• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    April 2017
    S M T W T F S
    « Nov    
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    30  

Kuasa Cinta

(Versi SIASAH)

Salam Ukhuwah…

Cinta paling bernilai di dunia dan akhirat adalah milik Rasulullah s.a.w., apabila Baginda telah dianugerahkan gelaran ‘Kekasih Allah’. Nilainya terlalu tinggi apabila Allah s.w.t. telah memilih Rasulullah s.a.w. sebagai manusia yang paling bernilai kepadaNya, kerana Baginda telah sanggup menyerahkan segala jiwa dan raganya melebihi apa saja yang dimilikinya di dunia ini demi Islam. Rasulullah s.a.w. telah sanggup menghadapi pelbagai ujian dan cabaran yang memeritkan demi menyebarluaskan Islam hingga sehabis nyawanya.

Namun masih ada peluang untuk kita juga bernilai disisi Allah s.w.t., apabila bersedia menjadi hambaNya yang sentiasa memohon taubat walaupun seringkali melakukan salah dan silap. Mudah-mudahan tetap akan ada keampunan yang berulang-ulang daripada Maha Pengasih dan Penyayang untuk kita semua, insyaAllah!

Allah s.w.t. juga secara fitrah menganugerahkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada semua HambaNya. Tidak kiralah kepada siapa kita mencurahkan rasa cinta dan kasih sayang, hakikatnya perasaan itu mampu menyuburkan jiwa kepada setiap pemberi dan penerima cinta tersebut. Paling istimewanya apabila Allah s.w.t. menganugerahkan cinta kepada manusia berlainan jantina yang akhirnya disudahi dengan ikatan perkahwinan yang suci.

Terlalu banyak contoh cinta hebat di antara lelaki dengan perempuan yang telah kita maklum di dunia ini. Kita ada dongeng Uda dan Dara, Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet, dan banyak lagi pasangan romantis yang lain, tetapi didalam Islam jelas menyatakan bahawa rasa cinta membara yang wujud di antara lelaki dengan perempuan hanya boleh dihalalkan selepas mereka disatukan sebagai suami isteri.

Hal yang demikian, kita mengambil contoh terbaik perihal cinta suami isteri di dalam Islam. Maka akan kita temukan kisah kehebatan cinta Saidatina Khadijah r.a., isteri tercinta kepada Rasulullah s.a.w.. Cinta beliau sangat unggul apabila selalu saja disebut-sebut namanya oleh Baginda walaupun telah wafat. Inilah dia cinta sejati daripada seorang isteri buat suaminya yang tercinta.

Telah terbukti bahawa kuasa cinta sama sekali tidak memandang kepada faktor luaran semata, tidak kisah tentang faktor usia dan status seseorang. Begitulah Rasulullah s.a.w. yang telah membalas cinta isterinya dengan tulus. Saidatina Khadijah r.a. telah mengisi penuh ruang hati Baginda sehingga tiada tandingannya di antara isteri-isteri yang lain.

Cinta Sebenar

Inilah cinta sebenar yang telah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w., tentu sekali ianya cinta berlandaskan Islam. Jika cinta itu bertunjangkan agama akan terlihatlah keindahan dan ketulusannya apabila setiap pasangan memiliki kualiti yang terbaik. Pasangan yang berkualitikan Islam insyaAllah akan mampu membina rumahtangga yang bahagia. Tentunya mereka akan mendahulukan cinta kepada Allah s.w.t..

Mengutamakan cinta kepada Allah s.w.t., akan dibalasi dengan rahmatNya yang berpanjangan kepada rumahtangga kita. Maka sepatutnya terlebih dahulu kita betulkan niat bahawa berumahtangga adalah kerana Allah. Bersamalah kita membina impian semoga rumahtangga yang dibina itu akan mendekatkan diri kepada Maha Pencipta. Sempurnakanlah cinta kita kepadaNya terlebih dahulu, dengan harapan akan bertambah sempurnalah kasih sayang yang tercipta antara kita dengan pasangan.

Jangan sesekali menjadikan perkahwinan sebagai penyebab mengapa kita semakin jauh dalam menggapai rahmat Allah s.w.t.. Seharusnya kita istiqamah berada di jalan yang sepatutnya walaupun tanggungjawab kita makin bertambah, kesibukan makin membelit diri dan tekanan mungkin makin menjadi-jadi. Tidak sepatutnya sebuah perkahwinan membawa kepada kelalaian yang mungkin akan memudaratkan hubungan kita denganNya.

Penyatuan dua individu yang saling sayang-menyayangi, seharusnya mampu meniupkan lagi semangat untuk saling membimbing dan nasihat-menasihati di antara satu sama lain dalam ketaatan kepadaNya. Cinta dan kasih sayang akan jelas terbukti sekiranya kita beroleh manfaat yang lebih baik dalam kehidupan berumahtangga untuk kebahagian di dunia dan akhirat nanti.

Berkahwin

Berkahwin bukan sekadar kerana cinta antara dua jantina untuk memenuhi tuntutan nafsu seksual secara halal semata, tetapi kita perlu melihat lebih jauh dari itu. Niatkanlah rumahtangga yang dibina itu sebagai satu institusi dalam melahirkan hamba Allah s.w.t. yang terbaik.

Rumahtangga yang dibina berasaskan nafsu semata seringnya tidak kukuh, maka tentunya cepat runtuh. Pasangan tidak mungkin akan memahami soal tanggungjawab dan mengambil mudah tentang pembangunan sesebuah keluarga. Mungkin juga setiap perintah dan larangan Allah s.w.t. dengan mudah diketepikan tetapi tuntutan nafsu pula lebih diutamakan.

Sayang kepada rumahtangga tidak bermaksud kita perlu memenuhi setiap keinginan ahli keluarga, hatta kepada perkara yang dilarang syariat Islam. Ini akan merosakkan kehidupan individu itu sendiri, hanya akan merasa bahagia ketika senang tetapi mudah terluka apabila melalui episod duka.

Kala ini pergaduhan menjadi lauk dalam rumahtangga. Jika sudah mempunyai zuriat, anak-anak inilah yang akan pula menjadi mangsa kepada keadaan yang tidak sejahtera. Paling teruk apabila mereka membesar sebagai satu generasi sampah kepada masyarakat. Pengakhirannya? Syurga neraka jauh sekali difahami, sengsara pula di dunia yang tiada pernah bertepi.

Jika tahu mengemudi rumahtangga, benarlah bahawa sebuah perkahwinan akan mengundang keseronokan dunia. Mudah-mudahan ia berlanjutan sehingga ke akhirat. Tetapi keseronokan sebuah perkahwinan hanya mampu direalisasikan dengan tepat apabila ia mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.. Rumahtangga harus dibina dengan asas yang kukuh agar ia tidak akan runtuh dikemudian hari.

Matlamat

Apabila kita telah memutuskan untuk berkahwin maka sediakanlah matlamat jangka panjangnya. Matlamat ini bukan dibina selepas berkahwin, tetapi ia telah bermula ketika sesi mencari pasangan hidup lagi. Allah s.w.t. telah menganugerahkan akal untuk kita berfikir, lalu membuat pilihan terbaik dalam menyempurnakan cinta sesama manusia.

Proses memilih pasangan bukan sekadar melihat keseronokan daripada zahir sahaja, tetapi ia memerlukan kepada seseorang yang yang berakhlak baik untuk mengemudi rumahtangga. Tentunya apabila kita sedang membuat pilihan terbaik, pandangan pertama yang akan dinilai kepada seseorang adalah akhlaknya.

Jelas sekali peribadi seseorang itu akan membiaskan tentang rasa cinta mereka kepada Allah s.w.t., kerana akhlak yang baik asasnya adalah kekuatan iman di jiwa. Selain dari akhlak menjadi tumpuan, individu yang bercita-cita untuk mendirikan rumahtangga seharusnya telahpun bersedia dalam menerima sebuah tanggungjawab.

