• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2017
    S M T W T F S
    « Nov    
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031  

Anak

… mempunyai lima orang anak (3 lelaki & 2 perempuan), yg sulong 9 tahun & yg kecil 2 tahun. Boleh bagi nasihat pada saya apa yang terbaik saya lakukan.

Salam Ukhuwah…

Tentunya ungkapan diatas datangnya daripada si ibu, jarang sekali datangnya daripada si bapa.

Ya, kerana umumnya dalam sesebuah keluarga ibu akan lebih dominan dalam mengambil peranan menguruskan anak-anak.

Walau bagaimanapun, peranan mengurus dan mendidik anak-anak bukan hanya kepada seorang ibu, tetapi bapa juga harus mengambil tempat tersendiri dalam memahami, lalu bersama-sama menjayakan pembentukan keperibadian anak-anak sedari kecil lagi.

Tidak kiralah bagaimana kita mahu mengurus dan mendidik anak-anak sekalian, pentingnya biarlah ia suatu didikan yang menekankan aspek keagamaan.

Barangkali kita mudah terikut-ikut dengan tradisi keluarga sendiri, tidak salah, sekadar mengubahsuai mengikut suasana dan keadaan semasa sahaja.

Saya percaya bahawa ibu lebih memahami anak-anak kerana mereka telah bersatu semenjak di dalam kandungan lagi. Selepas kelahiran sekalipun, sentuhan langsung lebih banyak dilakukan oleh ibu. Begitu juga dengan belaian dan pujukan seorang ibu mampu melahirkan sebuah kasih sayang yang lebih akrab di antara dua individu ini.

Ibu akan lebih memahami sekiranya anak-anak bermasalah, langsung tahu bagaimana untuk menguruskan emosi anak-anak ketika itu. Kebiasaannya anak-anak juga akan merasa lebih selesa berkongsi apa saja dengan ibu berbanding bercerita kepada si ayah.

Samada sebuah keluarga itu mempunyai bibik atau sebaliknya, tugas mengurus dan mendidik anak-anak hendaklah digalas oleh ibubapa. Tidak digalakkan pengurusan anak-anak diserah bulat-bulat kepada bibik untuk menyelianya, kerana disitu tiada chemistry yang memungkinkan bibik memahami anak-anak dengan sepatutnya.

Sesekala menyerahkan tugasan kepada bibik tidaklah mengapa, terutama kepada ibu yang bekerja tentulah bibik menjadi penyelamat kepada banyak perkara.

Begitu juga kepada ibubapa yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan, mereka seringkalinya akan merasa terkilan kerana tidak mampu untuk sentiasa berada dekat dengan anak-anak.

Perkembangan anak-anak

Lebih-lebih kepada anak-anak kecil seusia 3 bulan – 3 tahun, dimana pada peringkat ini sewajarnya ibu perlu sentiasa berada bersama mereka. Saat inilah anak-anak kecil akan mula belajar menggunakan bahasa yang betul. Apabila mereka mula tahu bercakap, tentunya banyak soalan yang akan ditanya, dimana ia memerlukan jawapan yang sepatutnya ibu berikan berdasarkan didikan yang mahu diterapkan.

Begitulah seterusnya kepada peringkat umur yang lain. Secara ringkasnya, pakar kanak-kanak selalunya memberikan pernyataan berkaitan perkembangan anak-anak sebagaimana berikut; (saya kongsikan berdasarkan pembacaan dan mengolahnya sendiri)

4 tahun:

Kanak-kanak seusia ini akan lebih seronok jika diberi peluang untuk mencipta sesuatu dengan idea sendiri. Biasanya mereka amat suka menulis, melukis, mewarna, menconteng, dan sebagainya. Mereka juga sudah boleh bermain lego dengan lebih baik berdasarkan ciptaan yang dilakukan.

Dalam masa yang sama, ibubapa perlulah prihatin kepada perkembangan anak-anak ini dengan menyediakan keperluan untuk mereka bereksploitasi dengan minda ketika usia ini.

Untuk tugasan peribadi pula, anak-anak seusia ini sudah boleh diajar membuka dan memakai pakaian sendiri. Mereka juga sudah boleh dididik untuk meletakkan pakaian kotor pada tempatnya dan diajar meletakkan tuala pada tempat sepatutnya.

Mereka juga perlu diajar untuk membuat pilihan yang sepatutnya, seperti memilih pakaian untuk bersantai di rumah, berjalan-jalan, untuk tidur dan sebagainya.

Jika anda membawa mereka untuk membeli-belah, beri peluang untuk mereka memilih barangan peribadi, seperti pakaian, kasut, alatulis, permainan, dan sebagainya. Biarkan mereka memilih, namun keputusannya tetap berada di tangan kita. Jika keinginan mereka tidak boleh tunaikan, berikan mereka alasan realistik yang mampu difahami anak-anak.

Pada usia 4 tahun juga saya sendiri mula mewajibkan anak-anak belajar al-Quran.

5 – 7 tahun:

5 tahun adalah usia yang paling sesuai untuk menghantar anak-anak ke tadika. Jika ibubapa mahu menghantar anak-anak lebih awal dari usia ini, terpulanglah kepada pandangan peribadi masing-masing. Anak-anak perlu diberitahu tentang tanggungjawab untuk mendapatkan ilmu, lebih- lebih kepada seorang Muslim yang akan diberi ganjaran istimewa oleh Allah s.w.t..

