Allah disaat kita gundah dilanda musibah. Hanya Allah tempat kita memohon dan Dialah yang Maha Memakbulkan.

Sehingga ketemu lagi…

10.59am

Bersyukur

Salam Ukhuwah…

Bersyukur itu maknanya berterima kasih. Kebiasaan kita gunakan perkataan bersyukur ini kepada setiap nikmat pemberian Allah yang tidak terhitung nilai dan ganjarannya. Kalau tidak tahu untuk bersyukur maknanya kita sudah kufur, langsung boleh merosakkan tahap keimanan kita kepada Allah. Iman yang rosak boleh menyebabkan seseorang manusia itu berada dalam kesesatan. Seringkalinya manusia yang tidak bersyukur ini adalah manusia yang lupa kepada kekuasaan Allah.

Kita ini sering saja lupa untuk bersyukur, adakalanya tidak tahupun keperluan untuk berterima kasih kepada Allah diatas segala nikmat kurniaannya. Kita tahu untuk berdoa dan meminta itu ini dengan Allah, tetapi kerana banyaknya kita meminta-minta sehinggakan ada masanya terlalu mudah Allah memakbulkan, maka kita terlupa untuk berterima kasih. Lebih lalai jika kita memikirkan bahawa kebolehan sesuatu nikmat itu adalah kerana usaha sendiri.

Apa jua nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, ia sebenarnya ujian. Jika kita tahu memanfaatkan setiap kurniaan Allah, Alhamdulillah…insyaAllah sebahagian ujian ini telah kita lulus. Makin kita bersyukur insyaAllah rezeki makin bertambah. Semoga nikmat yang diperoleh ini juga mampu meningkatkan lagi tahap ketaatan kita kepada Allah.

Bersyukur bukan sekadar apabila tiba-tiba kita mendapat kurniaan Allah yang besar dan hebat, masih bernyawa pada hari inipun seharusnya kita sangat bersyukur. Tubuh badan yang sihat tanpa sedikitpun rasa sakit-sakit, itu juga nikmat Allah yang tidak terhitung. Dapat menggunakan semua pancaindera dengan sempurna, itu suatu kurniaan yang sangat hebat. Sesungguhnya nikmat Allah itu tidak terhitung, padanlah jika Allah mahu kita mengabdikan seluruh kehidupan ini kepadaNya.

Sehingga ketemu lagi…

4.03pm

Ikhlas

Salam Ukhuwah…

Setiap kerja buat yang dilakukan adalah kerana Allah, itulah ikhlas. Samada dalam penulisan, pengajaran, pengamalan, dan apa jua mu’amalah yang kita lakukan setiap hari, jika semua laku itu adalah lillahi ta’ala, bukan sekadar kerana sebuah keikhlasan, tetapi ia disulami dengan harapan semoga mendapat redha Allah semata. Jangan sekali-kali mengharapkan faedah duniawi, itu hanyalah perbuatan yang sia-sia, lebih teruk jika mendapat murka Allah semata.

Hanya hati boleh menilai sebuah keikhlasan. Selebihnya Allah lah yang Maha Mengetahui niat sebenar setiap hambaNya dalam melakukan sesuatu perkara.

Sukar juga untuk menjaga hati agar benar-benar ikhlas. Bagaimana mungkin…

~ Apabila ada yang memuji kita tidak merasa bangga, malah merasa kurang senang dengan pujian itu.

~ Apabila ada yang mengeji kita tidak kecewa, malah tidak terdetikpun untuk membalas dengan sesuatu yang buruk.

~ Apabila beramal kebajikan kita tidak mengharapkan apa-apa balasan, malah tidak mahu ada yang mengetahui.

Ini antara kayu pengukur sejauh mana tahap keihlasan yang ada pada hati kita. Dimana tahap kita, hanya kita yang tahu. Jom kita sama-sama jadi lebih baik. Bukan jadi baik di mata manusia, tetapi jadi makin baik pada pandangan Allah. Ketepikan kepentingan diri, hanya redha Allah yang kita mahu. Redha Allah yang kita buru, insyaAllah makin hampir rezeki yang kita mahu.

Jika kita berbuat baik kerana Allah, tidak sesekali akan merasa kecewa jika segala kebaikan yang dibuat tidak mendapat balasan yang sewajarnya. Senyumlah selalu. Rezeki Allah itu sangat luas tiada batasan.

Bersyukur

Ikhlas juga mendidik kita menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur. Jangan sering bertanya mengapa hidup kita ini jadi begini begitu tidak seperti yang diharapkan, itu semua hanyalah penyakit jiwa yang harus dinyahkan. Usah terlalu resah gelisah apabila diuji Allah, teruskan membuat amal kebaikan. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap hambanNya.

Cuba untuk sentiasa merasa tenang dalam kehidupan kerana ketenangan itu sendiri boleh menghadirkan rahmat Allah buat kita. Ketenangan juga memberi peluang untuk kita sentiasa berbuat kebaikan kepada semua orang. Hanya perlu ingat, setiap apa yang kita lakukan adalah kerana Allah semata. Bersyukurlah apabila kita mampu berbuat baik kepada semua orang sekeliling, kerana tangan yang berada di atas itu sentiasa lebih baik dari tangan yang berada di bawah.

Jangan terlalu berharap kepada pertolongan manusia. Kudrat manusia ada hadnya. Berharaplah sentiasa kepada Allah, kerana lambat cepat doa yang kita mohon, tiba masanya insyaAllah akan termakbul jua.