Tentunya ia sebuah tanggungjawab yang sangat berlainan dan amat berat berbanding ketika hidup sendirian. Jangan terlalu mengambil mudah dalam menurut keinginan membina sebuah rumahtangga, kerana disana pastinya akan ada kesulitan yang harus diselesaikan bersama bukannya sebelah pihak saja.

Perhatian

Sebenarnya perkahwinan memberikan kita suatu ruang dan peluang untuk bereksperimen dengan kasih sayang yang begitu mengasyikkan. Kasih sayang bukan sekadar ungkapan sayang tetapi ia lebih kepada perhatian, bukan sekadar pada tahun awalan sebuah perkahwinan tetapi ianya perlu mekar setiap hari hingga ke penghujung nyawa.

Setiap pasangan perlu berusaha untuk memahami keperluan teman hidupnya. Jangan sekadar menduga di fikiran sahaja, tetapi sesekala perlu bertanya apa yang si dia mahukan dalam rumahtangga. Tentunya akan terasa lebih bermakna sekiranya kita sering berkomunikasi dengan pasangan masing-masing. Komunikasi yang baik mampu memberi kefahaman kepada setiap pasangan, untuk lebih memahami segala kelebihan dan kekurangan diantara satu sama lain.

Kita juga perlu belajar untuk sentiasa berhemah dalam sebarang tindakan yang diambil, berusaha untuk memahami keperluan pasangan, menunjukkan keprihatinan, dan sentiasa bersabar dalam apa jua ujian yang melanda.

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w. (Akhir)

Rasulullah s.a.w. juga telah melantik seramai 12 orang naqib (ketua), yang terdiri daripada sembilan orang daripada kaum Khazraj dan tiga orang daripada kaum Aus. Kedua-dua kaum ini merupakan penduduk utama di kota Madinah. Pelantikan ini sebagai matlamat jangka panjang dalam menyebarluaskan lagi Islam di Madinah, seterusnya menjadi penghubung di antara Baginda di Makkah dengan masyarakat Madinah. Naqib-naqib inilah yang akan bertanggungjawab menyeru masyarakat Madinah kepada Islam.

Kebijaksanaan dan kegigihan Rasulullah s.a.w. dalam usahanya menyebarkan syiar Islam kepada penduduk Madinah telah membuahkan hasil, apabila mereka mula menyambut seruan tersebut dengan penuh kesedaran dan kerelaan tanpa sebarang paksaanpun. Islam begitu cepat tersebar dan berkembang baik di Madinah. Ini merupakan kejayaan besar yang dicapai oleh Baginda dalam perjuangannya menyebarkan Islam, sehingga terbentuklah sebuah Negara Islam pertama di Madinah.

Hijrah

Selepas Perjanjian Aqabah II dimeterikan juga, ia disusuli dengan penghijrahan besar-besaran Muslim Makkah ke Madinah sehingga terbentuknya sebuah Negara Islam di sana. Hijrah ke Madinah dilakukan atas jemputan penduduk di sana, dan mereka telah berjanji akan melayani kaum Muhajirin sebagaimana saudara sendiri.

Hijrah merupakan satu strategi Rasulullah s.a.w., dalam meneruskan perjuangan mengembangkan Islam secara aman dan sejahtera. Apabila Islam telah mendapat tempat didalam masyarakat, akan lahirlah sebuah rumpun Muslimin yang kukuh dan tentunya sukar digugat oleh anasir jahat yang sering saja mencari peluang untuk memusnahkan mereka.

Tentu sekali penghijrahan bagi kaum Muslimin bukannya bermaksud melarikan diri, tetapi dengan tujuan yang jelas untuk meneruskan perjuangan menyebarkan Islam kepada umum dengan lebih meluas dan berani. Jika kaum Muslimin masih di Makkah tentunya seruan Islam sukar untuk didedahkan secara meluas, apabila aktiviti mereka sering saja diancam oleh masyarakat Quraisy dengan pelbagai bentuk halangan yang boleh menjejaskan Islam.

Namun penghijrahan beramai-ramai kaum Muslimin pada kali ini terlalu banyak likunya, apabila kaum musyrikin Makkah mengetahui tentang rancangan mereka untuk berhijrah ke Madinah. Mereka telah cuba menghalang penghijrahan tersebut, kerana amat bimbang sekiranya Islam makin tersebar luas di Madinah dan kawasan-kawasan lain di sekitarnya nanti.

Setelah Muslimin lain berjaya berhijrah ke Madinah, akhirnya tibalah masanya untuk Rasulullah s.a.w. pula berhijrah ke sana lantaran Baginda telah mendapat ugutan bunuh daripada pihak Quraisy Makkah. Rasulullah s.a.w. telah menempuh satu perjalanan yang sukar apabila memilih laluan berbeza dan lebih jauh menuju ke Madinah. Ini merupakan satu strategi untuk mengelakkan perjalanan Baginda dapat dikesan oleh kaum Quraisy.

Masjid Pertama 

Akhirnya Rasulullah s.a.w. selamat tiba di Madinah, walaupun pelbagai helah telah digunakan oleh kaum Quraisy untuk membunuhnya. Perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda adalah membina sebuah masjid, iaitu Masjid Quba’. Ia merupakan masjid pertama yang dibina didalam Islam. Masjid ini dianggap sebagai lambang penyatuan masyarakat Islam di Madinah. Ia bukan sahaja dibina semata-mata tempat untuk beribadat, malah digunakan sebagai pusat pentadbiran yang merangkumi bidang politik dan ekonomi masyarakat Islam Madinah.

Bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat Islam di Madinah, Rasululullah s.a.w. telah menjalinkan persaudaraan di antara golongan Muhajirin dengan Ansar. Golongan Muhajirin yang merupakan masyarakat Muslim Makkah yang telah berhijrah ke Madinah, telah ‘dipersaudarakan’ dengan golongan Ansar, yang merupakan penduduk asal Madinah – dimana mereka telah memeluk Islam dan terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj.

Persaudaraan ini asasnya adalah Islam. Kaum Ansar sangat ikhlas menerima kaum Muhajirin sebagai saudara rapatnya demi cinta mereka kepada Islam dan untuk kebaikan bersama. Jalinan yang diinisiatifkan oleh Rasulullah s.a.w. ini telah melahirkan sebuah persaudaraan Islam tulen antara mereka, ibarat saudara kandung sendiri. Langkah bijak yang diambil oleh Baginda ini adalah bertujuan membantu golongan Muhajirin, yang telah sanggup berhijrah sehelai sepinggang meninggalkan kota Makkah. Mereka langsung tidak punya sebarang harta benda malah kaum keluarga sekalipun.

Piagam Madinah

Rasulullah s.a.w. juga telah menyediakan satu perlembagaan untuk penduduk di sana, bertujuan menyatupadukan masyarakat setempat yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Perlembagaan ini dipersetujui bersama masyarakat Muslim dan Bukan Muslim. Ia menyebut tentang tanggungjawab setiap ahli masyarakat terhadap Negara Madinah. Piagam Madinah ini juga merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.

Apabila Madinah dibangunkan sebagai sebuah Negara Islam dibawah kepimpinan Rasulullah s.a.w., maka kaum Muslimin mula bebas melaksanakan suruhan Islam tanpa perlu bersembunyi lagi. Bermula dari saat inilah Islam makin menyinar ke seluruh Semenanjung Arab.

Kaum Musyrikin Makkah yang mendapat perkhabaran ini, makin tidak berpuas hati dan mula merasa terancam dengan perkembangan Islam yang pesat di Madinah. Tentera Makkah mula melakukan serangan keatas Madinah. Namun segala usaha mereka hanya sia-sia belaka apabila kaum Muslimin dapat menghalang setiap perancangan jahat mereka.