Anak-anak akan merasa sudah besar apabila mereka mampu menjejakkan kaki ke sekolah. Mereka akan menunjukkan sebuah kegembiraan dan keceriaan tersendiri. Dalam masa yang sama, ibubapa juga perlu mengajar anak-anak tentang disiplin apabila mula mendapat kawan yang ramai. Beritahu mereka apa yang boleh, apa yang tidak boleh

Jika mereka ada melakukan kesalahan awalan, nasihat mereka dengan intonasi yang baik tetapi tegas. Perkara biasa jika anak-anak nakal pada usia sebegini, tetapi mereka juga harus diberi kawalan yang sepatutnya. Jangan sehingga mencederakan kanak-kanak lain.

8 – 10 tahun:

Kebiasaannya anak-anak seusia ini sudah mula pandai bergaul, boleh memberi kerjasama yang lebih baik dan mempunyai teman-teman rapat.

Mereka juga sudah boleh membaca dengan lancar, mempunyai tulisan yang lebih cantik, boleh mengira, pandai menabung, dan menunjukkan keperibadian yang lebih baik.

Ibubapa juga perlu mensasarkan anak-anak khatam al-Quran selewat-lewatnya pada usia 12 tahun.

Berhenti Kerja

Saya mula berhenti kerja semasa mengandung anak yang keenam. Kandungan tidak menghadapi sebarang masalah, tetapi diri sendiri yang merasa cepat letih dan sakit-sakit badan semasa mengandung kali ini. Alhamdulillah, saya mampu pergi ke pejabat seperti biasa, morning sickness masih terkawal, tetapi yang menjadi masalah apabila selesai makan tengahari dan solat Zohor, badan saya terutamanya belakang mula akan merasa sakit. Tiada ubatnya melainkan saya berbaring sahaja.

Kebanyakan harinya sedemikian, maka saya berfikir inilah masa terbaik untuk saya berhenti kerja selepas selama ini saya sering memikirkannya. Pergi kerja pun tidak mampu memberikan yang terbaik kepada tugasan. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan sempurna sebagaimana diimpiankan.

Saya tidak mempunyai bibik sewaktu berhenti kerja, tetapi mempunyai pembantu yang datang dari jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang. Semua urusan berkaitan anak saya uruskan sendiri, pembantu hanya menguruskan urusan rumahtangga yang lain. Situasi baru ini memberikan saya peluang untuk mempunyai lebih banyak masa berurusan dengan anak. Tidak lagi perlu memikirkan perihal anak sebagaimana ketika bekerja dulu.

Menjadi surirumah juga tidak bermakna kita tidak boleh mencari pendapatan sendiri. Jika kita berkeinginan, cabang perniagaan adalah jalan terbaik untuk menjana pendapatan. Saya juga begitu, kerana minat saya kepada pakaian agak tinggi, maka saya mulakan langkah pertama dan seterusnya hingga kehari ini.

Semuanya bergantung kepada minat dan keinginan. Menjana pendapatan dari rumah lebih seronok kerana dalam masa yang sama kita sentiasa berada di rumah bersama anak-anak.  Tentukan waktu sendiri, selesaikan urusan anak-anak dan rumahtangga, waktu berbaki adalah untuk kita berseronok dengan minat sendiri. InsyaAllah, jika betul pengurusannya, kita juga mampu berpendapatan walaupun adakalanya tidaklah sehebat dulu.

Suami

Suami juga perlu memahami bahawa apabila isteri anda sudah bergelar surirumah, tidak bermakna urusan rumahtangga terus melayang daripada bahu anda. Suami juga harus turut membantu kerana kerjaya surirumah lebih memenatkan berbanding bekerja di pejabat. Lebih-lebih lagi apabila mereka langsung tidak mempunyai sebarang cutipun!

12.33pm

* Semoga artikel yang saya sediakan ada manfaatnya buat Puan Nurisza dan ibu-ibu yang lain…insyaAllah!

Surirumah (III)

… kerana saya selalu berasa tertekan & bersalah kerana tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu & isteri dengan sempurna …

Salam Ukhuwah…

Bukan seorang isteri yang mengeluh begini, tetapi sangat ramai…saya pun pernah merasakannya begitu.

Dari satu sudut, sebenarnya ada juga silap pemahaman daripada suami apabila mereka sendiri tidak membenarkan isteri menjadi surirumah. Jika mereka mengizinkan isteri berkerjaya, itu adalah baik, dan jika mereka memberi pilihan untuk isteri berhenti kerja, itu adalah lebih baik.

Sebenarnya jika kita perhatikan, rumahtangga hari ini mengambil mudah tentang tanggungjawab suami isteri. Ini juga adalah penyebab kenapa sebahagian suami takut untuk membenarkan isterinya menjadi surirumah.

Mereka takut kepada tanggungjawab seorang suami, seolah-olah merasa tidak mampu mengurus perbelanjaan rumahtangga tanpa bantuan kewangan daripada isteri.

Kenapa kesilapan ini boleh berlaku?

Salahnya daripada kedua-dua pihak, samada suami mahupun isteri.

Suami merasakan isteri patut juga membantu membayar bil-bil tertentu dalam rumahtangga, dipihak isteri pula, cepat merasa kasihan kepada bebanan yang ditanggung suami. Tetapi, yang sepatutnya bagaimana?

