• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2017
    S M T W T F S
    « Nov    
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031  

Syawal 1437H

Salam Ukhuwah…

Hari ini sudah minggu terakhir Syawal. Saya baru saja mahu menulis tentang Syawal. Nak juga tulis tu. Nak juga Syawal 1437H ni ada dalam memori blog saya. Apa-apa la kan…

Alhamdulillah, saya masih lagi menikmati 1 Syawal dengan izin Allah dengan segala persiapan berskala sederhana sahaja. Sangat bersederhana kerana baju raya saya tak siap! Sadiskan. Hantar untuk disiapkan baju raya dua bulan sebelum Aidilfitri, dan saya menyambut raya dengan bukan baju raya. Nangis. Mujurlah semua baju raya anak-anak berjaya disiapkan. Suami pula memakai baju melayu sediada. Alhamdulillah suami tak cerewet. Bagus suami saya…hihi…dan saya masih juga bernasib baik kerana masih ada baju yang sudah lama disiapkan tapi belum dipakai. Nak juga beraya dengan baju baru kan…

Persiapan raya untuk rumah tiada. Biasanya begitulah setiap tahun. Tiada yang keterlaluan untuk setiap kali sambutan Aidilfitri. Alhamdulillah, kami sekeluarga menganjurkan Rumah Terbuka pada 4 Syawal dengan hidangan yang mampu membuatkan ramai tetamu tersenyum. Senyuman tetamu mengenyangkan kami sebagai tuan rumah. Beberapa keluarga sahabat dari Kuala Lumpur yang tidak berkesempatan hadir ke rumah terbuka kami juga hadir dilain-lain hari, saya sediakan menu air tangan sendiri. Fuhh…

Sebenarnya saya kagum dengan diri sendiri kerana sudah berani menyediakan hidangan untuk suapan tetamu. Saya ditakdirkan tidak pandai memasak. Sudah lama menjadi suri tetapi dapur bagaikan ruang terakhir untuk saya terokai. Tetapi kerana ini adalah sebuah kehidupan…saya ada suami, saya ada ramai anak-anak yang makin hari makin membesar, makin hari makin makan banyak…inilah motivasi saya mungkin. Terima kasih untuk Google!

Ok, berbalik kepada Syawal…cerita masak-masak kita simpan.

Aktiviti

Antara keseronokan dan kemeriahan Aidilfitri bagi saya adalah aktiviti kunjung-mengunjungi, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, sanak-saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat-handai. Mudah-mudahan silaturrahim yang baik ini mampu memberi keberkatan dalam kehidupan kita dan sentiasa dalam perlindungan Allah swt.

Syawal yang sudahpun mahu berlabuh beberapa hari lagi ini masih lagi memberikan kita kesempatan untuk menghabiskan misi Puasa 6. Raya, raya jugak…open house, open office kita mampu jejak…puasa Ramadhan sebulan kita berjaya selesaikan, apalah sangat dengan puasa enam hari je kan… Ok, mudah-mudahan dalam pada kita bersuka ria meraikan Syawal ini, jangan dilupakan ibadat puasa 6 dibulan Syawal ya!

Semoga segala amal ibadat yang kita kerjakan selama ini diterima oleh Allah swt. dan mendapat rahmat dan keberkatan serta keampunan daripadaNya. InsyaAllah.

Sehingga ketemu lagi…

 

9.02am

Tahun Baru…

Salam Ukhuwah…

Tahun baru datang lagi…

2014 yang hadir hampir dua minggu sudah bagaikan tidak menjanjikan sesuatu yang menyeronokkan, apabila kita semua dihadapkan dengan pelbagai tawaran oleh kerajaan yang memerintah dengan pelbagai ‘kesusahan’ dalam menguruskan kehidupan seharian.

Tahun baru dengan pelbagai harga baru, tetapi tiada sumber ekonomi baru kepada sebahagian besar rakyat awam. Pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan telah diwar-warkan oleh kerajaan pemerintah tanpa rasa bersalah sedikitpun.

Bermula dari kenaikan harga minyak, harga gula, harga tol, sehinggalah tarif elektrik, semua ini mampu menyuburkan kenaikan berleluasa harga barangan, harga makanan, tambang pengangkutan awam, dan perkhidmatan dipasaran umum, kerana semua keperluan kehidupan tentunya bergantung kepada sumber asas yang ini.

Tiada yang turun, melainkan hujan!

Hari ini kita dapat rasakan bahawa kos perbelanjaan untuk membeli pelbagai barangan dan keperluan sampingan yang lain semakin mahal harganya. Pendapatan keluarga tidak pula bertambah dengan kadar yang sepatutnya, maka sudah tentu kita terasa bahawa kos sara hidup pada hari ini terus naik, silap haribulan taraf hidup kita makin merosot jadinya.