Perjanjian Hudaibiah

Pada tahun keenam Hijrah, kaum Muslimin berhasrat untuk menziarahi Kota Makkah bagi mengerjakan ibadat Haji. Namun hasrat mereka telah dihalang oleh kaum Quraisy di Hudaibiah – terletak di luar Kota Makkah. Walaupun utusan kaum Muslimin telah menerangkan tujuan kedatangan mereka, namun pihak Quraisy tetap enggan menerima penjelasan tersebut.

Setelah perbincangan dibuat di antara utusan masing-masing, akhirnya satu perjanjian telah dibuat diantara kaum Muslimin dengan pihak Quraisy Makkah, yang dinamakan sebagai Perjanjian Hudaibiah. Perjanjian ini telah memihak kepada kaum Quraisy.

Antara yang terkandung di dalam perjanjian adalah, kaum Muslimin tidak dibenarkan untuk mengerjakan ibadat Haji pada tahun tersebut tetapi telah ditunda ke tahun hadapan (7 Hijrah). Selain itu gencatan senjata dikenakan selama 10 tahun antara kedua-dua belah pihak, dan mereka sama sekali tidak boleh memihak kepada mana-mana kaum apabila berlakunya sebarang persengketaan.

Namun begitu perjanjian ini dicabuli, apabila Musyrikin Makkah telah memberi bantuan ketenteraan dan senjata kepada sekutunya (Bani Bakar), yang mula menyerang sekutu ummat Islam (Bani Khuza’ah). Tindakan mereka ini menyebabkan kaum Muslimin memutuskan untuk membalas serangan keatas Musyrikin Makkah, yang telah mengingkari pejanjian yang telah disepakati bersama.

Pembukaan Kota Makkah

Maka pada tahun 8 Hijrah, Rasulullah s.a.w. telah kembali ke Makkah dengan membawa kekuatan 10,000 orang tentera yang lengkap dengan peralatan perang. Melihatkan kekuatan tentera Muslimin, langsung penduduk Makkah menyerahkan kota tersebut kepada Rasulullah s.a.w. tanpa sebarang syarat jua tanpa sebarang pertumpahan darah.

Lalu Rasulullah s.a.w. mengarahkan kesemua patung-patung berhala di sekeliling Kaabah dimusnahkan segera. Baginda juga mengarahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan lalu mendirikan solat sunat beramai-ramai. Penduduk Makkah yang menjadi tawanan juga telah diberi kemaafan dan dibebaskan tanpa sebarang hukuman dikenakan. Pelbagai tindakan kemanusiaan yang telah diambil oleh Rasulullah s.a.w. ini, telah menjinakkan banyak jiwa-jiwa musyrikin untuk memeluk Islam.

Ibadah Haji yang terakhir dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah pada tahun 10 Hijrah. Baginda telah menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, dengan memberi ingatan yang jelas tentang dua harta peninggalannya, yakni al-Quran dan al-Sunnah. Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kepada ummatnya supaya sentiasa berpegang teguh dan merujuk kepada al-Quran dan Hadis sebagai panduan dalam meneruskan kehidupan seterusnya.

Rasulullah s.a.w. amat menyintai ummatnya, namun sejauh mana cinta kita kepadanya?

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w. (IV)

Keadaan kembali seperti sedia kala selepas tiga tahun apabila kaum Muslimin tidak lagi diboikot. Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad s.a.w. sekali lagi menerima ujian hebat daripada Allah s.w.t. tatkala bapa saudaranya, Abu Talib dan isterinya, Saidatina Khadijah r.a. telah pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya. Baginda terpaksa menanggung kesedihan yang amat sangat apabila bapa saudara yang sentiasa melindunginya, dan isterinya yang senantiasa menjadi kekuatannya, tiada lagi disisi dalam meneruskan perjuangan ini.

Kematian Abu Talib memberi peluang besar kepada pihak Quraisy untuk memperhebatkan lagi penentangan dan gangguan mereka terhadap dakwah yang sedang disebarkan Nabi Muhammad s.a.w.. Mereka bebas berbuat apa sahaja tanpa perlu malu alah lagi kepada pelindung Baginda selama ini.

Akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. mengambil inisiatif berlepas ke Taif, dengan membawa harapan besar untuk menyebarluaskan lagi Islam di sana. Selain itu besar juga harapan Baginda untuk mendapatkan perlindungan daripada Bani Thaqif, iaitu satu qabilah besar yang mendiami Taif. Selama ini Bani Thaqif telah mempunyai hubungan yang baik dengan Bani Hashim, iaitu keturunan Nabi Muhammad s.a.w..

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. tiba di sana, Baginda telah mengunjugi pimpinan Taif untuk  menyampaikan risalah Allah s.w.t.. Namun dukacita sekali apabila mereka menolak mentah-mentah apa saja seruan yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w., bahkan Baginda telah dilayani dengan biadab sekali. Tiada langsung sifat memuliakan dan menghormati tetamu.

Walaupun menerima penentangan yang sungguh hebat daripada pimpinan Taif, Nabi Muhammad s.aw. tetap tabah dan cekal dalam meneruskan agenda perjuangannya. Jika pemimpin Taif tidak mahu menerima apa saja seruannya, Baginda mensasarkan pula ajarannya kepada masyarakat awam di sana. Namun hakikatnya tetap sama apabila mereka juga enggan menerima ajaran mulia daripada Nabi Muhammad s.a.w..

Bukan sekadar menentang seruan Nabi Muhammad s.a.w, bahkan penduduk Taif mahu Baginda meninggalkan tempat mereka. Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabatnya mahu keluar dari kawasan berkenaan, penduduk Taif mula membuat kacau ganggu terhadap perjalanan Baginda. Mereka mula mengejek, mencaci, menghina, mengugut, menyerang dan membaling batu sehingga Nabi Muhammad s.a.w. tercedera dengan luka-luka di seluruh badannya.

Berdoa

Setelah perjalanan mereka kembali tenang, lantas Nabi Muhammad s.a.w. menadah tangan berdoa memohon kepada Allah s.w.t. agar mereka dilindungi dan berterusan hidup dalam ketenangan, walaupun menerima ujian yang begitu berat sekali.

Dalam perjalanan pulang ke Makkah ini juga, sejarah Islam telah menceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bertemu dengan Malaikat Jibril dan malaikat yang menjaga gunung-ganang yang mengelilingi Taif. Malaikat ini telah menawarkan kepada Baginda suatu pertolongan untuk menghancurkan penduduk Taif dengan meranapkan gunung di antara satu sama lain, sebagai balasan keatas perlakuan buruk mereka sewaktu diseru kepada Islam.

Namun demikian Nabi Muhammad s.a.w. telah menolak tawaran lumayan tersebut, bahkan terus berdoa kepada Allah s.w.t. mudah-mudahan penduduk Taif dan generasi seterusnya, dikurniakan rahmat dan hidayah untuk menerima Islam sebagai aqidah mereka pada masa hadapan. Sesungguhnya Islam tidak akan tersebar dek kerana paksaan, tetapi ia akan menyentuh jiwa manusia dengan keindahan dan keadilan sistemnya.

Begitulah mulianya sikap Nabi Muhammad s.a.w.. Walaupun telah mengalami kecederaan yang agak teruk selepas dianiayai penduduk Taif, Baginda tetap berdoa memohon kebaikan kepada orang-orang yang telah berbuat jahat kepadanya, jauh sekali untuk berdendam. Aqidah Islam yang telah dipasak kukuh dalam jiwa Nabi Muhammad s.a.w., telah menjadi tunjang kekuatan kepada Baginda dalam menghadapi apa jua agenda musuh yang sentiasa mencari peluang untuk menjahanamkan Islam.

Dalam lapangan dakwah Islam tiada kemenangan mampu dicapai dengan mudah, melainkan setelah diuji dengan pelbagai ujian yang memeritkan. Hanya kesabaran dan istiqamah  mampu menjadi pendorong dalam menutut janji manis sebuah kemenangan daripada Allah s.w.t..