Suami wajib menguruskan segala perbelanjaan keluarga, ini termasuklah membayar segala jenis hutang – ansuran rumah, ansuran kereta, bil elektrik, bil air, bil telefon dan segala jenis bil lain mahupun hutang-piutang. Begitu jugalah wang dapur, keperluan sampingan anak isteri dan juga kewangan kontijensi sekiranya berkeperluan.

Tanggungjawab

Tidak kiralah gaji suami sedikit mahupun banyak, berpendapatan tetap atau sebaliknya, perbelanjaan rumahtangga adalah tanggungjawab suami. Tidak boleh sama sekali suami mengharapkan pendapatan isteri untuk hal-hal pegurusan kewangan rumahtangga. Jika adapun isteri sendiri berbesar hati mahu menyumbang – saya sendiri menggalakkannya – tetapi haruslah beringat bahawa ia bukan satu tanggungjawab, tetapi atas dasar bertolak ansur sahaja.

Saya kira tanggungjawab ini adalah perkara asas, yang sepatutnya semua lelaki berpengetahuan sebelum mendirikan rumahtangga.

Saya tidak silap sekiranya berkata, wanita hari ini terlalu memanjakan suaminya. Adakalanya berlebih-lebihan menggalas tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh si suami. Natijahnya, suami lupa tanggungjawab sendiri, dan isteri pula mula terasa terbeban dengan perkahwinan.

Saya seru kepada semua wanita yang bergelar isteri, mahupun belum; Bertolak ansur dalam berumahtangga ada batasnya, jangan sehingga terasa dikemudian hari betapa bergelar seorang isteri adalah suatu kesilapan yang pernah dilakukan.

Sayang kepada suami biar berpada-pada. Sayang sehingga terbeban bukan caranya.

Begitu jugalah dipihak isteri. Jika sudah berimpian menjadi surirumah, berimpianlah juga untuk hidup tidak sebagaimana ketika berpendapatan sendiri. Mulakan hidup baru dengan bersedia menerima segala kelebihan dan kekurangannya.

Kelebihan: Impian untuk menjadi surirumah sudah tercapai. Bersyukurlah.

Kekurangan: Hiduplah mengikut kemampuan suami. Bersyukurlah.

Kalau dahulu, boleh beli kain baju setiap bulan, maka terimalah jika selepas ini baju baru hanya empat pasang sahaja setahun. Itupun mungkin kerana ada hari raya!

Begitu juga kalau dahulu, kain baju RM200 sepasang, tetapi selepas ini hargai dan bersyukurlah jika ianya hanya RM50 sepasang.

Berjimat

Boleh saja jika mahu hidup seperti dahulu-dahulu, tetapi perlu pula kepada berjimat-cermat keatas perkara lain.

Ada juga isteri yang akan berfikir tentang wang bulanan yang kebiasaannya diberi kepada kedua ibubapa mereka selama ini. Berbincanglah dengan suami bagaimana seterusnya.  Mungkin daripada RM300 sebulan, menjadikannya hanya RM50 sebulan sahaja. Anda harus bersyukur, sekurang-kurangnya wang bulanan itu masih ada. Bagaimana mahu memujuk rasa terkilan kedua ibubapa kita? Bayarkannya dengan selalu menghubungi mereka bertanya khabar. Jika sebelum ini dua kali sebulan, jadikannya sekali seminggu mahupun lebih. Kasih sayang itu lebih tinggi nilainya dari wang ringgit.

Bincang dengan suami nafkah kewangan yang perlu anda terima setiap bulan. Senaraikan keperluannya secara berterus-terang. Seterusnya, hiduplah dengan sekadar kemampuan yang ada. Jika mahu berlebih-lebihan lagi, biar suami mencari alternatifnya sendiri. Itu bukan lagi tanggungjawab isteri. Tanggungjawab isteri adalah memberi pandangan yang terbaik kepada suami dalam memastikan urusan  rumahtangga sentiasa terkawal, terutamanya mendahulukan keperluan anak-anak. Juga sentiasa meyakinkan diri suami bahawa kita tidak akan kesah dengan segala kekurangan yang ada.

Suatu masa nanti, kehidupan anda sebagai surirumah akan terasa lebih bermakna. Masalah kewangan bukan lagi satu bebanan, tetapi akan mendidik kita menjadi seorang yang lebih berhemah dalam berbelanja.

Pengurusan kewangan yang baik amatlah diperlukan untuk kehidupan pada masa hadapan. Jikapun taraf kehidupan kita akan menjadi agak kurang baik pada awalannya, tetapi wang tabungan harus sentiasa ada. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Pengalaman

Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri dan juga perkhabaran daripada orang lain. Menjadi surirumah bukan bermakna kita tidak boleh berjaya dalam hidup. Jika kita merasakannya sebagai kegagalan, maka kita akan gagal sepanjang kehidupan ini, kerana mungkin kita tidak akan kembali lagi sebagai seorang wanita berkerjaya.

Menjadi surirumah akan memberi makna yang lebih jelas kepada tanggungjawab suami isteri. Jika selama ini kita merasa terbeban dengan sebuah tanggungjawab yang tidak sepatutnya, maka kali ini berubahlah kearah yang lebih baik.

InsyaAllah tiada yang buruk-buruk akan menimpa, berdoalah sentiasa agar segalanya berjalan seperti biasa dan rumahtangga kita akan berjaya sehingga akhirnya.

8.21am

Surirumah (II)

… tapi keperluan hidup mendesak untuk bekerja. Kerana suami berniaga & pendapatan tidak tetap.

