• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2017
    S M T W T F S
    « Nov    
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031  

Artis

Salam Ukhuwah…

Seminggu yang lalu saya berkesempatan menghadiri majlis Hi-Tea Wanita anjuran Muslimat Pas Kawasan Pengkalan Chepa bertempat di PUTIK. Semestinya majlis ini khusus untuk wanita sahaja. Antara jemputan istimewa didalam majlis ini adalah selebriti bersuara gemersik, Aisyah, yang turut mendendangkan empat buah lagunya termasuklah ‘Janji Manismu’ bagi menyerikan lagi majlis ini.

20121215_018

Aisyah yang merupakan ahli Pas seumur hidup bermula pertengahan tahun ini, merupakan sebilangan daripada ramai selebriti tanahair yang sentiasa mewarnai mana-mana majlis Pas diseluruh negara.

Melihat kepada fenomena kebelakangan ini, tidak kiralah selebriti itu wanita mahupun lelaki, mereka juga sebenarnya sangat terdorong untuk bersama-sama membantu dan menjayakan sebarang majlis kendalian Pas, diatas faktor kesedaran sendiri untuk turut serta bergerak diatas tiket perjuangan dan berdakwah, malah berpolitik sekalipun kerana sudah tentunya Islam dan politik itu sememangnya tidak boleh dipisahkan.

Jika selama ini selebriti sering digambarkan berada didalam dunianya yang tersendiri, tetapi hari ini sebilangan daripada mereka mula merasa sangat yakin dengan dasar Islam yang diperjuangkan Pas selama ini. Penyertaan mereka kedalam Pas sememangnya sesuatu yang mengejutkan ramai pihak, malah kemunculan dan keberanian mereka menghadiri pelbagai program parti turut memberi impak positif yang besar kepada para peminat dan generasi muda masa kini. Sudah tentunya dengan populariti mereka ini sangat mampu menarik lebih ramai masyarakat diluar sana untuk bersama-sama mendokong perjuangan Pas.

Semua selebriti yang telah menyatakan sokongan dan menyertai Pas tentunya jauh sekali untuk mencari makan, malah adakalanya tindakan ini sangat memberi kesan kepada periuk nasi mereka selama ini samada sebagai penyanyi, pelakon atau apa saja karier glamor mereka. Namun, kerana hidayah Allah yang mula meresapi jiwa, mereka sanggup menghadapi sebarang kesan dan tekanan terhadap kerjaya tetap selama ini. Kehidupan dunia ini bukan segalanya, apatah lagi dunia artis yang sangat sinonim dengan pelbagai jenis kemaksiatan, maka mereka tetap menanam suatu keyakinan yang teguh bahawa rezeki Allah itu ada dimana-mana. Dengan menyertai Pas juga, insyaAllah jiwa mereka akan lebih terdidik kearah yang lebih baik.

Sebagai rakyat umum kita sewajarnya memberi sokongan penuh kepada penghijrahan selebriti ini untuk berada didalam kumpulan yang tepat. Mereka sebenarnya berjiwa besar dan tabah dalam menghadapi sebarang kemungkinan dipulau untuk melakukan sebarang aktiviti yang selama ini didokongi, malah itulah sebenarnya punca rezekinya. Demi sebuah perjuangan, mereka dengan beraninya melakukan suatu yang sebenarnya diluar jangkaan sendiri, tetapi demi Islam, berjuang bersama Pas adalah jalan yang terbaik.

Apatah lagi kita sebagai rakyat umum yang tentunya lebih terdedah kepada permasalahan sensitiviti umum, sangatlah perlu memberi sokongan yang lebih padu kepada perjuangan Pas untuk menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini. Ini semua adalah tanggungjawab kita, tanggungjawab untuk memilih barisan kepimpinan negara yang terbaik didalam pilihanraya umum akan datang yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

10.39am

Pembunuhan Karakter

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Dalam sejarah tamadun dan pertembungan bangsa di dunia, terdapat pelbagai kaedah peperangan telah digunakan untuk mengalahkan musuh. Lazimnya, ia meliputi segenap aspek kehidupan hasil terciptanya peluang dari setiap konflik yang berlaku. Pertembungan yang berlaku juga disusuli dengan hidangan pelbagai permainan psikologi melibatkan setiap krisis dalam masyarakat.