Kuasa Allah

Kuasa Allah s.w.t. telah merancang segala-galanya untuk Nabi Muhammad s.a.w. terus bangkit dalam menyebarkan dakwah Islam. Selepas Baginda diuji dengan beberapa situasi yang menekan perasaannya, baik ketika menghadapi saat kematian dua orang tersayang yang banyak menyokong perjuangannya yakni Abu Talib dan Khadijah, jua penolakan dakwah oleh masyarakat Taif secara agresif, lalu Allah s.w.t. ‘menghadiahkan’ sesuatu yang istimewa kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk mengubati lara di jiwanya.

Nabi Muhammad s.a.w. telah dikurniakan mukjizat besar berupa sebuah perjalanan yang hebat, dikenali sebagai Isra’ dan Mi’raj. Isra’ diertikan sebagai suatu perjalanan Baginda pada waktu malam dari Masjidil Haram di Makkah, menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin. Manakala Mi’raj pula merupakan perjalanan Baginda dari bumi menuju ke langit, yakni Sidratul Muntaha.

Mukjizat sehebat ini tidak pernah dikurniakan Allah s.w.t. kepada mana-mana Nabi dan Rasul sebelum ini melainkan hanya Nabi Muhammad s.a.w. mendapat keistimewaanNya. Perjalanan hebat ini telah memperlihatkan kepada Baginda kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t., langsung telah menjadi sumber kekuatan baru dan inspirasi terbaik kepada Rasulullah s.a.w., dalam mematangkan lagi perjuangan menyebarkan Islam dengan keyakinan yang lebih tinggi.

Pertemuan

Rasulullah s.a.w. terus memperluaskan lagi dakwahnya. Baginda mula melakukan pertemuan demi pertemuan dengan para qabilah yang datang ke Makkah untuk menunaikan ibadat Haji, terutamanya jamaah dari Yathrib (Madinah). Baginda akan menyeru kepada mereka tentang kesempurnaan Islam dan diperdengarkan ayat-ayat al-Quran yang sangat indah alunan dan pengertiannya.

Seruan Islam mula disampaikan kepada suku Khazraj, ketika mereka datang ke Makkah untuk menunaikan ibadat Haji. Rasulullah s.a.w. telah maklum akan kedatangan mereka lalu satu perjumpaan telah dilakukan berhampiran bukit Aqabah. Lantas ada dikalangan mereka mula menerima dengan lapang hati untuk memeluk Islam. Apabila mereka kembali ke Madinah Islam mula tersebar di sana pula.

Pada musim Haji seterusnya suku Khazraj sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Rasulullah s.a.w. dengan membawa sekali wakil daripada suku Aus. Pertemuan ini juga diadakan di bukit Aqabah. Dalam pertemuan kali ini satu perjanjian telah dibuat dengan Baginda dimana mereka telah berjanji tidak akan menyekutukan Allah s.w.t., dengan apa jua cara sekalipun dan akan meninggalkan cara hidup jahiliah selama ini. Islam telah menjadi aqidah baru kepada mereka langsung mengubah nilai kehidupan mereka kepada yang lebih baik. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Aqabah I (Perjanjian Damai).

Selepas Perjanjian ini dilaksanakan, Rasulullah s.a.w. telah menghantar utusan dakwah ke Madinah bertujuan menyebarkan Islam di sana. Baginda ingin mengukuhkan pegangan Islam kepada mereka yang baru saja memeluk Islam disamping mengajarkan ayat-ayat al-Quran. Hasilnya amatlah memberansangkan apabila utusan ini telah mencapai kejayaan yang besar.

Pada tahun seterusnya telah tiba rombongan yang lebih besar terdiri daripada suku Aus dan Khazraj, termasuklah wanita. Bilangan kaum Khazraj lebih besar berbanding kaum Aus. Mereka telah mengadakan pertemuan dengan Rasulullah s.a.w. pada tempat yang sama semasa Perjanjian Aqabah I dilaksanakan. Kali ini Perjanjian Aqabah II pula dimeterikan dimana ia menyentuh perihal peperangan.

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w. (III)

Salam Ukhuwah…

Pelbagai cabaran perit terpaksa dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w. bersama para sahabat dalam menyebarkan Islam pada waktu itu. Sebahagian daripada mereka diseksa, dianiaya, disingkir, dan dipulaukan. Baginda tetap jua bersabar disamping berusaha untuk mendapatkan perlindungan kepada semua pengikutnya.

Akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. membuat keputusan untuk membenarkan para pengikutnya meninggalkan Makkah, apabila baginda melihat penyeksaan daripada puak Quraisy telah mencapai pada tahap yang amat teruk sekali. Nabi Muhammad s.a.w. sudah tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang dihadapi oleh pengikutnya, lantas baginda menyarankan agar mereka berhijrah ke Habsyah walaupun pada ketika itu ia dipimpin oleh seorang raja Nasrani. Ini kerana raja tersebut sememangnya terkenal dengan sifat kasih sayang dan keadilannya.

Kaum Muslimin langsung menerima baik pandangan yang disuarakan oleh Nabi Muhammad s.a.w., lalu penghijrahan tersebut dilakukan bagi mendapatkan perlindungan yang lebih baik kepada kehidupan mereka. Penghijrahan ini bertujuan mengelakkan fitnah yang akan mencemarkan kesucian Islam, dan diharapkan mampu memberi kemudahan yang lebih baik kepada mereka untuk menghayati dan menyebarkan Islam dengan lebih meluas lagi.

Hijrah

Penghijrahan ini merupakan yang pertama didalam Islam. Golongan yang berhijrah ini disarankan untuk tinggal di sana buat sementara waktu sehingga keadaan di Kota Makkah kembali reda.

Tidak berpuas hati dengan penghijrahan kaum Muslimin ini, pihak Quraisy langsung menghantar perutusan untuk menghadap Raja Habsyah, Najashi. Perutusan ini telah membawa cenderamata yang banyak dengan nilaian yang tinggi sebagai rasuah kepada pemimpin tertinggi Negara tersebut, dengan harapan semoga mereka menghalau keluar golongan Muslimin yang berlindung di sini. Tentunya pihak Quraisy telahpun mempunyai perancangan jahat sekiranya kaum Muslimim ini dihalau keluar dari Habsyah.

Namun sangkaan mereka meleset apabila Najashi langsung tidak berminat dengan kepelbagaian hadiah yang dibawa itu, bahkan tidak mahu menyerahkan kaum Muslimin yang telahpun mendapat perlindungan daripadanya. Sebagai seorang raja yang bijak, terlebih dahulu beliau mahukan sesi soal jawab berlangsung tentang kepercayaan dan agama baru yang telah dianuti oleh muhajirin ini.

Kaum Muslimin yang berpegang teguh dengan Islam ini mula memberi penjelasan yang meyakinkan di hadapan Najashi, dan turut disertai oleh para pimpinan lain serta perutusan Quraisy ini. Mereka bercerita tentang zaman jahiliah yang sangat hina kehidupannya apabila beramai-ramai menyembah berhala, adab laku yang tidak bermoral, pembunuhan, dan sebagainya. Kala ini Allah s.w.t. telah mengutuskan seorang Nabi yang bersifat sangat mulia langsung membawa seruan untuk mengubah kehidupan mereka kearah yang lebih sempurna.

Pengakuan turut dilakukan di hadapan Najasyi bahawa mereka telahpun menyambut baik seruan yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w.. Islam telah mendapat tempat di jiwa mereka sebagai satu aqidah dan mahu mempraktikkan sebaiknya ajaran yang disampaikan oleh baginda ini. Namun kerana perbezaan anutan ini, mereka telah diseksa dan dizalimi sehingga tidak tertanggung bebanannya lalu penghijrahan terpaksa dilakukan. Kaum Muslimin ini sekali lagi memohon perlindungan daripada raja tersebut. Lantas Najashi akur dengan permintaan mereka.