Salam Ukhuwah…

Saya percaya pernyataan ini bukan hanya keluhan kepada seorang isteri, tetapi untuk kebanyakan isteri di luar sana. Bukan hanya kepada rumahtangga yang mempunyai pendapatan tidak tetap, tetapi yang berpendapatan tetap pun saya percaya akan berfikir banyak kali untuk membuat keputusan kisah yang satu ini.

Apabila saya memutuskan untuk menjadi surirumah, bukan sebulan, bukan dua bulan berfikir untuk berhenti kerja, tetapi setahun. Saya berfikir baik buruknya, dalam masa yang sama sering mengulang-ulang pernyataan bahawa akan berhenti kerja dalam masa terdekat kepada suami. Dengan harapan suami mampu menelan keinginan saya, dalam masa yang sama dia perlu bersedia untuk menerima realiti bahawa sumber kewangan keluarga akan menjadi satu saluran sahaja.

Bagi saya, apabila seorang isteri yang berkerjaya mula berkeinginan untuk menjadi surirumah, mereka perlulah yakin dengan keinginan dan impian itu. Terlebih dahulu mereka perlu yakin dengan diri sendiri bahawa menjadi surirumah itu adalah pilihan terbaik untuk dirinya pada hari ini dan untuk masa hadapan.

Saya sendiri sentiasa positif dalam membuat keputusan untuk menjadi surirumah. Usah terlalu bebankan fikiran dengan soalan-soalan yang tiada jawapannya dalam kehidupan pada masa hadapan, tetapi positifkan minda bahawa menjadi surirumah itu adalah suatu episod hidup yang terbaik bagi seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu.

Jika terlalu berfikir, dan fikiran itu selalunya menjurus kepada masalah, bebanan, ketakutan, ia bukanlah sesuatu yang baik dalam membuat keputusan. Jika tiada jawapannya, kita berbalik kepada agama. Asasnya, seorang isteri kedudukannya adalah lebih baik jika mampu berada di rumah. Lebih-lebih lagi jika sudah mempunyai anak-anak.

Tidak salah untuk wanita berkerjaya, tetapi seringnya apabila sudah mencapai satu tahap, keinginan untuk menjadi surirumah sering menjadi pilihan banyak kepada para isteri. Disinilah sepatutnya kita mula memahami semula peranan suami isteri yang sebenar didalam rumahtangga.

Berbincang

Masing-masing perlu duduk berbincang bersama, memberi makna semula kepada fungsi, tugas dan peranan sebagai suami, bapa, isteri dan ibu. Berbincang dengan cara baik, jangan menghasilkan kekecewaan antara satu sama lain, jangan saling menyalahkan, tetapi nyatakan keinginan yang bersebab kearah kebaikan dalam rumahtangga itu sendiri.

Adakalanya keputusan untuk menjadi surirumah juga akan menjadi satu isu yang besar apabila ia melibatkan pendapat banyak pihak, terutamanya kepada kedua ibubapa, adik-beradik dan juga rakan taulan.

Selain suami, ibubapa sebenarnya agak takut juga membiarkan anak menantu perempuan mereka bergelar surirumah. Ada juga ketakutan ini bersabitan sekiranya suatu masa nanti suami tidak mampu menanggung kehidupan keluarga, suami mencari wanita lain kerana rasa diri tidak dihargai, paling malang sekiranya diceraikan suami – si isteri tiada lagi sumber pendapatan.

Inilah yang saya katakan persoalan yang tiada jawapannya. Semua jawapan adalah pada masa hadapan – yang tidak mampu kita menjawabnya hari ini.

Bagi saya, jangan terlalu berfikiran negatif apabila mahu membuat sesuatu yang positif. Usah terlalu risau pada sebarang kemungkinan yang tiada kepastian. Jika kita sudah memiliki sebuah rumahtangga yang baik, kenapa pula harus dikisahkan kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jika kita berasa sudah selesa dengan kehidupan ini dengan segala pengorbanan dari suami mahupun isteri, maka sebenarnya lebih mudah untuk kita teruskan keselesaan ini walaupun hadirnya sedikit kesusahan. Itu semuanya lumrah kehidupan.

Kepada ibubapa, boleh dijelaskan kenapa kita memilih jalan yang satu ini. Jika mereka masih menidakkannya, tidak mengapa kerana kita yang lebih memahami keperluannya.

Tetapi, sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja, ada baiknya wanita itu terlebih dahulu menyediakan ‘persediaan’ sebelum mereka melangkah ke fasa yang seterusnya. Berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi surirumah yang baik adalah persediaan yang baik. Tetapi persediaan ‘pelindung diri’ juga adalah baik. Jika wanita itu mempunyai harta sendiri itu lebih baik, jika tiada, pastikan mempunyai wang simpanan yang banyak. Berapa? Sekurang-kurangnya lima bulan gaji anda sekarang.

Kenapa?

‘Pelindung awalan’.

Wang simpanan ini adalah modal anda untuk memulakan kehidupan baru. Adakalanya kita tidak boleh mengubah ‘status’ sebelum ini secara drastik. Mungkin juga anda mempunyai hutang sendiri, maka wang simpanan ini dapat membantu bayaran bulanannya.

Peranan

Seorang isteri yang mahu memilih kerjaya sebagai surirumah tentunya jauh sekali mahu menganiayai suaminya, jauh lagi mahu menyusahkan rumahtangganya. Tentunya keputusan ingin menjadi surirumah bukan keputusan yang singkat fikirannya, tetapi tentunya mereka mula mahu memahami tugas dan fungsi sebenar peranan di antara pasangan.