Krisis dan konflik ini dimanipulasi mengikut selera perancang untuk mencapai objektif melemahkan musuh masing-masing. Dalam sesuatu keadaan, misi ini akan melibatkan dana yang tidak terhad bagi menembusi struktur masyarakat, mendoktrin pemikiran yang diperlukan melalui semua alat propaganda yang telah tersedia digunakan. Sudah semestinya semua misi ini dilaksanakan secara sulit oleh manusia atau kumpulan manusia yang agak kecil.

Dalam masa yang sama perancang jenayah ini, sentiasa membuat perbincangan secara berkala bagi tujuan mengukur kesan kepada serangan yang telah dilancar seterusnya merancang langkah susulan.

Pembunuhan karekter atau character assassination adalah antara kaedah popular digunakan dalam sesuatu pertembungan. Biasanya kaedah ini melibatkan individu tertentu yang menjadi ancaman kepada sesuatu pihak yang berkuasa atau yang mahu berkuasa. Kadang kala ia juga digunakan untuk menghapuskan peluang atau potensi yang sedia terbina pada musuh sebelum ianya bertambah besar menjadi ancaman yang lebih serius.

Dalam banyak operasi pembunuhan karektor ini, reputasi dan integriti musuh (mangsa) akan cuba dirosakkan melalui manipulasi fakta secara besar-besaran dan berlebihan bagi mencipta kesan psikologi serta persepsi buruk kepada musuh. Gambaran salah yang tercipta dari manipulasi fakta ini biasanya akan disusuli dengan tindakan untuk memalukan individu tersebut dengan hujah-hujah yang boleh dipertikaian tetapi dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh tertentu.

Bagi memastikan misi yang dilancarkan berjaya, semua saluran yang boleh digunakan musuh untuk membetulkan fakta dengan hujah balas mesti ditutup rapat. Sebarang langkah yang mungkin perlu dilaksanakan termasuk memalukan atau memukul mangsa serta orang bersimpati dengan mangsa. Tekanan perlu dilaksanakan secara berterusan kepada pihak yang bersimpati dengan mangsa termasuk menggunakan kelemahan individu berkenaan supaya diam dan jangan berbuat apa-apa. Biasanya kerja-kerja bagi peringkat ini akan dilakukan oleh askar-askar upahan tanpa mereka mengetahui siapa perancang sebenar.

(Ikuti penjelasan selanjutnya di kelantanprogres.blogspot.com)

Tajaan Haji

Assalamualaikum dan Salam sejahtera…

Semalam saya telah menerima sms daripada seorang kawan, memaklumkan bahawa isu tajaan haji masih dibangkitkan di dalam satu laporan Bernama (21 Februari 2011) yang bertajuk Poser Over Inaction Against Son In Law.

Laporan ini telah menyebut kenyataan dari Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia. Setiausahanya, Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian telah mempersoalkan kenapa Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) tidak mengambil sebarang tindakan ke atas saya, berhubung isu salah urus kewangan dan isu tajaan Haji ini dengan hanya menyerahkan siasatan lanjut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Umum mengetahui bahawa SPRM telahpun menyiasat perkara ini, seterusnya memaklumkan keputusan bahawa kes ini telah ditutup.

Lanjutan itu juga sebagai tanda kesyukuran, TGNA telah mengambil sebahagian dari wang tabungannya untuk diinfaqkan kepada parti, dan saya pula telah membuat kenduri kesyukuran di atas selesainya isu ini.

Setelah perbincangan dibuat dengan beberapa orang individu yang mengetahui hal sebenar tentang isu ini, saya merasakan bahawa perlunya penjelasan mengenai perkara yang berlaku supaya umum akan mengetahui kebenarannya. Lebih-lebih lagi apabila individu yang terlibat sepenuhnya dalam isu tajaan haji ini terusan diam membisu, mungkin untuk menyelamatkan diri seterusnya membiarkan saya yang dipersalahkan.

