• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    April 2024
    S M T W T F S
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    282930  

Bermakna

Salam Ukhuwah…

Hari ini mungkin ada dikalangan kita yang telah bersedia dari awal untuk mencuri sedikit waktu bagi menemani anak-anak mengambil keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya juga begitu, sentiasa bersedia untuk menemani anak-anak saat mereka mengambil keputusan peperiksaan walaupun mereka seringkalinya tidak meminta lebihan masa yang saya miliki.

Masa ibubapa bersama anak-anak sangatlah besar ertinya. Apatah lagi disaat yang mendebarkan mereka, sangat bermakna apabila kita ada bersama diwaktu itu. Sekurang-kurangnya kita sendiri menghantar mereka pada hari pertama peperiksaan besar yang akan dihadapi, dan bersedia meluangkan waktu pada hari keputusan diumumkan.

Sudah tiga kali saya menghadapi saat sebegini, dua kali untuk UPSR dan sekali untuk Penilaian Tingkatan 3 (PT3). Masih segar dalam ingatan menghantar dan menemani seketika anak-anak pada hari pertama peperiksaan dan turut hadir memberi sokongan ketika mereka menerima keputusan peperiksaan. Usah bicara tentang perasaan kita pada waktu itu, paling penting adalah sokongan yang kita berikan kepada mereka.

Saya kira saya diantara ibubapa yang telah menukar mentaliti kebiasaan masyarakat yang melihat keputusan peperiksaan anak-anak adalah suatu jaminan untuk masa depan mereka yang lebih baik. Hakikatnya, mentaliti seperti saya ini bukannya mudah kerana keputusan peperiksaan yang tidak baik sering saja menyusahkan anak-anak untuk menyambung pengajian mereka ditempat-tempat tertentu.

Sudah tentulah anak-anak yang tidak cemerlang sangat tidak berpeluang untuk masuk ke sekolah idaman hati. Disinilah tugas dan peranan kita sebagai ibubapa, usah menambah beban derita dan kesedihan kepada anak-anak yang tidak mampu mencapai impian mereka. Sesungguhnya mereka sememangnya sudah tidak layak, tetapi kita sebagai ibubapa haruslah cuba merancang sesuatu yang terbaik buat anak-anak demi masa depan mereka yang masih jauh dan terbentang luas.

Peluang

Peluang untuk anak-anak kita sangat luas diluar sana. Jangan biarkan anak-anak kita berputus asa, dan jauh sekali kita untuk merana. Jangan sesekali membandingkan anak kita dengan anak orang lain, hatta dengan anak-anak yang lainpun. Setiap anak itu ada kelebihan dan kekurangannya. Keputusan peperiksaan hari ini adalah kejayaan untuk setakat ini, bukan untuk selamanya. Masa depan masih panjang, masih banyak kejayaan yang boleh dicipta untuk segala kekurangan pada hari ini.

Tahniah untuk anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang 6A pada hari ini. Untuk anak-anak yang tidak mencapai sasaran, jika mahu menangis, menangislah buat seketika. Kita ibubapa, disinilah kita perlu berperanan, pujuklah mereka dengan penuh motivasi. Jangan lupa ucapkan terima kasih buat semua guru-guru yang telah memberi ilmu kepada anak-anak kita.

Jangan menambah beban emosi kepada anak-anak jika mereka kurang berjaya. Usah malu dengan kelemahan anak sendiri. Apapun keputusan mereka, itulah anak kita yang perlu disokongi.

Sehingga ketemu lagi…

5.21pm

17 Safar 1438

Redha Allah

Salam Ukhuwah…

Hari ini 1 Safar 1438. Sebulan telahpun berlalu di tahun baru Hijrah. Semoga khabarnya masih baik untuk kita semua…walaupun senak rasa dada mendapat khabaran segala jenis minyak telah naik harga bermula hari ini dan kita…? mungkin naik minyak!

Hari ini saya mahu menulis santai-santai sahaja…mencuri waktu di blog sendiri dan sangat berharap semoga apa jua yang saya tulis dan kongsikan akan ada seri buat yang membaca dan mendapat redha Allah untuk kita semua.