Semua akan bersetuju bahawa hidup jauh lebih senang jika punya pendapatan sendiri. Bagi seorang isteri, pendapatan peribadi membolehkannya mengurus kehidupan sendiri tanpa menyusahkan suami. Isteri akan merasa bahagia jika keinginan peribadinya akan dipenuhi, tetapi jauh lebih gembira jika dia mampu memberi yang terbaik buat dirinya tanpa menyusahkan suami.

Kebiasaannya seorang isteri akan sentiasa ikhlas dalam memberi khidmat kepada suami dan rumahtangganya. Mereka sentiasa mahu menyajikan yang terbaik kepada orang-orang disayanginya pada setiap masa. Inilah yang dinamakan pengorbanan – sebuah cinta yang suci ditebarkan demi suami dan anak-anak menggapai kebahagiaan masing-masing.

Jika suami juga memahami makna sebuah pengobanan, maka bertolak ansurlah kepada keperluan seorang isteri. Berikan kebebasan kepada isteri untuk memilih jalan yang terbaik buat dirinya – tentu untuk rumahtangganya juga. Seringkalinya apabila sudah memiliki beberapa orang anak – minima tiga orang – isteri yang berpangkat ibu ini akan mula memikirkan perihal keperluan untuk berada di rumah – menjadi surirumah – membesarkan dan mendidik anak-anak ini dengan caranya yang tersendiri.

Sebenarnya, pendapatan rumahtangga bukanlah satu isu yang besar. Pengalaman berkata, pendapatan besar, maka besarlah keraknya. Benarlah begitu. Setiap rumahtangga akan memikirkan keperluan kewangan – bayar kereta, bayar rumah, pergi haji/ umrah, mahu melancong, keperluan anak-anak, sangat bermacam-macam dalam kepala jika mahu difikirkan.

Jadi, bagaimana jika sumber kewangan akan menjadi kecil? Kalau dua talian hayat pun masih merasa tidak cukup, bagaimana pula mahu menanggung beban jika akan menjadi satu talian hayat sahaja?

Ya, awalan kehidupannya mungkin akan ada sedikit kesukaran.

10.05am

Surirumah

Saya seronok baca kisah puan dah jadi suri rumah sepenuh masa. Saya juga berharap dapat berbuat begitu, tapi keperluan hidup mendesak untuk bekerja. Kerana suami berniaga & pendapatan tidak tetap.

Salam Ukhuwah…

Mendapat komen daripada sahabat baru di blog saya, yang menyatakan betapa seronoknya jika mampu menjadi surirumah sepenuh masa, menghadirkan idea untuk saya bercerita tentang pengalaman sendiri menjadi surirumah. Rasanya tak pernah lagi saya menulis tentang jawatan yang satu ini.

Lama tak lama, sudah tiga tahun lebih saya memegang status surirumah sepenuh masa.

Seronok?

Seronok juga. Bebas.

Seawal pagi tak perlu bergegas untuk ke pejabat – itu termasuklah sesi pemilihan pakaian dan yang seangkatan dengannya. Tiada lagi situasi kalut-kalut nak punch card, sesi menghadap Bos, gosip? Semua tu dah simpan kejap-kejap dalam kamus hidup.

Masa yang dimiliki sendiri lebih dikhususkan untuk keluarga. Pengurusan masa bergantung kepada diri sendiri – masa untuk bersenam, kemas rumah, berkebun, berusrah, bersantai, berblog, memasak, berkasih sayang dengan suami dan anak-anak, keluar jalan-jalan cari makan, bercuti, hatta untuk keluar berbelanja sekalipun kita boleh memilih masa tersendiri – semuanya bergantung sepenuhnya kepada kita untuk memberikan yang terbaik kepada diri sendiri dan orang-orang tersayang.

Tak seronok?

Ada juga. Melayang gaji la tu… 🙂

Tak boleh dah nak sakan-sakan macam dulu, kena lebih berhemah dalam berbelanja.

Positifnya; nafsu nak berlebih-lebih tu dah jauh jatuh menjunam. Elok sangat la tu…

Tapi bukanlah teruk sangatpun, encik suami kan ada… 🙂

Berpengetahuan

Menjadi surirumah juga perlu ada ‘jiwanya’. Bukan semua wanita boleh menjadi surirumah sepenuh masa, yang sebahagian besar waktunya adalah berada di rumah sahaja. Kepada wanita yang telah lama berkerjaya – melebihi 10 tahun – tentunya akan merasa kekok jika tiada lagi rutin bekerja yang telah menjadi ‘kembar’ mereka selama ini. Lebih-lebih lagi apabila berada di rumah sendirian – suami bekerja dan anak-anak semuanya ke sekolah, mahupun tinggal di asrama ataupun sudah tinggal berasingan.

Lainlah surirumah seperti saya, masih lagi mempunyai anak-anak yang perlu diuruskan kehidupannya sejak awalan pagi. Selain menguruskan anak kecil, saya juga berjawatan ‘driver’ dalam menguruskan persekolahan anak-anak yang lain. Pagi, tengahari dan petang – kehidupan saya bukanlah berada di rumah sepenuh masa. Itu belum lagi dicampur dengan pelbagai aktiviti lain yang perlu saya hadirkan diri, terutama program politik dan aktiviti sosial yang lain.