Asasnya isu tajaan Haji tidak pernah berkait dengan saya, kerana kami suami isteri hanya menyertai rombongan Haji TGNA. Untuk makluman, saya dan isteri telahpun merancang untuk menunaikan ibadat Haji pada tahun 2009 dan telah dimaklumkan kepada ibubapa kedua-dua belah pihak. Bagi tujuan ini dari awal lagi kami telahpun mendaftar diri dengan satu agensi yang diiktiraf dan berpengalaman di Kota Bharu.

Dalam tempoh tidak lama selepas itu, saya mendapat khabar bahawa ada pihak yang sedang menguruskan rombongan Haji bersama TGNA dan keluarga. Apabila mengetahui hasrat TGNA pada saat-saat akhir untuk menunaikan ibadat Haji pada tahun tersebut (yang sebelumnya masih samar kerana faktor kesihatan), kami suami isteri telahpun meminta persetujuan daripada beliau untuk menyertai rombongan tersebut. TGNA sangat mengalukan hasrat untuk bersamanya, lalu kami membatalkan pendaftaran dengan agensi sebelumnya.

(Ikuti penjelasan selanjutnya di kelantanprogres.blogspot.com)

10.13am

Menakluk Putrajaya

Salam Ukhuwah…

Apabila saya menulis tentang 20 Tahun Pemerintahan PAS Kelantan, saya menerima komen yang sebegini;

‘dah 50 tahun lebih Pas dan kuncu kuncunya tak dapat memerintah Malaysia. Apa cerita pulak tu?’

Maka, ini jawapan umum saya…

Terima kasih saya dahulukan atas kesudian saudara mengunjungi laman ini. Saya hargai lontaran idea yang dikemukakan, secara positifnya ini menunjukkan bahawa saudara masih peka terhadap masalah yang dihadapi oleh PAS.

InsyaAllah, sekali PAS melangkah untuk menggapai cita-cita menakluk Putrajaya, kami tidak akan buntu dalam berpolitik. Setiap masalah yang melanda akan diusahakan untuk ditemukan jalan penyelesaiannya, sehinggalah impian besar untuk memerintah Malaysia akan terlaksana apabila tiba masanya nanti.

Dalam situasi politik hari ini saya percaya bahawa kemenangan sedang menghampiri PAS.  Umno sedang nazak cedera parah dan sangat mengharapkan bantuan golongan anak-anak muda yang kelihatannya lebih cenderung memilih Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Hub Pusat Hiburan Malam

Apakah perancangan pentadbiran Perdana Menteri kita yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam juga merupakan agenda ‘menggula-gulakan’ anak-anak muda kita? Selain kononnya hub ‘bodoh’ ini bertujuan memacu industri pelancongan dan mewujudkan kira-kira 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020. Inilah hakikatnya perancangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan tiga hari yang lalu .

Mari kita renungkan perancangan pelaksanaan hub ini. Ia akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa. Ini adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Salah satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menyulitkan penghibur antarabangsa untuk beraksi di negara ini.

Lebih mengaibkan lagi apabila EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi, dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Lihatlah! Betapa langkah ini secara langsung akan menyuburkan lagi penubuhan kelab-kelab malam baru bertujuan menampung kehadiran lebih ramai ‘pemabuk’! Lebih-lebih lagi apabila beberapa peraturan baru bagi hiburan seumpama ini akan dilaksanakan, termasuklah membenarkan pelanjutan had waktu operasinya.

Sepatutnya sebagai seorang pemimpin pertama negara yang mengaku Muslim, perlu mengambil kira kepentingan hala tuju Islam, kesan daripada tindakan yang diambil, seterusnya maslahah jangka pendek dan jangka panjang. Sewajarnya difikirkan antara kebaikan dan keburukan sebelum melontarkan apa-apa idea kepada khalayak umum. Fahami sebenar-benarnya apakah keperluan rakyat umum.