Saya agak suka untuk menulis dan berkongsi sesuatu kepada yang sudi, tetapi kekangan masa dan adakalanya kemalasan hebat melanda menjadi aral yang sungguh besar dalam memberi peluang kepada diri untuk memenuhi minat sendiri.

Pastinya, talian hayat kita makin singkat dari hari ke hari. Sebenarnya apa kekuatan kita untuk meneruskan kehidupan di dunia ini? Hanya kerana hidup ini hanya sekali, tiada dua kalinya. Hidup yang sekali inilah peluang untuk kita mengenal Allah, bukan selepas mati.

Jika sudah mati baru mahu menyesali diri, tiada lagi jalan untuk kembali. Jangan buta mata buta hati di dunia, kelak akan sesat di akhirat. Jadikan dunia ini sebagai kebun untuk beramal ibadat, biarlah dunia kita subur dengan iman kerana inilah bekalan yang akan dibawa ke akhirat.

Kelihatannya mudah, tetapi memang bukan mudah. Dunia memang penuh cabaran, lebih-lebih lagi dunia hari ini yang sememangnya mencabar. Walau apapun ujian yang mendatang, gunakanlah tempoh hayat yang ada untuk berusaha dan bertindak kearah kesempurnaan iman zahir dan batin. Jangan sehingga membunuh diri kerana sudah tidak tahan diuji, ataupun diatas apa jua alasan sekalipun. Itu semua hasutan syaitan yang menyesatkan.

Tipu Daya

Dunia ini penuh tipu daya. Tiada satu tempatpun yang tidak dihuni syaitan. Malah, nafsu manusia ini mudah sahaja digoda dengan magnet syaitan. Ada waktunya manusia kehilangan fitrahnya sendiri seolah-olah dia pula secara terang-terangan mahu menjadi syaitan. Hari ini saya melihat beberapa potret saudara semuslim yang berimej syaitan apabila turut meraikan Halloween. Allahuakbar! Saban tahun ada saja ilmuan agama yang menyatakan bahawa amalan meraikan perayaan ini dikalangan muslim adalah secara terangan mereka telah menyimpang daripada akidah Islam.

Tiadakah mereka berpengetahuan tentang hukum ini? Al-Quran juga telah menyatakan secara jelas bahawa, jika meniru perbuatan atau amalan kaum tertentu dikhuatiri kita akan terjerumus dalam kalangan mereka. Sangat jelas disini bahawa muslim yang turut meraikan Halloween langsung tidak menepati syara’. Inilah yang dikatakan amalan cacamarba sebilangan besar muslim yang secara sedar mencampur adukkan nilai-nilai Islam dan nilai syaitan dalam kehidupan mereka.

Sangat sayang jika kita seorang muslim yang menunaikan kewajipan seperti solat, berpuasa, menunaikan haji, tetapi dalam waktu yang sama turut melakukan rasuah, menipu, sihir, seolah-olah tiada bezanya kita dengan bukan muslim. Inilah peranan syaitan yang mahu merosakkan manusia sehingga kehujung nyawa. Berdoalah kita semoga dijauhkan daripada malapetaka sebegini.

Sama-samalah kita berusaha untuk mencapai redha Allah.

Sehingga ketemu lagi…

 

8.30pm

1 Safar 1438

Istiqamah

Salam Ukhuwah…

Istiqamah dalam maksud yang mudah adalah konsisten. Tetap teguh dengan pendiriannya dalam sesuatu perkara yang difahaminya dengan baik. Kekal berterusan dengan pendiriannya dalam apa jua keadaan.

Sebutannya mudah sahaja, tetapi untuk mengaplikasikan dalam hidup, istiqamah adalah sesuatu yang sukar.

Bukan sahaja sukar dalam sudut kita beramal dalam beragama, tetapi juga sukar dalam disiplin kehidupan kita seharian.