Anak-anak di sekolahpun sudah tahu merungut bahawa harga makanan di kantin makin mahal, kuasa beli mereka makin kecil kerana nilai ringgit makin terhakis. Saya sendiripun tidak memberi lebihan wang saku kepada anak-anak, kalau dulu sebanyak itu, tahun baru inipun sebanyak itulah. Bukan kedekut, tetapi mahu anak-anak belajar erti kesusahan, bagaimana rakyat miskin diluar sana bukan hanya sekadar membawa beberapa sen sahaja ke sekolah, malah yang tidak membawa wang sakupun mungkin masih ada!

Tiada lagi istilah Rakyat Didahulukan!

Yang ada hanyalah cadangan itu ini untuk dilaksanakan oleh rakyat awam, menyuruh disiplin disitu disiplin disini, tetapi Kerajaan sendiri boros dan terusan membazir menguruskan belanjawan negara.

5.55pm

Banjir

Salam Ukhuwah

Musibah banjir yang kerap berlaku di negara kita kebelakangan ini menjadi salah satu penanda aras bahawa kerosakan alam kini adalah terhasil daripada kerakusan manusia itu sendiri, bermula daripada sikap dan gaya hidup kita sebagai rakyat awam sehinggalah kepada kerajaan yang telah meluluskan pelbagai campuran projek, memungkinkan eksploitasi sepenuhnya keatas alam akhirnya telah membuahkan natijah buruk dapat dirasainya hari ini.

Apabila alam yang telah diciptakan Allah s.w.t. dengan segala kesimbangan mula dirosakkan secara  rakus oleh manusia, maka lihatlah pula natijahnya. Bencana banjir besar bukan sekadar menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t., tetapi ia juga ujian hebat yang diakibatkan oleh perbuatan manusia yang bertindak keterlaluan keatas alam ini demi mengaut keuntungan secara besar-besaran.

Dalam sedar mahupun tidak, apabila manusia mula menguji hukum alam dengan pelbagai jenis pembangunan mapan kononnya, tetapi dikesampingkan penyelenggaraan prasarananya, maka lihatlah betapa musibah yang diterima hari ini telah mengakibatkan kerugian harta benda bernilai jutaan ringgit, jua meragut nyawa ramai insan tersayang. Begitu pula dengan kos operasi sepanjang tempoh banjir dan juga perbelanjaan pasca bencana juga menelan ratusan juta ringgit lagi.

Bersabarlah!

Kepada mangsa banjir, bersabarlah diatas ujian Allah yang satu ini. Kita percaya bahawa bukan mudah untuk melalui ujian hebat ini. Tetapi janganlah terlalu mengeluh dan tertanya-tanya kenapa ujian ini didatangkan untuk kita. Malah, sentiasalah berdoa serta meminta pertolongan daripada Allah. Tanamkan lebih keyakinan bahawa, semakin kita bersabar dan redha diatas ujian Allah ini, maka semakin kita hampir denganNya, semakin kita disayangi olehNya.

Yakinlah bahawa Allah sangat mencintai dan sentiasa bersama-sama hamba-hambaNya yang bersabar. Semakin kita diuji dengan pelbagai kesusahan hidup dan bersabar menghadapinya, insyaAllah akan mendapat kedudukan mulia di sisiNya. Percayalah bahawa tiada kehidupan yang tidak diuji Allah, bezanya hanya pada kecil atau besar ujian itu, yang tentunya masih lagi mampu ditanggung oleh semua hambaNya.

Untuk kita yang masih terselamat dari bencana ini, ambillah pengajaran yang sewajarnya dalam mendidik jiwa, lembutkan hati untuk turut bersimpati terhadap kesusahan yang sedang dialami mangsa banjir. Mereka pastinya malu untuk meminta, kitalah yang perlu prihatin dalam keadaan sukar begini. Semoga kita menjadi orang yang bertanggungjawab menghulurkan sebarang bentuk bantuan bagi meringankan beban sahabat-sahabat yang sedang dilanda musibah. Hulurkanlah apa jua sumbangan sekadar  kemampuan yang ada sebagai bukti semangat persaudaraan. Semoga bantuan yang kita berikan mampu mengurangkan tekanan dan bebanan yang sedang dihadapi mangsa banjir ini.

7.33am

Jodoh

Salam Ukhuwah…

Hujung minggu baru-baru ini saya menghadirkan diri ke majlis perkahwinan adik ipar kepada adinda saya.

Majlis yang diadakan di Kuala Trengganu ini cukup istimewa apabila pengantin lelaki telah disatukan dengan gadis pilihannya, seorang gadis berbangsa cina yang sememangnya berasal dari Negara China.