Pendaftaran Pengundi Baru

Walau sejijik manapun perancangan kerajaan sekarang ini, kita masih bersyukur kerana sokongan anak-anak muda terhadap PR makin meningkat saban hari. Paling penting, PR perlu memastikan mereka mendaftar sebagai pengundi, kerana golongan muda ini sangat hebat semangat juangnya disamping mudah dalam memahami sebarang sebaran maklumat terkini. Jentera parti perlu bergerak hebat dalam memastikan kempen mendaftar pengundi baru mencapai sasaran yang ditargetkan.

Dalam pada itu, tentunya kita sudah maklum bahawa salah seorang Naib Presiden Umno telah mencadangkan masjid dijadikan pusat pendaftaran pengundi baru. Eh, Umno guna mazhab mana pula? Semua sudah maklum bahawa dalam akidah Umno, politik dan masjid mesti dipisahkan. Bila masa pula Umno berminat dengan masjid? Belum lagi beku isu mereka menggunakan Jabatan Agama di sebuah negeri untuk merosakkan suasana Ramadhan tempohari. Tambahan pula Pemuda Umno di negeri tersebut telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, yang menggambarkan bahawa ceramah dan tazkirah itu seolah-olah berkempen politik. Hakikatnya, semakin ramai jemaah di rumah Allah, semakin pupuslah Umno di bumi Malaysia ini.

Transparency International (TI)

Dalam masa yang sentiasa kehadapan ini, PAS akan bersedia pada kedudukan untuk mengukuhkan parti dan meneruskan agenda perjuangan yang satu, yakni bermatlamat menjatuhkan musuh, siapa lagi kalau bukan Umno? Ini adalah alasan terbaik untuk menyelamatkan Negara dari berterusan tenat dengan pelbagai masalah, terutamanya soal rasuah yang berleluasa, dimana baru dua hari lepas Transparency International (TI) telah melaporkan bahawa Malaysia masih kekal di tangga ke 56 pada Indeks Persepsi Rasuah sebagaimana tahun sebelumnya, tetapi mata yang dikutip terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4 daripada markah maksimum 10 mata, tersasar jauh dari sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang sepatutnya 4.5 kepada 4.9.

Ini jelas menggambarkan bahawa kerajaan telah gagal dalam menangani rasuah, secara langsung usaha untuk menjadikan Negara ini sebagai Negara berpendapatan tinggi akan turut gagal memandangkan wujud perkaitan antara rasuah dengan pendapatan per kapita. Tentu sekali rakyat melihat bahawa kerajaan sangat tidak konsisten dalam menangani soal berkaitan rasuah ini.

‘Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok’

Bagaimana pula dengan masalah sosial yang makin menyerang generasi muda hari ini? Mampukah Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang bertemakan ‘Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok’ mencapai sasarannya? Atau hanya sekadar projek khas yang dilaksanakan oleh Wanita Pertama? Negara kita untuk mendapatkan ‘lesen’ bagi melakukan pembaziran secara berleluasa? Sungguhlah dia tidak sensitif terhadap kesengsaraan kehidupan sesetengah rakyat Negara ini, sentiasa berpanjangan dibelenggu masalah ekonomi setempat yang berterusan membebankan, apabila kos sara hidup makin tinggi dan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Mari kita renungkan seketika, 50 tahun Umno memerintah Negara, apa jadi dengan Islam di bumi Malaysia ini? Jadinya, Umno yang mengaku memperjuangkan Islam itu telah secara terang-terangan menolak Undang-undang Islam, apatah lagi bercita-cita besar untuk menubuhkan Negara Islam? Kita tidak hairan jika DAP menolak Hudud atau apa saja tentang kebangkitan Islam, tetapi tersangat musykil apabila Umno yang tanpa segan silu melaungkan merekalah pembela Islam, tetapi tiba-tiba tanpa malu tanpa segan juga menolak Hudud dan segala perkaitannya, apakah maknanya ini? Umno seumpama manusia Munafiq. Islam pada zahir, tetapi iktikadnya? Kepercayaannya? Amalannya?