Kenapa sukar? Kerana kita semua punya hati yang senang saja dibolak-balikkan oleh nafsu. Seminggu ini kita mampu istiqamah untuk berdiet, minggu hadapan sudah kemaruk jalan-jalan cari makan. Seminggu ini kita istiqamah bangun seawal dinihari untuk bertahajud, tetapi minggu hadapan alangkah sukarnya untuk bangun…kerana doa yang berpanjangan belum lagi menampakkan sinarnya. Allahuakbar! Begitulah sukarnya untuk kita istiqamah dalam melakukan sesuatu perkara.

Namun, secara keseluruhannya, istiqamah sering saja digunapakai dalam amalan yang menjuruskan kepada hidup beragama. Istiqamah dalam berpegang kepada akidah Islam, patuh dan taat kepada syariat serta tidak sesekali berubah walau dalam keadaan apa sekalipun.

Istiqamah sangat dituntut dalam kehidupan beragama apabila ia merupakan satu kekuatan dalaman yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam beramal ibadat. Ia terletak dihati, dipancarkan melalui lisan yang sentiasa menyatakan kebenaran dan anggota tubuh badan yang mengamalkannya dengan penuh semangat demi mencapai keredhaan Allah. Matlamatnya hanya satu, untuk mencapai kecemerlangan dalam keredhaan Allah di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

Sikap beristiqamah ini perlu dipupuk, bukannya ia hadir dengan sendiri dalam tempoh yang pendek. Paling penting, setiap kerja yang kita lakukan hendaklah bermatlamat. Matlamat yang disasarkan inilah yang akan menjadi suntikan semangat untuk kita bersungguh-sungguh dalam melakukan gerak kerja yang sepatutnya. Tidak pernah berputus asa sehinggalah matlamat dicapai, bukan hanya matlamat di dunia ini, tetapi matlamat sebenar adalah akhirat.

Sehingga ketemu lagi…

 

12.07pm

17 Muharam 1438

Hidayah

Salam Ukhuwah…

Hidayah bermaksud petunjuk, tentunya petunjuk daripada Allah swt. Langsungnya ia adalah petunjuk kearah jalan kebenaran. Anugerah hidayah ini dikurniakan Allah kepada semua hambaNya.

Hidayah ini datang dalam pelbagai cara. Dengan hidayah inilah manusia mempunyai panduan dalam menjalani kehidupan di dunia. Hidayah yang paling mudah adalah kemampuan pancaindera kita sendiri. Dapat merasa dengan keupayaan pancaindera sendiri adalah suatu kemampuan yang sangat membantu kita dalam kehidupan. Namun, keupayaan ini sangat terbatas, walaupun bermanfaat ia hanya mencakupi sifat luaran sahaja. Ia tidak cukup untuk membantu manusia berfikir tentang hal-hal keagamaan.

Untuk lebih berfikir, Allah menghidayahkan manusia melalui akal fikiran. Hidayah ini membantu manusia berfikir tentang hidup dengan beragama. Namun, adakalanya akal manusia juga terbatas. Ada masanya kita hanya berfikir berkisar tentang logik akal semata. Maka, hidayah yang paling besar adalah agama, yakni Islam.

Apabila kita hidup dengan beragama, ia sangat membantu akal kita berfungsi dengan lebih sempurna. Jika akal kita fungsinya terbatas, agamalah yang akan menemukan apa jua jawapan yang kita perlukan. Agama menemukan kita dengan hakikat sebuah kehidupan yang sebenarnya, berbicara tentang kematian, soal dosa pahala, dunia akhirat, syurga neraka, dan segala-galanya. Hal-hal sebegini tidak mampu untuk dijelaskan dengan kemampuan akal sahaja jika tidak disertakan dengan agama.

Allah swt yang Maha Hebat adalah pemberi hidayah kepada setiap hambaNya. Hidayah yang paling hebat adalah petunjuk-petunjuk yang termaktub didalam al-Quran dan juga sunnah Rasulullah saw. Jika setiap manusia mampu menerima baik hidayah ini maka sesekali kita tidak akan tersesat dalam haluan menuju akhirat.