Perutusan Quraisy masih mencari helah untuk memperdaya Najashi, apabila mereka menyatakan pula bahawa golongan Muslimin ini sangat mengecam Nabi Isa dan ibunya, Maryam. Namun kebijaksanaan raja tersebut makin terserlah apabila sekali lagi beliau mahukan pandangan Islam daripada golongan muhajirin ini tentang isu tersebut. Dengan tegas mereka menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s. itu adalah seorang hamba Allah yang telah dilahirkan oleh Maryam, seorang gadis suci yang telah dikurniakan zuriat apabila ditiupkan roh dan kalimatNya kedalam rahimnya.

Tepat sekali penerangannya apabila Najasyi dengan tegasnya mengakui keterangan ini adalah benar kerana beliau amat faham tentang agama yang dianutinya, iaitu Nasrani. Beliau amat jelas tentang titik kebenaran dan persamaan di antara dua agama samawi ini, iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan agama yang dibawa oleh Nabi Isa a.s.. Kedua-dua agama ini adalah dari sumber yang sama yakni wahyu daripada Allah s.w.t..

Akhirnya Najashi menyerahkan kembali pelbagai hadiah yang dipersembahkan kepadanya, lalu perutusan Quraisy ini telah kembali dalam kegagalan. Kaum Muslimin pula terus mendapat perlindungan di Negara tersebut.

Propaganda

Selepas beberapa lama mendapat perlindungan di Habsyah, kaum Muslimin memutuskan untuk kembali ke kota Makkah apabila mereka mendapat perkhabaran bahawa Islam mula bertapak di sana. Namun perkhabaran ini adalah propaganda jahat semata apabila ternyata gangguan dan permusuhan daripada pihak Quraisy terhadap kaum Muslimin masih berterusan dan tidak berkurang sedikitpun.

Terpaksalah sebahagian daripada mereka kembali ke Habsyah, dan sebahagian lagi masuk ke kota ini secara sulit dan bersembunyi agar kepulangan ini tidak diketahui oleh pihak Quraisy. Mereka terpaksa meminta perlindungan daripada pembesar Quraisy yang bersimpati dengan nasib kaum Muslimin ini.

Selang beberapa lama selepas kejadian tersebut kaum Muslimin sekali lagi telah berhijrah ke Habsyah dengan jumlah yang lebih besar, apabila mereka terusan mengalami penderaan dan penyeksaan yang semakin teruk daripada pihak Quraisy. Penghijrahan ini merupakan yang kedua dalam Islam.

Pihak Quraisy makin buntu dengan perkembangan ini apabila mereka tahu penghijrahan Muslimin bukan sekadar untuk mencari perlindungan, bahkan menyebar luaskan lagi pengaruh Islam di Negara lain.

Mereka mula mencari ikhtiar lain untuk menghancurkan Islam. Maka Nabi Muhammad s.a.w. yang masih berada di kota Makkah mula menjadi sasaran utama pihak Quraisy. Walau bagaimanapun, apa jua matlamat mereka keatas baginda tentu sekali sukar dicapai sekiranya Abu Talib masih menjadi perisai utama dalam memberi perlindungan kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Mereka masih menghormati bapa saudara baginda ini sebagai seorang bangsawan terkemuka dan terhormat di kota Makkah.

Maka terlebih dahulu pihak Quraisy datang menemui Abu Talib untuk memujuknya supaya menegah Rasulullah s.a.w. daripada terus menyebarkan dakwah Islam. Selain itu mereka juga cuba mempengaruhinya supaya menyerahkan baginda kepada kalangannya, dengan tujuan untuk membunuhnya. Namun tawaran ini tidak diterima oleh Abu Talib kerana beliau sentiasa menyebelahi Rasulullah s.a.w..

Boikot

Akhirnya pimpinan Quraisy telah memutuskan untuk memboikot Nabi Muhammad s.a.w. dan Bani Hasyim serta Bani Muttalib tanpa mengira samada mereka Muslim mahupun sebaliknya. Seluruh penduduk Makkah telahpun membuat perjanjian untuk memboikot dan memulau baginda serta keturunannya. Penduduk di sini tidak boleh membuat sebarang perhubungan, tidak boleh berjual beli dan juga tidak boleh berkahwin dengan mereka.

Nabi Muhammad s.a.w. dan Bani Hasyim serta Bani Muttalib mula dikhianati serta dianiayai oleh penduduk Makkah, termasuklah bapa saudara Nabi sendiri, iaitu Abu Lahab. Dalam tempoh masa tiga tahun mereka telah dipinggirkan daripada masyarakat setempat, dan terpaksa mengalami satu suasana yang amat getir sekali terutamanya kebuluran apabila bekalan makanan terputus. Anak-anak kecil terutamanya berterusan menangis kerana kelaparan dan golongan dewasa pula terpaksa mengikat perut dengan hanya memakan daun-daun kayu sahaja.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 13 – 19 Rabiul Akhir 1432/ 18-24 Mac 2011. Terima Kasih.)

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w. (II)

Salam Ukhuwah…

Usia remaja Muhammad dipenuhi dengan aktivit-aktiviti yang berfaedah. Dia sentiasa dilindungi Allah s.w.t. daripada sebarang perlakuan yang tidak baik. Akhlaknya terpelihara dan maksum dari sebarang kehinaan dunia ini, sehinggalah dia dikenali sebagai al-Amin (yang amanah).

Tempoh usianya sentiasa diisi dengan melakukan pelbagai kebajikan dan kebaikan kepada masyarakat umum. Muhammad juga seorang yang sering berlapang dada dengan apa jua situasi yang berlaku keatasnya. Dia seorang yang sentiasa tenang dan mesra dalam bergaul dengan sesiapa sahaja, sehingga setiap orang yang pernah berhubung dengannya akan menyayangi dirinya.

Muhammad seorang yang mengutamakan perasaan kasih sayang dalam sebarang perhubungan tanpa membezakan taraf hidup seseorang. Dia juga seorang yang berpandangan jauh dalam setiap tindakan yang dilakukannya.

Dalam usianya yang masih muda, Muhammad mula mempercayai sepenuhnya keEsaan Allah s.w.t.. Dia tidak pernah menyembah berhala dan langsung meninggalkan kehidupan sosial arab jahiliah yang merosakkan dan penuh kekufuran pada waktu itu.

Ketika usia Muhammad menjangkau 25 tahun, bapa saudaranya mula menyarankan kepadanya untuk menyertai rombongan perniagaan (kafilah), yang dimiliki oleh seorang usahawan berjaya yang bernama Khadijah binti Khuwailid.

Untuk pertama kalinya dia diberi tanggungjawab terhadap rombongan perniagaan ke Syam (Syria). Tentu sekali urusniaga kali ini mencapai kejayaan dengan pencapaian keuntungan yang luar biasa apabila diuruskan oleh seorang pemuda yang bijaksana.

Bukan hanya kerana Muhammad seorang yang bijaksana, tetapi kejujuran dan peribadi mulia miliknya telah menarik minat Khadijah untuk menawarkan dirinya bagi mengahwini pemuda ini. Lamaran tersebut diterima baik oleh Muhammad, walaupun Khadijah merupakan seorang janda yang telahpun mencapai usia 40 tahun. Perbezaan umur selang 15 tahun ini tetap membawa sinar kebahagiaan kepada mereka berdua, apabila telah dikurniakan zuriat seramai enam orang, dua lelaki dan empat perempuan.

Bertafakur

Dalam pada itu, Muhammad terusan merasa tertekan dengan keadaan kaumnya (Quraisy) yang terus berada dalam keadaan jahil dan langsung tidak beragama. Mereka berterusan menyembah berhala buatan sendiri dan memohon apa saja dari patung-patung keras tersebut, sentiasa dalam keadaan mabuk, berzina, sehinggalah sanggup membunuh anak kandung sendiri, terutamanya bayi perempuan.

Keadaan ini menyebabkan Muhammad merasa terganggu dan sedih dengan kaumnya sendiri, lantas dia mula mengasingkan dan menjauhkan dirinya daripada situasi tersebut. Matlamatnya hanya satu, mencari petunjuk dan hidayah dalam membantu menyedarkan kaumnya tentang betapa buruknya laku mereka selama ini.