Tetapi seawal tahun 2012 ini saya mula terfikir-fikir untuk kembali bekerja. Bukan bekerja sepenuh masa, tetapi mungkin sekadar part time sahaja. Mungkin juga kerana anak kecil saya sudah mula mencapai usia tiga tahun, sudah boleh ‘berdikari’ seadanya.

Paling penting, kita perlu menjadi surirumah yang berpengetahuan. Akses internet mungkin paling mudah untuk kita mendapat sebarang info dunia luar sana. Bukan sekadar untuk mendapatkan sebarang berita terkini, malah ilmu pengetahuan juga. Ilmu pula bukan sekadar ilmu agama sahaja, tetapi ia turut merangkumi perkongsian cara mendidik anak-anak, boleh menyalin dan mencuba resipi baru, mungkin juga memudahkan urusan lain dengan perkhidmatan online.

Kesimpulannya, pilihan menjadi surirumah juga mempunyai manfaat yang tersendiri. Rutinnya tidaklah membosankan jika kena caranya. Namun, seorang wanita berkerjaya pada hari ini yang mempunyai impian untuk berjawatan surirumah perlu berfikir panjang, berbincang dengan suami dan buatlah keputusan yang terbaik setelah ditimbang taranya.

Mudah-mudahan apa jua yang diputuskan adalah terbaik untuk kesinambungnan kebahagiaan rumahtangga yang dibina. InsyaAllah niat yang baik akan sentiasa dipermudahkan Allah s.w.t.. Tugas kita sebagai hambaNya adalah sentiasa berdoa agar berkesudahan yang baik-baik sahaja.

3.02 pm

p/s: mungkin episod surirumah ni akan bersambung…tengok atas kerajinan surirumah yang sorang ni…

Buli

Salam Ukhuwah…

Sekali lagi saya mengambil kesempatan untuk mengetengahkan satu persoalan yang dikemukan oleh tetamu di sini untuk kita bincangkan bersama. Semoga apa yang baik dari perbincangan ini mampu menambahkan lagi pengetahuan kita semua, insyaAllah…

Assalamualaikum..

Pertama kali saya sampai ke sini.. dan saya tertarik dengan saranan dan pengalaman yang Puan tulis.. setelah tamat pembacaan saya pada n3 ni saya termenung sejenak.. ada persoalanan yang ingin saya tanyakan tentang anak2..

Saya berusia 34 tahun dan mempunyai seorang putera berusia 10 tahun dan seorang puteri yang berusia 4 tahun. Alhamdulillah saya dikurniakan seorang anak lelaki yang baik budi pekerti dan sangat menghormati ayah dan ibunye serta orang2 lain.. berjiwa lembut dan sangat mengasihani golongan yang susah.. andai kata ada cerita dikaca tv yang menyentuh jiwanye, sudah pasti ada air mata yang bergenang menanti untuk gugur.. itu berlaku sejak si abg berusia 2 tahun tatkala melihat cerita kartun TARZAN yang di alihsuara yang cukup popular seketika dulu.. pada fizikal si abg tidak langsung menunjukkan dia seorang yang lembut.. dia sama seperti lelaki lain yang badan berisi sedikit.. cuma airmuka dan jiwanya sahaja..

Yang menjadi kerunsingan saya setiap kali anak sya ini keluar rumah, tak kiralah ke sekolah, bermain, mengaji atau ke tempat tuisyen, saya pasti risau dan bimbang akan keselamatannya.. sebab anak sya ini sangat kurang melawan apabila dibuli rakan.. saya sangat bimbang akan hal tersebut.. jika Puan ada sebarang nasihat atau saranan kepada saya, saya amat berbesar hati menerimanya agar ianya mampu mengurangkan keresahan hati seorang ibu.. Tkasih.

W’lam…

Terima kasih kerana sudi menjenguk blog saya. Kiranya ia suatu tempat untuk kita berkongsi pengalaman hidup seharian secara mudah dan praktikal, terutama perihal perkongsian bagaimana membina generasi baru yang lebih baik. Saya sangat mengalu-alukannya.

Saya juga menjenguk blog saudari, nampaknya seorang ibu yang hebat kerana masih berstatus pelajar! Rajinnya dia…tapi anak pun kena tambah lagi tu…!

Saya percaya persoalan yang menjadi kerunsingan saudari, adalah juga menjadi menungan ibu-ibu yang lain termasuklah saya. Tetapi saudari antara ibu yang bertuah kerana telah memiliki si Abang yang kelihatannya seorang bertanggungjawab dan berakhlak baik. Alhamdulillah…Berjiwa lembut tu menurun emak dia kot, nampak raut wajah emaknya pun lembut aje…

Saya cuba berkongsi tentang kes buli terhadap anak-anak yang sangat memberi kesan kepada ibubapa apabila mereka mula berjauhan daripada kita.

Dalam kita merasa bimbang terhadap situasi-situasi yang kurang baik di luar sana, cuba-cubalah dahulu memberi peluang kepada anak-anak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri terlebih dahulu. Namun, dalam masa yang sama kita tetap memantau keadaan dari semasa  ke semasa.

Lazimnya, anak-anak lelaki dikurnikan Allah tahap daya tahan yang lebih tinggi berbanding anak-anak perempuan.