Inilah yang dinamakan jodoh!

Pengantin perempuan yang masih bergelar pelajar di salah sebuah universiti awam di sini telah sah menjadi isteri kepada Ahmad Faiz Zainuddin, yang telah diakad nikahkan oleh ayahanda saya sendiri. Inilah saat-saat bahagia buat mereka, jua kepada kedua ibubapa, lebih-lebih lagi kepada kedua ibubapa Hazlin Liu Jing yang berkesempatan terbang dari jauh semata-mata untuk melihat anak sunti mereka diijabkabulkan.

Saya doakan semoga kehidupan mereka dirahmati Allah s.w.t. selalu dan berbahagia hingga ke hujung nyawa, insyaAllah.

11.10am

Parti

Salam Ukhuwah…

Bukan parti politik, bukan parti tari-menari, bukan parti karaoke, tetapi parti yang lain dari yang lain. Lebih hebat lagi, masuk secara percuma!

Pagi Jumaat lalu saya hadir dalam satu parti – Abaya Party, bertempat di Dar Nur al-Zahra’, Kota Bharu, anjuran seorang sahabat, Kak Chik – yang merupakan pemilik butik abaya online – Abaya Elegan.

Turut menemani anakanda perempuan kedua saya, yang turut saya pakaikannya dengan jubah hitam cantik. Saya juga memakai jubah hitam, yang mana sebenarnya semua yang hadir diwajibkan memakai jubah mahupun abaya tersendiri.

Tentu semuanya memilih koleksi peribadi yang terbaik, mahu melaram seadanya. Masakan tidak, parti itu tertutup untuk perempuan sahaja. Kelihatan semua yang hadir berwajah ceria semuanya. Alhamdulillah…

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah demonstrasi memakai shaila/ shawl selain dari acara makan-makan yang menghidangkan menu utama mee kari dan berkenal-kenalan sesama sendiri.

Program sebegini cukup baik untuk mengubah definisi ‘parti’.

Sebagai Muslim yang memahami agamanya, sewajarnya apabila mahu menganjurkan sebuah parti hiburan jiwa, haruslah kita halusi terlebih dahulu apa pelaksanaan program yang mahu diadakan. Tentunya acara yang dianjurkan haruslah menjurus kepada suatu kebaikan, malah lebih bermakna jika ia mampu menambahkan ilmu, iman dan taqwa di dada.

Banyak kategori parti yang boleh kita anjurkan. Jika kita berkategori cintakan fesyen, mungkin dilain waktu boleh dianjurkan parti jahitan aksesori pakaian seperti sulaman, kerawang, manik dan banyak lagi yang lain. Mungkin juga kepada yang berbakat senilukis mahupun suka bereksploitasi dengan minda, kita hadirkan sebuah parti relax minda yang mampu menghadirkan rasa damai dengan pameran pelbagai karya di antara satu sama lain.

Tiada yang mustahil jika kita impikan kelainan. Kita lakukannya demi sebuah perubahan ke arah yang lebih baik. Jika hari ini kita mulakan di tempat tertutup, mungkin suatu masa nanti kita melangkah ke khalayak ramai dengan mengadakan sebuah parti hebat di mana-mana dewan utama. InsyaAllah!

12.38pm

IKLAN

Pergi Mekah tempohari banyak sahabat yang mengirim jubah.

Ini merupakan stok terakhir untuk dijual. Kepada sahabat yang berminat boleh bagitahu saya ya…

Syukur

SIARAN MEDIA

 

Bismillahhirrahmanirrahim

Assalamamualaikum dan salam sejahtera

 

Marilah kita semua mengucapkan setinggi syukur kehadrat Ilahi diatas segala nikmat yang telah dicurahkan semenjak dilahirkan ke dunia sehingga ke detik ini. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw yang telah menyempurnakan amanah dalam menyampaikan risalah Islam untuk dinikmati semua makhluk di seluruh alam semesta.

Saya telah dihubungi oleh ramai kawan melalui pelbagai saluran semenjak semalam sebagai respon kepada keputusan yang dibuat oleh Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM. PPO yang mewakili SPRM  bersidang semalam telah membersihkan nama saya daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa semasa berada di PMBK dengan menyatakan kes siasatan telahpun ditutup.

Berita mengenai perkara ini juga telah dilaporkan dalam buletin AWANI dan beberapa portal berita serta blog pada hari ini Jumaat, 24 Februari 2012.

Saya ingin menyatakan setinggi-tinggi syukur kehadrat Allah swt kerana telah membebaskan saya daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa yang disebarkan, seterusnya membersihkan nama saya dari persepsi negatif semenjak kes ini berjalan.