Menghampiri umurnya 40 tahun, Muhammad telah memilih Gua Hira’ yang terletak di kawasan bukit Jabal Nur sebagai lokasinya untuk bertafakur. Dia telah beribadat sebagaimana agama yang dibawa Nabi Ibrahim a.s.. Selama berbulan-bulan dia menyendiri di sana, isterinya, Khadijah terus setia membekalkan makan minum buat suaminya yang tercinta.

Pada suatu ketika, tanggal 17 Ramadhan, dalam usia 40 tahun, Muhammad telah didatangi Malaikat Jibril sewaktu dirinya sedang bertafakur di Gua Hira’. Lantas Jibril menyampaikan wahyu Allah di telinganya dengan meminta Muhammad membacanya.

Kita sudahpun sedia maklum bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang yang tidak tahu membaca dan menulis (ummiy). Maka apabila Jibril memintanya membaca tentu sekali Muhammad tidak dapat memenuhi permintaan tersebut. Sehinggalah tiga kali Jibril mengulangi permintaan yang sama, namun Muhammad tetap memberi jawapan bahawa dia tidak tahu membaca.

Langsung akhirnya Jibril membacakan wahyu Allah yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., diikuti lafaznya itu oleh baginda Nabi sebagaimana apa yang telah diucapkan oleh malaikat tersebut. Wahyu pertama ini merupakan Surah al-‘Alaq, ayat satu hingga lima.

Nabi Akhir Zaman

Setelah Jibril berlalu, maka Nabi Muhammad s.a.w. bersegera pulang ke rumahnya dalam keadaan tubuh yang menggigil ketakutan dan penuh kejutan. Baginda meminta isterinya, Khadijah untuk menyelimutinya.

Setelah emosinya kembali tenang, Baginda berkongsi khabar kepada isterinya apa yang telah dialami. Sebagai seorang isteri yang baik dan memahami perasaan suaminya, lantas Khadijah membenarkan apa jua perkhabaran yang disampaikan kepadanya. Dengan pujukan yang menenangkan bahawa sesekali Tuhan tidak akan menghina suaminya itu yang telahpun memiliki peribadi yang mulia selama ini.

Duga Khadijah bahawa ada sesuatu yang baik akan berlaku keatas suaminya, lalu dia telah mengambil inisiatif dengan membawanya ke rumah sepupunya, Waraqah bin Naufal, seorang Nasrani dan ahli kitab Injil yang banyak mengetahui pengkisahan Nabi akhir zaman. Lantas dia menceritakan apa yang telah berlaku keatas suaminya. Sangatlah jelas kepada Waraqah bahawa malaikat Jibrillah yang telah mendatangi Nabi Muhammad s.a.w., dengan membawa wahyu daripada Allah s.w.t..

Penyampaian wahyu ini membawa maksud bahawa Muhammad telah dilantik sebagai Nabi akhir zaman, yang akan membawa sinar Islam kepada seluruh ummat manusia sehingga hari kiamat. Waraqah juga menjelaskan bahawa Jibril jugalah yang telah mendatangi Nabi Musa a.s. dan nabi-nabi sebelumnya. Dia juga melafazkan janji bahawa akan akur dan turut sama membantu dalam perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. selepas itu.

Nabi Muhammad s.a.w. berterusan menerima wahyu dari semasa ke semasa dalam tempoh masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah dikumpulkan dan disusun di dalam suatu kitab yang dinamakan al-Quran. Ayat-ayat al-Quran sangat jelas pengertiannya dan saling berhubung di antara ayat-ayat tersebut. Al-Quran merupakan kitab yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai panduan dan pedoman buat ummatnya, diiringi Sunnahnya sebagai gabungan terbaik dalam mencapai hidayah menuju penyerahan diri di hadapan Allah s.w.t. kelak.

Seruan Islam

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. mula menyeru manusia ke jalan Allah, dia mendapat tentangan daripada pelbagai pihak. Hanya anggota keluarga terdekat sahaja dan masyarakat bawahan yang menjadi pengikut setia kepada setiap seruan Baginda. Tentu sekali isteri Baginda, Saidatina Khadijah, merupakan individu serta wanita pertama yang memeluk Islam.

Turut serta dalam perjuangan awalan ini adalah Ali bin Abi Talib, sepupu Baginda yang juga merupakan lelaki (kanak-kanak) pertama memeluk Islam. Kemudian Abu Bakar (lelaki dewasa), sahabat karib Baginda sejak kecil, diikuti oleh Zaid bin Haritsah (remaja), anak angkat Baginda, dan Ummu Aiman, pengasuh Baginda semenjak ibunya masih ada. Dari dakwah yang masih rahsia ini, disusuli pula dengan belasan yang lain telah memeluk Islam. Seterusnya Aisyah, puteri Abu Bakar, yang telah memeluk Islam pada angka awal puluhan.

Nabi Muhammad s.a.w. mula memperhebatkan kegiatan dakwah dengan mengumumkannya secara terbuka, apabila sekumpulan kecil masyarakat yang dihormati di Makkah telah memeluk Islam. Antara mereka ialah Uthman bin Affan, Zubair bin Al-Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail, dan ramai lagi.

Agama Islam telah disebarkan dengan keyakinan yang lebih tinggi lantas membuahkan tarikan yang lebih baik kepada masyarakat awam untuk memeluk Islam. Namun, baginda masih terpaksa menghadapi pelbagai cabaran daripada golongan bangsawan dan para pemimpin atasan, yang mula merasakan kedudukan mereka terancam jua mampu menggoyahkan anutan agama datuk nenek mereka sebelum ini.

(Artikel ini telah disiarkan di dalam SIASAH edisi 25 Februari – 3 Mac 2011/ 22 – 28 RabiulAwal 1432. Terima Kasih.)

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w.

Salam Ukhuwah…

Dalam aqidah Islam, setiap Muslim wajib beriman kepada para Nabi dan Rasul, langsung beriman jua kepada setiap kitab yang diturunkan Allah s.w.t.. Bukan sekadar membenarkan dan meyakinkan al-Quran semata, bahkan mengimani kitab Zabur, Taurat dan Injil.

Walaupun sedemikian, kita sangat perlu berwaspada apabila kitab-kitab selain dari al-Quran, bolehlah dianggap sebagai hanya tinggal pada nama sahaja pada hari ini. Sedangkan maklumat didalamnya terlalu banyak boleh dipertikaikan, apabila perubahan demi perubahan telah dibuat keatas kitab Allah yang asal itu oleh tangan-tangan kafir la’antullah. Kitab-kitab ini sudah terlalu jauh menyimpang dari sumber wahyu Allah yang sebenar.

Tentunya kitab-kitab palsu ini hanya digunapakai untuk merosakkan aqidah Muslim semata. Sangatlah jelas bahawa kita tidak lagi perlu mengimani kitab-kitab yang telahpun diubahsuai ini, mengikut kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja.

Al-Quran juga telah menyebut bahawa inilah kitab terakhir yang diturunkan Allah s.w.t.. Tiada lagi kitab selepas al-Quran, yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w., Nabi dan Rasul yang terakhir diutuskan kepada seluruh ummat manusia.

Namun, ada berita gembira telah diwahyukan oleh Allah s.w.t. didalam kitab Injil yang asli, betapa akan hadirnya seorang lagi Nabi sesudah Nabi Isa a.s., yakni Nabi Muhammad s.a.w..

Allah s.w.t. telahpun berfirman kepada Nabi Isa a.s., bahawa akan hadirnya seorang Rasul selepasnya yang bernama Muhammad, dan dialah merupakan Nabi yang terakhir diutuskan ke dunia ini.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. telah memberi rahmat untuk seluruh alam ini. Baginda merupakan satu anugerah agung kurniaan Allah s.w.t. kepada seluruh ummat manusia, sebagai penunjuk jalan kebenaran menuju akhirat yang kekal abadi. Baginda juga memberi makna yang lebih bernilai kepada sebuah kehidupan dimana wujudnya kita di alam ini adalah semata-mata kerana Allah s.w.t..