Sebagai ibubapa, dari jauh kita perlu tahu dengan siapa anak-anak kita berkawan. Perhatikan juga jika anak-anak kita mula bercerita tentang kenakalan kawan-kawannya di sekolah, ini mungkin membantu kita untuk lebih memahami keadaan pada masa hadapan. Selalulah memberi pesan kepada anak-anak bahawa sangat penting untuk mereka memberitahu ibubapa sekiranya ada orang yang cuba membuli mereka.

Untuk mengelakkan kejadian buli berlaku kepada anak-anak, berpesanlah kepada mereka agar tidak berjalan sendirian di tempat sunyi, tetapi berjalan secara berkumpulan. Pembuli tidak tertarik kepada kumpulan yang ramai.

Mangsa

Jika anak mula menceritakan tentang kejadian buli yang menimpa mereka, perkara pertama yang kita boleh lakukan ialah dengan memuji tindakan berani mereka memberitahu tentang kejadian tersebut. Dengan ini kita boleh mencipta suatu perasaan kental di jiwa anak-anak ini.

Kita akan dapat mengesan apabila anak-anak menjadi mangsa buli kiranya dia kelihatan takut apabila tiba masa untuk dia beraktiviti di luar rumah, samada ke sekolah, tuisyen, mengaji, bermain, dan sebagainya. Kiranya mereka lebih suka berada di rumah sahaja dan tidak mahu ke mana-mana melainkan ditemani. Apabila berada di rumah pula, mereka tidak ceria sebagaimana biasa, menjadi sedikit pendiam, rasa serba tidak kena, dan mengalami sedikit gangguan ketika tidur.

Mungkin juga kita boleh meneliti tubuh badan mereka untuk melihat samada wujud tanda-tanda luka yang tidak begitu jelas pada mana-mana bahagian badannya.

Jika ciri-ciri ini ada pada anak-anak kita, maka sokongan daripada ibubapa amat-amatlah diperlukan, juga daripada kawan-kawan baik mereka untuk membantu mereka membina semula keyakinan diri yang sedikit terjejas.

Jika masalah kemurungan tersebut berpunca dari sekolah, maka sangat baik kiranya ibubapa mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan guru kelas mereka terutamanya. Berbincang dengan guru tersebut masalah yang dihadapi, dan bertanyalah pandangannya bagaimana mahu membantu anak ini keluar dari masalah tersebut.

Tidak dinafikan, secara langsung ibubapa akan menjadi marah jika tahu anak-anak dibuli. Itu adalah perasaan fitrah, tetapi bersabarlah! Jangan mengambil tindakan melulu, dan sesekali jangan mengajar anak-anak ini melawan si pembuli, lebih-lebih lagi terhadap sekumpulan besar pembuli, itu kerana ia akan mendatangkan bahaya yang lebih besar kepada dirinya sendiri, melainkan jika mereka mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri!

Akhirnya, sentiasalah berdoa semoga kita sekeluarga sentiasa dilindungi Allah dari segala bencana kerosakan dunia. Wallahua’lam…

6.23pm

Silaturrahim…

Salam Ukhuwah…

Tanpa prejudis, saya membawa satu persoalan yang dikemukan oleh tetamu di sini untuk bersama kita bincangkannya secara umum. Moga apa yang baik dapat kita manfaatkan bersama, insyaAllah…

salam.
Kak ina, disini saya inginkan satu kupasan yg terang lg jelas mengenai cara-cara mentaati suami.

Begini, berdosakah saya sekiranya tidak menjadikan keluarga belah suami serapat keluarga saya? Maksudnya saya tidak sejoin or sebulu dgn sebilangan ahli keluarga belah suami. Ini disebabkan oleh kakak2 suami yg mempunyai mulut yg begitu tajam apabila berkomunikasi dgn sy. Bila dirujuk pd suami katanya mmg kakak2nya dari dulu lg berperangai begitu. Tp bg sy sebagai org baru dlm keluarga mereka tdk wajarlah seandainya diberi layanan sebegitu. Jd rentetan dr situ hati sy mula luluh dan tawar dgn sikap kakak2 ini dan hormat sy mula kendur. Kini sy jd pendiam dan tdk lg serancak dulu seandainya bertemu mereka. Terfikir jua dihati ini sampai bilakah keadaan sebegini?…

Leraikan kekusutan ini wahai kak ina. Harap sgt.

Setiap pasangan yang berkahwin itu perlu ada sedikit sebanyak ilmu rumahtangga sebagai bekal dalam pelayaran kehidupan mereka. Suami/ isteri perlu memahami dengan baik sistem kekeluargaan dalam Islam, yang mana ia adalah sebuah keluarga yang kian membesar apabila sebuah perkahwinan dilangsungkan. Akan ada ibu bapa, mentua, ipar dan saudara-mara lain.

Apabila mendirikan rumahtangga, bukan hanya anak menantu yang perlu bersilaturrahim dengan setiap ahli keluarga kedua belah pihak, tetapi ia juga akan melibatkan besan. Hubungan besan juga perlu baik dan sesama akur bahawa adat resam serta budaya kedua-dua keluarga adalah berbeza.

Apa yang sangat perlu difahami adalah, kita berkahwin dengan seseorang yang latar belakangnya adalah sama sekali berbeza dengan pengalaman kehidupan yang pernah dilalui selama ini. Sangat tidak hairan jika perbezaan ini (samada ia kecil mahupun sangat ketara) boleh mengakibatkan konflik di dalam kehidupan berumahtangga yang dibina.