Sememangnya PAS telah lama berjuang di Malaysia dan telah lali dengan segala macam masalah dan isu yang melanda politik Negara sejak sekian lama. Dalam politik Islam yang diperjuangkan oleh PAS, sedaya upaya kita mahu menjaga persepsi dan pandangan masyarakat dalam mengambil sesuatu tindakan politik, walaupun sebenarnya kita mampu untuk melakukannya.

Berdakwah sememangnya tugas PAS. Sememangnya PAS telah lama berdakwah sejak lebih 50 tahun lalu. Maka lihatlah sendiri dengan mata akal dan mata hati, antara PAS dan Umno, parti manakah yang ikhlas dengan perjuangan masing-masing? Saya sangat mengharapkan saudara boleh berlaku jujur pada Islam.

1.01am

 

20 TAHUN PEMERINTAHAN PAS KELANTAN

Salam Ukhuwah…

Samada anda seorang yang peka mahupun sebaliknya, usia kerajaan PAS Kelantan kini sudah mencapai 20 tahun! Ia merupakan kelansungan pentadbiran Kerajaan Negeri yang berlangsung sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-8 pada 21 Oktober 1990.

Menjelang 20 Oktober 2010, genaplah usia 20 tahun pentadbiran Negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulama’ berteraskan keazaman Membangun Bersama Islam, yang membawa maksud bahawa setiap tindakan yang diambil adalah dengan penuh teliti pelaksanaannya dalam semua aspek, yang turut mengambil kira soal halal haram, syurga neraka dan dosa pahala!

Sepanjang 20 tahun menerajui pentadbiran negeri, telah tersurat bahawa Negeri Kelantan mempunyai identiti yang tersendiri, sementelah telah banyak menerajui dan memimpin perubahan serta mendahului di dalam pelbagai aspek pembangunan. Ia merupakan suatu nilai kejayaan kepimpinan YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Menteri Besar.

Dengan semangat Islam yang padu, kerajaan PAS Kelantan tetap bertahan biar pun terpaksa meniti perjalanan yang penuh onak duri selama tempoh tersebut. Pentadbiran PAS Kelantan tidak pernah berganjak dengan pendirian yang melibatkan aqidah Islam, walaupun terus menerima kritikan mahupun kecaman, terutama daripada Kerajaan Pusat.

Pentadbiran Negeri Kelantan mendidik rakyatnya dengan mengambil pendekatan menyebarkan ilmu Islam pada setiap ketika dengan cara belajar, mengajar dan memerhati, supaya rakyatnya sentiasa berada dalam keadaan penuh sedar untuk mengingati Allah s.w.t. pada setiap keadaan sepanjang kehidupan, bukan sekadar menerima Islam secara tradisi, yakni turun-temurun.

Lebih besar maknanya apabila selama puluhan tahun inilah Umno telah gagal dalam misinya merampas Serambi Mekah. Sudah acap benar Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan bertukar ganti dalam tempoh tersebut, namun amat malang sekali apabila setiap seorang di kalangan mereka terpaksa mengalami kegagalan, malah kekecewaan yang menggunung untuk merampas kuasa Islam di bumi berkat ini. Mereka gagal mencipta sebarang kejayaan walaupun pelbagai tohmahan pedih menusuk jantung pemerintahan PAS Kelantan selama ini.

ALLAHUAKBAR!

12.12am

 

Tahniah

Salam Ukhuwah…

Setinggi ucapan tahniah yang tiada taranya saya kalungkan untuk semua yang terlibat dalam menjayakan Muktamar Tahunan PAS kali ke-56, yang baru saja melabuhkan tirainya petang tadi.

Sekali setahun menghadirkan diri ke Muktamar, akan ada manisnya yang terpahat di hati. Ia mampu memberi sentuhan ajaib untuk menyuntik semangat dan kekuatan baru kepada setiap pejuang yang hadir.