Sesat

Walau bagaimanapun, ada juga dikalangan kita yang tersesat walaupun memahami petunjuk didalam al-Quran. Mengapa sedemikian? Kerana al-Quran ini adalah hidayah untuk semua hamba Allah, baik muslim mahupun bukan muslim.

Al-Quran boleh saja dipelajari oleh semua peringkat manusia. Pelbagai bentuk ilmu boleh saja diakses melalui al-Quran. Beruntunglah kepada mana-mana hamba Allah yang mengkaji al-Quran. Begitu juga kita, sangat beruntung apabila kita mampu membaca al-Quran. Walaupun tidak mampu memahami dan menafsir keseluruhan al-Quran, sekurang-kurangnya kita telah terpilih untuk menerima hidayah yang satu ini. Tiada alasan lagi untuk kita mengatakan ‘saya belum berhidayah’ apabila kita sangat tahu bahawa al-Quran itu sendiri adalah satu bentuk hidayah daripada Allah swt.

Tetapi kenapa masih ada manusia yang tahu mengenai al-Quran namun seolah-olah tidak peduli kepada cara hidup yang lebih beragama? Disinilah Allah menguji hamba-hambaNya untuk terus bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadat. Bersungguh-sungguhlah! Kerana hamba-hambaNya yang berterusan istiqamah dijalanNya akan dikurniakan hidayah taufiq – hidayah yang sukar untuk dicapai melainkan kita konsisten dalam melaksanakan suruhan Allah.

Hidayah Taufiq ini adalah satu bentuk kekuatan yang Allah kurniakan kepada hambaNya untuk terus istiqamah dalam melakukan ibadah yang telah dilakukan selama ini. Jika membaca al-Quran itu ada kebaikannya, maka kita telah membacanya. Ini adalah satu bentuk hidayah yang baik buat kita. Namun jika pada setiap hari kita telah memperuntukkan waktu untuk al-Quran dan istiqamah membacanya, ini adalah hidayah Taufiq yang Allah kurniakan buat kita.

Tanamkan azam untuk melaksanakan sesuatu ibadah dengan istiqamah. Bersungguh-sungguhlah dalam melakukan suatu amalan yang baik dan berdoalah untuk dilembutkan hati agar kita terasa mudah semasa melaksanakannya. Jangan lupa untuk terus belajar dan belajar agar kita sentiasa mendapat pengetahuan yang baru dan lebih jelas pemahamannya dalam mempelajari ilmu agama.

Sehingga ketemu lagi…

9.18am

7 Muharam 1438

 

Dosa

Salam Ukhuwah…

 
Kita manusia sering sangat melakukan dosa, dan sentiasa berada dalam keadaan berdosa. Tidak kira dimanapun status kita berada, sukar untuk kita mengelak dari melakukan salah dan silap. Adakalanya sangat suka mengikut hawa nafsu yang mengarah kepada sesuatu yang tidak baik. Ada waktunya suka menipu, dan disandarkan pula kepada tipu sunat! Ada ke tipu sunat dalam Islam?

 
Ok, jawabnya ada. Tipu yang bagaimana? Helah yang biasanya digunakan untuk mendamaikan mereka yang sedang bergaduh dan seumpamanya. Itu sahaja.

 
Jangan membiasakan diri melakukan kesalahan kerana kelak kesalahan yang acapkali itu boleh mengundang dosa. Acapkali pula dosa itu dibuat seperti bahan mainan sahaja. Bagaimana pula dengan dosa yang lebih besar seperti tidak solat, tidak berpuasa dibulan Ramadhan, minum arak, berzina, rasuah, dan banyak lagi dosa besar yang seolah-olah menjadi perkara biasa didalam masyarakat kita hari ini. Itu masih belum diambil kira dosa mendedahkan aurat, pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram, kelucahan melampau, dan sangat banyak dosa-dosa yang sedang menjajah disekeliling kita hari ini.

 
Ramai juga yang tahu mereka sedang melakukan dosa, tetapi tetap merasakan itu hanyalah perkara biasa, dan jauh sekali untuk bertaubat.