Jelas sekali sebelum mendirikan rumahtangga, kita semua perlu faham bahawa ‘kita bukan hanya berkahwin dengan pasangan sahaja, tetapi kita perlu ‘berkahwin’ dengan semua ahli keluarganya’. Dari sini dapatlah disimpulkan bahawa, samada keluarga sendiri mahupun keluarga pasangan, kita perlu berbuat baik dengan sama rata.

Walau bagaimanapun, saya pasti ia bukannya mudah bagai dikata. Oleh yang demikian, langkah yang paling tepat adalah bertolak-ansur dalam sesetengah situasi, yang mungkin kita tidak menyukainya di dalam keluarga pasangan. Saya juga percaya, tidak semua yang berlaku di dalam keluarga kita akan disukai sepenuhnya oleh pasangan. Inilah yang dikatakan sebagai tolak-ansur untuk menjaga kerukunan rumahtangga sendiri.

Konflik

Tidak dinafikan konflik antara ipar-duai adalah antara masalah yang sering terjadi dalam masyarakat kita. Perlu diingat bahawa setiap peribadi itu tiada yang sempurna. Kita tidak sempurna, begitu juga orang lain yang berada di persekitaran kita.

Apa yang penting, hubungan kita suami isteri berada pada tingkat yang normal. Pasangan suami isteri itu sendiri perlu ada perasaan sayang yang menebal kepada rumahtangga yang telah dibina. Setiap pasangan perlu mengenalpasti apa keutamaan di dalam keluarga mereka. Pentingnya adalah sistem komunikasi yang teratur untuk mengelakkan sebarang konflik berlaku.

Sungguhpun begitu, jika berkomunikasi bersama pasangan, elakkan daripada sentiasa memburukkan dan mengkritik keluarga pasangan. Hubungan suami isteri boleh renggang apabila sering meluahkan kata-kata negatif terhadap keluarga masing-masing. Dalam masalah yang melibatkan keluarga besar, setiap pasangan perlu bijak mengawal persepsi negatif.

Tidak perlu membawa masuk masalah picisan ke dalam rumahtangga kita. Jika sering dibincangkan perkara yang sama dimana penyelesaiannya berada di tangan orang lain, tidak hairan jika rumahtangga sendiri akan goyah.

Tidak dinafikan pengurusan konflik juga ada perbezaannya antara suami dengan isteri. Lelaki dan wanita mempunyai cara berbeza ketika mengurus konflik.

Wanita (isteri) akan lebih memandang berat mengenai masalah yang berlaku. Rata-rata kebanyakan wanita ingin menyelesaikan konflik lebih cepat berbanding lelaki. Mereka mahu setiap konflik yang berlaku seharusnya diselesaikan segera.

Berbeza dengan lelaki (suami) yang lebih kelihatan cool, tidak suka berbincang perkara yang pada pandangannya adalah remeh dan berjaya mengawal emosi mereka. Mereka kurang menonjolkan emosinya yang sebenar. Mereka juga akan cuba mengelak dari berkonfrontasi, sedangkan pada ketika itu wanita masih lagi belum berpuas hati terhadap masalah yang dihadapi.

Dalam situasi ini, suami perlu membantu isteri dengan mewujudkan komunikasi yang lebih terbuka, tetapi tidak cuba menyebelahi mana-mana pihak.

Untuk mengekalkan keharmonian berumahtangga, setiap pasangan perlu mengubah diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengharapkan orang lain berubah. Pasangan berterusan bahagia sekiranya mampu mengekalkan tahap rasa hormat-menghormati di antara satu sama lain. Setiap pasangan yang baik akan cuba menghormati keluarga kedua-dua belah pihak.

Jangan kerana ipar-duai, rumahtangga kita pula yang porak-poranda. Jika ada masalah bersama mereka, suami/ isteri perlu tahu untuk menyeimbangkan suasana dan keadaan semasa. Banyak hati yang perlu dijaga, maka sewajarnya diberikan layanan yang sepatutnya kepada setiap individu yang berkaitan.

Dalam waktu yang sama, suami/ isteri hendaklah memastikan bahawa hati pasangannya tidak terluka dengan sikap ipar-duai.

Akhlak

Untuk menghormati keluarga pasangan masing-masing, adalah perlu suami/ isteri mempamerkan akhlak yang baik. Bersifat pemurah dan ringan tulang antara sifat yang terbaik untuk lebih mudah mengambil hati keluarga pasangan. Banyak hati akan dapat ditawan melalui pemberian sekali-sekala dan mudah dalam memberi sebarang pertolongan apabila diperlukan. Keluarga pasangan akan lebih menyayangi menantunya yang ini. Sememangnya fitrah manusia sebegitu.

Pada saya, tidak perlu kita membalas sebarang ‘kejahatan’ yang telah dilakukan ipar-duai kepada diri. Perkataan yang sering saja disebut, tentunya bersabarlah, dan mungkin boleh beralah dengan situasi tersebut, mudah-mudahan ia tidak merosakkan peribadi sendiri dan pasangan kita, seterusnya mampu menyelamatkan keadaan dari terus merebak ke arah yang lebih teruk.

Sifat yang sangat terhormat adalah, kita cuba memahami situasi dan memaafkan perkara-perkara yang kelihatan ‘bodoh’ itu. Sifat sebegini sangat perlu supaya tidak akan terjadi perbalahan sesama sendiri, walaupun punca masalah yang timbul adalah daripada ipar-duai.  Cuba bersabar dengan karenah mereka yang ‘separa masak’ itu. Jangan sesekali kita bertindak mengikut perasaan.

11.04pm