Ada kesungguhan telah ditunjukkan oleh semua yang hadir Muktamar kali ini, menunjukkan PAS masih ramai pencintanya, yang terus gagah mencintai perjuangan menyebarkan syiar Islam di merata Malaysia, bahkan sehingga sentiasa bersedia memberi kesanggupan yang segera untuk menyahut panggilan jihad ke Palestin! Ya, Kemenangan atau Syahid! Itulah matlamat kami!

Dimaklumkan bahawa pada malam 13 Jun yang lalu, seramai lima orang lagi petugas Yayasan Amal Malaysia berlepas ke Gaza, bagi meneruskan Misi Kemanusiaan Gaza, bertujuan memantau pelbagai projek bernilai RM1.5 juta yang telah disumbangkan oleh Yayasan itu sebelum ini. Wira kita kali ini diwakili oleh, YB Abd Rani Osman (Adun Meru-PAS), Ust Jamsari B Marsom, Cikgu Mohamad Fauzi Abu Samah, Syed Ahmad B Syed Mohamed Ali, dan Mohamad Aszami B Anuar. Marilah kita sama-sama mendoakan keselamatan dan kejayaan misi kali ini, insyaAllah!

Tabah

Kelihatan perjalanan Muktamar kali ini agak sempurna, kecuali terdengar bisik-bisik makanannya yang tidak cukup dan ada ketikanya keputusan bekalan air. Tapi ini semua ada alasannya, yang telahpun diterangkan dan dipohon maaf oleh Pengerusi Tetap, insyaAllah akan dimaafi oleh semua yang hadir. Apalah sangat dengan kekurangan itu, berbanding dengan ketabahan seorang Perwakilan Muslimat yang datangnya seorang diri nun jauh dari Sabah, meninggalkan suami yang bersedia menyokong perjuangan ini dari jauh, dengan setia bersedia menjaga anak-anak mereka seramai sepuluh orang dan seorang ibu yang sakit, tinggal bersama-sama mereka.

Kisahnya bersambung lagi, sampai saja di Kota Bharu dikeheningan Subuh, dikhabarkan oleh suami tercinta, ibu mertuanya telah kembali ke rahmatullah, al-Fatihah! Dia ingin kembali ke pangkuan keluarga, namun bicara suami, alang-alang sudah sampai di bumi Kelantan, burmuktamarlah! Pujuk suami lagi, urusan pengkebumian tinggalkan kepada kami adik-beradik di sini, yang penting bagaimana kita mengurus sempurnakan seorang ibu semasa hayatnya. Allahuakbar! Inilah dia seorang suami pejuang, yang sama-sama berjuang demi melihat Islam itu turut bersinar terang di bumi Sabah, insyaAllah akan tiba masanya nanti!

Inilah sebuah gerakan Islam yang hebat membakar semangat pejuangnya, sentiasa bersedia menongkah arus dalam perjuangan mencari kebenaran dan kebebasan yang menjadi impian kepada setiap rakyat Malaysia. InsyaAllah segala apa yang telah diharungi dan dikerjakan selama ini ada hikmah dan kemuliaannya disisi Allah s.w.t., tiadalah mudharat nanti di akhirat sana.

Beza

Muktamar Tahunan PAS jauh bezanya dengan Perhimpunan Agung UMNO, yang tentunya Umno hanya berhimpun untuk berseronok membajai kepalsuan ciptaan mereka. Umno tidak pernah akan menjadi secemerlang PAS, kerana agendanya hanyalah Melayu, bukannya Islam!

PAS akan sentiasa teguh berdiri dengan prinsip-prinsip Islam yang agung. Inilah dia betapa tulusnya PAS, yang tidak mungkin ketemu dalam tubuh Umno. Jauh bezanya perjuangan memartabatkan agenda Melayu, dibanding dengan ketulusan PAS untuk meneruskan perjuangan para Anbia’, yakni demi untuk keagungan lslam dan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini, khususnya di Malaysia.