 
Taubat

 
Taubat membawa maksud kembali kepada Allah. Kita berserah diri kepada Allah dalam keadaan yang penuh penyesalan, diri sendiri merasa malu dengan dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini, dan bersunguh-sungguh merayu-rayu semoga masih ada peluang untuk kita diampunkan olehNya, seterusnya masih diberi kesempatan untuk perbaiki kesilapan lalu.

 
Allah itu penuh dengan kasih sayang, maka bertaubatlah! Bertaubat ini tidak boleh bertangguh, wajib disegerakan, kerana mati itu dekat. Islam membuka ruang yang seluasnya untuk kita bertaubat kepada Allah swt. Jika kita sudah berhidayah untuk bertaubat, maka jauhkanlah diri dari sebarang maksiat. Kita membuat janji kepada Allah untuk taat dan patuh kepada segala suruhannya dan sesekali tidak akan lagi mengulangi dosa-dosa yang lalu, dengan harapan yang menggunung semoga segala dosa-dosa kita yang melampau diampunkan sepenuh olehNya. Hadirkan rasa penyesalan yang bersungguh-sungguh diatas segala dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini, biarkan air mata menjadi saksi kita bertaubat. Jika perlu mengqadha ibadah wajib yang pernah ditinggalkan dahulu, maka laksanakanlah. Berkorbanlah apa jua yang disayangi demi keredhaan Allah yang satu.

 
Dosa juga bukan sahaja antara kita dengan Allah, tetapi juga antara kita dengan manusia lain. Dosa kita dengan orang lain inilah yang lebih sukar kerana kita perlu berhadapan dengannya untuk meminta maaf. Bukan sekadar permohonan maaf yang dilafazkan, tetapi jika dia berkehendakkan kita memenuhi tuntutannya maka hendaklah kita tunaikan (selagi tidak melanggar hukum syara’).

 
Sentiasalah kita beristighfar untuk menyucikan hati. Kasih sayang Allah itu sangat luas buat semua hamba-hambaNya. Kita sentiasa berpeluang untuk memohon keampunan daripada Allah apabila telah melakukan dosa.

 
Sehingga ketemu lagi…

 

 

 

6.51am

5 Muharam 1438

1438 H

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah…kita masih dikurniakan hayat untuk berada dilembaran tahun baru Hijrah, 1438.

Tahun baru bererti setahun sudah umur kita berlalu, setahun pula menghampiri detik kematian. Sambutlah tahun baru dengan rasa yang lebih bahagia kerana masih dipanjangkan umur, dikurniakan kesihatan yang baik dan masih berada disamping insan-insan yang tersayang. Juga, jangan sesekali lalai untuk mengisi waktu yang masih berbaki ini untuk laksanakan pelbagai amalan yang lebih baik dan juga bertindak dengan lebih matang.

Rasulullah saw bersabda:

Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya”

(HR Ahmad)

Tidak lupa, rasa syukur dan berterima kasih buat arwah ayahanda saya yang telah memilih tarikh 1 Muharram untuk mengakad nikahkan saya, hari pertama bagi setiap tahun baru Islam, hari pertama juga untuk saya bergelar seorang isteri.

Sekadar mengingatkan sejarah tentang Tahun Baru Hijrah, ia bermula apabila Nabi Muhammad saw mula berhijrah ke Madinah, bilamana Baginda mendapat tentangan hebat di Kota Mekah daripada golongan kafir Quraisy sehinggakan mahu membunuhnya.

Hijrah ini juga berkait rapat dengan perkembangan Islam. Dakwah Nabi Muhammad saw yang bermula di Mekah, kota kelahiran Baginda sendiri, dan bergerak selama 13 tahun telah melalui pelbagai pahit getir yang sangat menghinakan. Dengan yang demikian, Baginda bersama-sama para sahabatnya terpaksa menelan segala rasa kekecewaan dan redha untuk berhijrah walau terpaksa berkorban segala-galanya termasuklah harta-benda dan sanak saudara.