Sehingga ketemu lagi…

3.15pm

Berkat

Salam Ukhuwah…

Setiap hari kita mencari rezeki. Masing-masing punya bidang tersendiri untuk mendapatkan rezeki. InsyaAllah kita hanya mahukan rezeki yang halal masuk ke dalam rumahtangga kita. Untuk darah daging kita sendiri, pasangan kita, jua anak-anak di rumah. Juga untuk menampung keperluan lain seperti bayaran semua bil bulanan, keperluan pendidikan anak-anak, dan kehendak nafsu kita yang lain. Jangan ada yang haram, semua mesti dari sumber yang halal.

Tidak kiralah kita sebagai seorang peniaga, bekerja swasta mahupun kakitangan kerajaan, jangan sesekali terjebak dengan pendapatan haram, ia bukan sahaja sudah bersuluh dosanya, lebih jauh dari itu ia boleh merosakkan keturunan kita sendiri. Sumber yang haram itu telah menjadi darah daging kita dan sekeluarga sendiri. Mula timbul permasalahan melibatkan pasangan kita mungkin, jua anak-anak yang mula tidak mendengar kata dan sering bertindak melakukan perkara-perkara diluar kawalan kita sebagai ibubapa.

Punya masalah dengan pasangan dan anak-anak?

Cuba renungkan punca pendapatan kita selama ini. Halalkah? Atau mungkin haram?

Jika sudah sahih halalnya, lihat pula kepada keberkatannya. Pendapatan bukan sahaja mahukan yang halal, tetapi yang lebih baik adalah pada keberkatannya. Kalau tiada berkatnya, pendapatan yang masuk seolah-olah hanya menyinggah, sekejap sahaja sudah kering. Ada saja keperluan diluar bajet – kereta meragam, ahli keluarga sakit, kena ragut, dan pelbagai ujian yang lain.

Kalau sering diuji begini, jom sama-sama kita muhasabah. Tarik nafas, dan cuba fikirkan tentang punca rezeki kita selama ini. Kalau sudah halal, berkatnya ada? Mungkin kerja buat kita sudah halal, tapi ada ketikanya kita menyalahgunakan harta pejabat untuk keperluan sendiri, membuat kerja yang diamanahkan dengan ala kadar sahaja, malas dan sering tidur semasa waktu bekerja, ini semua boleh menyumbang kearah rezeki yang tidak berkat.

Ikhlas

Ihklaslah semasa bekerja. Buat yang sehabis baik.

Rezeki akan ada keberkatannya apabila kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita peroleh. Merasa cukup dengan apa yang ada, malah boleh berkongsi dengan orang lain walau sedikit cuma. Jangan sesekali merajakan nafsu dengan apa jua perkara yang sebenarnya diluar kemampuan kita sendiri. Pentingkan kepada keperluan isirumah, bukannya kehendak kita sendiri. Jika kita sendiri berkehendakkan sesuatu, maka menabunglah, bukan mengambil hak isi rumah yang lain. Mengambil hak orang lain inilah yang menjadikan rezeki kita tidak diberkati Allah.

Jangan sesekali kita lupa tanggungjawab kepada Allah. Cukupkan solat dan beramallah dengan ibadat sampingan yang lain. Cari peluang untuk selalu menderma walau hanya sedikit, cuba mempermudahkan urusan orang lain walau hanya dengan membuang sampah dan selalu berniat serta berazam untuk melakukan pelbagai kebajikan lain, mudah-mudahan hati kita yang terjaga baik ini mampu memudahkan rezeki untuk masuk dan diberkati Allah.

Rezeki yang berkat juga dapat dilihat pada semua akhlak ahli keluarga. Pasangan yang baik dan anak-anak tidak bermasalah terhasil daripada rezeki yang berkat. Mudah-mudahan semua perkara positif yang berlaku disekeliling kita adalah dari keberkatan rezeki yang kita peroleh selama ini.

Sehingga ketemu lagi…

12.48pm

Rezeki

Salam Ukhuwah…

Sangat menjadi kebiasaan apabila ramai orang merujuk rezeki itu adalah wang ringgit. Juga merasa sukarnya memperoleh rezeki apabila wang ringgit sering saja tidak mencukupi. Bukan sahaja tidak cukup, tetapi terus diuji dengan pelbagai dugaan yang melibatkan keperluan kepada wang ringgit. Pernah kena macam ni…? Saya memang banyak kali…

Saat kita kesempitan, datang pula kawan yang mahu meminjam duit, ada pula yang memohon derma, anak-anak minta belikan sesuatu keperluan, kita sendiri berkeinginankan sesuatu, ohh…datangnya pula bertimpa-timpa dalam satu masa…memang rasa sesak nafas. Bajet memang sudah lintang-pukang. Mahu menyimpan jauh sekali. Berhutang? Ini sudah diperingkat bahaya.

Tarik nafas sekejap, mungkin kita perlu semak semula apa yang tak kena sebenarnya.

Mungkin yang tak kenanya adalah hubungan kita dengan Allah, pemberi rezeki yang sebenar-benarnya. Dialah yang Maha Berkuasa – mahu menambah, mengurang, mahupun menarik rezeki dalam sekelip mata sahaja.

Kita renung seketika…

Rezeki ini bukan hanya pada wang ringgit, bukan hanya pada kehidupan yang mewah, bukan hanya pada kecantikan paras rupa, tetapi pada semua yang menenangkan kehidupan kita. Pasangan hidup yang baik, anak yang tidak membawa masalah, tubuh badan yang sihat, itu semua adalah rezeki.

Tiada kayu pengukur yang tepat untuk mengukur banyak mahupun sedikit rezeki yang dikurniakan Allah. Lebih sukar lagi untuk mengukur sejauh mana keberkatan rezeki yang kita peroleh selama ini. Apa yang perlu kita sentiasa sedar, sentiasalah bersyukur dengan setiap nikmat Allah yang kita peroleh pada setiap hari, lebih dari itu ‘merasa cukup’ dengan apa yang ada.

Sehingga ketemu lagi…

12.09pm