PAS sendiri dipimpin oleh pemimpin yang sangat berkualiti dalam kepimpinannya. Akhlak pemimpin PAS jauh bezanya dengan apa yang dimiliki oleh pemimpin Umno. Jikapun mungkin ada picisan pemimpin yang terkena dengan jangkitan spesis Umno, insyaAllah hayatnya tidak panjang di dalam saf kepimpinan PAS.

Ketahuilah bahawa PAS adalah satu mimpi buruk buat Umno! Mereka sangat takutkan kebenaran yang dibawa oleh PAS. Bak kata Presiden PAS dalam ucapan penggulungannya yang bertajuk, Ke Putrajaya Menjulang Kemenangan, kita sentiasa berada di dalam bahtera yang tepat!

Perjalanan menuju kemenangan semakin hampir, ada cahaya yang sedang menunggu pada Pilihanraya Umum akan datang, insyaAllah!

3 Julai 2010

Juga jangan lupa kepada semua sahabat, 3 Julai 2010, kita semua telah sepakat untuk sekali lagi turun ke jalanan bagi menunjukkan bantahan secara besar-besaran ke atas kebiadaban pihak Kerajaan Barisan Nasional meluluskan Lesen Judi Piala Dunia 2010.

Himpunan besar-besaran ini insyaAllah akan diadakan di perkarangan Masjid Negara, kemudian berarak ke Istana Negara untuk mengiringi pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan Memorandum Membantah Lesen Judi Bola, serta merayu campur tangan Raja-raja Melayu untuk mendesak agar Kerajaan Malaysia memansuhkan Lesen Judi Bola.

InsyaAllah, kita bersama-sama ke sana apabila tiba masanya. Allahuakbar!

(artikel ditulis usai bermuktamar)

7.06am

p/s: Selamat Datang Rejab – Bulan Sembahyang & Bulan Palestin

PASti

Salam Ukhuwah…

Saya yakin dan pasti setiap warga politik di tanah air maklum bahawa Muktamar Tahunan PAS Pusat akan berlangsung beberapa hari saja lagi, yakni dari 9 hingga 13 Jun ini, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik). Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam menjayakan Muktamar kali ini, saya turut merasa bangga kerana Kelantan sekali lagi menjadi tuan rumah kepada satu sesi yang amat penting kepada PAS.

Maka, saya turut berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan pimpinan, tetamu, perwakilan dan pemerhati dari seluruh Negara, yang insyaAllah akan memenuhi Kota Bharu selama lima hari.

Jika tiada aral melintang, insyaAllah saya juga akan menjadi pemerhati di sana nanti. Kepada sahabat yang masih dalam dilema samada hadir atau tidak, saya juga teruja untuk menjemput dan mempersilakan kalian semua memutuskan YA untuk hadir ke muktamar tersebut. Masih lagi sempat untuk menguruskan apa yang sepatutnya, sebelum datang menyertai muktamar di sini. Mudah-mudahan dengan kehadiran penuh mampu menghasilkan Muktamar yang bersemangat dan bersungguh serta berjaya.

Tiada ruginya jika kita bersama menghadiri muktamar ini. Banyak manfaatnya untuk kita bersama melihat dan menghayati sejauh mana kemampuan PAS, seterusnya menghadirkan cadangan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ketara sepanjang perjuangan ini. Sokongan padu daripada ahli dan penyokong serta kehebatan pimpinan akan lebih mewujudkan PAS yang lebih bersemangat juang melalui perbahasan dan cadangan yang akan dikemukakan.

Demokrasi

Tentunya PAS yang sangat mendokong konsep demokrasi, akan sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan daripada semua pihak. Saya percaya bahawa muktamar kali ini akan mampu membuahkan semangat juang yang tinggi, kerana kita makin hampir dengan pilihanraya umum ke-13. Tentunya kita sentiasa bersepakat bahawa Islam itu tunjang PAS dalam perjuangan, tetapi kita mahu perubahan kepada strategi dan pendekatan PAS dalam memperkasakan perjuangan untuk menuntut keadilan dan kebebasan bersuara untuk semua rakyat di Negara ini.