Perubahan yang sangat besar telah berlaku kepada kehidupan ummat pada masa itu selepas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Langsung meninggalkan kesannya secara berterusan terhadap seluruh ummat sehinggalah ke hari ini, dengan membawa mesej keamanan sejagat dalam makna sebuah persaudaraan Islam. Jua menjadi model terbaik dalam mendidik dan membentuk peribadi Muslim yang berakhlak mulia.

Kelahiran

Kita hangatkan kembali sejarah ringkas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w..

Pada suatu ketika di Kota Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awal Tahun Gajah, seorang putera telah dilahirkan oleh seorang ibu yang bernama Aminah binti Wahab. Kelahiran sulong ini sangat membahagiakan bagi seorang wanita yang baru sahaja bergelar ibu, walaupun suaminya, Abdullah bin Abdul Muttalib, tiada disisi apabila telah kembali ke Rahmatullah disaat kandungannya masih lagi menghitung hari untuk dilahirkan.

Kelahiran putera ini dalam keadaan yang sungguh luar biasa sekali, apabila bondanya langsung tidak merasakan kesakitan sebagaimana lazimnya seorang wanita melahirkan zuriatnya. Bayi ini berada dalam keadaan sempurna sekali, langsung tidak menangis ketika menjenguk dunia.

Kelahiran yang ditunggu-tunggu ini sangat membawa kebahagiaan kepada datuknya, Abdul Muttalib bin Hasyim, lantas mengurniakan nama Muhammad kepada cucuandanya itu, yang bermaksud ‘terpuji’.

Nama Muhammad sebenarnya sangat asing kepada masyarakat Arab pada waktu itu, sememangnya tiada seorangpun yang memiliki nama tersebut selama ini. Namun itulah tandanya kebesaran Ilahi yang telah mencetuskan ilham terbaik kepada Abdul Muttalib, sebagaimana yang telah diwahyukan kepada Nabi Isa didalam Kitab Injil.

Ibu susuan

Sebagaimana bayi-bayi yang lain, awalannya Muhammad telah disusui oleh bondanya sendiri.  Namun selepas beberapa bulan apabila susu bondanya beransur kering, dia mula diserahkan kepada ibu susuannya, Thuwaibah, yang merupakan seorang hamba milik bapa saudaranya, Abu Lahab. Ini bagi memastikan bayi secara berterusan menerima khasiat hanya daripada susu ibu yang mampu mengurangkan jangkitan sebarang penyakit.

Walau bagaimanapun, bondanya tetap mahu Muhammad disusukan dalam suasana yang lebih baik, bukan di kota yang menjadi tumpuan ramai tetapi di desa yang mempunyai persekitaran yang lebih damai. Maka, Halimatun Saadiah telah dipilih untuk menyusukannya sehingga umur dua tahun, dan terus memeliharanya sehingga berumur lima tahun.

Berpisahlah Muhammad dengan bondanya, apabila dia dibawa ke sebuah desa yang jauh dari kesibukan Kota Makkah. Namun dalam tempoh tersebut seringkali dia dibawa ke Makkah untuk mengunjungi bondanya.

Sejak bayi Muhammad mula berada dalam persekitaran desa yang lebih baik berbanding kehidupan sebuah kota, yang biasanya mudah dipengaruhi dengan anasir-anasir tidak sihat dan boleh merosakkan fikiran. Persekitaran yang baik secara tidak langsung akan memberi kesan positif terhadap tumbesaran fizikal dan mental bayi ini.

Dia telah membesar sebagai kanak-kanak yang sihat walafiat dan mempunyai perlakuan yang bersopan santun, berbudi bahasa serta boleh dipercayai sifatnya sedari kecil lagi. Allah telah memeliharanya daripada sebarang unsur kehidupan yang tidak baik, sebagai persediaan untuk menjadi Nabi pada masa akan datang.

Kehidupannya sangat sederhana, langsung tidak diulit dengan kemewahan apabila dia membesar di kalangan orang-orang miskin sahaja bersama ibu susuannya. Dari sini dia mula belajar erti susah senang sebuah kehidupan sedari kecil lagi.

Yatim Piatu

Akhirnya, pada usia enam tahun Muhammad telah meminta keizinan daripada bondanya untuk menziarahi pusara ayahandanya buat pertama kali di Madinah. Dengan keizinan daripada datuknya, maka berangkatlah dia bersama bondanya ke sana. Namun, tanpa diduga kesedihannya bertambah apabila bondanya pula wafat ketika dalam perjalanan pulang dari ziarah tersebut.

Maka yatim piatulah Muhammad pada usia kanak-kanak lagi. Dia mula berada dibawah jagaan datuknya dengan penuh kasih sayang yang tiada taranya. Jua pengasuhnya, Ummu Aiman teramat sayang kepadanya.

Namun kasih sayang ini juga tiada berpanjangan apabila datuknya pula meninggal dunia pada usianya lapan tahun. Sungguhlah Muhammad sangat berdukacita dengan pemergian datuknya yang sangat dia sayangi.

Langsung Muhammad dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib, atas pilihannya sendiri. Walaupun bapa saudaranya ini miskin tetapi dia kaya dengan hati budi. Lagi pula dia sudah terbiasa hidup dengan bapa saudaranya ini, apabila sering ditinggalkan oleh datuknya apabila keluar dari kota Makkah.

Apabila usianya menjangkau 12 tahun, Abu Talib buat pertama kalinya membawa Muhammad ke Syam (Syria) bersama-samanya untuk membantunya berdagang. Ketika sampai disuatu tempat bernama Basra, dia telah bertemu dengan seorang Ahli Kitab bernama Buhaira, yang kelihatannya sangat tertarik kepada anak saudaranya itu yang mempunyai perwatakan yang sangat baik.

Sebagai seorang Ahli Kitab yang mempercayai kandungan kitab Injil, langsung dia menemui tanda-tanda kenabian pada diri Muhammad. Dia yakin bahawa remaja yang berada di hadapannya inilah bakal menjadi Nabi akhir zaman. Lantas dia menasihatkan Abu Talib agar segera menyelesaikan urusannya di situ dan membawa pulang anak saudaranya itu ke Makkah. Mereka akur kepada nasihat itu langsung kembali ke kampung halaman.

Kala ini Muhammad makin berdikari dengan mula mengembala kambing bagi meringankan beban bapa saudara yang memeliharanya. Dia makin membesar sebagai seorang yang penyabar, tabah dan amanah serta langsung tidak terpengaruh dengan kehidupan duniawi.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 18 – 24 Februari/ 15 – 21 RabiulAwal 1432. Terima Kasih)

Akal, Emosi dan Nafsu

 

Salam Ukhuwah…

Jika ada yang mahu mengaitkan Akal dan Nafsu wanita, sering saja kita mendengar ungkapan ini digunakan, ‘1 Akal dan 9 Nafsu’.

Saya sendiri lebih melihat kepada kemungkinan ‘9 nafsu’ itu merujuk kepada emosi wanita yang pelbagai. Istilah ‘emosi’ mungkin lebih sedap didengar berbanding dengan ungkapan ‘nafsu’, yang sering saja dijuruskan kepada perlakuan yang tidak baik.

Bagi lelaki pula mereka diumpamakan sebagai mempunyai ‘9 Akal dan 1 Nafsu’.

Sebenarnya benarkah begitu?

Kebenarannya, istilah ini tidak pernahpun diungkapkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah apabila kedua-duanya tidak sesekali menyatakan perbezaan kemampuan akal di antara lelaki dengan wanita. Jua tiada pernah disebut-sebutpun oleh mana-mana ‘Ulama tersohor di dalam Islam. Maka ternyatalah bahawa ia hanyalah suatu ungkapan yang masyhur semata-mata, dipetik daripada si polan yang entah siapa sebenarnya.