Akhirnya, Nabi Muhammad saw bersama para sahabat Muhajirin disambut hangat penuh kasih-sayang oleh Kaum Ansar (penduduk asal Madinah) setibanya mereka di kota Madinah. Kaum Muhajirin dan Ansar telah menunjukkan semangat persaudaraan yang tinggi bilamana Baginda telah mempersaudarakan dua kaum ini.

Islam berkembang pesat dan cepat di kota Madinah ini. Disinilah terbukti bahawa peristiwa hijrah itu merupakan titik mula bagi perkembangan Islam dan pembangunan sebuah masyarakat Muslim yang dipimpin sendiri oleh Nabi Muhammad saw.

Hari ini…

Apa pula ertinya penghijrahan untuk kita pada hari ini?

Kita sedang hidup di tanah air sendiri, tiada paksaanpun untuk kita berhijrah kemana-mana.

Apa yang kita perlu adalah semangat hijrah. Kita sentiasa perlu berhijrah dalam mencapai nilai hidup yang lebih baik dari hari ini. Penghijrahan ini tiada hentinya sehingga tiada lagi talian hayat untuk kita.

Kita cuba muhasabah diri diawal tahun baru ini, melihat kebelakang sejenak, apa yang telah kita lakukan selama ini. Bertambahkah amalan baik kita? Berkurangkah amalan buruk kita? Apapun jawapan yang dijawab hati, tanamkanlah azam semoga tahun ini kita mampu melakukan lebih banyak amal ibadat dan kebajikan yang akan secara langsung mengurangi amal buruk kita yang boleh menjurus kearah dosa.

Umur kita makin terbatas, dikesempatan yang masih berbaki ini jom kita gunakan waktu yang ada untuk menambahkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt. Semoga kita lebih bersemangat untuk beramal ibadat dan menyumbang sesuatu kepada Islam.

Sehingga ketemu lagi…

# Jangan lupa puasa sunat pada 9 & 10 Muharam #

11.48pm

3 Muharam 1438

Ujian

Salam Ukhuwah…

Ujian Allah ini datang dalam pelbagai bentuk. Setiap hamba Allah akan merasa keperitan musibah yang menimpa keatasnya. Sehebat mana manusia itu dia tidak akan mampu untuk mengelak daripada ditimpa ujian daripada Allah.

Masing-masing punya ujian hidup yang tersendiri. InsyaAllah disebalik semua ujian Allah itu iman kita akan menjadi bertambah matang.

Usah persoalkan kenapa kita diuji begini begitu, tetapi hadirkan jiwa untuk lebih dekat kepada Allah, mudah-mudahan kita mampu menjadi hambaNya yang lebih baik dikemudian hari.

Redhalah dalam menghadapi ujian Allah, hati kita akan menjadi lebih tenang. Cuba fikirkan musibah yang kita sedang alami ini hanya ujian kecil sahaja, dan renungkan kepada orang sekeliling yang mungkin ujiannya lebih hebat. Percayalah bahawa ujian yang Allah berikan itu adalah semampu iman yang kita ada. Inilah juga tanda kasih sayang Allah buat hambaNya. Tidak sesekali membebani hambaNya dengan apa yang kita tidak mampu.

Yakinkan juga bahawa semakin besar ujian Allah itu maka semakin besar jugalah rahmat dan kasih sayangNya kepada kita. Hadapilah setiap ujian Allah dengan berlapang dada, InsyaAllah pahala dan redha Allah akan menyusul.

Bersabarlah ketika menghadapi apa jua ujian daripada Allah. Hikmah bersabar itu akan datang pada kemudian hari yang tidak kita sangka-sangka. Hanya perlu yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar segala rintihan daripada setiap hambaNya. Mohonlah segala-galanya, dari sekecil-kecil rasa sehinggalah sehabis air mata, insyaAllah ada noktahnya nanti untuk setiap ujian yang melanda.