Sebagai parti pembangkang, kita masih lagi dijajah oleh pemerintah yang hanya tahu memastikan kepentingan mereka tidak tergugat sahaja. Kita tidak bebas dalam menyuarakan kemahuan, kalaupun Negara kita merdeka menghampiri 53 tahun sudah. Tiada pencerahan yang kita idam-idamkan.

Pemerintah bagaikan terus dungu perihal demokrasi. Mahukan pilihanraya, tetapi menolak demokrasi terpuji, apa ini? Jika benar-benar mahu Rakyat Didahulukan, serlahkanlah demokrasi yang sebenar, kerana sesungguhnya demokrasi itu adalah hak rakyat! Kita sebagai rakyat sudah sekian lama menuntut hak untuk benar-benar mengamalkan demokrasi yang benar-benar bersih. Jika rakyat dididik baik dalam amalan demokrasi, saya yakin Malaysia akan lebih mampu menghasilkan rakyat yang lebih bijak, bukan sekadar pak angguk saja yang kehilangan semangat juang.

Inilah perbuatan terkutuk Umno yang sering meragut hak dan suara rakyat, sehinggakan kemenangan Pakatan Rakyat di Perak pun boleh mereka rampas semudahnya oleh suatu sistem kepimpinan yang meloyakan. Sungguh Umno adalah sebuah organisasi yang kotor lagi  membusukkan.

Kita sentiasa bersedia menerimapakai amalan demokrasi yang masih dilandasi etika dan tidak melanggar norma Islam. Kita masih lagi bertauhidkan Allah. Bolehlah kita fahamkan bahawa demokrasi adalah suatu cara toleransi dalam memilih pemimpin di kalangan warga Negara. Demokrasi membantu rakyat dalam memilih calon terbaik yang berkelayakan memimpin dan mengurus Negara ini.

Demokrasi tidak bertentangan dengan prinsip Islam, kerana amalan ini juga mengambil keputusan berdasarkan suara majoriti. Demokrasi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih calon yang terbaik di kalangan mereka. Sehingga tidak melangkaui batas Islam, amalan demokrasi adalah dibenarkan. Demokrasi membenarkan rakyat umum menyuarakan keinginan mereka.

Umpan

Umno sudah tidak mampu untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang mapan, berdaya saing dan terus maju, kerana mereka sering saja memperbodohkan rakyat dengan umpan-umpan rasuah, yang terlalu banyaknya berleluasa semasa pilihanraya, lebih-lebih lagi apabila berlakunya pilihanraya kecil.

Andai setiap piliharaya itu bersih perjalanannya, saya yakin keputusannya tidak sebagaimana hari ini. Tapi apakan daya, kita terpaksa menerima hakikat dalam keterpaksaan bahawa sekadar ini kemampuan yang kita ada. Kita ada pilihan, tetapi seringkali diserang tanpa sedikitpun kasihan.

Hak

Harus juga kita ingatkan bahawa, setiap warga yang layak mengundi sangatlah wajib menggunakan haknya untuk mengundi calon terbaik, agar mereka dapat memberi kesaksian di hadapan Allah nanti, bahawa mereka telah memilih seorang pemimpin yang benar-benar layak untuk menjaga Islam di muka bumi ini.

Sekali lagi saya menyeru, marilah bersama menghadirkan diri untuk menyemarakkan lagi Muktamar kali ini. Mungkin juga ia boleh diibaratkan sebagai satu percutian yang menarik buat anda sekeluarga sempena cuti sekolah kali ini. InsyaAllah, saya juga akan cuba membawa anak-anak ke sana, biar mereka menikmati apa sebenarnya Muktamar PAS yang diwar-warkan itu. Anak-anak kecil inilah yang akan menyambung generasi memperkasakan PAS pada masa hadapan.

InsyaAllah kita mampu menikmati ganjaran yang besar di akhirat nanti atas nama perjuangan menyebarluaskan Islam, khususnya di bumi Malaysia ini!

7.13am