Sebelum bermaklumat lebih jauh, terlebih dahulu kita cuba dapatkan definasi Akal, Emosi dan Nafsu dalam penjelasan yang ringkas sahaja.

Secara ringkasnya, Akal bolehlah didefinasikan sebagai kekuatan untuk melahirkan keputusan tentang sesuatu realiti, selepas disatukan oleh pemerhatian lima pancaindera utama ke dalam otak yang telahpun mempunyai maklumat awalan keatas sesuatu perkara tersebut.

Manakala Emosi membawa pengertian yang lebih pelbagai. Rumusnya, ia merupakan suatu dorongan yang diatur oleh akal, namun selalunya digambarkan sebagai sisi negatif berbanding keadaan yang rasional kerana kepelbagaian ragamnya.

Nafsu pula bolehlah dikaitkan dengan suatu tarikan mahupun keinginan setiap manusia kepada perkara-perkara yang boleh mengembirakan jiwanya. Ia bukan sahaja menjurus kepada syahwat semata mahupun perkara-perkara yang kelihatan buruk sahaja, tetapi merangkumi keinginan asas setiap individu seperti makan minum, pemilikan harta, persaingan dan sebagainya.

Keajaiban

Akal merupakan suatu keajaiban luar biasa nilainya yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada setiap manusia, yang membuktikan bahawa makhluk inilah paling sempurna kejadiannya dibandingkan dengan ciptaan makhluk lain seantero alam ini. Kurniaan akal fikiran merupakan hikmah dan rahmat tuhan dalam melengkapkan kejadian seorang manusia. Adanya akal inilah yang mengangkat martabat manusia langsung menjadikannya makhluk yang paling utama. Seluruh kesempurnaan Allah s.w.t. juga terpamer pada kehebatan ciptaan akal ini.

Secara fitrahnya manusia dikurniakan akal fikiran yang sama rata oleh Allah s.w.t., kecuali mungkin ada kurniaan yang luar biasa kepada individu tertentu, dimana mereka mempunyai kecerdasan akal yang tinggi sejak dilahirkan.

Dalam contoh yang mudah, kita telah melihat kecemerlangan pelajar-pelajar lelaki dan wanita adalah pada tahap yang hampir sama. Jika perolehan maklumat kepada setiap individu adalah pada kadar yang sama rata dan mereka menelaahnya dengan kemampuan akal dan kecerdasan masing-masing, insyaAllah akan membuahkan kecemerlangan. Maka bolehlah diakui bahawa daya fikir antara lelaki dengan perempuan adalah pada tahap yang sama.

Namun begitu tahap daya fikir antara lelaki dengan wanita bukanlah sekadar tertakluk kepada kemampuan akal dan kecerdasan semata. Tetapi ia juga merangkumi cara setiap individu berfikir secara ilmiah, iaitu keupayaan untuk mengemukakan pandangan kritis keatas sesuatu perkara dan membuahkan idea baru yang belum pernah wujud sebelum ini. Pengalaman hidup seseorang juga boleh mempengaruhi kemampuan akal itu sendiri.

Tidak dinafikan bahawa dalam pemerhatian umum, lelaki itu lebih bijak dalam menggunakan akalnya berbanding wanita yang mempunyai banyak emosi. Dalam banyak keadaan kita dapat melihat bahawa lelaki seringkali berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan penting dalam kehidupan, manakala wanita tidaklah terlalu selektif dalam menyatakan sebarang keinginannya.

Jikapun wanita dikatakan kurang akalnya ia bukanlah kerana kemampuan akalnya yang lemah. Tetapi lebih kepada fitrah kejadian wanita yang kurang pengalamannya dalam kehidupan, berbanding lelaki yang lebih luas langkahnya di bumi ini.

Maka fahamlah kita bahawa, istilah yang membezakan akal antara lelaki dengan wanita sehingga perbezaan ‘8 darjat’ hanyalah dongeng semata-mata.

Memanfaatkan Akal

Paling pentingnya akal ini digunakan sebaik-baiknya mengikut syariat yang telah ditetapkan Allah s.w.t.. Setiap individu seharusnya tahu bagaimana untuk memanfaatkan akal dengan cara yang terbaik, seiring dengan tujuan kurniaannya berlandaskan syariat Maha Penciptanya.

Tentu sekali antara tugas akal yang utama adalah, memikirkan dan memahami ayat-ayat Allah s.w.t. di dalam kitab suci al-Quran dengan tujuan untuk mengenaliNya dengan lebih yakin, langsung beriman kepadaNya.

Sangatlah rugi kepada mana-mana manusia yang cuai dalam menggunakan akalnya, sehingga tersisih daripada terus mendapat hidayah yang berpanjangan daripada Allah s.w.t.. Lebih malang lagi apabila akal tersebut digunakan untuk mencemuh Islam itu sendiri. Sangat tidak pelik jika hal ini berlaku apabila manusia sudah lupa asal usul kejadiannya, lantas angkuh untuk mengakui kekuasaan Allah s.w.t..

Hakikatnya akal yang dikurniakan Allah s.w.t. ini perlu sentiasa disiram dan dibaja, jua dihapuskan segala kekotoran yang melekat kepadanya. Ini bertujuan untuk melahirkan akal yang cerdas dan pintar. Akal yang sihat akan membantu kita berfikir secara lebih bijak dan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan.

Akal yang sihat tentunya akan berfungsi sebagai pemandu dalam membawa manusia kepada destinasi terbaik di penghujung usia kita nanti. Mudah-mudahan sejahteralah kita nanti disaat menghadap Allah yang Maha Esa.

Janganlah kita berada di kalangan manusia yang tidak tahu untuk menggunakan akal, sehingga nafsu pula yang berlagak mendahului akal. Apabila keadaan ini berlaku tentu sekali manusia akan terus berada dalam keadaan lalai dari terus mengingati makna kewujudan mereka di dunia ini. Sebagaimana ada pepatah menyebut, ‘semua manusia memiliki akal, tetapi sedikit sahaja yang berakal’.

Emosi dan Nafsu Terurus

Walau bagaimanapun, akal yang cerdas ini perlulah diseimbangkan dengan emosi yang terurus. Kebiasaannya emosi yang terganggu boleh mengakibatkan tindakan yang diambil merujuk kepada pandangan nafsu yang tidak baik semata. Apabila emosi telah mendahului akal, tentunya seseorang itu sedang mengalami keadaan mindanya yang tidak stabil.

Kita dapat melihat seseorang itu mungkin akan mengalami tekanan perasaan, kekecewaan, kemurungan, dan sebagainya apabila emosi mereka terganggu. Akibat dari gangguan ini ada kemungkinan mereka akan melakukan pelbagai tindakan diluar kawalan sehinggalah sanggup memilih jalan yang paling singkat, yakni membunuh diri.

Begitu juga dengan nafsu yang merupakan fitrah kepada kejadian setiap manusia. Ia juga harus diurus dengan baik seiring dengan syariat Islam yang telah ditentukan Allah s.w.t.. Nafsu harus sentiasa dididik agar tidak meliar tanpa haluan yang sebenar. Mendidik nafsu bererti kita sentiasa menahan diri daripada merasa selesa dengan nikmat dunia.

Selain dari akal yang bijak dan emosi yang terurus serta nafsu yang terdidik, jiwa juga haruslah ditundukkan agar kita sesekali tidak akan lupa kepada kehebatan Allah s.w.t. yang menganugerahkan kurniaan besar ini. Jauhkanlah jiwa dari perasaan takjub kepada kehebatan diri sendiri. Hiasilah jiwa dengan zikir memuji kebesaran Allah s.w.t. dan sentiasalah panjatkan doa semoga kita dikurniakan hidayah yang berpanjangan hingga ke akhir hayat, insyaAllah!

(Artikel ini telah disiarkan di dalam SIASAH edisi 11 – 17 Februari 2011/ 08 – 14 RabiulAwal 1432. Terima Kasih.)

9.10am