Setiap ujian Allah juga adalah penghapus dosa. Adakalanya perlu juga kita bersyukur dengan ujian yang melanda, kerana ujian inilah yang mampu membersihkan kita dari dosa-dosa yang menimbun. Positifkan fikiran bahawa Allah mahu melihat kita dalam keadaan yang bersih dan sentiasa dekat kepadaNya.

Akhirnya, berusaha, berdoa dan bertawakallah kepada Allah disaat kita gundah dilanda musibah. Hanya Allah tempat kita memohon dan Dialah yang Maha Memakbulkan.

Sehingga ketemu lagi…

10.59am

Bersyukur

Salam Ukhuwah…

Bersyukur itu maknanya berterima kasih. Kebiasaan kita gunakan perkataan bersyukur ini kepada setiap nikmat pemberian Allah yang tidak terhitung nilai dan ganjarannya. Kalau tidak tahu untuk bersyukur maknanya kita sudah kufur, langsung boleh merosakkan tahap keimanan kita kepada Allah. Iman yang rosak boleh menyebabkan seseorang manusia itu berada dalam kesesatan. Seringkalinya manusia yang tidak bersyukur ini adalah manusia yang lupa kepada kekuasaan Allah.

Kita ini sering saja lupa untuk bersyukur, adakalanya tidak tahupun keperluan untuk berterima kasih kepada Allah diatas segala nikmat kurniaannya. Kita tahu untuk berdoa dan meminta itu ini dengan Allah, tetapi kerana banyaknya kita meminta-minta sehinggakan ada masanya terlalu mudah Allah memakbulkan, maka kita terlupa untuk berterima kasih. Lebih lalai jika kita memikirkan bahawa kebolehan sesuatu nikmat itu adalah kerana usaha sendiri.

Apa jua nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, ia sebenarnya ujian. Jika kita tahu memanfaatkan setiap kurniaan Allah, Alhamdulillah…insyaAllah sebahagian ujian ini telah kita lulus. Makin kita bersyukur insyaAllah rezeki makin bertambah. Semoga nikmat yang diperoleh ini juga mampu meningkatkan lagi tahap ketaatan kita kepada Allah.

Bersyukur bukan sekadar apabila tiba-tiba kita mendapat kurniaan Allah yang besar dan hebat, masih bernyawa pada hari inipun seharusnya kita sangat bersyukur. Tubuh badan yang sihat tanpa sedikitpun rasa sakit-sakit, itu juga nikmat Allah yang tidak terhitung. Dapat menggunakan semua pancaindera dengan sempurna, itu suatu kurniaan yang sangat hebat. Sesungguhnya nikmat Allah itu tidak terhitung, padanlah jika Allah mahu kita mengabdikan seluruh kehidupan ini kepadaNya.

Sehingga ketemu lagi…

4.03pm

Ikhlas

Salam Ukhuwah…

Setiap kerja buat yang dilakukan adalah kerana Allah, itulah ikhlas. Samada dalam penulisan, pengajaran, pengamalan, dan apa jua mu’amalah yang kita lakukan setiap hari, jika semua laku itu adalah lillahi ta’ala, bukan sekadar kerana sebuah keikhlasan, tetapi ia disulami dengan harapan semoga mendapat redha Allah semata. Jangan sekali-kali mengharapkan faedah duniawi, itu hanyalah perbuatan yang sia-sia, lebih teruk jika mendapat murka Allah semata.

Hanya hati boleh menilai sebuah keikhlasan. Selebihnya Allah lah yang Maha Mengetahui niat sebenar setiap hambaNya dalam melakukan sesuatu perkara.

Sukar juga untuk menjaga hati agar benar-benar ikhlas. Bagaimana mungkin…

~ Apabila ada yang memuji kita tidak merasa bangga, malah merasa kurang senang dengan pujian itu.

~ Apabila ada yang mengeji kita tidak kecewa, malah tidak terdetikpun untuk membalas dengan sesuatu yang buruk.

~ Apabila beramal kebajikan kita tidak mengharapkan apa-apa balasan, malah tidak mahu ada yang mengetahui.