Sememangnya siasatan kes ini memakan masa yang agak panjang, semenjak September 2009 dan melibatkan banyak pihak yang bersangkutan. Alhamdulillah saya sentiasa tenang dalam menempuh dugaan ini. Penantian untuk mendapatkan keputusan kes yang dilihat tergantung sepanjang tahun 2010 dan 2011 mungkin juga kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor politik, terutama musuh PAS, lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum akan datang.

Keputusan kes ini juga memberikan saya ketenangan yang lebih sempurna dalam merancang kehidupan kami sekeluarga dengan lebih baik.

Dikesempatan ini juga saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama ayahanda Tok Guru dan kedua-dua bonda di atas doa berterusan untuk kesejahteraan saya sekeluarga. Tidak lupa kepada kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dan sentiasa yakin bahawa saya di pihak yang benar.

Terima kasih yang teristimewa kepada isteri saya yang tercinta kerana sentiasa berada disisi saya di saat sukar dan memberi sokongan yang bermakna dalam hidup saya.

Akhir sekali, saya mendoakan semoga apa yang berlaku selama ini mampu mematangkan saya dalam menempuh kehidupan pada masa hadapan. Apa yang lebih penting, dengan keputusan terbaru ini ianya secara langsung dapat membunuh segala persepsi negatif hasil dari adu domba dan gelombang fitnah terancang oleh pihak tertentu ke atas saya.

Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan hidayat dan berkat Allah swt jua.

 

Ir Abdul Ariffahmi Bin Ab Rahman

24 Februari 2012

Pulau Melaka

Nama Yang Satu Ini

Salam Ukhuwah…

Walaupun seminggu telah berlalu, saya tetap juga mahu mengambil kesempatan untuk mengenangkan seseorang yang istimewa dimedan perjuangan PAS – medan juang ISLAM – walaupun tidaklah saya mengenalinya secara rapat.

Beliau yang saya maksudkan adalah Dr Lo’ Lo’ binti Ghazali. Satu nama yang kukuh dalam kepimpinan PAS, merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa – muslimat pertama daripada PAS yang memenangi kerusi dalam Wilayah Persekutuan dengan majoriti yang agak besar.

Sekitar Jun yang lalu, pulangnya suami dari Muktamar tahunan PAS, saya membelek koleksi gambar-gambar semasa muktamar tersebut yang diambil suami. Antara wajah-wajah yang saya tidak kenali adalah seorang perempuan separuh umur berkerusi roda, mempunyai fizikal yang agak berisi, tersenyum mesra dalam keramaian hadirin, turut bersemangat hadir didalam himpunan tersebut. Saya bertanya kepada suami siapa gerangannya?

Jawapan “Dr Lo’ Lo’” yang diberikan suami amat mengejutkan saya. Ya, saya sepatutnya amat kenal dengan empunya nama yang satu ini. Dr Lo’ Lo’ yang saya kenali sebelum ini – bertubuh kecil sederhana dan sihat pergerakannya – tidak seperti apa yang dilihat ketika itu. Maka sedarlah saya bahawa saat itu beliau sedang bertarung antara melawan penyakit kanser, dengan semangat jitu untuk berjuang dalam gerak kerja PAS demi untuk ISLAM tercinta. Sungguhlah beliau seorang yang istiqamah didalam perjuangan.

Kenangan

Saya hanya punya sedikit kenangan bersama Dr Lo’Lo’. Sebagai seorang doktor perubatan suatu ketika dulu, saya juga pernah menjadi ‘pesakitnya’. Beliaulah orangnya yang pertama memberi berita gembira kepada kami suami isteri, apabila saya disahkan mengandung sulong pada tahun 2000. Itulah kali pertama saya bertemu mata dengan beliau. Khidmat terbaik sebagai seorang doktor sentiasa dilaksanakan secara terperinci setiap kali lawatan pemeriksaan kandungan saya. Saat kandungan saya mahu dilahirkan, beliau masih beria-ia mahu menyambut kelahiran itu walaupun sudah beberapa kali memberitahunya bahawa anak ini akan dilahirkan disisi nenda dan tokkunya.

Sehinggalah pada malam Ahad 16 Syaaban/ 17 Julai yang lalu, saya menerima sms mengkhabarkan pemergian beliau untuk selamanya. Terasa kehilangan dari kejauhan.

Akhirnya, buat saya dan kalian sahabat semua, bersama kita tanamkan azam untuk mewarisi kekuatan jiwa mujahidah yang seorang ini. Kita bersama teruskan agenda perjuangannya dalam menyebarluaskan pengaruh ISLAM di bumi Malaysia ini. InsyaAllah!

AL-FATIHAH!

7.15pm