Ini antara kayu pengukur sejauh mana tahap keihlasan yang ada pada hati kita. Dimana tahap kita, hanya kita yang tahu. Jom kita sama-sama jadi lebih baik. Bukan jadi baik di mata manusia, tetapi jadi makin baik pada pandangan Allah. Ketepikan kepentingan diri, hanya redha Allah yang kita mahu. Redha Allah yang kita buru, insyaAllah makin hampir rezeki yang kita mahu.

Jika kita berbuat baik kerana Allah, tidak sesekali akan merasa kecewa jika segala kebaikan yang dibuat tidak mendapat balasan yang sewajarnya. Senyumlah selalu. Rezeki Allah itu sangat luas tiada batasan.

Bersyukur

Ikhlas juga mendidik kita menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur. Jangan sering bertanya mengapa hidup kita ini jadi begini begitu tidak seperti yang diharapkan, itu semua hanyalah penyakit jiwa yang harus dinyahkan. Usah terlalu resah gelisah apabila diuji Allah, teruskan membuat amal kebaikan. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap hambanNya.

Cuba untuk sentiasa merasa tenang dalam kehidupan kerana ketenangan itu sendiri boleh menghadirkan rahmat Allah buat kita. Ketenangan juga memberi peluang untuk kita sentiasa berbuat kebaikan kepada semua orang. Hanya perlu ingat, setiap apa yang kita lakukan adalah kerana Allah semata. Bersyukurlah apabila kita mampu berbuat baik kepada semua orang sekeliling, kerana tangan yang berada di atas itu sentiasa lebih baik dari tangan yang berada di bawah.

Jangan terlalu berharap kepada pertolongan manusia. Kudrat manusia ada hadnya. Berharaplah sentiasa kepada Allah, kerana lambat cepat doa yang kita mohon, tiba masanya insyaAllah akan termakbul jua.

Sehingga ketemu lagi…

3.15pm

Bonda

Salam Ukhuwah…

Kenyataan daripada Naib Pengerusi PAN Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, yang menyentuh peribadi bonda saya agak menyentak perasaan saya sebagai anak.

Bonda saya, Datin Bentara Setia Tuan Sabariah Tuan Ishak, merupakan seorang wanita yang terdidik peribadinya dengan akhlak yang baik. Beliau seorang ibu yang sangat berlemah lembut bicaranya, tinggi budi pekertinya, terpuji tindakannya, dan tentu sekali disayangi sepenuh jiwa oleh arwah ayahanda saya, jua kami 10 beradik. Tentunya bondalah yang merupakan rusuk kiri terbaik buat arwah ayahanda semasa hayatnya dalam apa jua selok belok kehidupan, samada berumahtangga, berkeluarga, dan tentunya berpolitik yang menjadi darah daging membara dalam kehidupan kami anak-beranak.

Bonda saya tidak sama sekali seperti dikata, – ‘tak pernah terlibat dengan Muslimat Pas’ – entah dari kacamata mana penulis melihat, sedangkan sejak dari kecil sering saja saya ditinggalkan di rumah semata-mata untuk bonda keluar berjuang bersama Muslimat Pas ke serata pelosok negeri, bukan sekadar di petempatan biasa malah sehingga nun jauh ke pedalaman.

Beginilah wahai penulis, janganlah melakukan sesuatu perkara hanya kerana nafsu untuk dilihat hebat di mata orang lain. Lakukan lebih banyak perkara kebaikan untuk lebih mendapat keredhaan Allah.

Sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, adalah lebih baik jika mendapat info yang sebenar, jangan sekadar menulis kerana nafsu. Jangan sesekali memberi tanggapan yang salah kepada individu yang kita tidak kenal, jauh sekali pernah berjuang bersamanya. Tindakan mengeluarkan kenyataan sebegitu adalah membawa maksud untuk dibaca kepada umum, secara langsung untuk membuatkan orang lain percaya bahawa kenyataan tersebut adalah benar.

Tindakan sebegini amatlah salah. Jangan sekadar mahu kelihatan hebat di mata umum, tetapi hasilnya hanya sia-sia pada pandangan Allah.

11.25am